Apakah akan terjadi selepas habis Ramadhan? Jawabnya habislah puasa! Tepatpun jawaban itu tetapi jawaban itu tetap salah. Memanglah Ramadhan datang setahun sekali dan kita diwajibkan berpuasa seperti orang-orang terdahulu dalam era Nabi dan Rasul berlainan. Yang orang tak faham-faham adalah Ramadhan itu datang setahun sekali sebagai bulan tarbiyah @ latihan untuk memberi kesegaran kepada jiwa tentang bagaimana harus manusia beraksi di sepanjang hayat yang Allah pinjamkan. Ia menjana kesegaran dan kemantapan aqidah, ketundukan, ketaatan, kerendahan diri dan pengharapan manusia kepada keredhaan Allah swt. Kefahaman, semangat dan rasa hati seperti ini perlu berkesinambungan sampai akhir masa hayat masing-masing. Bukan sekadar menjadi Muslim yang baik, rajin beribadah, murah hati, cinta Quran, seronok menghadiri tazkirah, ralit berzikir dan sentiasa memohon ampun dan bertaubat atas setiap dosa yang terlanjur dilakukan hanya dalam musim Ramadhan!
MAKA Ramadhankanlah hidup kita di luar Ramadhan. Jangan beri sedikitpun ruang kepada syaitan dan agen-agennya menerobos masuk merosak binasakan binaan Islam yang telah kukuh kita bangunkan dalam diri kita sepanjang Ramadhan. Bulan Ramadhan bukan semacam penganut-penganut Hindu membasuh dosa di Sungai Ganges, lepas itu bersukaria buat dosa semula dan kemudian datang lagi ke Sungai Ganges untuk mandi cuci dosa. Kita mesti faham secara mendalam deen Islam sesuai dengan tingkatan umur. Semakin meningkat tua semakin jelas fikrah Islam dan semakin mantap ubudiyyah kepada Allah. Ketundukan dan ketaatan serta rasa penyerahan diri kepada Allah semakin menjiwai seluruh ruang qalbu. Citarasa keislaman kita sudah Ori dan kesanggupan untuk berjuang untuk menegak kelangsungan Islam menjadi agenda utama dalam setiap detik nafas. Kehidupan kita sudah berubah daripada tak keruan hidup kepada rasa aman @ damai bernaung di bawah payungan Islam. Sikap memberontak dan tidak hirau agama bertukar menjadi pembela deen Allah - peka terhadap permasalahan ummah. Kita mulai bercakap dan menyampaikan saranan-saranan Islam. Sudah belajar menjadi dai'e kecilan sebab kita faham itulah core business manusiawi yg dijelaskan dalam surah azZaariat:56 "tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada Ku." Bukan duduk di takok lama dengan kefahaman dangkal cetek seperti anak-anak tadika, sedangkan usia pensiunan 60an. Masih bergelut dengan dunia yang sedikit masa lagi kita hendak tinggalkan.
Seandainya Ramadhan telah mengajar kita berimsak dengan perkara yang HALAL & HARAM dan kita bisa melakukannya, sudah tentu di luar Ramadhan perangai kita tetap seperti orang yang sedang berpuasa - peka dan berhati-hati terhadap perkara-perkara haram/syubhat/makruh dalam rangka untuk bertaqwa kepada Allah dalam semua aspek - bukan sekadar makan @ minum! Bukan sekadar geli geman tak lalu hendak tengok babi atau meloya lalu tepi restoran yang ada menu masakan sang sondol, MALAH sepatutnya semua yang haram kita tak gamak dan tak lalu hendak lakukan sebab semasa puasa, yang halalpun kita jauhi karena Allah tegah. Larangan ini semata-mata untuk melatih kita kuat jiwa agama dan berlaku ikhlas dengan diri sendiri apatah lagi berdepan dengan perkara-perkara haram.
Sewajarnya latihan @ tamrin 29/30 hari sudah cukup untuk memberi kesan kepada tabiat jiwa dan minda manusia agar tetap berperangai teguh dengan pegangan agama dan mampu menjaga diri daripada serangan bertubi nilai-nilai kuffar yang sentiasa berada di sekeliling hidup kita. Kalau kita alpa sekejap sahaja arus budaya busuk dari Barat dan Timur akan menyongsong dan mengheret dan menenggelamkan kita ke dasar kekuffaran yang pekat hitam dan sukar untuk timbul kembali menyedut udara segar Islam yang menawarkan kebebasan diri daripada kebinasaan nafsu haiwani dan mencapai kemenangan hakiki - "barangsiapa dihindarkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga Allah, maka dia adalah manusia yang paling berjaya"- Ali Imran:185. Inilah konsep dan makna kejayaan sebenar dalam hidup. Sekalipun kita berpangkat tinggi, jutawan, usahawan atau orang ternama - namun di kampung akhirat yang abadi, jika kita tak dapat meraih redha Allah dan masuk ke dalam syurgaNya, bermakna kita adalah manusia yg gagal & celaka. Lebih baik jadi hamba marhaen dan tak dikenali semasa di dunia tetapi mendapat habuan paling berharga tidak ternilai iaitu keredhaan dan syurga Allah swt karena keimanan dan keyakinan kita kepada Hari Perhitungan dan Hari Pembalasan yg telah diwar-warkan dalam kitab yang sahih lagi benar iaitu Al- Quranul Kareem.
Wallahu'alam.