Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

MATA LALAT VS MATA LEBAH VS MATA KAYU

Semua makhluk Allah dianugerahkan mata, satu pancaindera yang sangat penting dan tak ternilai kegunaannya. Lipas, lalat, lebah dan binatang lainnya mempunyai jenis mata masing-masing termasuklah manusia. Sekiranya terbuta mata tidak ada alat ganti dalam pasaran terang dan tak mudah pula untuk mendapat bekalan daripada pasaran gelap.  Mata berfungsi  membantu makhluk manusia dan haiwan untuk melihat, menatapi, memerhati dan mengenali alam benda. Segala ta'akulan ke atas alam benda menjadi sumber asas untuk membina kefahaman alam bukan benda @ alam ghaib @ hakikat kewujudan semua benda > membantu menjelaskan makna kehidupan.

Lihatlah peranan lalat - menerusi mata dan derianya ia berjaya melaksanakan kerjanya dengan prestasi yang sangat tinggi memenuhi sasaran Key Result Areas [KRA] yang ditetapkan oleh Penciptanya. Tidak ada sampah sarap,  kotoran, bangkai dan najis yang ditolak daripada senarai semak kerjanya untuk digarap dan dilupuskan sepenuh ketaatan hati bagi membersih, memantap dan mengimbangi alam sekitar ciptaan Tuhannya. Lalat @lias langau diberi mata oleh Allah berserta deria hidu jarak jauh yang canggih untuk mengesan bau busuk bagi memudahkan kerjayanya. Lalat@langau tidak pernah komplen tugasannya. 

Bagaimana pula dengan lebah - melalui matanya ia membina kerjayanya mengutip madu yang tersimpan dalam kelopak bunga untuk menghasilkan madu yang sedap rasa, untuk dimanfaatkan oleh manusia membangunkan tenaga, merawat berbagai jenis penyakit, awet muda dan macam-macam lagi.  Lebah yang menggilai  bunga-bunga telah membangunkan industri madu dan menceriakan kehidupan manusiawi.


Melihat kepada peranan lalat dan lebah yang begitu rajin dan taat menimbulkan persoalan mengapa lalat tak suka bunga dan lebah pula tak berminat pada bangkai@najis? Sedangkan manusia pula iaitu jenis homo sapien/homo erectus dilihat mempunyai bermacam kesukaan dan minat = cenderung kepada kebaikan/makruf dan ada yang condong kepada maksiat dan mungkar. Kata ilmuan, lalat walaupun terbang dalam kebun dan taman bunga derianya tak peka kepada keharuman dan kebagusan madu - ia masih teruja dengan bau bangkai dan najis yang bersepah di hujung kampung. Begitulah pula halnya dengan lebah, kendatipun terbang merentasi  kawasan yang dipenuhi dengan kotoran dan najis, ia tetap mencari-cari bunga yang mekar mewangi yang tumbuh terselit di situ. 


Dalam kehidupan manusiawi, mata dan deria ala lebah ini sangat penting untuk memandu dan menyelamatkan manusia dalam  setiap tindakannya. Mata jenis lebah ini cekap mencermati dan menilai perkara-perkara yang baik dan bermanfaat untuk dilakukan dalam kehidupan bagi diri sendiri dan orang lain. Seandainya kita memiliki mata spesifikasi lalat, kita amat tangkas dalam mengerumuni perkara-perkara kejahatan dan dosa. Kehidupan manusia stail mata lalat, membahayakan diri dan membebankan masyarakat. Kalau hidup kita hanya membebani masyarakat, lebih baik kalau kita mempunyai mata kayu. Spesifikasi mata kayu tidak membahayakan sesiapa, kecuali pemiliknya sebab ia tidak nampak apa-apa. Bila tidak nampak apa-apa, ia tak panjang angan-angan dan cita-cita hendak buat perkara jahat dan sia-sia. Langkahnya terhad dan perlu bantuan dan simpati orang sekelilingnya untuk ia bergerak dan melakukan aktiviti. Dosa matanya tidak ada, kecuali dosa yang terlahir daripada perbuatan anggota badan yang lain.


Ayuh! sila semak mata masing-masing dan dapatkan rawatan segera daripada murobbi yang pakar menyembuhkan pandangan mata melalui rawatan hati. Kawan-kawan,  pandangan mata manusia rosak bukan karena matanya itu sakit tetapi hatinya yang rosak dan derita lantaran tidak terpenuh dengan santapan ruhiyah yang sangat didambakan hati.


Nah! Fikir fikirin....


Wallahu'alam.


15 Januari 2011

0 comments: