Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

RAWATAN DAN PENAWAR BAGI MASYARAKAT JAHILIYAH MODEN


Pagi tadi kami berseminar dengan satu tajuk bicara yang penting " PERKAHWINAN SEBAGAI JAMBATAN MEMBINA BAITUL MUSLIM@BAITUL DAKWAH. Kenapa persoalan ini penting sangat tegur seorang rakan. Jawab saya kenapa tidak, sebab sekarang ini manusia asyik menikah kahwin tak henti-henti tak kira masa cuti sekolah atau tidak. Dengan hantaran ribu-ribuan dan berkenduri sakan di rumah kediaman sendiri, hotel, taman, dewan-dewan orang ramai/sekolah serta masjid dan serba mak nenek tempat lain yang mereka fikirkan hendak buat; tetapi, matlamat illek. Maksud saya matlamat yang tinggi dan mulia yang dianjurkan oleh Rasulullah saw = iaitu matlamat Rabbani yang bertujuan untuk bukan saja mengekalkan zuriat manusia di muka bumi ini, malah yang terutama sekali = menjadikan setiap keluarga nuklear @ keluarga baru sebagai Baitul Muslim sejati yang menggendong peranan dan pertanggungjawaban dakwah bagi melahirkan zuriat yang mempunyai kemahiran hati, selain kemahiran-kemahiran hidup lainnya. 

Perceraian dalam kalangan masyarakat Islam Malaysia pada 2008 = +22,000 orang meningkat kepada 27,116 orang pada tahun 2009. Ikatan dan tautan perkahwinan terongkai mudah dengan sekali lafaz cerai sama ada secara zahir atau maya [sms] seolah-olah perkahwinan itu hanya macam mainan pondok-pondok semasa zaman kanak-kanak. Bila rasa bosan dan malas hendak main, boleh saja roboh-robohkan pondok yang pada mulanya dibina dengan penuh ceria dan semangat kerjasama. 

Setiap 13 minit satu perceraian berlaku berbanding setiap 17 minit satu penagih baru muncul di bawah jambatan dan lorong jalanan. Masyarakat terus ditambah gawat dengan kehadiran bayi-bayi segera daripada kilang-kilang manusia tak berlesen daripada Pejabat Agama/Kadi. Kemelut demi kemelut Allah timpakan ke atas manusia yang tak ambil peduli tentang pembaikan diri dan sosialnya. Masyarakat terus cair meninggalkan syariat Allah dan Allah tambahkan lagi kegawatan dengan himpitan masalah dan kegilaan baru yang tidak mampu otak manusia menyelesaikannya. Seolah-olah Allah swt mencabar manusia : "Wahai manusia, tunjukkanlah kehebatan aqal cebisan mu yang kamu anggap hebat itu untuk merongkai masalah ciptaan tangan-tangan kamu yang zalim." Sedangkan selagi manusia melarikan diri daripada mengambil Islam sebagai jalan penyelesaian, selagi terbelit dan serabut ia terbungkus dengan sampah sarap dan najis masalah lama yang tak terselesai. Apa yang manusia sedang buat sekarang adalah untuk memotong ranting-ranting dan dahan-dahan busuk maksiat yang membiak galak, tetapi akar tunjang pokok serta batang yang sudah memburuk busuk menyumbang kepada kerosakan fabrik masyarakat tidak diendahkan, malah dipelihara dengan penuh yakin agar dapat mempertahankan kelangsungan sebuah masyarakat yang aman sejahtera, walhal, pokok yang  akarnya sedang mereput itu, tidak berdaya menyumbang kebaikan lagi. 

Justeru, kembalilah kepada kaedah bagaimana Rasulullah saw memperbaiki keruntuhan dan kebejatan masyarakat Jahiliyah Makkah. Kaedah itu berjaya menyelamatkan mereka dari tebing neraka kepada tingkat kemuliaan yang tinggi. Pendekatan yang Nabi gunakan hanya satu : ajak kepada penyembahan kepada Allah yang Esa dan memurnikan aqidah. Ikuti proses penyembuhan jiwa dan hati dengan mengambil seluruh isi Quran untuk dipraktikkan dalam kehidupan. Inilah proses pembaikan hati yang terbukti menyelamatkan manusia jahiliyah Quraisy 1432 tahun yang lampau; dan inilah juga penawar dan pendekatan yang mesti dipakai untuk merawat penyakit masyarakat jahiliyah  sejagat dalam abad ini, jika ingin kepada salvation dunia dan akhirat. Ketahuilah tidak ada jalan lain yang lebih manjur!


Bagaimana dengan sikap dan watak pasangan  yang baru membina keluarga asas, termasuk juga yang sudah veteran melayari bahtera rumah tangga? Apakah persoalan Baitul Muslim berada dalam pemikiran  dan kefahaman mereka? Apakah mereka prihatin dengan anak-anak yang mereka lahirkan dan memastikan iman salimah bersemi dalam jiwa zuriat mereka.   Anak-anak  mengenali Allah dalam konteks yang tuntas>syumul dan memiliki iman yang kamilah. Iman yang sempurna guna untuk mengharungi cabaran kehidupan yang serba gawat pada masa hadapan. Baitul Muslim adalah berketuakan ibubapa yang prihatin sungguh tentang dakwah terhadap anak-anak, mengawal -selia dengan didikan yang bermutu deeniyah, bukan sekadar memfokus tentang kelas tuisyen matematik, BI, BM dan lain-lain karena mahu cemerlang dalam  PMR & SPM. Skor A dalam subjek PAI bukan ukuran  kecemerlangan beragama. Ia hanya ilmu yang dipaksa baca dan ingat untuk mengambil peperiksaan. Ia bukan satu bentuk kefahaman yang tuntas dan mendalam, apatah lagi menghayatinya sebagai jalan kehidupan yang mengharapkan kebahagiaan dunia dan akhirat. 


Wallahu'alam,


31 Mei 2011




SYISYA > KAFE SIBER = PONTENG SEKOLAH

Malam itu sekumpulan anak muda belasan tahun ramai-ramai mengerumuni 3 buah meja yang digabungkan di sebuah kedai mamak. Rata-rata diperhatikan umur mereka antara 12 hingga 16 tahun. Masih mentah dan penuh dengan gejolak nafsu untuk mencuba segala sesuatu. Sebuah gerai di kanan mereka di luar kedai mamak sibuk menyediakan tempahan alatan syisya dan campuran bahan dan aroma untuk hisapan mengikut pilihan. Anak-anak muda tadi sedang menanti penuh sabar untuk menikmatinya beramai-ramai ikut giliran. Kosnya mungkin juga dikongsi bersama. Jam tepat 10pm dan mereka ini nampak sangat santai, gaya orang berada tapi tampak pada  pakaian mereka masih di taraf marhaen = anak proletar yang memburuhi tenaga mencari sesuap nasi setiap hari. Mereka ala gelandangan persis orang-orang tanpa rumah, tetapi yang pastinya mereka ini masih bersekolah. 

Sesekali nampak seorang demi seorang menghisap dan menyedut dalam-dalam gaya pro. Hebat betul mereka beraksi. Namun kalau dilihat mereka beraksi dalam kelas di sekolah mungkin berbeza = layu, malas, moyok dan tidak bermaya. Keturutsertaan mereka dalam perbincangan tajuk-tajuk dalam subjek-subjek ajaran tidak serancak perbualan tema di meja syisya. Ketawa berdekah-dekah diselang seli dengan lelucon entah apa-apa. Ibubapa mereka di mana... rumah mereka di mana? Pelajaran mereka entah ke mana! 

