Malam itu sekumpulan anak muda belasan tahun ramai-ramai mengerumuni 3 buah meja yang digabungkan di sebuah kedai mamak. Rata-rata diperhatikan umur mereka antara 12 hingga 16 tahun. Masih mentah dan penuh dengan gejolak nafsu untuk mencuba segala sesuatu. Sebuah gerai di kanan mereka di luar kedai mamak sibuk menyediakan tempahan alatan syisya dan campuran bahan dan aroma untuk hisapan mengikut pilihan. Anak-anak muda tadi sedang menanti penuh sabar untuk menikmatinya beramai-ramai ikut giliran. Kosnya mungkin juga dikongsi bersama. Jam tepat 10pm dan mereka ini nampak sangat santai, gaya orang berada tapi tampak pada pakaian mereka masih di taraf marhaen = anak proletar yang memburuhi tenaga mencari sesuap nasi setiap hari. Mereka ala gelandangan persis orang-orang tanpa rumah, tetapi yang pastinya mereka ini masih bersekolah.
Sesekali nampak seorang demi seorang menghisap dan menyedut dalam-dalam gaya pro. Hebat betul mereka beraksi. Namun kalau dilihat mereka beraksi dalam kelas di sekolah mungkin berbeza = layu, malas, moyok dan tidak bermaya. Keturutsertaan mereka dalam perbincangan tajuk-tajuk dalam subjek-subjek ajaran tidak serancak perbualan tema di meja syisya. Ketawa berdekah-dekah diselang seli dengan lelucon entah apa-apa. Ibubapa mereka di mana... rumah mereka di mana? Pelajaran mereka entah ke mana!
Dari syisya ke kafe siber - itulah jalurannya pada keesokan hari siang semasa menuju ke sekolah. Mereka akan mengambil subjek GAMES di kafe siber apabila mencilok dari kelas ke situ atas alasan menyampah giler dengan subjek ajaran karena Cikgu Boring; lari lantaran tak buat homework; anti disiplin sekolah dan berbagai alasan lagi yang akhirnya mematikan jalur kerjaya mereka selepas SPM nanti. Dunia remaja adalah dunia sewel - kata sang ustaz keremajaan adalah kegilaan = anak remaja memang buat kerja gila. Macam pulut sedang diragikan untuk menjadi tapai , tetapi sudah over bertukar rupa menjadi samsu tapai. Kepeningan air tapai atas sifat kesamsuannya bisa membuat kepala linu dan pusing-pusing. Justeru anak-anak muda sekarang nampaknya begitu - berada dalam suasana sangat terpusing. Matlamat hidup terpusing, arahtuju hidup terpusing, mindapun pusing macam gasing. Bagaimana tidak terpusing kata sang murobbi, mereka tidak ada kemahiran hati. Kemahiran hati hanya ada pada mereka yang menghidupkan hati dengan 3 jenis zikir : lisan, hati dan perbuatan. Zikir lisan adalah sebarang ucapan yang membesar/mengagung/mensucikan Allah sebagai Rabb. Zikir hati adalah rasa kebergantungan dan tawakkal hanya sanya kepada Allah. Dan zikir fi'li [perbuatan] adalah kerajinan dan kesungguhan bekerja kerana Allah demi kebajikan dan kebaikan diri dan ummah, keluar ke jalan Allah untuk menyampaikan risalah tauhid serta mengajak kepada ketaatan.
Hati yang mahir adalah :-
a] hati yang menyedari syaitan itu benar-benar menyertai @ menghampiri kita dan ia tak pernah lupa untuk menjerumuskan kita bila saja ada kesempatan.
b] menyedari bahawa nafsu bekerjasama dengan syaitan, kecuali nafsu yang telah menerima hidayah.
c] hati yang sentiasa berzikir kepada Allah swt.
d] hati yang memahami setiap ketaatan @tau kemaksiatan ada akibat baik dan buruknya. Setiap keburukan dan dosa kalau tidak diampuni Allah di dunia, siksaan menanti kita di akhirat.
e] hati yang sentiasa mengingatkan diri supaya sibuk dengan kerja-kerja kebaikan, menjadi murabbi/dai'e dan tidak ada ruang lagi baginya untuk teringat kepada maksiat dan kerja-kerja bodoh serta sia-sia.
Gejala melagho dengan menyedut syisya, melepak di kafe siber & ponteng sekolah adalah karena hati dibelit dengan kebodohan diri sendiri lantaran benci kepada ilmu dan didikan/tarbiyah. Nasihat orang tua-tua dan guru laksana racun berbisa dan pahit sekali untuk ditelan walaupun ia penawar duka nestapa masa hadapan. Berapa lama mahu duduk-duduk di meja kedai mamak dan bersantaian di depan skrin besar sambil menggonggong paip syisya sambil derai ketawa? Ketuaan menghambat manusia. Ia memancung umur manusia tanpa belas kasihan setiap hari siang berlalu - setiap berlakunya ulang tahun hari kelahiran. Yang pastinya usia terus memendek dan menirus dan menjadi cupus - dan akhirnya pupus.
Wahai anak sekolah yang masih remaja...bangkitlah daripada lamunan mu yang sementara! Gagal PMR @ SPM tidak menjadi hal atau kudis buta, tetapi kalau gagal menjadi hamba Allah yang taat sudah tentu celaka dan banyak hal yang perlu ditangani di kampung abadi. Waktu masih ada untuk menjadi modal mu mengorak langkah tegap berderap menjunjung tugas asalmu : menjadi hamba Allah yang setia dan merdeka! Merdeka dari permainan murahan di kafe siber dan keseronokan picisan menghirup barbican sambil menyedut asap syisya yang menggelapkan hati dan perasaan. Tenaga mudamu diperlukan oleh Islam untuk menggegar dunia dengan kalimah Allah karena cintakan kebaikan dan keselamatan manusiawi sejagat. Maut merinduimu walaupun masih muda bellia, karena muda tidak menjanjikan hayat yang panjang. Begitu pula kalaupun sudah tua tidak mesti akan cepat mangkat.
Bangkitlah dari tiduran dan lamunanmu yang sia-sia. Dunia ini tidak indah dengan duduk-duduk di kafe siber dan kedai-kedai mamak dan tempat-tempat keseronokan lain bikinan manusia. Allah akan hadiahkan kamu tempat permainan yang hebat dan menakjubkan. Jom ke syurga!!
Bangkitlah dari tiduran dan lamunanmu yang sia-sia. Dunia ini tidak indah dengan duduk-duduk di kafe siber dan kedai-kedai mamak dan tempat-tempat keseronokan lain bikinan manusia. Allah akan hadiahkan kamu tempat permainan yang hebat dan menakjubkan. Jom ke syurga!!
Wallahu'alam.
23 Mei 2011
2 comments:
sgt ramai remaja 'moden' dilanda masalah ini. sungguh menyedihkan melihat gelagat mereka tanpa rasa segan silu membunuh masa hadapan diri sendiri apatah lagi impian kedua orang tua. semoga mereka sedar sebelum terlewat.
semoga belum terlewat untuk hati yang lalai mengubah diri. amin.
Post a Comment