Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

MERENCANA KEHIDUPAN KEDUA DENGAN MEMBANGUNKAN KEKAYAAN JIWA

DALAM kehidupan kita perlu sentiasa berfikir bagaimana hendak menjadi manusia yang mengundang kekaguman Allah, setelah menikah dalam rangka untuk merealisasikan kesempurnaan agama; selain membina rumah tangga Muslim, menjaga keimanan hati, menjana pahala daripada harta benda yang Allah anugerahkan meskipun menghadapi kekangan masa  dan amal kita diganggu oleh kesibukan, sakit serta hambatan lain.

KENDATIpun dalam kesibukan masa yang sentiasa mencengkam dan kelelahan tubuh yang mendambakan kerehatan, namun untuk meraih anugerah kebaikan di akhir kehidupan, kita mesti tega berjuang bergelut merebut setiap saat berlalu dengan menghasilkan amalan terbaik, tanpa sesaatpun tertumpah. Sebab itu kita  perlu merencana kehidupan kedua dengan amat teliti dan sungguh-sungguh. Pastikan kehidupan kedua adalah kehidupan terbaik mengatasi kehebatan kehidupan dunia. Ini adalah karena kehidupan akhirat adalah final chance sedangkan kehidupan dunia adalah first chance serta tapak semaian kepada merangkul kebagusan dan kelestarian hidup hebat dan abadi. Inilah life style yang perlu terbentuk dalam minda seorang Muslim, dan menjana need achievement yang mahu dicapai  iaitu gaya hidup manusia beriman dan bertaqwa yang mendapat kerahmatan tanpa batas daripada Allah SWT.

MERENCANA kehidupan kedua yang berjaya memerlukan perancangan strategik. Perancangan strategik yang dibuat oleh organisasi kecil atau besar biasanya dibuat dalam dua cara : jangka pendek & jangka panjang. Perancangan jangka pendek perlu dilaksanakan dahulu sambil merangka pelan jangka panjang yang lebih mantap untuk memberi impak kelangsungan sesebuah organisasi. Impak yang besar dan berkesan bergantung kuat kepada sejauhmana perkara-perkara yang dirancang itu bersifat strategik dan berdayasaing atau sebaliknya. Kalau begitu apa maknanya strategik? Ringkasnya strategik bermaksud tindakan yang dirancang dan dilaksanakan itu terpenting  dan paling utama dalam mencapai keberkesanan maksimum bagi menjamin  kelangsungan dan hayat sesuatu organisasi.  Sama halnya dengan manusia, jika ia mahu menjaga kelangsungan hidupnya yang baik dan bermakna di dunia dan akhirat, semua perkara yang bisa dibuat dahulu terutamanya yang wajib dan amalan sunnah kecil mesti dimulai tanpa bertangguh lagi. Komitmen terhadap perkara dan hal-hal besar dalam kehidupan Muslim mestilah pula terus diteliti, dirangka dan ditentukan tarikh pelaksanaannya supaya kesyumulan Islam berlaku dalam kehidupan kita. Pendekata, daripada amalan yang asasi [solat, puasa, zakat, haji] berubah dengan dinamis ke arah penyempurnaan ikrar syahadah dengan berinfaq dan berkorban harta, masa, tenaga dan nyawa bagi menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Bukan sekadar beribadah pada takok lama dengan melakukan amalan asasi@wajib tanpa melakukan peningkatan ilmu, fikrah, amalan sunnah yg dituntut, penglibatan dalam kegiatan kemasyarakatan dan lainnya, bagi menjana taqwa dan meraih keredhaan Allah. Masa dipergunakan sepenuhnya untuk membangunkan diri, masyarakat dan Islam.


JUSTERU, dalam merenangi dan merentasi kehidupan duniawi yg terpaksa menggeluti berbagai cabaran dan tribulasi, modal yang sangat penting untuk membantu kita ke arah menggapai kejayaan mutlak adalah kekayaan jiwa. Apa itu kekayaan jiwa? Kekayaan jiwa terbahagi kepada 2 iaitu:  kekayaan hati + kekayaan Rabbani.

KEKAYAAN hati adalah: bentuk kekayaan tertinggi menurut Ibnu Qaiyyim & Ibnu Taimiyyah. Ia dikatakan tertinggi karena  manusia yg dapat merasainya tidak akan pernah merasa miskin buat selama-lamanya. Rasa kebergantungannya kepada Allah sangat ngetop [optimum]. Ia tidak mempercayai harta duniawi sebagai sumber yg memberi ketenteraman dan kebahagiaan yang mutlak. Ia adalah benda yang boleh datang dan hilang bila-bila masa, sedangkan Allah adalah dzat yang mencipta dan menganugerahkan kepada manusia harta benda itu. Jadi mana lebih kuat dan hebat - yang mencipta dan menjadikan harta kekayaan atau benda yang diciptakan? Sebab itulah orang yang bijaksana memandang kekayaan materi sebagai kekayaan yang rendah sifatnya. Ia tunduk kepada Allah dan pasrah kepada hukum dan ketentuan Allah secara total. Ia tidak mempertikai apatah lagi menentang hukum dan peraturan yg ditetapkan Allah ke atasnya. Ia suka kepada apa yang Allah suka, ia tidak ingin kepada apa yang Allah benci. Ia taat kepada Allah dengan sesungguh hati bukan auta. Selain terbebasnya ia daripada kebergantungan kepada materi duniawi dan tidak menentang hukum dan peraturan Allah, ia bebas daripada permusuhan terhadap sesama manusia karena merebut harta dunia. Hatinya  tawakkal, redha dan aman daripada runtunan rasa gelisah mahu memiliki keseronokan yang palsu. Ia tidak memusuhi manusia kecuali untuk membela hak Tuhannya. Permusuhannya karena berhukum dengan undang-undang dan peraturan Allah. 


KEKAYAAN Rabbani adalah: rasa hati yang tinggi yang memerlukan Allah mengatasi keperluan kepada  yang lain. Rasa kefakiran kita terhadap Allah begitu padu membuahkan kekayaan sejati. Rasa sebegini hanya akan terbit dengan berasaskan 2 ilmu: pengetahuannya tentang Tuhannya & pengetahuan tentang dirinya. Jika tingkat pengetahuan kita tentang Tuhan sebagai memiliki kekayaan yang mutlak, maka kita berasa insaf bahawa diri kita memiliki kefakiran mutlak. Barangsiapa menyedari bahawa Penciptanya mempunyai kekuasaan sepenuhnya, nescaya ia menginsafi dirinya memiliki kelemahan sepenuhnya. Begitulah seandainya kita mengetahui Tuhan memiliki kemuliaan mutlak, sudah tentu pula kita menerima bahawa diri kita mewarisi kehinaan yang mutlak. Kesedaran dan keyakinan sebegini mencetuskan rasa paling kaya, bahagia dan paling mulia di dunia dan akhirat.


MERANCANG untuk menemui Allah dengan kemuliaan dan mendapat keredhaanNya memerlukan kesedaran luarbiasa untuk meningkatkan amal Islami secepat mungkin, memandangkan usia semakin singkat setiap saat berlalu. Kepedulian kepada segala amalan sunnah terus ditingkatkan sehingga menjadi mendarah daging mencetuskan rasa rindu yang tak pernah malap untuk bersua dengan Allah SWT. Akhlaq kita dengan Allah, Rasulullah SAW, Quran, manusia, alam sekitar, haiwan dan serba serbi lainnya perlu berjalan dengan baik berlandaskan ajaran agama. 


JANGAN lupa berfikir, merancang, melaksanakan sungguh-sungguh dan bermuhasabah untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan kedua. Sentiasalah memohon kekuatan dan keampunan Allah SWT di atas kelemahan dan kelalaian kita sebagai hamba yang penuh kehinaan. 


Wallahu'alam
4 Januari 2011


0 comments: