Jutaan manusia membanjiri Muna dengan ketulan kerikil dalam uncang bersiap siaga berdepan dengan musuh aslinya. Masing-masing bertekad membaling sampai hancur Iblis yang derhaka itu. Sudah sekian lama terpendam niat membuak rasa untuk memijak tanah Makkah dan Madinah. Lalu terimbaulah kenangan silam bagaimana Ibrahim a.s. bertarung iman melawan tipu daya dan muslihat Iblis untuk menggagalkan misi korbannya. Bezanya misi dan visi Ibrahim a.s. sangat jelas. Tidak diteledorkan oleh sang Iblis walaupun sesaat – Ismailnya mesti dikorbankan. Namun bagaimanakah dengan misi dan visi para Hujjaj? Apakah jelas dan pasti apa yang mereka mahu capai daripada pengorbanan dan kepayahan serta kejerihan mengharung dan menongkah arus manusia di Tanah Suci lebih sepurnama?
Pemandangan di Muna kelihatan para Hujjaj berbondong menelusuri jalanan menuju ke sasaran Jamrah. Masing-masing membawa jiwa dan hati, fikrah dan ideologi, dosa dan budi. Yang nampak sama hanyalah kain putih ihram dan telekung yang meremut sayup mata memandang berkawad menuju Jamrah. Semasa berkursus haji, para hujjaj sudah dipesan supaya ingat bahawa mereka mesti benar-benar melontar ketika melontar. Bukan acah-acah macam kanak-kanak main batu seremban – tak ada power ketika membaling iblis syaitan besar di Jamrah. Maka terjadilah perang besar balingan dan lontaran batu kerikil berterbangan mengenai dinding Jamrah, lalu gemersik bunyi batu-batu itu menuruni lubang-lubang tadahan. Ketika dan saat itu sewajar dan sepatutnya segala iblis dan syaitan yang kuat bersarang dalam minda dan qalbu tersembul keluar diiringi batu dan doa, terjelepuk dalam Jamrah. Punahlah ia di situ buat selamanya dan tidak lagi dibawa kembali ke tanahair untuk mengganggu gugat watak Islami yang terdidik di Tanah Suci serta karat jahiliyah yang telah terlontar bersama ayunan tangan yang gagah membaling.
Senario di tanahair
nampak sangat berbeza sekembalinya para hujjaj ke kampong halaman
masing-masing. Satu bulan dan dua bulan pertama masih OK penampilan dan perlakuan serta
semangat ibadah. Lepas itu semangat dan jiwa kehajian luntur seperti air pasang
yang surut pelik seolah-olah macam hendak berlaku tsunami. Yang hisap rokok
mulai sedut kembali, kendatipun diniatkan
sewaktu membaling Jamrah beberapa karton rokok telah dibayangkan
terperosok dalam lubang Jamrah karena memang niat sungguh mahu sembuhkan
ketagihan tembakau. Yang tak tutup auratpun telah pasang niat mahu taat patuh
perintah Allah sekembali ke tanahair – janji benar-benar hendak buang akhlak
bejat dan pakaian tak senonoh yang
menjadi watak para jiwang. Namun tarbiyah Makkah dan Madinah nampaknya tidak
ampuh untuk menahan rempuhan nafsu liar yang memang sudah lama ngam dengan
jasad dan minda haiwaniah masing-masing. Jasad, aqal dan ruh adalah satu
kesatuan kejadian insan, maka dengan 40 hingga 45 hari berada di Tanah Suci
tidak berupaya mentarbiyah minda dan jiwa kalau tidak diteruskan tarbiyah
ruhiyah secara dzatiyah serta kelab studi yang terbimbing oleh murabbi bagi
melangsungkan proses pembuangan elemen busuk karatan jahiliyah yang sememangnya
sukar untuk dikikis, karena terlalu lama melekat pada sel-sel minda dan jiwa.
Rupa-rupanya Iblis
dan syaitan tidak tewas dan mati di Jamrah. Yang mati mungkin para Hujjaj yang
telah terlalu uzur karena penyakit lama atau terjadinya kemalangan tidak
terduga. Iblis dan syaitan tetap sombong dan takbur menggiring manusia yang
kalah dalam perjuangan hidup beriman ke neraka Allah, kendatipun telah jenuh
kali ke Makkah. Fikrah Islam masih terus kabur dan tasawurnya masih tidak tajam
karena hilang perbandingan antara haq dan bathil. Muhasabahlah secara rasional
dengan daya intelektual yang Allah telah bekalkan dengan niat yang ikhlas mahu
mencari kebenaran. Sebab kebenaran itu milik Allah dan Dialah zat yang layak
dan mampu menyembuhkan penyakit aqidah kita dan memberi petunjuk kepada jalan yang terang benderang
macam berjalan di highway dan expressway. Petunjuk dan kebenaran memerlukan
pengorbanan masa, keselesaan dan harta benda. Ayuh! Ayunkan langkah segera
mengejar keredhaan Allah. Masa telah terlalu cupus dan singkat. Rehat berarti
mati. Mati minda, mati jiwa, mati raga, mati rasa, mati peka = Mati Lara.
Wallahua’lam.
10 November 2011
0 comments:
Post a Comment