Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

MENCARI CINTA SEJATI - JERAT VALENTINE

RAMAI manusia mencari cinta sejati terutama muda mudi. Lantas pencarian itu membawa mereka meneroka pelbagai pengalaman yang akhirnya merugikan diri sendiri karena tidak berjumpa dengan apa yang dihajati. Sebaliknya  terjumpa dengan manusia-manusia syaitan yang telah bersedia menunggu untuk mengambil kesempatan menghirup nikmat cintan, khususnya remaja yang gila keseronokan bercinta. 


HARI Valentine 14 Februari 2011 dan Maulidur Rasul 15 Februari 2011 muncul beriringan pada tahun ini. Kedua-dua hari tersebut menyentap dan merebut perhatian manusia untuk merayakan dan meraikannya. Valentine kononnya hari kekasih = iaitu hari Lebai Valentine dihukum bunuh pada tahun 269 Masehi di Roma. Kini penganut tradisional Kristian Katholik seluruh dunia memperingatinya dan  mengaitkan peristiwa terbunuhnya sang lebai ini walaupun pada asalnya kematian itu tidak pernah ada kaitan langsung dengan anasir romantisme pada zaman pertengahan [medieval age] semasa peristiwa itu berlaku. Ia hanya dihubungkan dengan elemen romance pada abad ke 14 entah kenapa. Hatta pada tahun 1969 Roman Catholic Calendar of Saints telah membuang perayaan/keraian Valentine daripada kalendar orang Kristian. 


KALAU begitu apa kena mengena, sangkut paut, kaitan, hubungan, pautan dan rangkaian hari V ini dengan tradisi kehidupan Muslimin sedunia? Kenapa tiba-tiba pada setiap munculnya 14 Februari manusia sibuk hendak berkasih sayang, meluahkan perasaan rindu dendam, mahabbah terpendam, mencari peluang mengurat anak gadis orang atas nama hari Valentine. Saban tahun sekian banyak anak gadis yang baru hendak mengenali dunia jatuh tersungkur tertiarap dipeluk dosa angkara terpedaya bujukan teruna dan bujang terlajak karena menagih cinta. Menyusul 9 bulan selepas itu terlahirlah anak-anak gampang yang dibuang, ditanam dan dihanyutkan di sungai serta tasik akibat percintaan yang telah tersemi. Cinta apa namanya ini jika sekian ramai bayi yang tidak berdosa mati lantaran makar kecintaan  betina @ jantan yang dusta? 


INILAH jerat Valentine yang memomokkan cinta sejati alam binatang yang disemarakkan dalam lingkungan manusia tanpa sesiapa mahu ambil peduli menyatakan keteledoran serta kemaksiatannya terhadap Allah SWT. Rasulullah SAW dihantarkan kepada manusia untuk mempamerkan qudwah terbaik agar terselamat manusia daripada kebinasaan. Namun setiap tahun silih berganti dan maulidur Rasul diraikan - ia kurang berhasil melawan dan meminggirkan budaya syaitan Valentine daripada menembusi rumah-rumah Muslim. Kegagalan ini berlaku lantaran tarbiyah Islam yang syumul tidak berlaku dalam keluarga Islam, tetapi aktiviti anti@kaunter tarbiyah disuburkan dan disanjung sebagai pemacu kehidupan moden yang sesuai dengan zaman. 


RASULULLAH SAW datang kepada ummat manusia membawa cinta sejati daripada Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Mesej Islam dikirimkan oleh Sang Pencipta menerusi manusia yang memiliki sifat kasih yang mendalam mahu menyelamatkan manusiawi. Beliau berjaya mendamaikan permusuhan dan perseteruan yang berzaman di antara qabilah/kaum; menumbuhkan rasa persaudaraan yang asli dalam masyarakat jahiliyah yang gemar berbunuhan atas kes-kes kecil yang sangat remeh. Hatta baginda berupaya mempersaudarakan  antara golongan manusia yang kaya/miskin/berdarjat/fakir berkulit putih cerah dan hitam gelap metallic di atas dasar satu aqidah, satu iman, satu qiblat, satu halatuju - iaitu menyembah Allah dan bertaqwa kepada Nya. Cinta Nabi kepada ummatnya mengatasi semua jenis cinta yang wujud di dunia ini. Ia sanggup meminta kepada Allah untuk menanggung derita dan azab sakratul maut untuk ummatnya, agar  mereka dilepaskan daripada merasai keazaban itu. Perasaan kasih sayang yang hebat terhadap ummatnya tidak terlawan oleh rasa kasih sayang ibubapa kepada anak-anaknya, inikan pula peribadi-peribadi bengkok yang tandus iman, tiada mengenal makrifatulllah mahu menganyam, menjalin dan memberikan cinta sejati kepada pasangannya pada Hari Valentine.


WAHAI pemuda dan pemudi, jangan terpedaya dengan momokan dan gembar gembur cinta sejati yang berasaskan nafsu. Ia menenggelamkan dan melemaskan kamu di daratan gelora nafsu tidak bertepi. 


Wallahu'alam


14 Februari 2011

0 comments: