Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

HIDUP INI ADA BANYAK TANDA TANYA & PERSOALAN

Dalam meranjau kehidupan, manusia sering diganggu oleh macam-macam tanda tanya dan persoalan yang berat lagi kritikal. Kalau persoalan dan tanda tanya tidak pernah berlaku dalam kepala  dan benak manusia, itu tandanya otak dan saraf neuro mengalami masalah. Manusia seawal zaman kehidupannya, merasa takjub melihat alam sekeliling mereka. Merasai gerun dan takut kepada benda-benda alamiah, malah terasa aneh dan hairan mentafsir kejadian alam dalam lingkungan mereka. Justeru manusia menjadi pagan, animistik dan mencipta berhala daripada pengalaman mereka hidup bersama alam serta menterjemah alam dengan segala kekuatan akal cebisan. 

Proses menta'kul berdasarkan pendekatan yang lebih berdisiplin dan saintifik terus berlangsung bagi mengurai dan meleraikan kekusutan persoalan makna kehidupan dan ketuhanan. Proses pencarian makna diri, makna hidup dan makna mati terus berlangsung. Dalam kekosongan jiwa dan kepenuhan perut, manusia terus mencari makna wujud. Bermula dari lembah hingga ke menara gading. Bergulung-gulung ijazah diterima tanda pencapaian akademik yang tinggi, namun tidak pula dapat mengenal Tuhan. Walaupun Ia terlalu dekat dengan jasadnya namun tidak terlihat jua. 

Begitulah rentetan hidup, semasa bayi dan kemudian menjadi anak kecil dalam kendongan kasih ibu dan membesar sebab jasa ayah yang bekerja keras mencari sesuap nasi. Pagi bermula sampai ke malam bergelut dengan kerja sampai lupa makan dan minum menerjah maya mengorek rezeki di celah-celah belukar kota. Supaya mulut yang sedang merah ternganga dapat disusui dan diberi suapan nasi agar berkat membentuk jasad dan kudrat mental, agar bisa pandai mengaji dan mengenali wujud diri dan wujud Tuhan. Ke manakah kewarasan itu hilang dalam genggaman segulung kertas ijazah yang kononnya menandakan kepandaian dan kedewasaan? Sungguh banyak tanda tanya dalam hidup ini. Para Nabi dan Rasul mengajar manusia mengenali dan mencintai Allah lebih dahulu sebelum mencintai manusia. Karena Dialah sumber kehidupan, cinta dan kasih sayang.


Tanpa Allah tiada wujud bibit cinta dan sebarang rasa kasih sayang di antara insan. Benih cinta adalah suatu anugerah besar daripada Sang Pencipta untuk disemarakkan pada tempatnya yang betul. Bukan ditabur-taburan di setiap lorong dan denai laluan asal terjumpa lembaga manusia walaupun belum pernah dikenali watak dan budinya. Hinggakan ibu ayah serta keluarga diketepikan  lantaran jantung hati gunung payung diutamakan!  Para Ambia tidak menganjur demikian. Ia mengajar manusia mengasihi dan mencintai ibu ayah sesuai dengan martabat pengorbanan dan keikhlasan mereka menggenggam bara kehidupan untuk menghidupkan si anak kecil yang lemah supaya gagah berdiri mendepani dunia yang sifatnya menipu dan durjana bagi mereka yang tak kenal tempat kembali. 

Dalam meniti kehidupan yang titiannya bercabang, si anak kecil yang sudah bertukar dewasa menggilai lambaian dunia yang tidak seberapa nilainya. Malah terpegun ia karena singkapan kilauan permata palsu bersepah di mana-mana. Ramailah si anak muda tertewas lantaran gigitan keras bernafsu juak-juak syaitani yang sememangnya bekerja gigih tanpa noktah, tanpa rasa penat dan tiada pernah rasa puas, jika belum tersungkur tertiarap tiang panji yang membawa kalimat syahadah. Maka ramailah manusia yang cerdik pandir zaman jahiliyah moden ini tidak pandai menyantuni dirinya sendiri vis-a-vis Tuhannya, ibu ayahnya, gurunya, adik beradiknya, rakan taulannya hatta masyarakatnya. Inilah yang digelar si cerdik akademik tapi pandir agama.

Marilah berfikir sejenak, agar pandailah kita menyantuni semua yang ada di sekeliling kita, sama ada yang ghaib ataupun nyata.

Wallahua'lam.

16 Julai 2011

PERIHAL MAKMUM TERTIDUR dalam KHUTBAH JUMAAT

Semalam Jumaat 08 Julai 2011, seperti biasa masjid-masjid dipenuhi para makmum untuk solat Jumaat. Sebelum solat, sesi tazkirah berjalan dengan tajuk khusus memperingati jamaah tentang bahaya kehilangan permata berharga iaitu iman dan taqwa. Iman yang semakin larut dan taqwa yang semakin mengecut serta maksiat yang semakin meningkat, mengundang murka Allah. Kemurkaan Allah apabila berlaku, manusia tidak ada tempat bergantung harap dan berlindung daripada ujian azab kelaparan dan ketakutan karena kekurangan makanan dan kekacauan sosial, kecuali dengan kerahmatan dan belas kasihan Allah.

Sesi khutbah pun bermula dengan salam daripada khatib dengan penuh semangat. Beliau melantunkan suara secara teratur dan sedikit demi sedikit menekan dan melantangkan suaranya. Deru suaranya mengajak para jamaah bertaqwa kepada Allah dan mentaati sunnah Rasulullah saw. Para tetamu Allah diam sepi mendengar seruan klise ini. Masa berjalan dan terdapat beberapa orang makmum lentuk terkulai macam dahan dan ranting patah terkena angin kencang. Ada yang liut meraban dan mata terpaku ke karpet dan lantai, kuyu dan layu. Kelantangan suara khatib menderu memecah udara ruang masjid, sesekali menaik dan menurun laksana gemersik gendang perang meminta lasykar bersedia menahan serangan musuh. Namun keenakan tidur mengatasi segala-gala. Kini ramai para makmum menidurkan diri terlena. Ada yang berdengkur dan ada yang meleleh air liur basi karena tersangat syok mengulit rasa fana. 

Yang peliknya terlihat yang tersembul mata dan terdongak kepala kepada mimbar yang sedang berapi-api mengajak manusia bertaqwa dan berbuat kebaikan serta menjaga kelangsungan iman ialah pak-pak hitam Afrika dan Bangla. Mungkinkah mereka ini sedang fokus untuk memahami apa yang sedang dibicarakan khatib. Dan ini adalah sebaik-baik tempat dan cara untuk mempelajari Bahasa Melayu, selain menikmati isi kandungan khutbah yang tidak dipedulikan sebahagian besar makmum sawo mateng. 

Lazimnya setiap kali khutbah hendak dimulakan, muazzin akan  berpesan kepada sekalian jamaah supaya apabila khatib sedang membaca khutbah, janganlah bercakap-cakap sesama makmum, ataupun berkata diam kepada orang yang berbuat bising, karena dikhuatiri lagho dan  hilang pahala  solat Jumaat. Pokok persoalannya: apakah perbuatan tidur hingga lena dan mengeluarkan air cola basi itu tidak lagho dan hilang pahala solat Jumaat? Perkara ini mesti disebut dan diberi pencerahan kepada semua tetamu Allah dalam masjid bahawa, solat Jumaat adalah program mingguan untuk mentarbiyah manusia memperingati halatuju kehidupan yang dipandu taqwa. Ia bukan program tidur-tiduran @ sengguk-senggukan. Sesiapa dengan sengaja tidur atau sebaliknya tak sengajapun tertidur, pahala Jumaatnya binasa = gunduk? Pihak Sang Khatib pun kena ubah gaya penyampaiannya, daripada membaca khutbah kepada berkhutbah. Membaca teks khutbah semata-mata tak ada ruh tarbawi. Ia dirasai kosong dan lompong macam perut masuk angin karena banyak makan ubikayu@singkong. Tiada tembungan mata, suara tinggi  dan sergahan khatib yang tidak disesuaikan  dengan intonasi serta volume sistem pembesar suara, kadang-kadang menjadi bingit pada telinga dan tak lalu untuk didengar dan dihayati. Apatah lagi PA system yang macam orang berbisik dan suara yang kembang dan tenggelam timbul memang mengulit mata menjadi layu. Tambahan pula bagi para makmum yang datang awal ke masjid dan sudah pekena dan tibai nasi beriani ayam madu! Kemahiran khatib dalam aspek pengucapan awam nampaknya sangat penting untuk mencapai impak maksimum bagi setiap mesej yang hendak disampaikan. Sang khatib ialah murrobi masyarakat. Ia perlu meningkatkan tahap  kerabbaniannya dengan amalan batin dan disokong dengan kekuatan dan ketinggian ilmu, barulah akal dan minda serta hati makmum dapat ditambat dan dikuasai bagi mengajak mereka berfikir secara serius topik dan hujah yang dilontarkan. Bukan sekadar pergi ke masjid untuk lena tersandar di tiang-tiang seri atau tersengguk di celah-celah manusia lain dan pulang dengan kekosongan minda dan jiwa yang tak tersentuh, walaupun tak pernah tinggal solat Jumaat!

Wahai para pengunjung masjid Hari Jumaat, marilah sama-sama kita perbaiki amalan solat dan menjadi Muslim yang lebih baik setiap minggu berlalu. Menjadi semakin hebat kepekaan jiwa untuk membela Islam dan memberi manfaat kepada diri dan keluarga serta masyarakat sekeliling di mana sahaja kita berada. Semoga Insyallah kita berjaya di dunia dan akhirat.

Wallahua'alam.

09 Julai 2011

BERNIAGA DENGAN ALLAH

Setiap kali udara disedut dan dihembus, kita berhutang kepada Allah, sang pencipta agung alam raya. Semakin lama hidup dan terus menerus menggunakan segala kebaikan dan kemudahan yang wujud dalam alam ini, semakin kita terbelenggu dengan hutang yang amat banyak kepada Allah dan tidak mungkin dapat dilunaskan dalam hayat bekerja sebelum bersara. Orang Jepun kata: "a working man is a salary man on loan ...oftenly man has more loan than salary.." Orang Jepun menggelarkan manusia jenis ini sebagai sarariman ron. Manusia, macam mana kuat sekalipun bertungkus lumus bekerja tak akan jadi maha kaya seperti Allah swt. Sekuat manapun memiliki kekuasaan fizikal dan militer, tidak akan menyamai kegagahan Allah dengan segala bala tenteranya iaitu seluruh alam ini! Dan al-maut adalah tenteranya yang paling ditakuti oleh sekalian makhluk.

Menyedari kekerdilan dan betapa bonsainya keupayaan serta kekuasaan manusiawi dan betapa pula kekuatan dan kekuasaan yang kerdil itupun adalah pinjaman daripada Allah swt; mengapa manusia masih tidak sedar diri mahu bergantung harap kepada sesama manusia, sedangkan manusia yang diharapkan pertolongannya itupun tidak berdaya menahan kematian dirinya sendiri apabila maut menyapa. Allah bertanya kepada manusia, "wahai orang-orang yang beriman. Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada  Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Alllah dengan hartabenda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui [hakikat sebenar]." As- Saff:10.


Berniaga dengan Allah dijamin tidak rugi berbanding membuat urusniaga dan pelaburan dengan mana-mana institusi kewangan peringkat lokal atau bertaraf antarabangsa. Laba dan rugi sentiasa menjadi risiko sama ada rendah atau tinggi bergantung kepada jenis perniagaan. Transaksi dengan Allah hanya memerlukan aset iman, g-had menegakkan agama dengan rezki yang Allah beri serta diri fizikal. Ketiga-tiga komponen ini bila dilakukan dengan ikhlas akan menjanjikan keselamatan daripada neraka dengan mendapat balasan syurga. Balasan syurga adalah tidak terbanding [incomparable] dengan mana-mana profit yang berupa dividen atau hadiah bonanza kebendaan. Ini adalah karena ia merupakan nikmat yang bersifat kekal dan belum pernah dilihat atau dirasai oleh manusia di muka bumi. 


Allah menyeru manusia supaya lisan atau kata-kata yang juga merupakan aset yang ada pada manusia tidak disia-siakan dengan menggunakan mulut menghamburkan perkataan yang tidak mendatangkan faedah, malah keburukan; akan tetapi menjadikan lidah basah dengan ajakan serta panggilan menuju kebenaran agama Allah - ...dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada [mengEsakan dan mematuhi] perintah Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang salih...Fussilat :33. Ayat ini semacam mengajak semua manusia beriman membuat kerja pemasaran menjual produk terhebat dan terbaik [Islam] kepada manusia yang keliru mencari Tuhan sebenar, tanpa tarikh luput untuk dipakai dan dihayati sampai kedatangan hari kiamat. Produk ini bila dijaja dan dibeli orang, profitnya adalah 700 kali ganda, melebihi mana-mana dividen atau pulangan bank-bank kelolaan manusia - "...bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji..."al Baqarah :261.


Nah! bukankah ia lebih hebat daripada segala bandingan keuntungan mega duniawi. Bagi yang seronok buat urusniaga MLM bolehlah cuba yang ini sebagai tambahan aktiviti, supaya banyak pahala yang bisa dikaut dan yang pentingnya mendapat mardhotillah > tiket ke syurgawi Allah swt. 


Jom! buat kerja dakwah sampai ke hujung hayat. Akan tetapi sebelum terjun dalam medan dakwah untuk menyebarkan risalah Allah, proses tarbiyah bagi membetul dan meluruskan aqidah perlu berlaku. Karat-karat jahiliyah yang menutupi jiwa dan menahan hidayah Allah mesti dikikis agar hati kembali menjadi wadah bersih untuk menerima ilmu dan petunjuk kepada mengenali kebenaran sebagai kebenaran dan kebatilan sebagai kebatilan. Fikrah atau pemikiran Islam yang bersih adalah wajib bagi melahirkan ibadah yang sahih untuk Allah semata-mata. Tabiat tunduk dengan kepatuhan yang tinggi terhadap Allah adalah proses kejiwaan yang berterusan sampai ke liang lahad. Tanpa kelangsungan proses tarbiyah untuk membersih dan menjana jiwa agama yang sentiasa peka dan hidup dalam qalbu, tidak mungkin perjalanan hayat seorang Muslim akan terselamat dan terpelihara daripada serangan serta tipuan musuh yang nyata iaitu syaitan dari kalangan jin dan manusia. Justeru, manusia tetap tergadai dirinya dengan hutang yang tersangat berat kepada Allah swt, kecuali mereka yang sentiasa berawas setiap gerak gerinya [tawadhu'], bermuhasabah diri untuk menjaga taqwa, memohon ampun atas kesilapan dan dosa zahir dan batin hatta merindui pertemuan dengan Sang Pencipta bagi meleraikan segala  kekusutan duniawi yang membelitnya. Barulah tercipta kebahagiaan dan kerehatan yang abadi dari segala duka nestapa dan kejelikan dunia. 


Wallahua'lam.


07 Julai 2011

SAYIDINA 'ALI: APA ITU TAQWA?

Para sahabat bertanya Sayidina 'Ali tentang taqwa. Beliau memandang wajah sahabat lalu berkata, " Taqwa itu ada 4 unsur :- 

1. rasa khauf [takut] kepada Allah swt.
2. rasa redha dengan pemberian Allah.
3. mengamalkan sunnah Rasulullah saw dalam kehidupan.
4. bersiap sedia untuk bertemu dengan Allah swt.


