Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

RISIK MERISIK, PINANG MEMINANG, MENIKAH KAHWIN

BULAN sebelum cuti sekolah dan semasa cuti sekolah bagaikan hendak rak meluncur ke hulu dan ke hilir bertandang meraikan undangan dan jemputan bernikah kahwin. Hatta berlakulah kebocoran dan ketirisan  saku dan dompet. Rabaklah bajet si rakan taulan , sahabat handai dan anak anak buah karena musim menikah mengawan ini. Bukan majlis nikah kahwin saja yang berlaku, malah ada pula yang baru hendak merisik dan bertunang karena sudah lama berkawan dan berkenalan. Kononnya kini hati budi sudah dikenali antara dua sejoli. Sudah pergi mari tali temali mengusung awek naik motorsikal atau kereta mencari makna cinta dan kesatuan hati. "Alamak ! kufukah kita ni, tanya si bakal bini?" Sang bakal laki yang sudah lama bersenandung siang dan malam bagai hendak pitam menjual minyak wangi supaya disayangi dan melabur kasih, dok tunggu-tunggu bila nak boleh, pun tertanya-tanya "inikah calon bini yang solehah?", walaupun diri sendiri tak soleh. Tidak soleh karena pada peringkat awal lagi tidak ikut sunnah, walaupun berkahwin itu sunnah. Kenapa ya? Sebab daripada awal mula lagi cara berkenalan antar pasangan tidak syariah compliance - meranduk semacam kambing lapar mencari makan tidak bertambat @ tidak bertuan. Bertemu awek@cowok semacam pertemuan gerabak-gerabak keretapi di stesyen, tiada nilai halal-haram. Namun ironinya mereka termasuk ibubapa mereka mendambakan kerahmatan dan keredhaan Allah swt daripada penyatuan nikah itu. Masing-masing masih kuat mendoakan untuk mendapat zuriat yang soleh [qurrota 'ayun], sedangkan perangai@akhlak dalam mencari jodoh dan melayari kehidupan jauh daripada ruh Islam. Inilah sekelumit malakah @ tabiat tradisi masyarakat jahiliah moden dalam menanggapi kehidupan. Kekacauan, kekeliruan dan habuk serta  puing jahili sangat tebal menindani iman yang terbina tapi tidak kukuh sempurna. Tarbiyah diri dan keluarga tidak berjalan untuk memberi tenaga kepada ruh bagi mendepani kegawatan akhlak dan serangan pengaruh jahiliyah atas nama kemodenan.  Yang ketara berjalan hanyalah penekanan kepada kecemerlangan akademik, prestasi kerjaya dan kemewahan hidup dengan memiliki rumah besar, kereta besar dan simpanan wang yang banyak agar dapat hidup mewah pada hari tua. Mana dia kecemerlangan agama, iman dan gaya hidup Muslim yang ada jati diri. Siapa kisah?

MAKA berentetanlah majlis-majlis risik merisik, pinang meminang berlaku sebelum berdirinya tiang-tiang khemah yang berwarna warni bumbungnya siap dengan kain rentang tanda promosi pengisytiharan perkahwinan sang mempelai akan berlaku. Kunjungan ke rumah bakal mentua @ bisan di sebelah perempuan pun diadakan. Berderetanlah hantaran pertunangan dengan tepak sirih atau sirih junjung menjadi kepala hantaran dengan diikuti buah-buahan serta kuih/kek yang digubah pelbagai gaya dan citarasa memenuhi ruang tamu. Pantun bermula dan disambut menyatakan hasrat dan persetujuan masing-masing. Cincin pertunangan pun tersarunglah sudah. Alangkah syahdu, damai dan nyaman suasana. Dan bibir kedua-dua belah pihak  terukir senyuman indah menawan  tanda ikatan telah termeterai. 

DALAM kereta sewaktu perjalanan pulang ke rumah, si teruna memicit-micit kepala semacam berfikir serius amat. "Hai macam mana hendak mencari pitih untuk mencukupi jumlah tanda harga/price tag anak dara yang telah diletak  oleh bakal mentua dan dipersetujui oleh sang wakilnya tadi." Tinggi juga harganya macam harga kereta model baru Hyundai Sonata @ Nissan Teana. Jadi tetap kena jadi. Tapi tak boleh jadi ni, mahal bebenor. Kalau gitu kenalah bertungkus lumus sampai berlemus siang malam bekerja ditambah  banyak-banyak dengan overtime. Kena pulun kumpul duit come what may bisik hati kecilnya lagi." 

BILA  kita menelusuri  tradisi dan prosedur yang ditinggalkan oleh Rasulullah saw, urusan perkahwinan dalam Islam adalah mudah dan tidak memberatkan mana-mana pihak lelaki atau perempuan. Yang paling pentingnya kita hendaklah memulakan dengan mencari pasangan yang kufu dan cocok. Kufu yang utama adalah dari sudut iman dan memiliki fikrah Islam yang murni dan sempurna. Perkara ini sangat asasi sebagai tapak semaian yang kukuh untuk membina sebuah keluarga Muslim yang totok dan gagah merenangi samudera  rumahtangga.
Selain itu barulah cari padanan@kufu dari segi taraf ilmu, ekonomi, darajat, kecantikan dan sebagainya. Ramuan ini adalah garis panduan yang mesti difokuskan dan diprihatinkan karena selain iman, anasir-anasir seperti pangkat/darajat/harta/ilmu/kecantikan dll tidak bisa dijadikan dasar atau asas membina keluarga Muslim yang berjaya dunia dan akhirat.

PERKARA kedua yang dipesan oleh Nabi saw kepada ummatnya adalah agar mahar @ mas kahwin @ hantaran itu diminta oleh pihak perempuan berpadanan dengan taraf kedudukan atau status pihak lelaki dengan mengambil ingatan bahawa mahar@hantaran yang rendah atau murah adalah baik dan diberkati Allah swt. Dalam apa keadaanpun yang hendak diraih adalah keredhaan Allah dan keberkatan hidup  pasca perkahwinan yang tidak dibebani oleh permasalahan hutang dan kesenakan otak memikirkan keberatan pertanggungjawaban yang bakal dipikul. Ekonomi sedang gawat di seluruh alam jagat. Kos hidup telah meningkat tinggi hatta kos mati pun meningkat juga. Tidak ada satu bendapun yang turun, kecuali saham dan pelaburan yang toksik.

KEDUA-DUA belah pihak lelaki dan perempuan kena faham as-sunnah dan hukum alam raya yang penuh dengan perlumbaan hawa nafsu mahu tunjuk siapa terror atau lebih hebat. Kehebatan bukan terletak pada price tag dan berapa banyak wang telah dikorbankan dan terkorban dalam majlis perkahwinan, akan tetapi ia terletak pada kesederhanaan dan keikhlasan niat mahu menunaikan pernikahan sebagai satu ibadah dan menjunjung sunnah Nabawiah bagi melangsungkan penerusan zuriat manusia yang beriman kepada Allah dan Rasul serta menegakkan panji-panji Islam dalam kehidupan untuk melayakkan diri memasuki syurga Allah swt. Justeru, semasa melaksanakan kenduri kendara nanti, seperkara yang perlu diberi perhatian adalah perjalanan majlis kenalah bersifat dengan sifat Islami dan watak peribadi Muslim sejati. Ia tidak dipenuhi dengan muzik lagho atau lirik lagu yang tidak ada makna atau kosong jiwa. Ia perlu menayangkan keperibadian Muslim yang beriman, bukan meniru mereka yang fasik dan hampa dan lompong ruh, supaya ia menjadi ibadah dan ada nilai pahala. Janganlah jadi kenduri yang tak jadi ibadah, malah binasa dan rosak pahala karena kebutaan syariat lantaran tiada ilmu agama. Atau sebab keras hati tak mahu dengar kebenaran dan anti ilmu.

Alahai! kahwinlah...jangan tak kahwin ...!! Ini baru sedikit cerita perihal merisik dan masam manis majlis pertunangan, belum lagi masuk bab asam garam berumahtangga  dan lambungan ombak kehidupan. Berjayakah mereka menganyam kasih dan melayari bahtera hidup menuju ke pulau harapan, membina Baitul Muslim yang bakal menerima tanggungjawab Rabbani bagi mempertahankan  jati diri Muslim dalam kemelut dunia yang ganas menyeret sesiapa saja  yang kekosongan jiwa dan kebuihan ke dalam putaran kefasikan abad jahiliyyah moden.

Wallahu 'alam.

13 Jun 2011

0 comments: