Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

KEREMAJAAN ITU KEGILAAN: Bagaimana Menanganinya?


As-Sabwah atau kejahilan dan sifat keanak-anakan yang menguasai  jiwa para remaja membuatkan perlakuan, tindakan, gelagat, perangai, tingkah laku dan gaya mereka dibungkus oleh keinginan menonjol diri demi mendapat jolokan dan pengiktirafan kalangan rakan sebaya. Pengiktirafan ini adalah satu pengisytiharan kelompok bahawa  seseorang remaja itu hebat dan berwibawa dalam konteks jiwa yang sedang meremang mencari identiti dan keperibadian.


Proses ini adalah satu pencarian karekter diri bermula daripada keadaan teruja dengan permulaan kemasukan alam remaja yang senteng, sehingga gelegak resah gelisah menapai sehingga reda menjadi cuka yang banyak manfaatnya. Dari titik permulaan ini, terbinalah para remaja dalam kepompong kumpulannya. Pemasyarakatan dalam kehidupan terus berlangsung dan mulai berakar masa demi masa. Pemencilan diri daripada golongan dewasa sedikit demi sedikit berlaku menjarakkan jasad, fikrah, perasaan dan halatuju daripada arus perdana kehidupan. Proses ini kalau tidak diperhati dan diamati akan membina jurang dan lurah yang dalam di antara si anak remaja dengan ibu bapa serta ahli keluarganya, lantaran rasa gemar berkawan dan bergembira di luar rumah bersama rakan karib sebaya yang dirasai memahami naluri jiwang orang muda dan rasa terpenuh apabila berkerumun berkongsi cerita jenaka, suka & duka.


Melentur buluh yang sedang banyak miangnya bukanlah senang. Tangan si ibu dan si ayah akan terasa gatal yang amat karena kemiangan buluh muda ini boleh menyebabkan timbul kurap dan kerapu kulit kalau silap pendekatan menanganinya. Dada si ayah dan ibu sentiasa cemas dan debar memikirkan bagaimana mahu meluruskan buluh yang mulai meliut bengkok menjalar tidak tentu arah. Kebengkokan yang diselaputi miang dan retak tebu sungguh memerlukan kepakaran mendukuni masalah.


Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Tuhanmu kagum kepada seorang pemuda yang tidak memiliki sifat sabwah [kejahilan dan keanak-anakan].”HR ArRuyani dari Uqbah. Kenyataan ini memberi maksud bahawa masa muda seseorang remaja@pemuda itu terlalu penting dan berharga . Masa muda adalah fasa keemasan dan kekuatan di antara 2 fasa kelemahan, yakni  kelemahan masa kanak-kanak dan kelemahan usia tua. Masa muda adalah fasa umur paling produktif yang menentukan masa depan seseorang sama ada dia akan bahagia atau merana di Dunia atau Akhirat. Sebab itulah salah satu pertanggungjawaban yang akan ditanya di hadapan Allah swt adalah mengenai umur yang telah manusia habiskan semasa di dunia. Namun sangat peleknya kita dapati usia mudalah yang seringkali dikotori dan di keruhkan oleh gejala dan tindak tanduk kebodohan dan kesia-siaan = merendek, meranduk, menskodeng, melepak, merempit, mendadah, mendedah, menagih, memabuk, menzina, melacur, merompak, mencuri dan akhirnya mereput dalam kehidupan tanpa menyedari usia sudah tamat dan terhegeh-hegeh kembali mengadap Allah dalam keadaan tidak siaga karena kejahilan serta penuh sarat dengan maksiat. Manusia Remaja@Pemuda jenis ini adalah calon-calon yang akan menjadi warga tua yang gagal meraban di dunia, sedangkan di akhirat pula merugi dan bankrup tiada bajet untuk hidup bahagia abadi.


Para Remaja@Pemuda harus mengenali diri dan kecenderungannya secara mendalam dan sebenar, supaya dia tahu bagaimana untuk mengemudi jasad, emosi dan nafsunya dengan baik dan berjaya:-
1.     Tinggalkan sifat kejahilan dan keanakan dan terus masuk ke alam dewasa apabila mencecah umur kedewasaan. Tekuni ilmu dan ambil tanggungjawab dalam keluarga dan juga masyarakat agar menjadi aset berguna kepada diri sendiri dan manusiawi.
2.    Pergunakan masa muda secara optimum untuk hal-hal yang berfaedah dan memberi manfaat.
3.    Jauhi perlakuan dan kecenderungan bodoh supaya tidak terjebak ketagihan melakukan maksiat perut dan bawah perut serta kerosakan harta benda sendiri dan awam.
4.    Tahanlah diri daripada buat kerja-kerja liar karena hendak membuktikan kejantanan atau kebetinaan dengan lagak gaya hero dan heroin Hollywood @ Bollywood ATAU mana-mana Kayu lantaran meniru peribadi-peribadi bengkok yang dianggap hebat [idola?].
5.    Jangan menutup dan memencilkan diri daripada ibubapa dan ahli keluarga. Berkawan dan berbincanglah dengan mereka karena merekalah rakan karib sebenar yang sanggup bersusah payah membantu dalam kesusahan, bukan rakan sebaya yang kita selalu ajak melepak dan HoHa – HoHa.
6.    Hadirlah dalam majlis ilmu dan majlis orang dewasa supaya proses mematangkan diri cepat berlaku. Anak-anak serta remaja yang bergaul dengan para syuyukh pantas mengerti kehidupan, rasa bertanggungjawab untuk memikul amanah Allah dan rela berbakti serta berkorban untuk menjunjung dan mempertahankan deen Islam.
7.    Lawati dan ziarahilah orang-orang salih untuk meminta nasihat, meneladani kebaikan dan kesalihan mereka. Bermalamlah dengan mereka untuk menyerap semangat ketaatan dan jiwa beribadah.
8.    Pilihlah teman/rakan/taulan karib yang baik bagi membantu proses pembinaan diri seorang remaja/pemuda yang salih , cerdas, peka dan bertanggungjawab.
9.    Latihlah diri untuk melakukan tugas-tugas dalam rumah, membangunkan hubungan kejiranan dengan para tetangga dan merintis mencari rezki halalan toyyiban, sebagai persediaan untuk hidup berdikari dan mandiri.
10. Menanam muraqabatullah dalam diri agar sentiasa menggunakan seluruh waktu yang dipinjamkan Allah untuk meraih pahala dan keredhaanNya.
11.  Bermain dan bersukanlah sesuai dengan fitrah dan  jantina agar kesihatan, kekuatan jasad dan kecerdasan mental dapat dipergunakan untuk G-had dalam segenap ruang hidup Islami apabila menjelang dewasa.


Aduhai para Remaja@pemuda@belia yang dirahmati Allah, kemandirianmu mengendalikan syahwat dan emosi muda yang bergejolak menggelegak dengan aman dan baik menjanjikan kekaguman dan kasih Allah ke atas kamu. Dan syurgalah balasan yang layak bagimu karena kehebatan dan kelestarian menjaga citra remaja @ pemuda yang berhemah tinggi.
Salam kasih sayang untuk kamu semua – pelapis harapan bangsa dan agama.


Wallahua’lam.
30 November 2011

MATIKAH IBLIS DAN SYAITAN DI JAMRAH

Jutaan manusia membanjiri Muna dengan ketulan kerikil dalam uncang bersiap siaga berdepan dengan musuh aslinya. Masing-masing bertekad membaling sampai hancur Iblis yang derhaka itu. Sudah sekian lama terpendam niat membuak rasa untuk memijak tanah  Makkah dan Madinah. Lalu terimbaulah kenangan silam bagaimana Ibrahim a.s. bertarung iman melawan tipu daya dan muslihat Iblis untuk menggagalkan misi korbannya.  Bezanya misi dan visi Ibrahim a.s. sangat jelas. Tidak diteledorkan oleh sang Iblis walaupun sesaat – Ismailnya mesti dikorbankan. Namun bagaimanakah dengan misi dan visi para Hujjaj? Apakah jelas dan pasti apa yang mereka mahu capai daripada pengorbanan dan kepayahan serta kejerihan mengharung dan menongkah arus manusia di Tanah Suci lebih sepurnama?

Pemandangan di Muna kelihatan para Hujjaj berbondong menelusuri jalanan  menuju  ke sasaran Jamrah. Masing-masing membawa jiwa dan hati, fikrah dan ideologi, dosa dan budi. Yang nampak sama hanyalah kain putih ihram dan telekung yang meremut sayup mata memandang berkawad menuju Jamrah. Semasa berkursus haji, para hujjaj sudah dipesan supaya ingat bahawa mereka mesti benar-benar melontar ketika melontar. Bukan acah-acah macam kanak-kanak main batu seremban – tak ada power ketika membaling iblis syaitan besar di Jamrah. Maka terjadilah perang besar balingan dan lontaran batu kerikil berterbangan mengenai dinding Jamrah,  lalu gemersik bunyi batu-batu itu menuruni lubang-lubang tadahan. Ketika dan saat itu sewajar dan sepatutnya segala iblis dan syaitan yang kuat bersarang dalam minda dan qalbu tersembul keluar diiringi batu dan doa, terjelepuk dalam Jamrah. Punahlah ia di situ buat selamanya dan tidak lagi dibawa kembali ke tanahair untuk mengganggu gugat watak Islami yang terdidik di Tanah Suci serta karat jahiliyah yang telah terlontar bersama ayunan tangan yang gagah membaling.


Senario di tanahair nampak sangat berbeza sekembalinya para hujjaj ke kampong halaman masing-masing. Satu bulan dan dua bulan pertama  masih OK penampilan dan perlakuan serta semangat ibadah. Lepas itu semangat dan jiwa kehajian luntur seperti air pasang yang surut pelik seolah-olah macam hendak berlaku tsunami. Yang hisap rokok mulai sedut kembali, kendatipun diniatkan  sewaktu membaling Jamrah beberapa karton rokok telah dibayangkan terperosok dalam lubang Jamrah karena memang niat sungguh mahu sembuhkan ketagihan tembakau. Yang tak tutup auratpun telah pasang niat mahu taat patuh perintah Allah sekembali ke tanahair – janji benar-benar hendak buang akhlak bejat dan pakaian  tak senonoh yang menjadi watak para jiwang. Namun tarbiyah Makkah dan Madinah nampaknya tidak ampuh untuk menahan rempuhan nafsu liar yang memang sudah lama ngam dengan jasad dan minda haiwaniah masing-masing. Jasad, aqal dan ruh adalah satu kesatuan kejadian insan, maka dengan 40 hingga 45 hari berada di Tanah Suci tidak berupaya mentarbiyah minda dan jiwa kalau tidak diteruskan tarbiyah ruhiyah secara dzatiyah serta kelab studi yang terbimbing oleh murabbi bagi melangsungkan proses pembuangan elemen busuk karatan jahiliyah yang sememangnya sukar untuk dikikis, karena terlalu lama melekat pada sel-sel minda dan jiwa.

Rupa-rupanya Iblis dan syaitan tidak tewas dan mati di Jamrah. Yang mati mungkin para Hujjaj yang telah terlalu uzur karena penyakit lama atau terjadinya kemalangan tidak terduga. Iblis dan syaitan tetap sombong dan takbur menggiring manusia yang kalah dalam perjuangan hidup beriman ke neraka Allah, kendatipun telah jenuh kali ke Makkah. Fikrah Islam masih terus kabur dan tasawurnya masih tidak tajam karena hilang perbandingan antara haq dan bathil. Muhasabahlah secara rasional dengan daya intelektual yang Allah telah bekalkan dengan niat yang ikhlas mahu mencari kebenaran. Sebab kebenaran itu milik Allah dan Dialah zat yang layak dan mampu menyembuhkan penyakit aqidah kita dan memberi  petunjuk kepada jalan yang terang benderang macam berjalan di highway dan expressway. Petunjuk dan kebenaran memerlukan pengorbanan masa, keselesaan dan harta benda. Ayuh! Ayunkan langkah segera mengejar keredhaan Allah. Masa telah terlalu cupus dan singkat. Rehat berarti mati. Mati minda, mati jiwa, mati raga, mati rasa, mati peka = Mati Lara.

Wallahua’lam.
10 November 2011

AYATUR RAHMAN - IMBASAN KARAMAH DALAM PERJUANGAN

KARAMAH adalah pemberian dan nugerahan Allah SWT. IA beri kepada sesiapa yang layak diberi anugerah. Biasanya yang layak adalah orang-orang yang kuat iman dan ikhlas dalam perjuangan. Niat mereka tiada lain kecuali untuk meraih kemuliaan daripada Allah karena berkhidmat untuk  menegakkan dan meninggikan Islam di bumi Allah. 
G-had  para mujahideen di Afghanistan pada tahun 1980'an menentang komunis Russia laknatullah telah mengembalikan kenangan silam peperangan Badr, Uhud, Hunain, Tabuk dll yang mempamerkan karamah [orang zaman sekarang sebut miracle/misteri?] yang berlaku sebagai penzahiran nasrullah. Pertolongan daripada Allah SWT sungguh canggih, pelik dan ajaib tak terfikir oleh aqal. Pokoknya terpapar kepada kita bahawa formula: bilangan yang banyak dapat dikalahkan oleh jumlah yang kecil telah berulang kembali.


Umat Islam sekarang ketagih bantuan daripada Allah swt untuk menghadapi musuh yang begitu ramai dan rencam. Strategi dan cara bergerak musuh-musuh Islam begitu lihai dan licik : kafir totok, munafiq dan Islam kartu bergabung satu dengan satu tekad mahu memadamkan cahaya kebenaran Islam sepertimana yang telah berlaku pada zaman awal kemunculannya di bumi Makkah. Umat Islam perlu yakin bahawa Islam sebagai nur yang menghidupkan dunia dan menjadi sebab kelangsungan hayatnya, akan terpadam obornya bila Allah izinkan kiamat terjadi. Sebelum berlaku kiamat, para sipenderhaka dan sipendusta yang melawan hidayah tetapi masih memakan rezeki yang Allah tabur; akan merasai getir azab berdepan dengan realiti sebenar sekonyong-konyong apabila dibungkus kain putih. 


Masyarakat Melayu memang sangat suka kepada perkara-perkara keramat, ajaib, sakti dan seumpamanya. Sebab itulah dalam amalan hidup harian, mereka mudah tergoda dengan ajaran-ajaran yang mistik yang boleh membawa mereka mencapai kelebihan tertentu seperti kebal tubuh badan, boleh berjalan atas air, ghaib daripada pandangan mata manusia dengan berlindung di sebalik sehelai daun dan macam-macam misteri lagi. Justeru agama Islam didekati oleh segolongan besar masyarakat Melayu dari sudut mengambil ayat-ayat Quran sekadar untuk beramal bagi meraih kehebatan mistik tertentu mengikut niat masing-masing. Maka terjadilah golongan ini beriman kepada Allah dan menjadi Islam atas  keyakinan yang kurus kerdil dan tidak pernah nampak Islam sebagai satu gagasan atau pandangan hidup yang tuntas mencakupi segenap ruang hidup manusiawi. Golongan in sampai bilapun berwasangka dan syak terhadap agamanya sendiri serta rasa fobia macam orang Barat - geli dan meluat kepada Islam. Sebab apa? Karena bila mereka cuba melihat wajah Islam mereka terpandang hukum hudud sahaja - jelek, buruk dan kejam. Kejulingan intelek dan pandangan hidup sebegini memang akan berlaku kepada sesiapa saja jika mereka tidak pandai melihat dalam jarak pandangan yang sempurna. Seorang wanita jelita tidak akan ternampak cantik jika seorang jejaka itu menatap wajahnya terlalu dekat, apatah lagi memakai kanta pembesar sehingga terlihat lubang-lubang roma yang kasar. Malah kalau diteropong pada hidungnya pula sudah tentu memberikan pandangan sebuah terowong yang berbulu sehingga tidak menimbulkan rasa indah bahkan jauhlah daripada terpikat. Justeru inilah penyakit yang terkena kepada sebilangan besar anggota masyarakat - mereka tidak melihat Islam dari sudut pandangan yang sempurna. Mereka tidak melihat Islam sebagaimana Nabi, auliya, dan orang-orang soleh melihat. Pandangan mereka sering dikabuti  jerebu asap buatan sendiri iaitu ideologi asing yang cuba diharmoniskan dengan Islam. 


Titik pertemuan antara Islam dengan ideologi kufur tidak akan pernah berlaku. Ia tidak berlaku dahulu pada zaman Rasulullah saw dan begitu juga halnya sekarang dan sampai bila-bila. Hidayah perlu dicari sungguh-sungguh menerusi ilmu yang benar. Pengorbanan masa, keselesaan dan wang adalah wajib dan perlu untuk mendaki aqabah ilmu untuk menuju ke puncak kefahaman. Unsur syirik, mistik, misteri dan sakti dalam kotak minda masyarakat perlu dinyahsucikan supaya virus ideologi palsu ciptaan manusia tidak lagi bersemayam dalam hati dan jiwa agar membolehkan syu'ur Islam dalam jiwa terserlah keluar menampilkan wajah sebenar seorang hamba yang taat kepada Pencipta yang satu. Ayatur Rahman masih benar. Ia akan membenarkan kata-kata Allah dalam kitabNya dengan berbagai peristiwa yang akan bakal berlaku bagi menyingkap kepalsuan ideologi buatan manusia. Kemuliaan atau karamah akan terus berlaku ke atas manusia beriman yang terpilih dengan kehendak dan izinNya. Ia bukan satu tawar menawar yang boleh diminta, karena itu bukanlah tujuan sebenar manusia beriman kepada Allah melainkan hanyasanya lantaran rasa kehambaan yang sebenar dan tahu makna diri dan makna hidup.


Wallahua'lam


5 November 2011