Malam qadr adalah malam yang nilainya lebih baik daripada 1000 bulan. Apa saja perlakuan yang dilakukan pada malam tersebut seperti membaca al Quran, mengingati Allah dsbnya adalah lebih baik daripada beraksi 1000 bulan tanpa malam Qadr.
Pada malam-malam 10 terakhir Ramadhan Rasulullah saw memaksa dirinya supaya lebih gigih beribadah kepada Allah berbanding masa-masa lain.[HR Muslim].
Rasulullah saw bersabda: "Barangsiapa bersolat malam Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaranNYA, akan diampuni segala dosanya yang lalu." [HR Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah].
Berikut adalah beberapa tip tentang perkara-perkara yang bisa dibuat sebelum, semasa dan selepas malam Qadr:-
- Ambil cuti daripada segala pekerjaan, pejabat atau apa saja dalam kehidupan.Cuti kali ini pergunakan untuk tumpukan beribadat dan mensyukuri Allah. Kalau tak dapat cuti 10 hari, ambillah cuti sekadar yang boleh diluluskan. Dengan cara ini anda akan berupaya berjaga malam untuk melakukan lebih ibadah daripada biasa, tanpa khuatir bagi melakukan kerja pagi esok dalam keadaan kurang cergas. Hal ini juga akan membantu anda beriktikaf.
- Amalan Rasulullah saw dalam 10 hari terakhir Ramadhan adalah beriktikaf dalam masjid. Semasa iktikaf kita boleh lakukan berbagai macam zikir [mengingati Allah] = solat sunat, membaca & mentadabbur serta mengkaji al Quran. Kalau tak dapat iktikaf lama-lama, iktikaf dalam tempoh masa yang pendekpun memadai = 1 malam/1hari atau beberapa hari/malam saja dimulakan sebagai satu latihan.
- Berdoa' secara khusus memohon keampunan daripada Allah; " Allahumma innaka 'afuwwun tuhibbul 'afwa fa' fu 'annii." Apabila berdoa' biarlah panjang dan mendalam serta menggegar qalbu. Ini dilakukan semasa bangun satu jam sebelum sahur. Pilihlah doa' yang ma'thur atau berdoa' dalam bahasa yang difahami. Sebaiknya hafazlah satu doa' pada setiap malam dan bacalah doa' yang berlainan, walaupun satu baris. Doa'-doa' ini boleh dibaca juga di pejabat, semasa memandu atau menunggu giliran menunaikan hajat sesuatu.
- Membaca Al Quran sepanjang masa dan kesempatan yang ada khususnya selepas solat fardhu.
- Mentadabbur makna al Quran dengan cara membaca terjemahan dan juga meneliti kitab tafsir yang muktabar. Segala pengajaran dan arahan Allah dalam Quran hendaklah dimuhasabah terhadap gaya hidup yang telah dilalui selama ini. Buat perubahan dan penambahbaikan agar menjadi lebih mulia kehidupan selepas Ramadhan sehinggalah dijemput mengadap Allah swt.
- Hapuskan dosa-dosa dengan bersolat lebih lama, tertib, tenggelam dalam doa' dan bacaan yang difahami makna. Justeru semak kembali surah-surah yang biasa kita baca dan fahami maknanya untuk dibawa dalam solat supaya kali ini lebih dijiwai dan bermakna. Inilah pendekatan untuk membina tumpuan dan khusyuk dalam solat di dalam & luar Ramadhan.
- Buat senarai doa' dan susun apakah kandungan permohonan yang akan kita panjatkan kepada Allah sama ada kecil atau besar, duniawi ataupun ukhrawi - karena Allah sangat suka mendengar dan menerima doa. Selain berdoa', fikirkanlah apakah tindakan yang telah diambil untuk mendapatkan apa yang didoa'kan.
- Muhasabah diri dengan menyoal diri sendiri soalan-soalan yang perlu ditanya. Misalnya : di manakah aku kini dan ke arah manakah aku sedang tuju? Kalau sedang menuju kepada kebaikan dan ketaatan, bersyukurlah. Jika ke arah kemaksiatan dan kemurkaan Allah, berasa malulah dan bertaubat bersungguh-sungguh.
- Ajak dan bawa ahli keluarga ke masjid atau surau untuk berterawih, agar ini menjadi tarbiyah ke atas anak-anak yang belum lekat solat berjamaah karena kita [ibubapa] tak sempat @ sibuk semacam bekerja.
- Bacalah sebuah kitab/buku berkaitan kehidupan/sirah Rasulullah saw. Ini akan mencetuskan dan membina kecintaan kita kepada baginda dan Deen Islam yang dibawanya.
- Merancang untuk tahun depan sebaik saja evaluasi dibuat ke atas diri. Inilah masanya untuk berkontemplasi dan merawat kelukaan jiwa, yakni pada malam-malam menanti Lailatul Qadr.
- Sediakan senarai kerja kena buat dan lakukan mengikut keutamaan tanpa terjebak dalam percakapan dan sembang-sembang kosong malam Qadr lantaran tenggelam sakan dalam suasana buat kuih, lemang dan ketupat serta menghiasi rumah sebab teruja benar hendak raya.
Ayuh! Datuk, nenek, abang, kakak, adik, rakan dan taulan - jom beriktikaf dan beribadah sungguh-sungguh sambil menanti malam qadr, satu tawaran besar daripada Allah yang mengatasi mana-mana tawaran bonanza duniawi. Tapi awas kalau ada sesiapa yang tersasar melakukan maksiat dan mungkar pada malam Qadr, penalti dosanya juga adalah melebihi 1000 bulan nilainya.
Wallahua'lam.
Nukilan: Abdul Malik Mujahid
Alihbahasa: WasH
22 Ogos 2011
0 comments:
Post a Comment