Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

RAMADHAN AL MUBARAK : TADARRUS VS TERDERRAS

Bulan Ramadhan setiap tahun tampak hebat dan meriah. Hebat dan meriah amat karena masjid, surau, madrasah dan musolla meremut dipenuhi para pengunjung lama dan baru. Pasar-pasar Ramadhan tumbuh bagai cendawan untuk menyemarakkan makan dan minum. Justeru bulan Ramadhan al-Mubarak bertukar menjadi Ramadhan al-Murtabak.

Sekilas pandang, memang seronok melihat perubahan semangat masyarakat dalam bulan puasa. Masing-masing nampak bersungguh mahu menghayati keindahan Ramadhan supaya ia membawa perubahan dalaman yang kekal membekas dalam hati nurani, membibitkan satu transformasi jiwa yang benar-benar merobah syakhsiyah Jahiliyah kepada keperibadian Islamiyah yang dikehendaki Allah swt. 

Dua kilas pandang kita lihat apa? Kita akan dapati sebenarnya tiada apa-apa perubahan besar yang berlaku dalam bulan Ramadhan tahun ini. Ia adalah seperti biasa berlaku dalam tahun-tahun yang lalu. Minggu-minggu pertama dan kedua puasa sahaja masjid dan surau penuh meremut tak cukup tempat. Seolah-olah macam kelkatu keluar daripada sarang menerkam sinaran lampu. Kemudian daripada itu satu demi satu gugur ke lantai letih tidak bermaya, lalu syahid[?]dan tidak muncul-muncul lagi ke masjid dan surau. Yang tinggal berterawih hanyalah makmum-makmum regular dicampurlah sedikit bilangan peserta baru yang tegar [belum jadi dropouts]. Fahaman dan sikap masyarakat terhadap solat jamaah nampaknya seolah-olah hidup seketika Ramadhan saja. Itupun sekejap waktu. Paling lama 2 minggu ke 2.5 minggu. Seolah-olah pula solat jamaah sunat terawih ini saja yang mesti dipulun setiap tahun untuk mendapat pahala daripada Allah, tetapi meninggalkan solat jamaah fardhu yang sepatutnya diberatkan dan diutamakan, selain di top-up dengan solat jamaah terawih. Sikap membuang dan mengabaikan solat jamaah fardhu berlaku berleluasa dalam masyarakat dan akan terus berlaku saban tahun tanpa ada sebarang perubahan yang ketara selepas Ramadhan berlalu. Dalam bahasa yang mudah, inilah yang dikatakan manusia yang tidak pandai berniaga dengan Allah. Mereka ambil dan buat perkara atau amalan yang sunnat beria-ria macam wajib, tetapi melemparkan amalan fardhu ke taraf sunnat atau sifar [0]- satu pelaburan yang toksik untuk akhirat. 

Majlis tadarrus memanglah bagus dihidupkan sama ada di rumah atau masjid/surau. Gelanggang tadarrus seharusnya menjadi tempat membaca dan sekaligus menjiwai makna al Quran. Tadarrus diikuti Tadabbur al Quran adalah satu pendekatan penting untuk meneliti dam memahami Quran bagi memahami arahan-arahan Allah kepada kita. Quran memang ditanzilkan untuk dibaca, akan tetapi bukan untuk dibaca sahaja, malah untuk difahami kandungannya supaya dapat mencorak dan mewarnai peribadi Muslim yang totok patuh kepada arahan Allah dan Rasul. Ia bukan bahan sayembara atau penglipur lara untuk sekadar membuai ulit rasa. Ia bukan seperti kitab Mahabratha dan Veda. Tadarrus bukanlah Terderras dengan speed limit mengalahkan Hiway PLUS. Bukanlah tujuan tadarrus untuk masuk explore race hendak bersaing siapa habis dulu dan buat majlis khatam Quran cepat. Sekiranya beginilah gamaknya, sampai bila-bilapun kita tidak mencapai apa-apa natijah yang positif. Para alim berkata: ini laksana kita mengutip angka-angka kosong [0].Walau banyak mana sekalipun angka 0, ia tetap bernilai 0 dan tidak mempunyai makna, kecuali ada nombor lain di depan atau belakangnya.

Mahu jadi Graduan Ramadhan yang berjaya? Kalau itu objektifnya, sikap dan mind set terhadap Ramadhan mesti dan perlu diubah segera, sekarang juga. Baki Ramadhan tinggal 3 minggu lagi. Jika mahu graduat dengan CGPa >3.00 - 4.00, kena buat perkara-perkara berikut:-

  • betulkan Niat = berpuasa hanyasanya karena Allah; 
  • solat fardhu berjamaah ditunaikan secara tetap tanpa culas lagi dalam dan luar bulan Ramadhan; 
  • baca al Quran secara tartil sepanjang hayat tidak kira bulan apa. Dan ambil saranan dan arahan Allah dengan penuh santun untuk dihayati dan dijelmakan dalam amalan kehidupan harian sehingga dipanggil mengadap Allah swt.
  • terus-terusan belajar membaca al Quran daripada guru yang faqih supaya mutu bacaan meningkat naik dari masa ke semasa. Jangan tunggu untuk baca dalam bulatan tadarrus untuk membetulkan sebutan makhraj & tajwid karena ia mungkin menggencatkan kelancaran kumpulan, walaupun speed nya sederhana. Maknanya, kita kena siap siaga terlebih dulu sebelum masuk bulatan atau gelanggang. Seandainya persediaan ini dibuat dahulu, barulah cantik perjalanan tadarrus.
  • muhasabah dan betulkan fikrah Islam yang tertanam dalam minda yang bercampur aduk dengan ideologi jahiliyah. Pemurnian fikrah Islam dalam minda adalah penting karena ia adalah enjin dalam menentukan setiap geraklaku insan sama ada menjadi ibadah yang diterima Allah atau tertolak lantaran terdapatnya karat-karat jahiliyah yang masih tebal dan pekat menyelaputi hati. Pemurnian fikrah boleh dilasanakan dengan membawa diri menekuni bahan-bahan fikrah Islam yang diajar oleh Murrobi yang faqih lagi muktabar dalam bidang tasawur Islam. 
  • mencari uruf yang kondusif serta kawan, taulan dan sahabat yang ada fikrah Islam yang mantap untuk dikongsi berbicara dan bertukar-tukar fikiran bagi membangunkan kembali kesirnaan fahaman Islam yang rosak dan bonsai yang dikemetotkan oleh agen-agen  syaitan.
Penjernihan jiwa serta pemurnian amal ibadah perlu berlaku serentak. Ia berlaku dalam bulan Ramadhan dan mesti dilakukan sepanjang hayat bagi menjaga keaslian iman, karena iman bisa bertambah dan bisa berkurang. Ia juga tamsil pakaian yang akan lusuh dan pudar lantaran basuhan yang acapkali, apatah lagi jika dijilat garing oleh panahan mentari.

Wallahua'lam.

6 Ogos 2011

3 comments:

Assalamualaikum,
Apa pandangan ustaz sama ada kita boleh joint kumpulan terderras yang akan dilaksanakan dalam beberapa jam sahaja. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan & perasmian vip, kemudian hadirin dibahagikan sebanyak 30 kumpulan dengan 10 orang/kumpulan. Setelah tamat majlis bacaan Al-Quran, diadakan majlis khatam dan penyampaian cenderahati. Nampaknya objektif seperti menjadi adat/tradisi/program bulan Ramadhan kepada sesetengah agensi. Merujuk catatan ustaz, para ulama mengatakan kita umpama mengutip angka kosong. Jika begitu rasanya lebih baik duduk rumah bersama keluarga dan beribadat sendirian. Tetapi jika tidak hadir tanpa sebab mungkin kita dikatakan tidak bermasyarakat atau tidak bekerjasama dalam membantu rakan-rakan yang terpaksa menjayakan program tersebut. Boleh ustaz beri pandangan? Sekian terima kasih.

 

wa'alaikumsalam Pn Rohani,

Nampaknya macam terderasss sungguh! W/bagaimanapun kita kena faham realiti tempat kita tinggal serta masyarakatnya. Sekadar nak ambil hati dan tunjuk kebersamaan paling minimum dgn ahli masyarakat oklah. Tapi kita tidak boleh anggap itu sbg betul caranya beribadat. Quran adalah kalamullah. Mesti tahu adab melayaninya = membaca, memahami, menghayati, melaksanakan dlm kehidupan pribadi/keluarga/masyarakat/negara.
Justru, bacalah dlm kapasiti pribadi sepanjang masa dan tadabbur maknanya sampai khatam = khatam bacaan serta makna. Setiap arahan dan larangan Allah hendaklah kita ambil serius, jangan main-main. Sambil itu betulkan bacaan dari segi makhraj & tajwid dgn guru bersanad kalau ada. Dan berdoalah kpd Allah agar jiwa kita ditazkiyah/bersih supaya mudah menerima segala ajaran & kandungan al Quran serta bersungguh-sungguh pd mengamalkannya. wallahua'lam. Salam utk seisi keluarga dan maaf atas apa-apa kesilapan yg berlaku. Semoga Allah mengampuni dan merahmati kita semua muslimin & muslimat. Ameen.

 

Amin..

Mcm tulis ni sambil dok renung ampaian je..