Dalam meranjau kehidupan, manusia sering diganggu oleh macam-macam tanda tanya dan persoalan yang berat lagi kritikal. Kalau persoalan dan tanda tanya tidak pernah berlaku dalam kepala dan benak manusia, itu tandanya otak dan saraf neuro mengalami masalah. Manusia seawal zaman kehidupannya, merasa takjub melihat alam sekeliling mereka. Merasai gerun dan takut kepada benda-benda alamiah, malah terasa aneh dan hairan mentafsir kejadian alam dalam lingkungan mereka. Justeru manusia menjadi pagan, animistik dan mencipta berhala daripada pengalaman mereka hidup bersama alam serta menterjemah alam dengan segala kekuatan akal cebisan.
Proses menta'kul berdasarkan pendekatan yang lebih berdisiplin dan saintifik terus berlangsung bagi mengurai dan meleraikan kekusutan persoalan makna kehidupan dan ketuhanan. Proses pencarian makna diri, makna hidup dan makna mati terus berlangsung. Dalam kekosongan jiwa dan kepenuhan perut, manusia terus mencari makna wujud. Bermula dari lembah hingga ke menara gading. Bergulung-gulung ijazah diterima tanda pencapaian akademik yang tinggi, namun tidak pula dapat mengenal Tuhan. Walaupun Ia terlalu dekat dengan jasadnya namun tidak terlihat jua.
Begitulah rentetan hidup, semasa bayi dan kemudian menjadi anak kecil dalam kendongan kasih ibu dan membesar sebab jasa ayah yang bekerja keras mencari sesuap nasi. Pagi bermula sampai ke malam bergelut dengan kerja sampai lupa makan dan minum menerjah maya mengorek rezeki di celah-celah belukar kota. Supaya mulut yang sedang merah ternganga dapat disusui dan diberi suapan nasi agar berkat membentuk jasad dan kudrat mental, agar bisa pandai mengaji dan mengenali wujud diri dan wujud Tuhan. Ke manakah kewarasan itu hilang dalam genggaman segulung kertas ijazah yang kononnya menandakan kepandaian dan kedewasaan? Sungguh banyak tanda tanya dalam hidup ini. Para Nabi dan Rasul mengajar manusia mengenali dan mencintai Allah lebih dahulu sebelum mencintai manusia. Karena Dialah sumber kehidupan, cinta dan kasih sayang.
Tanpa Allah tiada wujud bibit cinta dan sebarang rasa kasih sayang di antara insan. Benih cinta adalah suatu anugerah besar daripada Sang Pencipta untuk disemarakkan pada tempatnya yang betul. Bukan ditabur-taburan di setiap lorong dan denai laluan asal terjumpa lembaga manusia walaupun belum pernah dikenali watak dan budinya. Hinggakan ibu ayah serta keluarga diketepikan lantaran jantung hati gunung payung diutamakan! Para Ambia tidak menganjur demikian. Ia mengajar manusia mengasihi dan mencintai ibu ayah sesuai dengan martabat pengorbanan dan keikhlasan mereka menggenggam bara kehidupan untuk menghidupkan si anak kecil yang lemah supaya gagah berdiri mendepani dunia yang sifatnya menipu dan durjana bagi mereka yang tak kenal tempat kembali.

Dalam meniti kehidupan yang titiannya bercabang, si anak kecil yang sudah bertukar dewasa menggilai lambaian dunia yang tidak seberapa nilainya. Malah terpegun ia karena singkapan kilauan permata palsu bersepah di mana-mana. Ramailah si anak muda tertewas lantaran gigitan keras bernafsu juak-juak syaitani yang sememangnya bekerja gigih tanpa noktah, tanpa rasa penat dan tiada pernah rasa puas, jika belum tersungkur tertiarap tiang panji yang membawa kalimat syahadah. Maka ramailah manusia yang cerdik pandir zaman jahiliyah moden ini tidak pandai menyantuni dirinya sendiri vis-a-vis Tuhannya, ibu ayahnya, gurunya, adik beradiknya, rakan taulannya hatta masyarakatnya. Inilah yang digelar si cerdik akademik tapi pandir agama.
Marilah berfikir sejenak, agar pandailah kita menyantuni semua yang ada di sekeliling kita, sama ada yang ghaib ataupun nyata.
Wallahua'lam.
16 Julai 2011
0 comments:
Post a Comment