SEMAKIN PANJANG UMUR, SEMAKIN PENDEK USIA DAN
SEMAKIN SINGKAT MASA UNTUK BERMAIN-MAIN...
Masa yang meluncur laju telah
memanjangkan umurku. Menjadikan aku tua dan mengumpul seribu satu macam
peristiwa. Universiti pertama yang ku pijak laman kampusnya sekadar mewarnai
sekelumit juzuk insan yang dahagakan ilmu. Empat tahun berkelana mencari makna
diri dalam gawat dan gegak suara nurani yang tercari-cari dimensi hidup
bererti. Banyak sekali lelongan ilmu-ilmu bersepah di sana sini untuk dikutip
antara hampas, antah, dan isi padi. Justeru jadilah aku bagai ayam jantan yang
lapar mengais-ngais sambil berhati-hati mematuk memilih dan menyisihkan yang
kosong daripada yang berisi. Cuma seuncang kecil terpilih dan dengan sebanyak
itu digenggam kuat guna berkelana jauh ke dasar alam buana untuk terus mencari
makna diri yang lebih kukuh demi mahu membina sebuah kehidupan yang berperi.
Lalu masuklah aku ke laman kampus
universiti kedua. Dasarnya terlalu dalam tidak cukup nafas bagi menyelaminya.
Padanya aku bina sebuah keluarga kecil bermula dengan dua oknum jiwa yang
diikat kukuh dengan tali iman dan kontrak sosial. Wa’ad yang pertama ini adalah
lampiran kepada wa’ad awal yang berlaku dalam alam ruh ..‘alas tubirobbikum
qolu bala syahidna..’ [Bukankah Aku Tuhan mu, lalu mereka menjawab Ya! Dan kami
mempersaksikan]. Dalam daerah yang asing ini aku mendayung sambil menjadi
juragan memimpin tangan teman setia yang membantu menyuluh kehidupan. Sakit dan
pening, demam dan lelah, lenguh dan sesak nafas diharungi serta terus meranjau
kehidupan untuk memberi erti wujud sebenar kepada anak-anak didik yang masih
kecil ligat bermain. Mereka tumbuh bagai pepohon yang segar merendangi dengan
dedaunan hijau, berbunga cantik menawan. Mereka melagukan nyanyian hidup yang
memeriahkan taman keluarga.
Kini mereka telah membesar bagi
mengisi dan memeriahkan kehidupan alam. Cantasan dahan dan ranting yang buruk
selain menjaga akar yang sering diganggu anai-anai tidak menafikan
tertumbangnya pohonan hijau yang segar itu akibat tersedut racunan asap dan
wasap sekitaran yang kotor akibat gelojoh manusiawi membangun duniawi. Enam
belas tahun dicampur enam belas lagi aku meniti lorong, denai dan jalur
kehidupan menuju makna kebenaran hidup bertuhan. Kerikil sangat tajam menyengat
kaki yang kosong tanpa alas. Cuma bening hati yang belajar makna keikhlasan
mengusap sabar hati yang longlai.
Aku belum puas hati membina kapal
yang besar lagi kukuh untuk menghadapi badai taufan gelombang samudera luas.
Bahtera yang besar memerlukan tangan besar dan jiwa yang besar. Anak-anak kapal
jangan dibiarkan bergelandangan di atas geladak. Jangan pula dibiarkan merayau
hanyut di setiap pelabuhan di mana kapal bersauh. Mereka masih perlu diajak
melagukan dendangan kalimat Tuhan. Supaya minda tidak senak dengan tipu daya
syaitan manusia dan jin. Agar aqal berkuasa dan berfungsi waspada hatta
berupaya menilai antara kaca dan permata. Tiga puluh dua musim berlalu terlalu
deras dan pantas. Sekilat sinar menyambar malam yang kelam. Namun aku
mengharapkan ia tidak akan membutakan mataku, apatah lagi mata hatiku. Setiap
jerlusan kaki semasa menapaki jalanan anak-anak masih mampu dirawat untuk terus
berdiri semula menggagahi kerja yang belum sempurna selesai.
Semakin panjang umur, semakin pendek usia yang
berbaki untuk meneruskan perjalanan hidup bagi membantu mendidik diri dan
mengajak ahli keluarga menetapi kebenaran dan terus lestari dalam menempuh
kebanjiran kedustaan. Bagaimana mahu rasa enak bermain-main macam dulu dengan
anak-anak yang kini sudah dewasa? Bagaimana pula mahu menangani kebengkokan
diri dan kebengkokan mereka supaya terus berjalan lurus dengan jajaran yang
betul menuju Tuhan yang sedang menanti. Harapannya satu: semoga benih dan bibit
yang tertanam sejak kecil terus bersemi dan tumbuh membesar walaupun dalam
kepayahan yang amat! Pusaka benih itu jangan dimatikan dan dibuang. Ia berguna
untuk anak-anakku semua menongkah arus deras kehidupan yang semakin menggoncang
nurani. Karena dunia sedang meniti tebing kematian abadi.
Namun bibit-bibit kebaikan harus terus ditabur menjadi
semaian untuk mengindahkan laman masyarakat. Dan pendokong-pendokongnya adalah
anak-anakku yang semakin mengenali dan menginsafi maksud kehidupan,
lantaran telah mengumpulkan beberapa helaian peristiwa yang sangat mengajar
perkara-perkara yang pernah aku sampaikan. Kini mereka mengerti perihal yang
dulunya sukar ditanggapi dan difahami.
Wallahua’lam.
Qalamunir
4 April 2012
0 comments:
Post a Comment