Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

RAWATAN DAN PENAWAR BAGI MASYARAKAT JAHILIYAH MODEN


Pagi tadi kami berseminar dengan satu tajuk bicara yang penting " PERKAHWINAN SEBAGAI JAMBATAN MEMBINA BAITUL MUSLIM@BAITUL DAKWAH. Kenapa persoalan ini penting sangat tegur seorang rakan. Jawab saya kenapa tidak, sebab sekarang ini manusia asyik menikah kahwin tak henti-henti tak kira masa cuti sekolah atau tidak. Dengan hantaran ribu-ribuan dan berkenduri sakan di rumah kediaman sendiri, hotel, taman, dewan-dewan orang ramai/sekolah serta masjid dan serba mak nenek tempat lain yang mereka fikirkan hendak buat; tetapi, matlamat illek. Maksud saya matlamat yang tinggi dan mulia yang dianjurkan oleh Rasulullah saw = iaitu matlamat Rabbani yang bertujuan untuk bukan saja mengekalkan zuriat manusia di muka bumi ini, malah yang terutama sekali = menjadikan setiap keluarga nuklear @ keluarga baru sebagai Baitul Muslim sejati yang menggendong peranan dan pertanggungjawaban dakwah bagi melahirkan zuriat yang mempunyai kemahiran hati, selain kemahiran-kemahiran hidup lainnya. 

Perceraian dalam kalangan masyarakat Islam Malaysia pada 2008 = +22,000 orang meningkat kepada 27,116 orang pada tahun 2009. Ikatan dan tautan perkahwinan terongkai mudah dengan sekali lafaz cerai sama ada secara zahir atau maya [sms] seolah-olah perkahwinan itu hanya macam mainan pondok-pondok semasa zaman kanak-kanak. Bila rasa bosan dan malas hendak main, boleh saja roboh-robohkan pondok yang pada mulanya dibina dengan penuh ceria dan semangat kerjasama. 

Setiap 13 minit satu perceraian berlaku berbanding setiap 17 minit satu penagih baru muncul di bawah jambatan dan lorong jalanan. Masyarakat terus ditambah gawat dengan kehadiran bayi-bayi segera daripada kilang-kilang manusia tak berlesen daripada Pejabat Agama/Kadi. Kemelut demi kemelut Allah timpakan ke atas manusia yang tak ambil peduli tentang pembaikan diri dan sosialnya. Masyarakat terus cair meninggalkan syariat Allah dan Allah tambahkan lagi kegawatan dengan himpitan masalah dan kegilaan baru yang tidak mampu otak manusia menyelesaikannya. Seolah-olah Allah swt mencabar manusia : "Wahai manusia, tunjukkanlah kehebatan aqal cebisan mu yang kamu anggap hebat itu untuk merongkai masalah ciptaan tangan-tangan kamu yang zalim." Sedangkan selagi manusia melarikan diri daripada mengambil Islam sebagai jalan penyelesaian, selagi terbelit dan serabut ia terbungkus dengan sampah sarap dan najis masalah lama yang tak terselesai. Apa yang manusia sedang buat sekarang adalah untuk memotong ranting-ranting dan dahan-dahan busuk maksiat yang membiak galak, tetapi akar tunjang pokok serta batang yang sudah memburuk busuk menyumbang kepada kerosakan fabrik masyarakat tidak diendahkan, malah dipelihara dengan penuh yakin agar dapat mempertahankan kelangsungan sebuah masyarakat yang aman sejahtera, walhal, pokok yang  akarnya sedang mereput itu, tidak berdaya menyumbang kebaikan lagi. 

Justeru, kembalilah kepada kaedah bagaimana Rasulullah saw memperbaiki keruntuhan dan kebejatan masyarakat Jahiliyah Makkah. Kaedah itu berjaya menyelamatkan mereka dari tebing neraka kepada tingkat kemuliaan yang tinggi. Pendekatan yang Nabi gunakan hanya satu : ajak kepada penyembahan kepada Allah yang Esa dan memurnikan aqidah. Ikuti proses penyembuhan jiwa dan hati dengan mengambil seluruh isi Quran untuk dipraktikkan dalam kehidupan. Inilah proses pembaikan hati yang terbukti menyelamatkan manusia jahiliyah Quraisy 1432 tahun yang lampau; dan inilah juga penawar dan pendekatan yang mesti dipakai untuk merawat penyakit masyarakat jahiliyah  sejagat dalam abad ini, jika ingin kepada salvation dunia dan akhirat. Ketahuilah tidak ada jalan lain yang lebih manjur!


Bagaimana dengan sikap dan watak pasangan  yang baru membina keluarga asas, termasuk juga yang sudah veteran melayari bahtera rumah tangga? Apakah persoalan Baitul Muslim berada dalam pemikiran  dan kefahaman mereka? Apakah mereka prihatin dengan anak-anak yang mereka lahirkan dan memastikan iman salimah bersemi dalam jiwa zuriat mereka.   Anak-anak  mengenali Allah dalam konteks yang tuntas>syumul dan memiliki iman yang kamilah. Iman yang sempurna guna untuk mengharungi cabaran kehidupan yang serba gawat pada masa hadapan. Baitul Muslim adalah berketuakan ibubapa yang prihatin sungguh tentang dakwah terhadap anak-anak, mengawal -selia dengan didikan yang bermutu deeniyah, bukan sekadar memfokus tentang kelas tuisyen matematik, BI, BM dan lain-lain karena mahu cemerlang dalam  PMR & SPM. Skor A dalam subjek PAI bukan ukuran  kecemerlangan beragama. Ia hanya ilmu yang dipaksa baca dan ingat untuk mengambil peperiksaan. Ia bukan satu bentuk kefahaman yang tuntas dan mendalam, apatah lagi menghayatinya sebagai jalan kehidupan yang mengharapkan kebahagiaan dunia dan akhirat. 


Wallahu'alam,


31 Mei 2011




0 comments: