Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

CARA HIDUP LEBIH PENTING DARIPADA CARA MATI

CARA HIDUP ditentukan oleh cara fikir. Cara fikir membangunkan fikrah seseorang mukallaf. Kenapa pembangunan fikrah penting dalam kehidupan insan? Tidak lain karena ia adalah asas pembentukan dan pengembangan watak, pandangan hidup, jiwa, nilai budaya, keperangaian dan arahtuju kehidupan. 

Seorang mulhid@atheis, terbina fikrahnya dengan bersandarkan kepada rasional @ aqliyah bahawa segala benda, bernyawa atau tidak bernyawa tercipta tanpa campurtangan Sang Pencipta. Lalu berdasarkan premis sedemikian, ia tidak mempedulikan wahyu sebagai informasi untuk memperjelaskan tentang alam malakut dan perkara ghaibiyah yang tidak dapat diterokai aqal cebisan. Justeru aqal padanya adalah segala-galanya. Apa yang tampak dan nyata dipercayai wujud, apa yang tidak dapat diimbas oleh sebarang deria terutamanya deria lihat, ia dianggap tidak wujud dan bathil. Maka watak yang tercipta daripada pemikiran yang berlandaskan semata-mata aqal ini, memunculkan insan yang berjiwa bebas daripada ikatan ketuhanan, agama dan nilai masyarakat yang terpandu dan terpimpin  oleh adunan hukum, peraturan dan adat yang terpusat kepada Tauhid. 


Begitulah juga halnya dengan peribadi-peribadi bengkok yang dibentuk oleh ideologi ciptaan manusia lainnya seperti kapitalisme, liberalisme, eksistensialisme, sosialisme, komunisme dll, semuanya menjurus kepada pelarian daripada tauhid/pencipta agung. Mereka menggelarkan diri mereka sebagai bebas dan berfikiran lepas terbuka. Hakikatnya mereka terkurung dalam diri mereka sendiri, terpenjara dalam alam yang luas terbentang tanpa mengenal diri, pencipta dan destinasi akhir tempat kembali. Personaliti bengkok yang seperti ini kedapatan ramai dalam pasaran terbuka - menjaja slogan-slogan muluk bagai agen Dajjal untuk memerangkap dan menyesatkan anak-anak Adam yang kurus pengetahuan dan tohor iman. 


Abu Jahal @ Abu Lahab & Co., dengan cara fikir jahiliyahnya mencipta perseteruan dan penentangan terhadap deen Allah. Melakar cara hidup yang taksub kepada sistem jahiliyah nenek moyang atas sentimen dan kepentingan duniawi. Merasa izzah dan hebat dengan kemajuan dan kekayaan ekonomi serta kudrat sendiri. Mereka tidak perasan bahawa kemajuan dan kekayaan ekonomi dan kudrat serta kuasa yang dipinjamkan Al-Dayyan boleh ditarik bila-bila masa tanpa notis.


Manusia yang melakar kehidupan ala Abu Jahal & Co. sering menyibukkan diri dengan rutin biasa mencari rezki di darat dan lautan, tanpa berhenti sejenak untuk memikirkan apakah rutin mencari makan itu adalah segala-galanya dalam erti kehidupan insan. Apakah menjadi manusia biasa yang hanya self centered dan tidak peduli persoalan dan masalah ummah sudah cukup syarat untuk masuk syurga Allah? Apakah memadai kalau sempat menunaikan Haji dan berkebetulan mati di Makkah berkemungkinan mendapat tiket dan pas terus untuk masuk jannah? Ramai orang fikir kalau kita mati dalam keadaan dan tempat tertentu yang baik, kita boleh lalui laluan hijau ke syurga. 


Cara mati sebetulnya ditentukan oleh cara hidup. Jika hidup kita bergelumang dan berselirat dengan maksiat, dosa dan mungkar; kata para alim, mereka akan mati dalam keadaan mereka sedang melakukan  maksiat itu. Bagaimana mungkin seorang yang tidak suka solat boleh mati dalam keadaan sujud; seorang penzina boleh wafat kena serangan jantung dalam situasi qiam dalam masjid dan bukan di lorong-lorong merah. Ini adalah logika biasa, lainlah kalau Allah hendak menyelamatkannya atas iradah atau sebab tertentu. Kebarangkalian seperti ini tidak boleh dijadikan asas perkiraan dalam kehidupan Muslim, karena ianya adalah satu pemberian dan rahmat yang Allah sahaja berkuasa ke atasnya mengikut tilikan dan kasih sayangNya. 


Abu Jahal & Co. mati di Makkah dalam keadaan menentang Allah dan Rasul = sudah pasti tidak bagus kematiannya. Berbanding sahabat Nabi yang juga ditimpa musibah kematian di tanah suci tetapi dapat akreditasi syahid daripada Allah. Sahabat-sahabat Nabi yang lain ramai yang tidak wafat di Makkah atau Madinah, malah terkubur jauh di perantauan persada dunia negeri asing karena menjalankan kerja-kerja dakwah Islam, seperti Saad Abi Waqas yang bersemadi di Cina. 


Justeru kita kena insaf dan faham bahawa kalau kita hidup atas makna kesyumulan Islam dan kita melaksanakan tugas-tugas dakwah yang dipusakakan oleh Nabi, itulah sebaik-baik kehidupan karena kita berada dalam suasana sentiasa menyampaikan kebenaran dan memberi kebaikan kepada manusia lantaran cinta kepada kebahgiaan abadi untuk semua. Oleh itu formula hidup yang mesti kita ingat dan pegang adalah: cara fikir = cara hidup = cara mati > bertemu Allah dalam keadaan sejahtera iman > InsyAllah dipermudahkan masuk jannah.


Wallahu'alam


25 Januari 2011



MATA LALAT VS MATA LEBAH VS MATA KAYU

Semua makhluk Allah dianugerahkan mata, satu pancaindera yang sangat penting dan tak ternilai kegunaannya. Lipas, lalat, lebah dan binatang lainnya mempunyai jenis mata masing-masing termasuklah manusia. Sekiranya terbuta mata tidak ada alat ganti dalam pasaran terang dan tak mudah pula untuk mendapat bekalan daripada pasaran gelap.  Mata berfungsi  membantu makhluk manusia dan haiwan untuk melihat, menatapi, memerhati dan mengenali alam benda. Segala ta'akulan ke atas alam benda menjadi sumber asas untuk membina kefahaman alam bukan benda @ alam ghaib @ hakikat kewujudan semua benda > membantu menjelaskan makna kehidupan.

Lihatlah peranan lalat - menerusi mata dan derianya ia berjaya melaksanakan kerjanya dengan prestasi yang sangat tinggi memenuhi sasaran Key Result Areas [KRA] yang ditetapkan oleh Penciptanya. Tidak ada sampah sarap,  kotoran, bangkai dan najis yang ditolak daripada senarai semak kerjanya untuk digarap dan dilupuskan sepenuh ketaatan hati bagi membersih, memantap dan mengimbangi alam sekitar ciptaan Tuhannya. Lalat @lias langau diberi mata oleh Allah berserta deria hidu jarak jauh yang canggih untuk mengesan bau busuk bagi memudahkan kerjayanya. Lalat@langau tidak pernah komplen tugasannya. 

Bagaimana pula dengan lebah - melalui matanya ia membina kerjayanya mengutip madu yang tersimpan dalam kelopak bunga untuk menghasilkan madu yang sedap rasa, untuk dimanfaatkan oleh manusia membangunkan tenaga, merawat berbagai jenis penyakit, awet muda dan macam-macam lagi.  Lebah yang menggilai  bunga-bunga telah membangunkan industri madu dan menceriakan kehidupan manusiawi.


Melihat kepada peranan lalat dan lebah yang begitu rajin dan taat menimbulkan persoalan mengapa lalat tak suka bunga dan lebah pula tak berminat pada bangkai@najis? Sedangkan manusia pula iaitu jenis homo sapien/homo erectus dilihat mempunyai bermacam kesukaan dan minat = cenderung kepada kebaikan/makruf dan ada yang condong kepada maksiat dan mungkar. Kata ilmuan, lalat walaupun terbang dalam kebun dan taman bunga derianya tak peka kepada keharuman dan kebagusan madu - ia masih teruja dengan bau bangkai dan najis yang bersepah di hujung kampung. Begitulah pula halnya dengan lebah, kendatipun terbang merentasi  kawasan yang dipenuhi dengan kotoran dan najis, ia tetap mencari-cari bunga yang mekar mewangi yang tumbuh terselit di situ. 


Dalam kehidupan manusiawi, mata dan deria ala lebah ini sangat penting untuk memandu dan menyelamatkan manusia dalam  setiap tindakannya. Mata jenis lebah ini cekap mencermati dan menilai perkara-perkara yang baik dan bermanfaat untuk dilakukan dalam kehidupan bagi diri sendiri dan orang lain. Seandainya kita memiliki mata spesifikasi lalat, kita amat tangkas dalam mengerumuni perkara-perkara kejahatan dan dosa. Kehidupan manusia stail mata lalat, membahayakan diri dan membebankan masyarakat. Kalau hidup kita hanya membebani masyarakat, lebih baik kalau kita mempunyai mata kayu. Spesifikasi mata kayu tidak membahayakan sesiapa, kecuali pemiliknya sebab ia tidak nampak apa-apa. Bila tidak nampak apa-apa, ia tak panjang angan-angan dan cita-cita hendak buat perkara jahat dan sia-sia. Langkahnya terhad dan perlu bantuan dan simpati orang sekelilingnya untuk ia bergerak dan melakukan aktiviti. Dosa matanya tidak ada, kecuali dosa yang terlahir daripada perbuatan anggota badan yang lain.


Ayuh! sila semak mata masing-masing dan dapatkan rawatan segera daripada murobbi yang pakar menyembuhkan pandangan mata melalui rawatan hati. Kawan-kawan,  pandangan mata manusia rosak bukan karena matanya itu sakit tetapi hatinya yang rosak dan derita lantaran tidak terpenuh dengan santapan ruhiyah yang sangat didambakan hati.


Nah! Fikir fikirin....


Wallahu'alam.


15 Januari 2011

MERENCANA KEHIDUPAN KEDUA DENGAN MEMBANGUNKAN KEKAYAAN JIWA

DALAM kehidupan kita perlu sentiasa berfikir bagaimana hendak menjadi manusia yang mengundang kekaguman Allah, setelah menikah dalam rangka untuk merealisasikan kesempurnaan agama; selain membina rumah tangga Muslim, menjaga keimanan hati, menjana pahala daripada harta benda yang Allah anugerahkan meskipun menghadapi kekangan masa  dan amal kita diganggu oleh kesibukan, sakit serta hambatan lain.

KENDATIpun dalam kesibukan masa yang sentiasa mencengkam dan kelelahan tubuh yang mendambakan kerehatan, namun untuk meraih anugerah kebaikan di akhir kehidupan, kita mesti tega berjuang bergelut merebut setiap saat berlalu dengan menghasilkan amalan terbaik, tanpa sesaatpun tertumpah. Sebab itu kita  perlu merencana kehidupan kedua dengan amat teliti dan sungguh-sungguh. Pastikan kehidupan kedua adalah kehidupan terbaik mengatasi kehebatan kehidupan dunia. Ini adalah karena kehidupan akhirat adalah final chance sedangkan kehidupan dunia adalah first chance serta tapak semaian kepada merangkul kebagusan dan kelestarian hidup hebat dan abadi. Inilah life style yang perlu terbentuk dalam minda seorang Muslim, dan menjana need achievement yang mahu dicapai  iaitu gaya hidup manusia beriman dan bertaqwa yang mendapat kerahmatan tanpa batas daripada Allah SWT.

MERENCANA kehidupan kedua yang berjaya memerlukan perancangan strategik. Perancangan strategik yang dibuat oleh organisasi kecil atau besar biasanya dibuat dalam dua cara : jangka pendek & jangka panjang. Perancangan jangka pendek perlu dilaksanakan dahulu sambil merangka pelan jangka panjang yang lebih mantap untuk memberi impak kelangsungan sesebuah organisasi. Impak yang besar dan berkesan bergantung kuat kepada sejauhmana perkara-perkara yang dirancang itu bersifat strategik dan berdayasaing atau sebaliknya. Kalau begitu apa maknanya strategik? Ringkasnya strategik bermaksud tindakan yang dirancang dan dilaksanakan itu terpenting  dan paling utama dalam mencapai keberkesanan maksimum bagi menjamin  kelangsungan dan hayat sesuatu organisasi.  Sama halnya dengan manusia, jika ia mahu menjaga kelangsungan hidupnya yang baik dan bermakna di dunia dan akhirat, semua perkara yang bisa dibuat dahulu terutamanya yang wajib dan amalan sunnah kecil mesti dimulai tanpa bertangguh lagi. Komitmen terhadap perkara dan hal-hal besar dalam kehidupan Muslim mestilah pula terus diteliti, dirangka dan ditentukan tarikh pelaksanaannya supaya kesyumulan Islam berlaku dalam kehidupan kita. Pendekata, daripada amalan yang asasi [solat, puasa, zakat, haji] berubah dengan dinamis ke arah penyempurnaan ikrar syahadah dengan berinfaq dan berkorban harta, masa, tenaga dan nyawa bagi menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Bukan sekadar beribadah pada takok lama dengan melakukan amalan asasi@wajib tanpa melakukan peningkatan ilmu, fikrah, amalan sunnah yg dituntut, penglibatan dalam kegiatan kemasyarakatan dan lainnya, bagi menjana taqwa dan meraih keredhaan Allah. Masa dipergunakan sepenuhnya untuk membangunkan diri, masyarakat dan Islam.


JUSTERU, dalam merenangi dan merentasi kehidupan duniawi yg terpaksa menggeluti berbagai cabaran dan tribulasi, modal yang sangat penting untuk membantu kita ke arah menggapai kejayaan mutlak adalah kekayaan jiwa. Apa itu kekayaan jiwa? Kekayaan jiwa terbahagi kepada 2 iaitu:  kekayaan hati + kekayaan Rabbani.

KEKAYAAN hati adalah: bentuk kekayaan tertinggi menurut Ibnu Qaiyyim & Ibnu Taimiyyah. Ia dikatakan tertinggi karena  manusia yg dapat merasainya tidak akan pernah merasa miskin buat selama-lamanya. Rasa kebergantungannya kepada Allah sangat ngetop [optimum]. Ia tidak mempercayai harta duniawi sebagai sumber yg memberi ketenteraman dan kebahagiaan yang mutlak. Ia adalah benda yang boleh datang dan hilang bila-bila masa, sedangkan Allah adalah dzat yang mencipta dan menganugerahkan kepada manusia harta benda itu. Jadi mana lebih kuat dan hebat - yang mencipta dan menjadikan harta kekayaan atau benda yang diciptakan? Sebab itulah orang yang bijaksana memandang kekayaan materi sebagai kekayaan yang rendah sifatnya. Ia tunduk kepada Allah dan pasrah kepada hukum dan ketentuan Allah secara total. Ia tidak mempertikai apatah lagi menentang hukum dan peraturan yg ditetapkan Allah ke atasnya. Ia suka kepada apa yang Allah suka, ia tidak ingin kepada apa yang Allah benci. Ia taat kepada Allah dengan sesungguh hati bukan auta. Selain terbebasnya ia daripada kebergantungan kepada materi duniawi dan tidak menentang hukum dan peraturan Allah, ia bebas daripada permusuhan terhadap sesama manusia karena merebut harta dunia. Hatinya  tawakkal, redha dan aman daripada runtunan rasa gelisah mahu memiliki keseronokan yang palsu. Ia tidak memusuhi manusia kecuali untuk membela hak Tuhannya. Permusuhannya karena berhukum dengan undang-undang dan peraturan Allah. 


KEKAYAAN Rabbani adalah: rasa hati yang tinggi yang memerlukan Allah mengatasi keperluan kepada  yang lain. Rasa kefakiran kita terhadap Allah begitu padu membuahkan kekayaan sejati. Rasa sebegini hanya akan terbit dengan berasaskan 2 ilmu: pengetahuannya tentang Tuhannya & pengetahuan tentang dirinya. Jika tingkat pengetahuan kita tentang Tuhan sebagai memiliki kekayaan yang mutlak, maka kita berasa insaf bahawa diri kita memiliki kefakiran mutlak. Barangsiapa menyedari bahawa Penciptanya mempunyai kekuasaan sepenuhnya, nescaya ia menginsafi dirinya memiliki kelemahan sepenuhnya. Begitulah seandainya kita mengetahui Tuhan memiliki kemuliaan mutlak, sudah tentu pula kita menerima bahawa diri kita mewarisi kehinaan yang mutlak. Kesedaran dan keyakinan sebegini mencetuskan rasa paling kaya, bahagia dan paling mulia di dunia dan akhirat.


MERANCANG untuk menemui Allah dengan kemuliaan dan mendapat keredhaanNya memerlukan kesedaran luarbiasa untuk meningkatkan amal Islami secepat mungkin, memandangkan usia semakin singkat setiap saat berlalu. Kepedulian kepada segala amalan sunnah terus ditingkatkan sehingga menjadi mendarah daging mencetuskan rasa rindu yang tak pernah malap untuk bersua dengan Allah SWT. Akhlaq kita dengan Allah, Rasulullah SAW, Quran, manusia, alam sekitar, haiwan dan serba serbi lainnya perlu berjalan dengan baik berlandaskan ajaran agama. 


JANGAN lupa berfikir, merancang, melaksanakan sungguh-sungguh dan bermuhasabah untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan kedua. Sentiasalah memohon kekuatan dan keampunan Allah SWT di atas kelemahan dan kelalaian kita sebagai hamba yang penuh kehinaan. 


Wallahu'alam
4 Januari 2011