Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

KENAPA HARUS BERADA DALAM MAJLIS ILMU@DAKWAH?

Abu Hurairah ra. berkata, "Ya Rasulullah, mengapa ketika kami di sisimu, hati kami menjadi lembut, kami bersikap zuhud terhadap dunia dan kami menjadi ahli akhirat. Namun setelah keluar dari sisimu, bergaul dengan keluarga kami dan mencium anak-anak kami, kami [berubah sehingga kami] mengingkari diri kami sendiri?" Rasulullah saw menjawab, "Seandainya setelah kamu keluar dari sisiku lalu keadaan kamu tetap seperti di sisiku, nescaya malaikat akan mengunjungimu di rumah-rumah kamu. Seandainya kamu tidak berbuat dosa, nescaya Allah akan mendatangkan generasi baru sehingga mereka berbuat dosa, lalu Ia akan memberikan ampunan kepada mereka" HR. Ahmad dan Tirmidzi.

Hadith ini menjelaskan bahawa suasana dan sekitaran majlis dakwah @ ilmu Nabi saw yang dihadiri para sahabatnya dipenuhi dengan kekhusyukan jiwa, ketundukan hati kepada keagungan Allah swt. Takut kepada siksaan dan murkaNya berserta pengharapan yang tinggi untuk mendapat redha dan syurgaNya  telah memenuhi relung hati mereka. Inilah suasana ruhiyah yang sepatutnya didambakan oleh setiap insan yang cenderung untuk meraih syurga Allah. Hanyasanya inilah atmosfera yang boleh mendidik dan menyejukkan dan melunakkan hati yang tidak dapat dinikmati apabila kita menjadi liar dan tidak mahu duduk dalam atmosfera tarbiyah. Tarbiyah itu mendidik, menyemai dan menganyam rasa hati yang tulus mengenali makna kewujudan, makna diri, akhir perjalanan hidup dan tempat kembali yang muktamad. Dengan bekalan daripada tarbiyah kita kembali kepada keluarga dan masyarakat untuk membina keluarga Islami dan berkongsi fikrah dengan masyarakat dan mengajak kepada makruf dan membenci @ mencegah mungkar. Laksana bateri kereta, apabila kita pakai, ia akan discharge tenaga yang kemudiannya perlu di recharge untuk digunakan seterusnya sehingga ia konk-out. 

Semua jiwa manusia perlu kepada iman. Dan iman perlu dijaga, dibelai, ditambah menerusi konsultasi dengan pendidik @ murabbi sepertimana para sahabat memerlukan keberadaan Nabi saw bagi membimbing dan mengisi  ketandusan jiwa hatta mengkoreksi kekurangan  dan kemunduran iman masing-masing.

Hati dan jiwa insan yang hadir dalam majlis ilmu @ dakwah dipenuhi dengan kelembutan dan kelunakan serta kekhusyukan lantaran intensiti @ kekuatan zikir yang berlaku semasa majlis berlangsung. Dalam majlis ilmu @ dakwahlah kita akan merasai :-


  • riqqatul qulub =  kesegaran/kenyamanan/kelembutan hati dan jiwa.

  • az-zuhdu fid dunya = rasa hati terongkai dari belitan dunia karena tahu bahayanya.  

  • ar-raghbah fil akhirah = hati dan jiwa dipenuhi dengan rasa kecintaan    kepada akhirat dan kerinduan syurga.
Ayuh! Marilah melawat taman-taman syurga di dunia yang bisa dijumpai di mana-mana saja di sekitar residensi kota, pinggiran bandar dan desa pingitan. Taman-taman syurga tidak terjumpa dalam majlis-majlis tari menari, dung-dude, karaoeke, kelab berdengung dan nama-nama lain yg setaraf dengannya. Tempat-tempat seperti itu tidak diiktiraf sebagai taman syurga dan Allah tidak menjanjikan ketenteraman karena Dia hanya menurunkan  dan melimpahkan rahmatNya kepada taman-taman ilmu dan dakwah dengan malaikat ditugaskan menaungi mereka yang hadir dan memasukkan mereka ke dalam kelab orang-orang yang dekat dengan Nya.

Wallahu'alam

24 September 2010

0 comments: