Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

LAAILAHA ILLALLAH TUHAN DUNIA & AKHIRAT

Setiap hari dari siang hingga ke malam dan berterus-terusan hingga saat ketentuan tiba untuk dipanggil kembali, Allah SWT mencurahkan rezki dan nikmatNya cukup banyak, tak henti-henti kepada manusia serta sekalian makhluk. Limpahan dan curahan nikmat kerajaan langit ini terlalu banyak, mengatasi dan melebihi malah tak terbanding dengan mana-mana kerajaan dunia. Inilah dia sifat  pengasih yang ori yang ditunjukkan oleh ar Rahman membaluti segenap daging, tulang temulang, tisu dan rawan - membaurkan rasa cinta kasih abadi yang hangat tak terperi. Menghidup dan memberi serta menghangatkan kehidupan semua makhluk dan insan.


Maka atas nikmat yang manakah hendak manusia dustakan bagi semua kenikmatan dan kemudahan serta kemuliaan yang Dia anugerahkan? Angin yang menderu, lautan yang berombak, pohonan yang menghijau, bunga-bunga  yang menguntum berwarna-warni, awan gemawan yang bergumpal, gunung ganang yang tinggi gagah menyapu awan, sungai yang mengalir lentuk ke tanah pamah - memaparkan kecantikan panorama asli mengusik jiwa. Inilah tanda kewujudan dan kebesaran Allah. Semuanya tunduk sujud bertasbih memuji Allah sebagai pencipta, penjaga dan pemelihara. Aman damai dan indah suasana sangat terasa apabila semua makhluk termasuk manusia bersimpuh sujud mengakui kehebatanNYA.


Dialah Allah tuhan dunia dan tuhan akhirat. Mahu percaya atau tidak terserahlah kepada benak masing-masing untuk mencari kebenarannya. Manusia yang bingung dan tak tahu malu, biasanya mengambil semahunya pemberian Allah namun mentaatiNya jauh sekali. Muka-muka tak tahu malu sangat ramai berkeliaran di muka bumi menyedut dan merampok hasil mahsul yang Allah jadikan dan sediakan untuk kegunaan manusia sambil  beriman kepada Allah. Setiap detik berlalu kita terus melangkah menuju Allah dengan     pasti. Setiap kali menyambut hari lahir, makin pendeklah umur dan makin menghampiri maut. Izrail tidak lalai meneliti giliran anak-anak Adam , cuma yang selalu lupa ialah manusia - dilamuni ulitan duniawi yang kilauannya menipu semua orang yang tak sempat atau tidak endahkan majlis ilmu, tazkira, bayan dan lainnya. 


Allah - tuhan dunia dan akhirat sedang dan sentiasa memerhati seluruh makhluk dengan ilmunya. Tidak akan gugur sehelai daun daripada pokok ke atas bumi melainkan dengan pengetahuanNya. Tiada yang terlalu seninya sesuatu benda dalam mayapada ini yang tidak dapat diimbasiNya dan tertakluk  kepada iradahNya. Maha suci Allah, tuhan sarwa alam. Mana-mana kuasa besar dan kecil dunia yang berlagak tuhan pun kena kawtau bila berjumpa di akhirat nanti. Percayakah kita atau tak percayakah kita - Dia tetap ada dan kita kena repot kepadaNya untuk dimizani dan menerima habuan baik atau buruk. 


Senario semasa memaparkan berbagai cerita dan gelagat manusia yang bingung dan terpedaya dengan duniawi. Ada manusia yang berada di hujung masa kekuasaannya melaungkan kepada massa bahawa demi kuasa 'aku sanggup mati syahid mempertahankan kuasaku'. Seluruh dunia kaget dan meloya mendengar sumpah yang tak bererti itu dalam keadaan ia mabuk menimbun harta dan menganggap kuasa adalah milik atau pusaka nenek moyangnya, bagaikan tak masuk akal apakah peribadi sebegini sanggup mati bertahan ke titisan darah dan peluru terakhir? Sedangkan harta dan wang bertimbun dalam akaun bank berselerak di seluruh cerok rantau dunia. Manusia yang cinta kematian adalah mereka yang telah lama bersiap siaga merancang kehidupan akhiratnya dengan teliti dan sedang sibuk mengumpul pahala dan bukan rakus mengumpul maksiat dan dosa. 


Harta dan wang yang bertimbun sekiranya tidak di convert kepada amalan soleh dan menjana pahala, ia tidak ada makna dan tidak berguna kepada pemiliknya dalam kehidupan akhirat yang sedang menanti ketibaannya. Allah tuhan dunia dan tuhan akhirat sedang menunggu kepulangan kita kepadaNya dengan penuh sabar dan setia. Pokok persoalannya adalah: apakah kita sebagai hamba, patuh dan tunduk setia kepadaNya? Tiket satu hala sudah siap ditempah untuk anda dan kita semua...kapankah tarikhnya?


Ayuh! Fikir-fikirkan...


Wallahu'alam.


28 Februari 2011

0 comments: