Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

Proses Perubahan Diri

Manusia mesti berinteraksi dengan dirinya sendiri. Ia perlu berhubung dengan fitrahnya baik secara langsung @ tidak langsung. Ia harus monolog dan dialog dengan oknum-oknum di sekelilingnya. Proses ini digelar sosialisasi @ pemasyarakatan. Semua ini bertujuan memproses diri untuk merobah kepada kebaikan. Kalau hakikatnya demikian, maknanya mereka yang tidak peduli dirinya - tiada monolog dan dialog, sebetulnya berada dalam satu milieu @ kondisi haprak.  Haprak secara lafziah bermaksud tidak berguna.

Proses menjadikan insan itu menuju kesempurnaan adalah satu kegiatan sangat mulia.  Jadi proses itu haruslah tuntas merangkumi segenap anasir@komponen manusia : fizik, intelektual dan ruh secara sekaligus.  Unsur yang beraneka ini memiliki fungsinya tersendiri, namun kesemuanya bersatu membentuk satu kesatuan yang harmonis. Fungsi-fungsi yang berbeza ini membikin keperibadian manusia terpecah [split], namun saling menyempurnakan dan melengkapi antara satu sama lain.

Kalau jasad mahu dipelihara dengan menyuap dan menyantap makanan berkhasiat diikuti senaman @ olahraga dan istirehat. Aqal @ intelek memerlukan suntikan informasi dan menggunakannya untuk memecahkan persoalan. Ia sentiasa digunakan dan dikembangkan supaya  cerdas dan cerdik.    Ibarat pisau yang terus terusan diasah dan digilap agar tetap tajam dan menghiris. Bagaimana pula dengan jiwa @ ruh? Sudah tentu ia juga tersangat memerlukan senggaraan sepertimana kedua-dua elemen di atas. Selalunya manusia kurang peduli @ tak kisah malah tak ambil pusing terhadap pemeliharaan jiwa@ruh. Sebab apa ya? Karena tidak seperti jasad, kalau tidak diberi makan & minum kita akan terasa lapar dan haus.Aqal fikiran  pula kalau tidak diasuh menerusi persekolahan dan pembelajaran, ia akan menjadi bodoh bin dungu bin bangang bin pandir etc lantaran tumpulnya fakulti aqal. Jadi manusia akan tampak hal ini jelas pada titik matanya, yakni seorang manusia yang kurus tak bermaya dan tongong. Justeru kita berazam tidak mahu jadi begitu, sebab kita merasa malu  dilihat oleh orang lain sebagai tidak tampan @ macho. Apatah lagi ditokok dengan sifat pandir dan bengap @ bongok.......apa lagi ya..

Kendatipun demikian, perihal jiwa@ruh ini pelik sedikit sifatnya. Seandainya tidak diberi apa-apa kepadanya manusia tetap tampak anggun dan menawan malah jasadnya terus bugar macam tak ada apa-apa kekurangan pun. Nak tau bila akan terserlah kepandirannya? Iaitu apabila dia membuka mulut untuk berbicara. Nescaya akan keluar dan terpacullah kata-kata yang tidak mempunyai pandangan hidup @ worldview @ weltanschuung @ tasawwur hidup yang jelas lantaran jiwa tidak terasuh.

Keperluan Mendesak Tarbiyah Ruhiyah

Penciptaan manusia adalah unik, memiliki potensi lengkap iaitu potensi untuk menjadi baik dan berguna atau potensi untuk mencipta bencana dan kebinasaan. Karena apa ia jadi demikian? Lantaran Allah swt telah membekalkan kepadanya potensi fujur  dan taqwa = kejahatan dan kebaikan [As Shams:8]. Maknanya dalam jasad manusia sudah di built-in fitrah yang mereng kepada kejahatan dan  sekaligus cenderung kepada kebenaran dan iman. Kalau diperhatikan maksud surah di atas, ia membayangkan bahawa fujur itu adalah tarikan dan runtunan utama yang membaluti dan mengikat manusia. Kemudian barulah datangnya kecenderungan mahu membuat kebaikan/amal soleh seandainya manusia dapat melepaskan diri dari cengkaman nafsu yang mirip kejahatan. Fujur vs taqwa akan berlarutan  di  mana  manusia akan  bergelut  sehingga menemui maut dengan membawa bekalan amal baik @ pun jahat.

Selain itu, manusia  juga dibekali beberapa potensi negatif iaitu kikir, sangat zalim dan  sangat jahil serta gopoh@tergesa.  Kenapa manusia dikatakan tersangat zalim dan jahil?  Para ulama menyebut bahawa manusia zalim terhadap diri sendiri, sekaligus bodoh terhadap tuhannya. Inilah watak-watak negatif yang dimiliki manusia. Kalau tak diarahkan secara tepat ia akan melahirkan bencana demi bencana.

Manusia dalam keghairahannya untuk maju telah membangunkan teknologi melalui perkembangan & kemajuan ilmu. Peradaban terus berkembang untuk mencipta kesejahteraan hidup. Tetapi realitinya terlalu banyak menimpakan malapetaka. Kenapa terjadi begitu? Lantaran otak cemerlang manusia itu tidak dibingkai oleh kearifan jiwa agama. Ambil contoh kaum Hawa, sering dikatakan pada zaman dulu mereka berada di pinggiran sejarah. Mereka sekadar makhluk pelengkap @ objek tunggangan lelaki.  Namun kemajuan ilmu dan materi serta teknologi tidak menganjak posisi martabat rendah itu ke tahap yang selayaknya sebagai manusia. Martabat dan darajat kaum wanita masih terus terperosok dalam lubang hitam budaya [black hole of culture].

Apa itu lubang hitam budaya? Lubang tersebut merujuk kepada kerelaan  dan   kebanggaan  wanita sendiri  untuk terjun dan menempatkan diri mereka dalam posisi rendah sebagai  barangan dagangan; objek sorotan mata galak kaum lelaki; menjadi penghibur @ artis  dengan dandanan yang mengghairahkan atau ikon/duta promosi produk yang tidak ada kena mengena langsung dengan dunia kaum wanita seperti mobil dan barangan elektronik.

Itu sangat mungkin terjadi sekiranya pendidikan atau tarbiyah yang telah membina akal manusia tidak menganggap jiwa@ruhani sebagai hal yang perlu mendapat sentuhan dan usapan tarbiyah yang serupa. Justeru watak@karekter negatif yang telah disebutkan terdahulu itu tidak mendapat perhatian dan pembinaan memadai untuk mengiringi kemajuan pesat  akal dan pemikiran manusia. Lantas terjadilah umpama seekor burung yang terbang hanya menggunakan sebelah sayapnya sedangkan sayap yang satu lagi tidak berfungsi. Tidak hairanlah walaupun peradaban materi dan teknologi semakin melonjak tinggi, namun akhlak dan adab menyembah bumi. Inilah digelar moral decadence and debasement yang dahsyat = hidup berfoyaan ; pendadahan + pendedahan > penzinaan > pembuangan anak di jalanan/tong sampah/sungai dan tempat kumbahan. Apa lagi yang tak dilakukan oleh manusia yang tak terbina ruh ini ? Ya... rasuah > penipuan > niaga manusia > pembunuhan = melahirkan dan menciptakan suatu jenis masyarakat dinamakan masyarakat gersang. Yakni masyarakat tiada jiwa , tiada ruh, tiada budi pekerti = haiwan. Bagaimana mahu membawa manusia kembali ke darajat asalnya ? Tak lain daripada tarbiyah ruhiyah.

Bersambung.....

Matlamat Tarbiyah Islam III

2]   Qudwah Hasanah

Seorang murabbi/guru yang boleh menjelmakan apa yang diseru dan diajarkan kepada muridnya sangatlah diperlukan untuk menjadi contoh hidup yang boleh ditiru dari segi semangat, pengorbanan dan kehidupan dakwahnya. 

Sebagai contoh, kesuburan dan kemekaran rasa ukhuwah yang diajar dapat dirasai kehangatannya melalui pergaulan guru - murid - rakan seguru. Perpaduan yang disemai menerusi persaudaraan Islam itu wujud dan berlaku secara realiti. Bukan satu dongengan dan impian yang  tergapai. Perbezaan pendapat di kalangan saudara seiman tidak mencetuskan perbalahan lidah demi mendapat kemenangan. Rasa baik sangka adalah diutamakan selagi masing-masing berpegang kepada tawhid yang satu. Justeru qudwah dapat dilihat dan dirasai benar-benar menerusi best practices.


3]   Bi'ah Solehah


Bi'ah @ lingkungan yang baik dan kondusif adalah aspek penting dalam mendidik manusia menjadi Muslim yang berilmu, faham dan taat kepada Allah. Macam mana manusia hendak jadi baik dan menjauhi maksiat seandainya sekitaran yang kita bina melingkunginya menyajikan selera nafsu untuk cenderung buat maksiat dan menderhakai Allah. Bi'ah adalah laksana acuan untuk membentuk individu. Justeru, sekitaran rumahtangga, lingkungan masyarakat, suasana sekolah, kawan sebaya dsbnya adalah acuan-acuan yang saling mendidik serta memperkukuhkan nilai sama ada baik @ buruk. Setiap insan tidak akan terlepas daripada proses pendidikan, cuma sama ada pendidikan Islamiyah atau Jahiliyah. Maknanya, kalau kita memilih untuk tidak ditarbiyah oleh Islam sudah pasti yang mendidik kita adalah secara automatisnya adalah musuh Islam iaitu Jahiliyah yang mempunyai wajah yang berbagai rupa.

Matlamat Tarbiyah Islam II

b]  Tarbiyah Aqal

Aqal manusia perlu dibekalkan dengan tasawur Islam yang sahih, pengertian dan takrifannya yang betul serta makrifat yang benar. Langkah pertama membentuk aqal adalah melalui :-

i] mempelajari Al Quran - membaca berterusan dan berusaha memahaminya bersungguh-sungguh.
ii]   mempelajari al Hadith sahih daripada pusaka Rasulullah saw. 

Inilah sanya sumber bagi segala ilmu, makrifat dan hakikat yang bisa membantu manusia mengenali diri dan Tuhannya serta menjawab persoalan hakikat kejadian insan dan ke manakah tempat kembali  selepas pupus dari mayapada ini.

Aqal hendaklah seterusnya diberi santapan ilmu usul aqidah orientasi ulama salaf, sirah nabawi, perundangan Islam dan fiqh dakwah. Kemudiannya mendalami dasar-dasar Islam dalam sistem kemasyarakatan; dan sejarah Islam yang sarat dengan episod/kisah peperangan dan politik Islam.


Tidak cukup dengan itu, aqal mesti disumbat dengan ilmu pengetahuan semasa dalam pelbagai disiplin seperti ekonomi, perniagaan, sosial, kesihatan, pengurusan, pergolakan serta isu kemanusiaan dan politik semasa supaya terbiasa bagi membolehkan diri memahami dengan perspektif yang betul hatta mampu meletakkan hukum di atas setiap perkara/isu  itu dengan kayukur Islam. 


Justeru adalah baik setiap Muslim memiliki sebuah perpustakaan mini di rumah dengan koleksi kitab, makalah dan jernal Islam yang boleh meningkatkan daya intelektual dan mental. Makanan dan santapan aqal adalah sama pentingnya seperti makanan dan minuman serta pakaian kepada jasad.



c]   Tarbiyah Jasad


Jasad juga perlu ditarbiyah bagi membangkitkan kekuatan jasmani dan memelihara kesejahteraannya. . Oleh itu, adalah dianjurkan manusia membuat latihan dan aktiviti jasmani seperti beriadah, senaman, permainan, kembara dan berkhemah  di bukit , hutan, pantai dan suasana@sekitaran yang pelbagai, guna membina ketegapan badan dan stamina. Sambil itu, makanan dan minuman yang haram dan  merosakkan aqal dan tubuh dijauhi - seperti dadah,arak, rokok dan lain-lain yang seumpama dengannya.


 bersambung ...

Matlamat Tarbiyah Islam I

          Matlamat tarbiyah adalah untuk melahirkan individu Muslim dengan sifat/ciri berikut :- 
  • betul aqidah
  • sahih ibadah
  • baik akhlak
  • terdidik aqal fikiran
  • kuat tubuh badan
  • mampu bekerja untuk Islam
  • memberi faedah kepada orang lain
  • sentiasa bermujahadah/bersungguh-sungguh
  • menjaga masa
  • urusan teratur
  • dan sifat-sifat mulia lain yang menggambarkan kesempurnaan peribadi.
          Kualliti Muslim sebeginilah yang mahu di cetak dan dilahirkan yang memiliki kemampuan untuk membangunkan rumahtangga Islam. Pada masa yang sama turut serta  membina  masyarakat Islam dalam lingkungannya sepertimana yang dituntut ke atas setiap peribadi Muslim. Jenis Muslim sebeginilah yang sangat-sangat diperlukan oleh masyarakat dan negara untuk menjamin kerahmatan datang daripada Allah swt . Dengan demikian masyarakat manusia hidup dalam aman dan kedamaian, terhindar daripada malapetaka sosial dan kebinasaan alam.

          Tiga Keperluan Asas Untuk Menjayakan Tarbiyah

  1. Manhaj Yang Sahih
Bimbingan berdasarkan  kepada ajaran kitab Allah swt, Sunnah Nabawi bagi memahami Islam yang murni dan sejati, bersih daripada unsur tokok  tambah.   Menekuni dan mengamalkannya dalam semua realiti tanpa merasai ia membebankan.

           a]   Tarbiyah Ruhiyah
                   
       Aspek tarbiyah ruh merangkumi : -
  • membaca Quran, mengamal wirid harian,                 
  • melakukan ibadah sunat, 
  • berpuasa sunat, 
  • berzikir dengan lidah dan hati,
  • mendirikan solat pada awal waktu berjamaah, 
  • sentiasa bertaubat dan,
  • niat untuk bermujahadah dijalan Allah.
          Aspek penting tarbiyah ruh :-
      
Menghidupkan Rasa Beriman Kepada Allah : beriman kepada Allah adalah keyakinan yang bertunjang di hati dan menyebabkan seluruh aqal serta jasad beramal mentaatiNya. Perasaan keimanan ini sentiasa hidup segar tidak pupus. Ia berupaya melahirkan ketenangan dan kekukuhan jiwa yang menggerakkan seseorang itu menunaikan amanah Allah dalam apa jua suasana. Ia merasai kaya meskipun tiada harta, tiada kaum kerabat dan tiada pengaruh duniawi.

Menghidupkan Rasa Beriman Kepada Akhirat : meyakini hari akhirat pasti datang tanpa syak dan waham. Sentiasa berwaspada dan membuat persiapan sebaik mungkin untuk menghadapinya. Dengan keimanan ini seseorang akan menjadikan perjalanan hidup di dunia bersesuaian dengan matlamat akhirat. Ia bijaksana dalam menentukan keutamaan amal/kerjanya demi kejayaan akhirat.

Memelihara Bersungguh-sungguh Perintah Allah : segala perintah Allah dilaksanakan dengan sempurna dan semua laranganNya dijauhi tanpa banyak songeh. Ini semua dilakukan dengan rasa rela dan redha tanpa meringan-ringankan dan melampaui batas-batas ketentuan Allah.

bersambung ....