Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

PASCA RAMADHAN - SATU AUTOPSI @ PENILAIAN

Ramai graduan daripada Madrasah Ramadhan berkonvokasi sebagai tanda tamatnya semester akhir kursus. Pokoknya berapakah CGPA yang dicapai kalau boleh diukur ala peperiksaan di IPT. Sepanjang Ramadhan betapa banyaknya buah kurma, nasi beriani, cendol, tapai, ayam percik, dan serba mak nenek kueh mueh dibalun oleh manusia lapar dan dahaga. Ada yang jatuh dan tumpah ke tanah serta terbuang kerana terlebih buat atau terbeli banyak tapi mungkin tak sempat makan/minum lantaran saiz perut tak terdaya nak tampung lagi. Inilah cebisan gelagat Ramadhaniyyun [hamba Ramadhan] menjalani puasa. Mereka rupa-rupanya berpuas-puas bukan berpuasa.

KPI Ramadhan sepatutnya ditetapkan oleh semua peserta Madrasah Ramadhan bagi mencapai KRA berikut:-

1. Mensucikan jiwa
2. Mengangkat unsur ruhani manusia mengatasi unsur fiziki
3. Mendidik kemahuan untuk beramal dalam ketaatan kepada Allah swt
4. Melatih kesabaran dan mencabar serta meninggalkan kebiasaan
5. Mengamankan gejolak nafsu biologis
6. Menajamkan perasaan atas kenikmatan Allah swt
7. Mempersiapkan manusia menjadi insan bertaqwa.

Puasa Ramadhan adalah jalan/wasilah bagi mencapai nilai startegis yakni pembinaan jiwa yang suci yang juga bisa digelar Tarbiyah Ruhiyah. Ini kerana puasa terus langsung menyentuh ruhani, tanpa menyentuh lainnya. Justeru dimensi ruhani inilah yang mesti terbangun meningkat selesai sahaja Ramadhan.
Kenapa kita kata begitu, sebabnya semasa berpuasa manusia secara sukarela dan sedar tanpa dipaksa, meninggalkan segala kesukaannya yang halal apatah lagi terhadap keinginan nafsu yang haram! Ini semua dilakukan semata-mata kerana Allah - inilah dia tarbiyah ruhiyah yang hebat mengukir perasaan kehambaan yang sebenar dan rasa ikhlas yang tinggi. Persoalannya, apakah kita telah memiliki perasaan kehambaan tersebut setelah keluar masuk beberapa kali dalam semester Ramadhan buat sekian kalinya. Yang pastinya kita raya sakan sebab kita perasan kononnya kita sudah berjaya bergraduat sebab dapat berpuasa penuh 29@30 hari. Akan tetapi kalau dicermati dan diamati pada diri, masih tidak jauh beza akhlak sebelum dan selepas Ramadhan. Jiwa masih kotor kerana maksiat masih berterusan pasca Ramadhan dan kita terus terusan berjauhan daripada petunjuk Allah lantaran tidak memenuhi prasyarat puasa.

Tajuk ini telah saya janjikan untuk menyinggungnya selepas puasa yang lalu, tetapi oleh kesibukan yang mengongkong tatkala mahu berundur dari dunia perkhidmatan kerana ingin membereskan segala sisa-sisa tugas sebelum menyerahkan kepada pengganti, tambahan pula urusan domestik yang tidak kurang banyaknya, inilah kesempatan pertama sekembali dari Bumi Ambia pada 1 Januari 2010 lalu. Isu ini belum habis - ikutilah selanjutnya. Fikir-fikirkanlah secara lebih berat dan berkontemplasilah lebih serius daripada biasa. Kerana kalau mahu jadi Muslim kita perlu menjadi manusia luarbiasa dan tidak berada dalam arus perdana yang mandom dan keliru sampai bila-bila. Wassalam.

0 comments: