Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

LAAILAHA ILLALLAH TUHAN DUNIA & AKHIRAT

Setiap hari dari siang hingga ke malam dan berterus-terusan hingga saat ketentuan tiba untuk dipanggil kembali, Allah SWT mencurahkan rezki dan nikmatNya cukup banyak, tak henti-henti kepada manusia serta sekalian makhluk. Limpahan dan curahan nikmat kerajaan langit ini terlalu banyak, mengatasi dan melebihi malah tak terbanding dengan mana-mana kerajaan dunia. Inilah dia sifat  pengasih yang ori yang ditunjukkan oleh ar Rahman membaluti segenap daging, tulang temulang, tisu dan rawan - membaurkan rasa cinta kasih abadi yang hangat tak terperi. Menghidup dan memberi serta menghangatkan kehidupan semua makhluk dan insan.


Maka atas nikmat yang manakah hendak manusia dustakan bagi semua kenikmatan dan kemudahan serta kemuliaan yang Dia anugerahkan? Angin yang menderu, lautan yang berombak, pohonan yang menghijau, bunga-bunga  yang menguntum berwarna-warni, awan gemawan yang bergumpal, gunung ganang yang tinggi gagah menyapu awan, sungai yang mengalir lentuk ke tanah pamah - memaparkan kecantikan panorama asli mengusik jiwa. Inilah tanda kewujudan dan kebesaran Allah. Semuanya tunduk sujud bertasbih memuji Allah sebagai pencipta, penjaga dan pemelihara. Aman damai dan indah suasana sangat terasa apabila semua makhluk termasuk manusia bersimpuh sujud mengakui kehebatanNYA.


Dialah Allah tuhan dunia dan tuhan akhirat. Mahu percaya atau tidak terserahlah kepada benak masing-masing untuk mencari kebenarannya. Manusia yang bingung dan tak tahu malu, biasanya mengambil semahunya pemberian Allah namun mentaatiNya jauh sekali. Muka-muka tak tahu malu sangat ramai berkeliaran di muka bumi menyedut dan merampok hasil mahsul yang Allah jadikan dan sediakan untuk kegunaan manusia sambil  beriman kepada Allah. Setiap detik berlalu kita terus melangkah menuju Allah dengan     pasti. Setiap kali menyambut hari lahir, makin pendeklah umur dan makin menghampiri maut. Izrail tidak lalai meneliti giliran anak-anak Adam , cuma yang selalu lupa ialah manusia - dilamuni ulitan duniawi yang kilauannya menipu semua orang yang tak sempat atau tidak endahkan majlis ilmu, tazkira, bayan dan lainnya. 


Allah - tuhan dunia dan akhirat sedang dan sentiasa memerhati seluruh makhluk dengan ilmunya. Tidak akan gugur sehelai daun daripada pokok ke atas bumi melainkan dengan pengetahuanNya. Tiada yang terlalu seninya sesuatu benda dalam mayapada ini yang tidak dapat diimbasiNya dan tertakluk  kepada iradahNya. Maha suci Allah, tuhan sarwa alam. Mana-mana kuasa besar dan kecil dunia yang berlagak tuhan pun kena kawtau bila berjumpa di akhirat nanti. Percayakah kita atau tak percayakah kita - Dia tetap ada dan kita kena repot kepadaNya untuk dimizani dan menerima habuan baik atau buruk. 


Senario semasa memaparkan berbagai cerita dan gelagat manusia yang bingung dan terpedaya dengan duniawi. Ada manusia yang berada di hujung masa kekuasaannya melaungkan kepada massa bahawa demi kuasa 'aku sanggup mati syahid mempertahankan kuasaku'. Seluruh dunia kaget dan meloya mendengar sumpah yang tak bererti itu dalam keadaan ia mabuk menimbun harta dan menganggap kuasa adalah milik atau pusaka nenek moyangnya, bagaikan tak masuk akal apakah peribadi sebegini sanggup mati bertahan ke titisan darah dan peluru terakhir? Sedangkan harta dan wang bertimbun dalam akaun bank berselerak di seluruh cerok rantau dunia. Manusia yang cinta kematian adalah mereka yang telah lama bersiap siaga merancang kehidupan akhiratnya dengan teliti dan sedang sibuk mengumpul pahala dan bukan rakus mengumpul maksiat dan dosa. 


Harta dan wang yang bertimbun sekiranya tidak di convert kepada amalan soleh dan menjana pahala, ia tidak ada makna dan tidak berguna kepada pemiliknya dalam kehidupan akhirat yang sedang menanti ketibaannya. Allah tuhan dunia dan tuhan akhirat sedang menunggu kepulangan kita kepadaNya dengan penuh sabar dan setia. Pokok persoalannya adalah: apakah kita sebagai hamba, patuh dan tunduk setia kepadaNya? Tiket satu hala sudah siap ditempah untuk anda dan kita semua...kapankah tarikhnya?


Ayuh! Fikir-fikirkan...


Wallahu'alam.


28 Februari 2011

MENCARI CINTA SEJATI - JERAT VALENTINE

RAMAI manusia mencari cinta sejati terutama muda mudi. Lantas pencarian itu membawa mereka meneroka pelbagai pengalaman yang akhirnya merugikan diri sendiri karena tidak berjumpa dengan apa yang dihajati. Sebaliknya  terjumpa dengan manusia-manusia syaitan yang telah bersedia menunggu untuk mengambil kesempatan menghirup nikmat cintan, khususnya remaja yang gila keseronokan bercinta. 


HARI Valentine 14 Februari 2011 dan Maulidur Rasul 15 Februari 2011 muncul beriringan pada tahun ini. Kedua-dua hari tersebut menyentap dan merebut perhatian manusia untuk merayakan dan meraikannya. Valentine kononnya hari kekasih = iaitu hari Lebai Valentine dihukum bunuh pada tahun 269 Masehi di Roma. Kini penganut tradisional Kristian Katholik seluruh dunia memperingatinya dan  mengaitkan peristiwa terbunuhnya sang lebai ini walaupun pada asalnya kematian itu tidak pernah ada kaitan langsung dengan anasir romantisme pada zaman pertengahan [medieval age] semasa peristiwa itu berlaku. Ia hanya dihubungkan dengan elemen romance pada abad ke 14 entah kenapa. Hatta pada tahun 1969 Roman Catholic Calendar of Saints telah membuang perayaan/keraian Valentine daripada kalendar orang Kristian. 


KALAU begitu apa kena mengena, sangkut paut, kaitan, hubungan, pautan dan rangkaian hari V ini dengan tradisi kehidupan Muslimin sedunia? Kenapa tiba-tiba pada setiap munculnya 14 Februari manusia sibuk hendak berkasih sayang, meluahkan perasaan rindu dendam, mahabbah terpendam, mencari peluang mengurat anak gadis orang atas nama hari Valentine. Saban tahun sekian banyak anak gadis yang baru hendak mengenali dunia jatuh tersungkur tertiarap dipeluk dosa angkara terpedaya bujukan teruna dan bujang terlajak karena menagih cinta. Menyusul 9 bulan selepas itu terlahirlah anak-anak gampang yang dibuang, ditanam dan dihanyutkan di sungai serta tasik akibat percintaan yang telah tersemi. Cinta apa namanya ini jika sekian ramai bayi yang tidak berdosa mati lantaran makar kecintaan  betina @ jantan yang dusta? 


INILAH jerat Valentine yang memomokkan cinta sejati alam binatang yang disemarakkan dalam lingkungan manusia tanpa sesiapa mahu ambil peduli menyatakan keteledoran serta kemaksiatannya terhadap Allah SWT. Rasulullah SAW dihantarkan kepada manusia untuk mempamerkan qudwah terbaik agar terselamat manusia daripada kebinasaan. Namun setiap tahun silih berganti dan maulidur Rasul diraikan - ia kurang berhasil melawan dan meminggirkan budaya syaitan Valentine daripada menembusi rumah-rumah Muslim. Kegagalan ini berlaku lantaran tarbiyah Islam yang syumul tidak berlaku dalam keluarga Islam, tetapi aktiviti anti@kaunter tarbiyah disuburkan dan disanjung sebagai pemacu kehidupan moden yang sesuai dengan zaman. 


RASULULLAH SAW datang kepada ummat manusia membawa cinta sejati daripada Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Mesej Islam dikirimkan oleh Sang Pencipta menerusi manusia yang memiliki sifat kasih yang mendalam mahu menyelamatkan manusiawi. Beliau berjaya mendamaikan permusuhan dan perseteruan yang berzaman di antara qabilah/kaum; menumbuhkan rasa persaudaraan yang asli dalam masyarakat jahiliyah yang gemar berbunuhan atas kes-kes kecil yang sangat remeh. Hatta baginda berupaya mempersaudarakan  antara golongan manusia yang kaya/miskin/berdarjat/fakir berkulit putih cerah dan hitam gelap metallic di atas dasar satu aqidah, satu iman, satu qiblat, satu halatuju - iaitu menyembah Allah dan bertaqwa kepada Nya. Cinta Nabi kepada ummatnya mengatasi semua jenis cinta yang wujud di dunia ini. Ia sanggup meminta kepada Allah untuk menanggung derita dan azab sakratul maut untuk ummatnya, agar  mereka dilepaskan daripada merasai keazaban itu. Perasaan kasih sayang yang hebat terhadap ummatnya tidak terlawan oleh rasa kasih sayang ibubapa kepada anak-anaknya, inikan pula peribadi-peribadi bengkok yang tandus iman, tiada mengenal makrifatulllah mahu menganyam, menjalin dan memberikan cinta sejati kepada pasangannya pada Hari Valentine.


WAHAI pemuda dan pemudi, jangan terpedaya dengan momokan dan gembar gembur cinta sejati yang berasaskan nafsu. Ia menenggelamkan dan melemaskan kamu di daratan gelora nafsu tidak bertepi. 


Wallahu'alam


14 Februari 2011

JANGAN BUNUH KEHIDUPAN AKHIRAT ANDA

Sewelkah manusia sekiranya dia membunuh kehidupan akhiratnya? Bijakkah manusia seandai dia memburu terus terusan kenikmatan duniawi yang akan bernoktah bila dia berhenti menjadi manusia? Gilakah penyembah-penyembah Tuhan yang gigih berubudiyah siang malam tanpa rasa jemu dan penat menabur bakti mengajak manusia berfikir dan muhasabah diri bagi menentukan halatuju dan arah tujuan, supaya sampai ke destinasi akhirat membawa laba dan keberuntungan hakiki - firdausi Allah yang ngetop nikmat tanpa ada kata-kata yang bisa menggambarkan kehebatannya. 

Mahukah kita berfikir sejenak bagaimana mahu merangkul bonanza nikmat yang begitu kabir? Hidup sambil lewa macam orang biasa-biasa = keluar rumah pagi pagian menaiki mobil ke kantor, ladang, pelabuhan, sawah bendang, huma atau apa saja tempat kerja buat mencari sesuap nasi; tetapi melupakan juzuk keakhiratan, walaupun melelahkan namun ia tetap tidak bermakna apa-apa di sisi Allah swt. Ini adalah lantaran semua makhluk Allah begitu perangainya - cari makan dan cari makan, tak habis-habis. Sangat segelintir teringat akan maksud mereka dijadikan dan dikirimkan ke dunia untuk berubudiyah kepada Allah. Hidup mereka penuh dengan gurauan dan mainan. Memperolokkan agama dan mempertaruhkan seluruh umur yang dikurniakan untuk menghirup dan menghisap nikmat madu duniawi yang tidak seberapa. Umur ada hadnya, kemudaan ada batasnya, kekuatan ada tahapnya, kecantikan ada waktu surutnya, kekuasaan ada tempohnya, kekayaan ada penghujungnya. Semuanya ini menjurus kepada pertemuan dengan Sang Pencipta pada saat yang ditentukan. Justeru orang yang membunuh kehidupan akhiratnya adalah orang-orang yang bodoh tidak celik akhirat. 

Manusia yang tidak celik akhirat adalah mereka yang mempunyai konsep @ ciri-ciri kehidupan :-
1.  tidak endah dengan pesanan Allah dan Rasul bahawa      akhirat itu ada dan sedang menunggu ketibaan kita.
2.  tidak kisah dengan sebarang petanda dan amaran kecil mahupun besar yang didatangkan oleh Allah kepada manusia untuk dijadikan peringatan dan keinsafan.
3. hari-hari siang dan malam dilalui dengan foya berseronokan dan melampiaskan runtunan syahwat sehingga otak menjadi tepu dan jumud tidak dapat memerhati dan memahami ayat-ayat Allah supaya waspada terhadap dunia yang menipu dan syaitan yang menyesatkan. 
4.   majlis ilmu dianggap membazirkan masa dan ianya hanya untuk orang-orang yang ketagihan syurgawi dan tidak ada orientasi pembangunan ekonomi.
5.   membaca, mentadabbur al Quran dan mengkaji Hadith Nabawi adalah sia-sia. Ia adalah pekerjaan manusia yang mahu mengajak orang lain untuk balik ke zaman batu yang primitif dan anti kemajuan.

Kalau ibu bapa berfikiran begini, manakan bisa sianak keluar daripada kepompong pemikiran yang anti Tauhid dan mempersiakan umur mencari kebenaran yang tak kunjung dapat. Anda bunuh akhirat anda dan juga akhirat anak-anak anda. Anda memilih jalan fujur; orang lain memilih jalan taqwa. Apakah sama jalan fujur berbanding jalan taqwa? Tepuk dada tanya citarasa....fikir fikirkanlah wahai taulan.

Wallahu'alam
2 Februari 2011