Antara kemahuan diri dengan ketaatan kepada Allah selalunya bergeseran hebat dan sering cabar mencabar dalam diri seseorang. Kemahuan yang tidak baik dan cenderung maksiat adalah hasilan daripada tahap dan jenis didikan @ tarbiyah yang diperolehi seseorang daripada guru pertamanya iaitu ibubapa. Kemudian daripada sekolah, kawan sebaya hatta seluruh lingkungan sosialnya. Seseorang itu membesar dan menjadi serasi malah mantap perangai dan perilakunya daripada asuhan dan usapan dalam rumah dan luar rumah. Dalam realiti sekarang manakah yang lebih kuat dan gagah mendidik manusia untuk menjadi elok atau sebaliknya : asuhan dan nilai keluarga sendiri atau nilai asing yang tak kena mengena dengan agama dan anutan ibubapa?
Kita kena ingat dan insaf bahawa sekolah, rakan sebaya, masyarakat amnya tidak bertanggungjawab secara terus dan total ke atas pendidikan anak-anak kita. Kita yang melahirkan, maka kitalah yang mesti menggalas tanggungjawab itu. Institusi atau lembaga-lembaga dalam masyarakat seperti sekolah dan uruf sekitaran adalah pelengkap saja, itupun kalau uruf yang hasanah. Jika tidak ia akan jadi kontra tarbiyah.
Sekarang kita cuba perhatikan bagaimana puasa dapat memberi pendidikan kepada kita bahawa manusia ternyata mampu melakukan suatu amalan yang sangat berat (berlapar dan dahaga). Kalau kita bertanya pada orang bukan Islam yang tak pernah berpuasa tentang perkara ini, sudah tentu mereka akan berkata ini kerja gila/kes aniaya diri dsbnya. Menahan diri daripada makan, minum dan segala yang halal dan haram semasa puasa adalah atas kemahuan/kerelaan diri sendiri bukan dipaksa. Suasana inilah yang membentuk sifat amanah, jujur, ikhlas dan adil pada diri sendiri, kerana yang memantau pelaksanaannya adalah diri kita. Kemudiannya seluruh amalan sisipan yang sunat pula dilakukan sepanjang Ramadhan adalah atas rasa mahu menghampirkan diri dan berlatih ketaatan kepada Allah. Ramadhan adalah satu institusi yang Allah sediakan sebagai satu kurikulum khusus yang paling mantop untuk mencanai/mengukir/mencetak peribadi mulia dan cemerlang. Lantaran itu kursus dan kurikulum buatan manusia yang dicipta untuk diikuti hanyalah sekunder sahaja. Ia sekadar bertindak sebagai tampalan dan bahan penyegar dengan syarat tarbiyah asasi mestilah datang daripada kurikulum Allah swt dan telah diikuti dengan sempurna dengan kefahaman yang jelas, bukan ikut-ikutan @ tradisi nenek moyang.
Dalam Quran pun kita biasa berjumpa dengan hujah @ dialog kaum musyrikin semasa menghadapi asakan intelektual berhubung kenapa dan mengapa sesuatu amalan itu dilakukan, mereka akan berkata:-
"ini semua telah diamalkan oleh nenek moyang kami sejak dulu kala lagi, takkan mereka salah kot..."Jadi, kita kena pastikan yang amalan tak kira berupa ambilan daripada nenek moyang kah atau ambilan daripada mana-mana juzuk dalam masyarakat, syaratnya mesti dipelajari daripada sumber yang betul dan sahih; difahami dengan jelas dan mempunyai nas-nas dan dalil-dalil yang boleh dirujuk. Barulah namanya belajar dan memahami dan digelar berilmu. Jika tidak ia dinamakan taqlid yang buta sebab tak tahu hujah datang dari sumber mana. Pendeknya orang Islam mesti berilmu untuk beramal, bukan beramal sembrono.
Wassalam, jumpa lagi pada maudhuk yang berikutnya.
0 comments:
Post a Comment