Perihal dan perkataan taqwa ini sering didengar dan disebut dalam khutbah Jumaat saban minggu. Ia juga dicakap oleh para murobbi dan da'ie setiap kali berhadapan dengan sasaran dakwahnya. Bila difikir-fikir dan direnung-renung kembali - timbul persoalan dalam benak fikiran: apakah khalayak ramai memahami secara serius dan mendalam akan perkataan taqwa ini. Atau mereka sudah jadi lali dan terbius tanpa merasai apa-apa lagi karena selalu sangat dengar perkataan itu disebut-sebut hingga akhirnya maknanya menjadi longgar dan biasa, tiada menyentuh hati. 


Kayu ukur mudah untuk menilai diri sendiri sama ada bertaqwa atau tidak, mudah saja. Ambil saja mana-mana perbuatan  dan kegiatan yang kita lakukan    harian, mingguan, bulanan, tahunan atau bermusim. Gunakan scanner al- Quran dan as-Sunnah untuk buat imbasan ke atas perlakuan/aktiviti yang kita laksanakan; menepati syariat atau melanggarnya. Kalau imbasan itu menunjukkan kita tidak syariah compliance, apakah kita rasa bersalah dan berdosa malah gementar karena takut kepada Allah. Kalau tak rasa apa-apapun, tanda hati sudah kematu dan menjadi pak turut nafsu dan syaitan. 


Dalam kehidupan yang serba mengancam dengan kemahuan dan kehendak yang tinggi, mahu dilihat hebat bergaya serta dihormati orang; apakah kita redha dengan apa yang telah Allah anugerahkan sama ada sedikit atau banyak? Bersyukur dan terus redha menyembah dan mentaati perintah Allah sambil memohon keampunan dan hidayah untuk terus patuh dalam lingkungan yang dibelit dengan rencam masalah dan kesulitan. Malah terus sentiasa menyedari bahawa dunia adalah tempat pergelutan antara nafsu dan iman - medan ujian amal baik atau jahat.


Dalam meranjau kehidupan yang rencam duniawi ini, bagaimana dengan amalan sunnah Rasulullah saw, telah cuba amal dan terapkan dalam tingkahlaku harian dalam semua sudut dan juzuk kehidupan atau masih pilih-pilih yang mana suka saja? Apakah telah menjadi malakah@tabiat yang mantap menguasai hati dan jiwa dengan penuh rasa cinta dan keikhlasan karena mahabbah kepada Nabi saw, bukan gara-gara mahu pancing-pancingan, tunjuk-tunjukan dan tonjol-tonjolan mahu orang melihat kita sebagai @#$ supaya dapat manfaat duniawi.


Bercakap tentang persediaan untuk bertemu Allah, alamak ... ramailah termasuk diri penulis sendiri mengalami masalah. Kadang-kadang ingat tapi dalam banyak keadaan terlupa. Macamana hendak bagi ingat sentiasa dan istiqamah melihat akhirat dan tempat kembali ke sana sebagai matlamat yang mutlak dalam kehidupan dan tidak bisa diteledorkan oleh agen-agen syaitani.  Ingatkah kita kepada surah at- Takathur tentang bahaya belitan harta duniawi yang melalaikan dan menipu? Apakah harta, anak isteri, kebunan dan kenderaan yang dikurniakan Allah dipergunakan untuk tujuan mendapat redha Allah selain sambil menikmatinya sekadar menanti kepulangan ke kampung abadi. Tahukah kita? Kalau tahu takpa. Kalau tak tahu, buatlah sesuatu supaya tahu, sebelum diberitahu oleh penguasa akhirat di Padang Mahsyar.


Padang Mahsyar bukan sebarang padang. Bukan Padang Besar, bukan Padang Matsirat, bukan pula Padang Golf ataupun Padang Bolasepak??? Jangan risau tentang padang ini, yang perlu dikhuatiri adalah diri dan amalan kita - sudahkah bersedia dengan bekalan iman salimah, ibadah yang sohih, amalan yang makruf serta cinta yang tidak pernah malap untuk mencapai mardhotillah, walaupun perit dan jerih menongkah kehidupan.


Wallahu'alam.


1 Julai 2011