Semalam Jumaat 08 Julai 2011, seperti biasa masjid-masjid dipenuhi para makmum untuk solat Jumaat. Sebelum solat, sesi tazkirah berjalan dengan tajuk khusus memperingati jamaah tentang bahaya kehilangan permata berharga iaitu iman dan taqwa. Iman yang semakin larut dan taqwa yang semakin mengecut serta maksiat yang semakin meningkat, mengundang murka Allah. Kemurkaan Allah apabila berlaku, manusia tidak ada tempat bergantung harap dan berlindung daripada ujian azab kelaparan dan ketakutan karena kekurangan makanan dan kekacauan sosial, kecuali dengan kerahmatan dan belas kasihan Allah.
Sesi khutbah pun bermula dengan salam daripada khatib dengan penuh semangat. Beliau melantunkan suara secara teratur dan sedikit demi sedikit menekan dan melantangkan suaranya. Deru suaranya mengajak para jamaah bertaqwa kepada Allah dan mentaati sunnah Rasulullah saw. Para tetamu Allah diam sepi mendengar seruan klise ini. Masa berjalan dan terdapat beberapa orang makmum lentuk terkulai macam dahan dan ranting patah terkena angin kencang. Ada yang liut meraban dan mata terpaku ke karpet dan lantai, kuyu dan layu. Kelantangan suara khatib menderu memecah udara ruang masjid, sesekali menaik dan menurun laksana gemersik gendang perang meminta lasykar bersedia menahan serangan musuh. Namun keenakan tidur mengatasi segala-gala. Kini ramai para makmum menidurkan diri terlena. Ada yang berdengkur dan ada yang meleleh air liur basi karena tersangat syok mengulit rasa fana.
Yang peliknya terlihat yang tersembul mata dan terdongak kepala kepada mimbar yang sedang berapi-api mengajak manusia bertaqwa dan berbuat kebaikan serta menjaga kelangsungan iman ialah pak-pak hitam Afrika dan Bangla. Mungkinkah mereka ini sedang fokus untuk memahami apa yang sedang dibicarakan khatib. Dan ini adalah sebaik-baik tempat dan cara untuk mempelajari Bahasa Melayu, selain menikmati isi kandungan khutbah yang tidak dipedulikan sebahagian besar makmum sawo mateng.
Lazimnya setiap kali khutbah hendak dimulakan, muazzin akan berpesan kepada sekalian jamaah supaya apabila khatib sedang membaca khutbah, janganlah bercakap-cakap sesama makmum, ataupun berkata diam kepada orang yang berbuat bising, karena dikhuatiri lagho dan hilang pahala solat Jumaat. Pokok persoalannya: apakah perbuatan tidur hingga lena dan mengeluarkan air cola basi itu tidak lagho dan hilang pahala solat Jumaat? Perkara ini mesti disebut dan diberi pencerahan kepada semua tetamu Allah dalam masjid bahawa, solat Jumaat adalah program mingguan untuk mentarbiyah manusia memperingati halatuju kehidupan yang dipandu taqwa. Ia bukan program tidur-tiduran @ sengguk-senggukan. Sesiapa dengan sengaja tidur atau sebaliknya tak sengajapun tertidur, pahala Jumaatnya binasa = gunduk? Pihak Sang Khatib pun kena ubah gaya penyampaiannya, daripada membaca khutbah kepada berkhutbah. Membaca teks khutbah semata-mata tak ada ruh tarbawi. Ia dirasai kosong dan lompong macam perut masuk angin karena banyak makan ubikayu@singkong. Tiada tembungan mata, suara tinggi dan sergahan khatib yang tidak disesuaikan dengan intonasi serta volume sistem pembesar suara, kadang-kadang menjadi bingit pada telinga dan tak lalu untuk didengar dan dihayati. Apatah lagi PA system yang macam orang berbisik dan suara yang kembang dan tenggelam timbul memang mengulit mata menjadi layu. Tambahan pula bagi para makmum yang datang awal ke masjid dan sudah pekena dan tibai nasi beriani ayam madu! Kemahiran khatib dalam aspek pengucapan awam nampaknya sangat penting untuk mencapai impak maksimum bagi setiap mesej yang hendak disampaikan. Sang khatib ialah murrobi masyarakat. Ia perlu meningkatkan tahap kerabbaniannya dengan amalan batin dan disokong dengan kekuatan dan ketinggian ilmu, barulah akal dan minda serta hati makmum dapat ditambat dan dikuasai bagi mengajak mereka berfikir secara serius topik dan hujah yang dilontarkan. Bukan sekadar pergi ke masjid untuk lena tersandar di tiang-tiang seri atau tersengguk di celah-celah manusia lain dan pulang dengan kekosongan minda dan jiwa yang tak tersentuh, walaupun tak pernah tinggal solat Jumaat!
Wahai para pengunjung masjid Hari Jumaat, marilah sama-sama kita perbaiki amalan solat dan menjadi Muslim yang lebih baik setiap minggu berlalu. Menjadi semakin hebat kepekaan jiwa untuk membela Islam dan memberi manfaat kepada diri dan keluarga serta masyarakat sekeliling di mana sahaja kita berada. Semoga Insyallah kita berjaya di dunia dan akhirat.
Wallahua'alam.
09 Julai 2011
2 comments:
Alhamdulillah bersyukur saya kepada Allah swt.kerana berpeluang membaca artikel tuan. Semoga Allah swt. merahmati tuan dan keluarga.Penulisan sentuhan hati nurani beginilah yang akan memimpin saya untuk menjadi insan yang khair bertaqwa dan beriman.Tq for allowing us share your thoughts.You light up my day today! Sir.:
yours sincerely, haron_46@yahoo.com
Ahlan wa sahlan bika!
Terima kasih karena menziarahi blog tarbawi ana.
Anta dipersilakan memberi respon@komentar atas mana-mana artikel yg dibaca, agar ada hubungan 2 hala.
Ma'assalamah.
Post a Comment