Dari syisya ke kafe siber - itulah jalurannya pada keesokan hari siang semasa menuju ke sekolah. Mereka akan mengambil subjek GAMES di kafe siber apabila mencilok dari kelas ke situ atas alasan menyampah giler dengan subjek ajaran karena Cikgu Boring; lari lantaran tak buat homework; anti disiplin sekolah dan berbagai alasan lagi yang akhirnya mematikan jalur kerjaya mereka selepas SPM nanti. Dunia remaja adalah dunia sewel - kata sang ustaz keremajaan adalah kegilaan = anak remaja memang buat kerja gila. Macam pulut sedang diragikan untuk menjadi tapai , tetapi sudah over bertukar rupa menjadi samsu tapai. Kepeningan air tapai atas sifat kesamsuannya bisa membuat kepala linu dan pusing-pusing. Justeru anak-anak muda sekarang nampaknya begitu - berada dalam suasana sangat terpusing. Matlamat hidup terpusing, arahtuju hidup terpusing, mindapun pusing macam gasing. Bagaimana tidak terpusing kata sang murobbi, mereka tidak ada kemahiran hati. Kemahiran hati hanya ada pada mereka yang menghidupkan hati dengan 3 jenis zikir : lisan, hati dan perbuatan. Zikir lisan adalah sebarang ucapan yang membesar/mengagung/mensucikan Allah sebagai Rabb. Zikir hati adalah rasa kebergantungan dan tawakkal hanya sanya kepada Allah. Dan zikir fi'li [perbuatan] adalah kerajinan dan kesungguhan bekerja kerana Allah demi kebajikan dan kebaikan diri dan ummah, keluar ke jalan Allah untuk menyampaikan risalah tauhid serta mengajak kepada ketaatan. 

Hati yang mahir adalah :-

a] hati yang menyedari syaitan itu benar-benar menyertai @ menghampiri kita dan ia tak pernah lupa untuk menjerumuskan kita bila saja ada kesempatan.

b] menyedari bahawa nafsu bekerjasama dengan syaitan, kecuali nafsu yang telah menerima hidayah.

c] hati yang sentiasa berzikir kepada Allah swt.

d] hati yang memahami setiap ketaatan @tau kemaksiatan ada akibat baik dan buruknya. Setiap keburukan dan dosa kalau tidak diampuni Allah di dunia, siksaan menanti kita di akhirat.

e] hati yang sentiasa mengingatkan diri supaya sibuk dengan kerja-kerja kebaikan, menjadi murabbi/dai'e dan tidak ada ruang lagi baginya untuk teringat kepada maksiat dan kerja-kerja bodoh serta sia-sia.

Gejala  melagho dengan menyedut syisya, melepak di kafe siber & ponteng sekolah adalah karena hati dibelit dengan kebodohan diri sendiri lantaran benci kepada ilmu dan didikan/tarbiyah. Nasihat orang tua-tua dan guru laksana racun berbisa dan pahit sekali untuk ditelan walaupun ia penawar duka nestapa masa hadapan. Berapa lama mahu duduk-duduk di meja kedai mamak dan bersantaian di depan skrin besar sambil menggonggong paip syisya sambil derai ketawa? Ketuaan menghambat manusia. Ia memancung umur manusia tanpa belas kasihan setiap hari siang berlalu - setiap berlakunya ulang tahun hari kelahiran. Yang pastinya usia terus memendek dan menirus dan menjadi cupus - dan akhirnya pupus.

Wahai anak sekolah yang masih  remaja...bangkitlah daripada lamunan mu yang sementara! Gagal PMR @ SPM tidak menjadi hal atau kudis buta, tetapi kalau gagal menjadi hamba Allah yang taat sudah tentu celaka dan banyak hal yang perlu ditangani di kampung abadi. Waktu masih ada untuk menjadi modal mu mengorak langkah tegap berderap menjunjung tugas asalmu : menjadi hamba Allah yang setia dan merdeka! Merdeka dari permainan murahan di kafe siber dan keseronokan picisan menghirup barbican sambil menyedut  asap syisya yang menggelapkan hati dan perasaan. Tenaga mudamu diperlukan oleh Islam untuk menggegar dunia dengan kalimah Allah karena cintakan  kebaikan dan keselamatan manusiawi sejagat. Maut merinduimu walaupun masih muda bellia, karena muda tidak menjanjikan hayat yang panjang. Begitu pula  kalaupun sudah tua tidak mesti akan cepat mangkat. 


Bangkitlah dari tiduran dan lamunanmu yang sia-sia. Dunia ini tidak indah dengan duduk-duduk di kafe siber dan kedai-kedai mamak dan tempat-tempat keseronokan lain bikinan manusia. Allah akan hadiahkan kamu tempat permainan yang hebat dan menakjubkan. Jom ke syurga!!

Wallahu'alam.

23 Mei 2011




UMUR BAGAIMANA PANJANGPUN BERAKHIR DENGAN KEMATIAN

Umur adalah perkiraan  masa. Ia mengukur jangka masa hayat atau tempoh masa sesuatu kewujudan sama ada yang bernyawa ataupun tidak. Makin berumur panjang, makin tua. Semakin kita tua, semakin lemah, goyah dan luntur segala yang  dibekalkan atau dipinjamkan kepada kita oleh Allah SWT. Jasad yang kuat sudah menjadi lemah. Lutut terkena serangan athritis, mahu naik tangga pun berkriuk-kriuk tulang karena rawan menipis dan lubrikasi kekeringan - waduh terasa berbisa, kebas-kebas serta ngilu. 

Begitulah pula halnya dengan sesuatu tamadun atau peradaban. Semakin fasad dan bobrok masyarakat, semakin ia menuju ke arah kehancuran dan kesirnaan. Sepanjang manapun umur manusia dan tamadunnya, ukuran penting baginya adalah keberkatan. Barakah @ berkat maknanya bertambah. Bertambah saja tidak ada makna melainkan ia membawa atau menyumbang kebahagiaan. Malah ada pula perkara yang kita tak mahu tambah sebab ia menjadikan kita pelik atau hodoh atau tak relevan. Umpamanya hidung, mata, telinga, gigi, jari tangan/kaki: kalau ia bertambah, jadi pelik dan cacatlah [freak] simanusia itu. 


Akan tetapi kalau harta benda bertambah, wang ringgit, pound sterling, dollar dan yen bertimbun, kereta mewah menjalar berderetan di laman, rumah agam berbilang buah dan macam-macam lagi harta dunia: kita tentu suka dan syok. Tetapi kita kena semak dan nilai kembali sama ada ia membawa kebahagiaan serta redha Allah atau kemurkaanNya. Dalam  sirah Nabawi, ada satu kes tersohor tentang seorang sahabat baginda yang sangat soleh; sentiasa tiba awal waktu di masjid bila terdengar azan, solat saf pertama di belakang Nabi saw dan dapat takbiratul ihram bersama imam. Seusai solat ia lekas-lekas  bergegas pulang ke rumah karena perlu menanggalkan pakaian solat yang satu-satunya itu untuk dipakai sang isteri lantaran tiada pakaian lain yang layak digunakan ketika bersolat. Tentu sekali si Abu Tha'labah ini miskin amat. Rakan taulannya menyarankan beliau minta Nabi saw berdoa agar beliau diberkati dengan rezki yang banyak supaya keperluannya diatasi dan bisa berkhidmat untuk Islam pula dengan harta itu. Namun perjalanan kehidupannya tidak seperti sebelum ia jadi kaya sebagai saudagar kambing , selepas doa Nabi dimakbulkan. Kekayaan yang terhasil daripada kambing menyebabkan ia terseliuh hati dan hambar jiwa untuk berubudiyah seperti biasa  bersolat di belakang Nabi saw berjamaah. Malah makin  surut  dan tertinggal segala yang pernah dan mampu dibuat dulu. Ia menangguh-nangguh untuk mengeluarkan zakat walaupun diminta Nabi saw hingga akhirnya turun wahyu melabelkan beliau tergolong dalam golongan orang-orang munafik. Bagaikan hendak pitam dan tidak keruan Si Tha'labah bila label ini diberikan padanya. Ia menjadi keluh kesah dan tidak bahagia. Nabi saw enggan menerima lagi zakat daripadanya karena sudah terlambat. Zaman-zaman khalifah berikutnya ia cuba juga untuk menzakati hartanya namun tidak diterima oleh amirul mukminin sehingga ia mati sebagai  seorang muflis lantaran semua kambingnya mati terkena penyakit.

Betapa harta membelit jiwa dan jasad kita hingga tergamak melupai tanggungjawab agama. Tarbiyah yang dilalui masih mampu digugat oleh bisikan halus syaitan yang mudah menyusup dalam kesedapan memiliki dan memandang harta sebagai segala-galanya. Inilah tarbiyah Allah kepada ummat manusia daripada episod cerita ini untuk mengingatkan kita supaya berawas dengan apa saja yang dimiliki - karena jika silap pengurusan dan fokus terhilang, daki dunia akan dikendong dengan melupai nikmat akhirat yang tidak terbilang. Umur terus mengejar kita menyebabkan wajah bertukar rupa. Walaupun hasrat hendak lari dari ketuaan dengan memakan produk-produk kesihatan dan awet muda, namun sunnatullah lebih berkuasa. Benci dan takut pada ketuaan atau tidak, manusia terus meluncur maju meninggalkan kemudaannya dan pasti sampai ke garisan akhir hayat yang menjanjikan kematian. 

Justeru syukur adalah sebaik-baik penawar yang bisa merawat penyakit lupa nikmat Allah. Syukur adalah adab seorang Muslim terhadap tuhannya. Dengan bersyukur ia merasai dan melihat dirinya serta segala kurniaan Allah sebagai anugerah yang tidak terhitung banyaknya. Nikmat itu bermula sejak ia mula tergantung dalam rahim ibunya berterusan tidak putus-putus sehingga rezkinya habis = sampailah ajalnya.  Jadi dalam perjalanan hidup yang pendek atau panjang, ia tetap pendek berbanding masa akhirat. Kalau hidup kita sesibuk  manapun, jangan lupa Allah, karena jika kita melupaiNya semakin kita jauh daripada Nya. 


Dengan bersyukur kita  menyedari bahawa Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan. Hati terasa sedih apabila kita terbuat dosa dengan tidak sengaja. Rasa malu sekiranya terlanggar perintah Allah, lantaran kita tahu bahawa Allah mengetahui apa yang dizahir dan disembunyikan. 


Kita mungkin panik dan terjelir lidah mengejar habuan duniawi yang sedikit karena takut habis dikaut orang, tapi kita tak endah langsung mengejar dan pulun mengaut kekayaan syurgawi lantaran kita tidak bijak menilai makna dan erti kewujudan. Manusia sanggup terhegeh-hegeh mencari keuntungan duniawi yang sedikit tetapi membuang dan campak laba yang besar di Akhirat. Lantas umur yang panjang sejengkal dijadikan sandaran dan modal untuk dihabiskan mengemis duniawi. Wal hasil jadilah si manusia itu sibuk semedang tanpa perasan maut berada di atas ubun-ubunnya. Bila saja dipanggil Allah mengadap, ia tetap akan berhujah dengan tuhannya bahawa ia sangat sibuk tak berkesudahan!!!


Manusia yang sangat sibuk dan tidak pernah terfikir untuk menilai kembali masa dan waktu yang digunakannya di dunia, sehingga Allah swt dikesampingkan, ia termasuk dalam golongan manusia yang tidak beradab.


Wallahu'alam.
5 Mei 2011