Ramai
anak-anak remaja, eksekutif muda, pegawai-pegawai peringkat pengurusan
pertengahan dan orang-orang atasan dalam Jabatan, Kementerian dan Agensi Kerajaan serta sektor swasta,
termasuklah juga ahli-ahli NGO, kelab-kelab sosial yang berbagai tujuan dan
ragam, begitu prihatin menjaga kesihatan badan. Slogan dan kempen rakyat sihat
Negara maju memang sudah menjadi kenyataan justeru karena telah timbul
kesedaran yang tinggi dalam kalangan anggota masyarakat untuk beriadah dan berekreasi agar fizikal dapat dilestarikan
kesihatannya. Tubuh yang sihat adalah aset yang mahal dan berguna untuk
produktiviti Negara hatta mengurangkan kos merawat penyakit dan keperluan
ubat-ubatan oleh klinik dan hospital.
Perniagaan
MLM berkembang biak dengan memasarkan bermacam-macam produk makanan dan minuman
kesihatan. Pusat-pusat Spa dan salun
kecantikan tumbuh merata tempat dengan menawarkan pakej rawatan penjagaan badan
bagi para wanita yang prihatin keanggunan tubuh yang menawan dan awet muda.
Jimnasium-jimnasium juga tidak ketinggalan didirikan untuk memberi khidmat
penjagaan kesihatan dan membina otot agar anak muda dan pria nampak lebih
tampan dan macho.
Namun
apa untungnya kalau badan sihat tetapi ia tidak dimanfaatkan untuk berubudiyah
kepada Allah swt. Ramai manusia yang sihat tubuh badan melakukan kerja-kerja
kontra iman. Jasad muda dipacu macam kuda jantan liar merempuh desa dan kota,
menuruni lurah dan lembah menghirup manisan duniawi semahunya, yang akhirnya
membawa keruntuhan peribadi dan koyak rabak fabrik masyarakat. Akhirnya manusia
menjadi layu macam papadom masuk angin atau kangkong rebus lantaran lecuran
yang parah terjadi pada jiwa dan raga. Nah! Lihat saja berapa ramai kalangan
muda belia yang sihat bugar, mampu lari 100 meter dengan daya pecutan terpantas;
mampu berjoging 10 kilometer 2 kali seminggu tanpa lelah tercungap; bisa
mengangkat berat besi antara puluhan hingga
ratusan kilogram, namun tidak tega malah tidak terangkat kain selimut yang
nipis saat mendengar azan Subuh berkumandang.
Ternyata
badan yang sihat, bugar dan kuat itu belum pasti dapat mengatasi rintangan
naluri dan nafsu tidur sehingga berupaya terbangun tegak untuk menyirami anggota
tubuh dengan air dingin dan sejuk pagi. Mampukah mata yang kantuk dibuka untuk
menerima usapan pagi untuk menyusuri surau dan masjid karena terpesona melihat
lambaian muezzin mengajak kepada sukses sebenar iaitu memasuki jannah Allah swt?
Anak-anak muda serta yang telahpun
merangkul usia bonus, ketahuilah tiada siapa tahu siapa yang akan menyusul
dahulu ke pusara untuk mengadap Allah swt. Jasad yang tegap dan sendo atau susuk tubuh
yang langsing dengan lilit ukur yang menawan dan tidak obese, belum tentu tidak
tersentuh oleh penyakit tiga serangkai. Cardiac infarction @ angina @ serangan
jantung tiada lagi memilih orang-orang yang malas riadah. Banyak berita kejut
yang menceritakan kewafatan dan akhir hayat pemain-pemain bola di atas padang
permainan karena sesak nafas [asbab yang Allah jadikan untuk berhenti menjadi
manusia], pendaki-pendaki dan penyelam-penyelam professional pun tidak
ketinggalan direntap malaikat maut dengan aturan asbab yang sama atau berbeza.
Pokoknya semua tersungkur di hadapan Allah walaupun sebelum itu payah mahu
sujud karena angkuh atau sibuk dengan aktiviti dan kerja dunia yang tidak
pernah mahu habis.
Kita
sebagai makhluk berakal, menatapi alam semesta sebagai sebuah buku yang
menggambarkan kehebatan Penciptanya. Apakah tidak terasa sentuhan wahyu yang
masih panas membisikkan pengalaman manusia silam yang pupus tenggelam dalam
murka Allah lalu hilang daripada muka bumi lantaran kesombongan dan tidak
mempergunakan gajet hati nurani untuk mengimbas sengsara karena membelakangi
ayat-ayat Allah. Ajaklah hati masing-masing untuk berkontemplasi. Renungilah
diri dan alam ini sepuas-puas dan sebaik-baiknya, hatta mentafsirkan makna kewujudan
dan menilai maksud ketaatan seorang hamba musafir, sebelum alam ini membungkus dan menelan jasad
kita.
Kepulangan
kita biarlah beradab dan berjasa kepada diri, keluarga dan ummah. Bukan sekadar
pulang membawa tulang dan belulang yang tiada nilai timbangan.
Wallahu’alam.
Qalamunir
19
Mac 2012
0 comments:
Post a Comment