Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

KECIL-KECIL JADI ANAK , BESAR-BESAR JADI ONAK

Ramai pasangan yang telah berkahwin sangat mengingini anak untuk menambatkan kasih sayang antara suami-isteri. Ia juga bertujuan bagi menghunjamkan ground anchor sedalam mungkin agar merawat cinta kasih terus bersemi, menyemarakkan taman wangi dengan kehadiran  anak-anak kecil, menyegarkan baitul Muslim.Sewaktu masih kecil, anak adalah laksana permata hati, dibelai manja, dijagai sepenuh hati karena khuatir kesihatan dan keselamatannya terganggu. Siibu dan ayah memberi apa saja yang diminta dan dikehendaki anak karena kasih sayang yang tidak terperi. Sambil menanti ia membesar di depan mata setiap hari. Hati siibu dan ayah tetap riang dan girang walaupun terpaksa mengharungi duka nestapa mencari rezki.

Siibu dan ayah sering memikirkan tadika dan sekolah manakah yang mesti dihantar untuk mendapat bimbingan dan didikan apabila sianak telah cukup umur nanti. Kalau boleh mahu dikirimkan ke tadika  dan sekolah yang ada tarbiyah Islam supaya anak-anak terdidik  dengan nilai-nilai kebaikan dan kebenaran sejak dari umur muda. Perkara ini sangat penting karena menyedari uruf di luar begitu rosak dan keliru dengan makna dan halatuju hidup. Acuan kehidupan Islami di luar lingkungan rumah telah menjadi kelabu asap - susah bagi sianak hendak mengenali Islam secara nyata dan jelas. Arus budaya busuk kampung dan kota sama saja menyongsong  dan mengheret semua anggota masyarakat kepada nilai materi dan hedonisme. Keruntuhan demi keruntuhan berlaku dalam nilai tradisi kehidupan Islami dicemari oleh gejala dan gelagat fasad yang berlaku atas nama kemodenan dan kebebasan berexpresi.


Kepungan tarbiyah Islami yang disediakan sewaktu sianak masih kecil mentah sehingga ke peringkat menengah tidak tertahan membendung asakan ganas banjir busuk yang deras melanda kampung dan kota. Ramai anak-anak terkapai-kapai dalam gelombang besar yang deras dengan keseronokan jasad - menghidu gam, merempit motorsikal, merendek di sana sini, memukul kawan sekolah dan guru, melepak macam anjing liar tak bertuan, melarikan diri dari rumah atas sebab yang tak menentu, berpesta seks rambang di taman bunga/dataran umum/bumbung bangunan, membuang bayi macam berak di jalanan, gangsterisme  dan membunuh. Kemuncak kepada gelagat gila dan kebengkokan peribadi, diakhiri dengan bunuh diri ala muda mudi Barat dan Jepang yang kini kian meningkat - petanda dan mercu kemodenan  zaman kegemilangan materi melampau. 


Anak-anak kecil /remaja/dewasa sering dilaporkan hilang dari rumah oleh media. Ada yang hilang karena diculik penjahat @ disambar pedagang daging mentah @ lari kahwin ikut Mat Bangla/Indon/Myanmar @ ponteng sekolah dengan berpoyaan di pusat peranginan dan macam-macam lagi jenis 'pelarian'. Tambatan hati pada rumah sendiri dan keterikatan hubungan dengan keluarga menjadi semakin hambar. Anak-anak semasa kecil suka ikut ke mana  saja siibu dan ayah pergi, hatta hendak masuk jambanpun mereka hendak ikut juga kalau dibiarkan.  Jika diajak bertandang melawat rumah  emak saudara  dan sepupu sepapat  untuk menghadiri kenduri kahwin @  sakit demam dan kematian,  sangatlah liat  hendak  setuju pergi.  Lama kelamaan kalau dibiarkan mereka tak  akan kenal adik  beradik dan keluarga  besar lantaran tidak  gemar bersosialisasi@bermayarakat dengan keluarga sendiri.  Kekadang naik rimas juga dibuatnya terutamanya semasa kepala tengah bengang lantaran stressss tugas yang berat. Namun mereka dalam apa jua keadaan,  sangat menghiburkan siibu @ bapa buat menghilangkan  linu-linu di kepala. Kasih sayang tetap terpahat dan mekar sepanjang zaman karena sentiasa bertanggungjawab membesarkan, mendidik dan mengharapkan suatu hari nanti mereka akan menjadi individu yang kenal Tuhan dan taat kepada tuntutan agama, mengasihi ibu bapa, berilmu dan menjadi pendokong risalah kebenaran dan sanggup menggalang jasad dan nyawa mempertahankan Islam daripada serangan musuh baik nyata atau tersembunyi. 


Ternyata apabila mereka sudah besar, impian tidak selalunya menjadi kenyataan. Realiti memaparkan kisah-kisah sedih dan pilu. Sianak lebih gemar dan suka pergi ke rumah  kawan, bermain sampai lewat senja hingga tak sempat solat jemaah di masjid/surau bersama. Pulang saja ke rumah terus mandi-mandi dan solat ekspress terus beruzlah dalam bilik  ala Hokikomori. Kalau sudah dapat tangkap tetikus, dia terus  masuk ke alam fantasi  berbicara dengan komputer tanpa menyedari  keluarga kehilangan ahli. Mereka lebih gemar berbicara slanga kutu dan bahasa sms yang kematu sehingga kehilangan kepandaian berbahasa apatah lagi berbudi. Nasihat kawan rakan didengari dan diambil berat diikuti, sedangkan pandangan dan tunjuk ajar ibubapa tak dipeduli. Inilah jenis anak muda keluaran dunia moden penuh kegilaan materi dan budaya sensate. 


Tarbiyah dan program yang menganjur kepada pembinaan ruh dan minda segar dan celik agama tak mendapat sambutan. Kedinginan hati anak muda terhadap tarbiyah merupakan gejala yang menjahanamkan mereka sendiri karena lambat atau tidak berlakunya perubahan paradigme yang sangat diperlukan untuk melayari kehidupan dengan betul dan selamat sampai ke pantai akhirat. Justeru, macam mana payah dan sulit sekali menggalas masuliyah membesarkan anak-anak, walaupun patah kandar menerjang simpang siur masalah kehidupan, janganlah dibiarkan terlepas pegangan dan ikatan iman dan kasih sayang sehingga membiarkan mereka terlepas ke daerah musuh - menjadi musuh Allah swt.  Cabaran membesarkan dan mentarbiyah anak-anak kini, bagaikan terjebak dalam onak dan duri, berpusing luka, menggelupur apatah lagi. Semoga Allah mengasihani dan merahmati para ibubapa yang kental dan gagah menghadapi ujian setiap tika dan terus  memainkan peranan  murabbi untuk mengajak anak-anak mentaati Allah, tidak terkalahkan oleh  serangan  musuh  yang sentiasa akan menyambar peluang. Percaya dan yakinlah, hari-hari yang mendatang adalah hari-hari untuk Islam - agama Allah ini akan berdiri tegak kukuh semula untuk memberi kerahmatan kepada seluruh alam. Justeru semua orang Islam perlu laksanakan tanggungjawab mengurus setiap Baitul Muslim dengan baik dan bersikap cemburu terhadap sebarang rupa maksiat dan keburukan yang berlaku dalam masyarakat yang mungkin menyerkap anak-anak kesayangannya. Tidak ada jalan lain melainkan tarbiyah yang berterusan sehingga ke akhir hayat bagi mempertahankan  kekuatan jiwa dan akhlak dalam kalangan anak-anak, orang dewasa dan tua abad ini. Inilah satu-satunya jalan yang Rasulullah saw  tunjuk kepada ummatnya untuk diikuti dan membudayakannya dalam kehidupan baitul Muslim.


Wallahu'alam
1 November 2010

2 comments:

Salam;

Ibubapa perlu merancang pendidikan anak sejak memilih pasangan hidup.
Begitu juga semasa melakukan hubungan kelamin juga perlu berdoa sptmana yang diajar oleh Rasulullah. Minta dijauhkan drp godaan syaitan.

Dlm kandungan ibu juga anak perlu dipedengarkan dgn bacaan Quran terutamanya bacaan ibunya sendiri.

Begitu juga bila dilahirkan. 3 tahun yang pertama sangat kritikal kerana dlm tempoh berkenaan berlaku pembentukan rangkaian neuron yang memerlukan rangsangan yang positif. Lagi banyak ilmu dirakamkan dlm minda anak-anak, bertambahlah kecerdasan anak berkenaan.

Pendidikan Islam kepada anak sebelum usia 10 tahun akan memberikan kekuatan kepada anak2 utk beramal dengan didikan Islam apabila meningkat remaja.

Zaman remaja penuh dengan tarikan dan godaan yang mencabar dan melalaikan. Sekiranya anak-anak hanya diberi bekalan wang atau makanan tanpa bekalan iman sudah tentu akan hanyut bersama-sama arus perdana yang sering mengajak kepada keseronokan, hiburan dan memmuaskan hawa nafsu semata.

Sekiranya anak menjadi onak perlu disoal siapa yang memproses atau mencorak anak menjadi ONAK?

Wallahu'aklam.

Maaf sekiranya mengguris perasaan.

 

Memang tarbiyah dan ta'dib mesti berlaku dan terus berjalan sejak dari tapak semaian dipilih. Proses pemilihan tapak semaian anjuran Rasulullah saw sekarang tidak lagi dipedulikan oleh pasangan yg mahu berumahtangga. Harapkan badan besar, tampan, cantik dan cukup umur serta ada kerja bagus = wang banyak. Kriteria lain tak masuk kira. Nilai Agama yg perlu jadi perkara aulawi tidak dilihat sebagai mustahak oleh pasangan @ makbapak karena benda tu tak ada nilai ekonomi! Orang moden mengukur semua hal dari sudut benda = sehingga jadi manusia kebendaan. Yang tak nampak [agama,barakah,dll] tidak lagi dipercayai. Sebab itulah kalau kita buat survey dlm kalangan manusia zaman ini tentang Hari Berbangkit dan balasan syurga neraka - tak ramai yg yakin, w/pun mulut kata percaya. Sebab perbuatan/tindakan/lisan/perangai/gaya hidup tak membayangkan mereka nak hidup semula selepas mati/ada mizan dan neraka menanti. Mereka hidup dlm Krisis Makna Diri yang tak berkesudahan....pandai tapi tak cerdik, merancang untuk hidup di dunia tapi bodoh merancang utk kehidupan Akhirat...