Sejak terlahir dalam keluarga
Islam sepatutnya proses tarbiyah berjalan secara fitrah. Masuk pula ke Sekolah
Kebangsaan yang rata-ratanya orang Islam, sewajarnya fikrah Islam memenuhi dada
dan minda sedari kecil dan tasawwur Islam sudah terbina jelas. Sudah besar dan dewasa
pula bernikah kahwin dengan pemuda atau pemudi Muslim, lagilah memantapkan
perjalanan tarbiyah Islamiyah dalam kalangan keluarga yang dibina atas kalimah
Allah yang menghalalkan percantuman intim dua insan.
Konsep Baitul Muslim tidak pernah
terbina secara sedar dalam minda pasangan yang bernikah mutakhir ini karena
perkahwinan tidak pernah diwar-warkan atau dianjur oleh institusi masyarakat
dalam konteks itu. Ibu bapa, kaum keluarga dan jiran malah institusi
perkahwinan serta kursus-kursus kahwin yang disuapkan kepada bakal pengantin
tidak berjaya memperjelaskan dengan terang akan maksud dan fungsi suatu
pernikahan. Ia berlaku sekadar mahu memberi pencerahan mudah kepada audiens
tentang perihal yang mudah-mudah saja untuk melangsungkan proses nikah, tetapi
tidak merangkumi kedalaman maknawi dan hasrat Tuhan. Mempermudahkan pernikahan
adalah baik, namun buat mudah terhadap perkara yang mesti difahami mendalam dan
kemas dalam menggarap sebuah pernikahan yang besar ertinya dalam membentuk
kehidupan sebuah keluarga Muslim, akan menggagalkan misi Islam dalam memberi
kebahagiaan kepada ummah.
Lihatlah betapa gelongnya
perjalanan hidup keluarga-keluarga Islam sekarang. Posisi dan lakonan watak
suami dan isteri tampak kucar kacir dalam aspek peranan dan pertanggungjawaban.
Sang lelaki tidak faham kewajiban suami
dan sang perempuan tidak tahu kewajiban isteri. Peliknya kedua-dua sangat peka
tentang hak masing-masing. Sebab itu dalam banyak hal perceraian dan keruntuhan
rumahtangga adalah karena manusia sibuk dan peka dalam menuntut hak, berbanding
kemahuan dan kepedulian menunaikan tanggungjawab.
Dalam sebuah rumahtangga yang
sang suami dan isteri berlumba-lumba menunaikan tanggungjawab akan
mengecapi kesejahteraan dan kesakinahan berbanding mereka yang berlumba-lumba
mencari rezeki tetapi sengkek dalam pelaksanaan tanggungjawab. Kesengkekan berperan
dengan kesungguhan watak suami @ isteri adalah kesan langsung daripada
kesengkekan tarbiyah yang berlaku dalam sepanjang hidup dari usia kanak-kanak
hingga menjelang dewasa. Ilmu agama yang ditelan sewaktu mengambil Pendidikan
Agama Islam SPM itulah bekalan yang dibawa ke peringkat IPT tanpa pertambahan,
guna untuk mendayung kehidupan sebuah rumahtangga yang mahu dibina selepas
graduasi, kecuali mereka yang tampil merentasi disiplin pembelajaran dan
bidangan masing-masing, justeru karena amat memahami keperluan ilmu diniyah dalam
membina makna hidup yang sempurna, duniawi dan ukhrawi.
Watak-watak suami, isteri, anak,
menantu dan cucu haruslah diacuankan dalam celupan Qurani dan as-Sunnah melalui
program halaqah/usrah yang berstruktur dan berjadual sama ada berlaku secara
santai atau formal dalam semua suasana dan sekitaran kehidupan. Ia perlu
berlaku dalam rumah, di taman permainan/rekreasi, dalam kenderaan semasa musafir, program hari keluarga,
sewaktu mengendalikan mesyuarat di pejabat, sambil bersantai ngombeh teh tarik di
warung tepi jalanan atau di mana saja di atas muka bumi Tuhan. Kenapa manusia perlu
tarbiyah di sepanjang perjalanan hidup, tanya seorang rakan. Ketahuilah bahawa
manusia itu digelar insan = ‘pelupa’ sifatnya walaupun berkilogram atau bertan-tan
tarbiyah telah berlaku, namun jika dinoktahkan maka surut dan pudarlah iman dan
motivasi untuk hidup dalam kemuliaan @ izzah Islam.
Bagi pemuda dan pemudi Islam yang
sedang merancang kehidupan masa depannya, kutiplah sebanyak mungkin
permata-permata yang hilang yang baru ditemui. Binalah syakhsiyah dan jati diri
Islami yang boleh diharapkan mendokongi watak dan pekerti Islami yang bisa menjadi
qudwah generasi seangkatan dan pelapis yang mengharumkan deen Allah semerbak
kasturi. Janganlah lagi diwarisi kesengkekan peribadi.
Wakafa billahi syahida.
Wallahu’alam.
Qalamunir
19 April 2012
0 comments:
Post a Comment