Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

Pasca Ramadhan - Melatih Kesabaran dan Mencabar Serta Meninggalkan Kebiasaan

Intipati kesabaran adalah menahan diri dari dorongan untuk segera memenuhi sesuatu yang kita inginkan. Sabar juga merujuk kepada keupayaan menahan nafsu amarah, sabar dari rasa malas dan enggan, sabar dalam menjalankan ketaatan, sabar untuk tidak berbuat maksiat yang umumnya menyeronokkan.


Sabda Rasulullah saw, Puasa adalah bulan kesabaran dan tiga hari dalam setiap bulan dapat melenyapkan kedengkian dalam dada. [H.R. Bazzar dan Ali dan Ibnu Abbas, dan Thabrani dan Baghawi dan Namr bin Tulab]



Puasa mendidik kesabaran untuk tidak melakukan kebiasaan. Yakni kebiasaan mengombeh teh tarik atau kopi kaw pada waktu pagi dengan santapan roti canai, capati, tose rawa rangup berkuah dal. Ada yang suka telan putu mayam, puri atau macam-macam lagi sarapan yang sedap, apatah lagi kalau dapat berasap dengan rokok kegemarannya. Benda yang sedap-sedap ini bukan senang hendak tinggal @ ketepikan begitu saja tanpa mencabar kebiasaan yang selalu kita ulangi saban hari. Semua ini berlaku dengan sengaja kerana kita berniat meninggalkan kebiasaan itu. Itulah yang digelar the power of intention [niat]. Ini baru cerita di pagi hari, tengahari belum lagi. Kalau disusun menu yang ada di restoran/gerai untuk persediaan makan tengahari, boleh jadi panjang berdepa-depa. Persoalannya apakah kita pasti dapat mengatasi kemahuan biologis dan libido lapar & dahaga termasuk runtunan seks tanpa niat mahu berubudiyyah semata-mata kerana Allah swt. Hendak bersabar dan meninggalkan kebiasaan bukan senang, cakap memang boleh. Bila mahu bikin belum tentu berjaya. Tetapi ternyata kita akan kembali buat perkara-perkara kebiasaan yang kontra sunnah selepas Ramadhan dengan begitu mudah tanpa rasa bersalah atau segan. Ramai yang gagal selepas berkursus Ramadhan kalau dikaitkan dengan kes merokok, mengumpat, melepak, merempit dan melakukan perkara sia-sia.

Nampak seolah-olah macam tarbiyah Ramadhan tak menjadi dan tak memberi apa-apa kesan langsung. Hal seperti ini kita ulangi setiap tahun macam satu rutin. Tak buat rasa macam tak cukup sesuatu. Bila buat kita hanya mengutip angka-angka kosong yang tidak memberi sebarang makna. Akhlak kita dengan Allah masih rendah, akhlak kita dengan manusia masih bejat. Justeru masih belum menjadi salih walaupun usia terus meningkat naik, sedangkan nilai agama dan maruah diri sebagai Muslim terus menurun.

Rupanya memang sukar hendak lari dan meninggalkan kebiasaan. Ia kuat melekat menjadi mendarah daging terpaut intim merangkul kukuh jiwa muda @ tua yang mudah mengalah kepada nafsu. Oleh itu lihatlah ke dalam diri [introspeksi] dan pujuklah jiwa agar ia menjadi bugar sebelum Allah memeriksa akaun kita masing-masing , sama ada kita telah membenarkan ikrar kita menjadi Muslim yang sejati

0 comments: