Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

JENIS-JENIS MANUSIA YANG TERHASIL DARIPADA MAJLIS ILMU@DAKWAH

Para pengunjung dan peminat majlis ilmu masing-masing sering mengalami suasana yang berbeza setamat sesuatu sesi majlis. Perkara ini tergantung kepada niat seseorang dan hidayah Allah swt. 

Terdapat 3 kelompok manusia selesai sesuatu sesi:-
  • mereka yang kembali menurut hawa nafsu  dan tidak terpengaruh sedikitpun dengan apa yang didengari dalam majlis ilmu@dakwah. Tidak ada peningkatan kebaikan dan tidak pula segan silu melakukan berbagai kemaksiatan. Mereka adalah seburuk-buruk manusia. Segala ilmu dan penjelasan yang didengari akan menjadi hujah @ bahan bukti untuk dibicarakan di hadapan Allah untuk menghukum mereka tanpa mereka dapat mempertahankan diri lagi. Mereka adalah orang-orang yang menganiaya diri sendiri, karena tidak menggunakan hati,pendengaran dan penglihatan yang diberikan oleh Allah swt.
  • mereka yang mampu mengambil pelajaran dari apa yang didengar sehingga terdorong untuk menjauhkan diri dari perkara yang diharamkan dan melaksanakan apa-apa yang diwajibkan. Mereka adalah  kelompok al muqtashiduun dari golongan kanan.
  • mereka  yang mampu mengambil pengajaran dari apa yang  disampaikan sehingga mendorong untuk menjauhkan diri dari hal-hal yang makruh selain perkara yang diharamkan serta melaksanakan perkara yang sunnah di samping yang wajib. Mereka  adalah kelompok as-saabiquunal muqarrabuun.   
Orang-orang yang pulang ke rumah dengan membawa bekalan ruh dan terus berusaha menjaga suasana majlis ilmu di tengah-tengah kehidupan rumah tangga dan aktiviti keduniaan pun terbahagi kepada beberapa kelompok :-

  • mereka yang kembali kepada kesibukan dunia yang halal sehingga hati mereka terlena dan kehilangan suasana yang dipenuhi dengan rasa keagungan Allah, janji dan ancamanNya, serta pahala dan siksaNya. Lantaran makrifah mereka yang sempurna dan rasa takut yang hebat, mereka khuatir kealpaan itu sebagai tanda kemunafikan. Lalu mereka merujuk dan mencari penjelasan dan panduan daripada para ulama.
  • mereka yang mampu mewujudkan suasana majlis ilmu dalam kehidupan seharian dan hati mereka tetap merasai semacam masih duduk dalam majlis zikrullah. Hati mereka sibuk dengan zikir sehingga lupa kepentingan duniawi, memutus hubungan dengan masyarakat dan merasa  tidak tahan untuk berbaur dan memenuhi hak-hak mereka.
  • mereka yang berupaya menghadirkan keagungan dan kebesaran Allah,janji, ancaman,pahala dan siksaNya dengan hati dan jiwa. Mereka melibatkan diri dalam semua bidang keduniaan dengan jasad mereka iaitu mencari rezki halal, melayani keluarga, berkomunikasi dengan masyarakat yg menjana manfaat duniawi dan akhirat ie. mengajar ilmu, j-i-h-a-d, amar makruf dan mencegah mungkar. Mereka inilah kelompok terbaik, pewaris Nabi. Sayidina Ali ra. berkata: "mereka menemani dunia dengan badan, sedangkan ruh mereka tergantung di langit yang tertinggi."
Justeru kita kena nilai diri kita betul-betul. Walaupun sentiasa sibuk keluar masuk majlis ilmu@pengajian, jangan sampai  masuk angin keluar asap - habuk pun tak dapat. Ilmu semacam tertumpah atas daun keladi, tak berbekas dan tak membawa apa-apa perubahan positif kepada pembangunan minda, fikrah, akhlak dan watak diri sebagai seorang Muslim mengikut acuan Qurani.


Wallahualam.

29 September 2010

KENAPA HARUS BERADA DALAM MAJLIS ILMU@DAKWAH?

Abu Hurairah ra. berkata, "Ya Rasulullah, mengapa ketika kami di sisimu, hati kami menjadi lembut, kami bersikap zuhud terhadap dunia dan kami menjadi ahli akhirat. Namun setelah keluar dari sisimu, bergaul dengan keluarga kami dan mencium anak-anak kami, kami [berubah sehingga kami] mengingkari diri kami sendiri?" Rasulullah saw menjawab, "Seandainya setelah kamu keluar dari sisiku lalu keadaan kamu tetap seperti di sisiku, nescaya malaikat akan mengunjungimu di rumah-rumah kamu. Seandainya kamu tidak berbuat dosa, nescaya Allah akan mendatangkan generasi baru sehingga mereka berbuat dosa, lalu Ia akan memberikan ampunan kepada mereka" HR. Ahmad dan Tirmidzi.

Hadith ini menjelaskan bahawa suasana dan sekitaran majlis dakwah @ ilmu Nabi saw yang dihadiri para sahabatnya dipenuhi dengan kekhusyukan jiwa, ketundukan hati kepada keagungan Allah swt. Takut kepada siksaan dan murkaNya berserta pengharapan yang tinggi untuk mendapat redha dan syurgaNya  telah memenuhi relung hati mereka. Inilah suasana ruhiyah yang sepatutnya didambakan oleh setiap insan yang cenderung untuk meraih syurga Allah. Hanyasanya inilah atmosfera yang boleh mendidik dan menyejukkan dan melunakkan hati yang tidak dapat dinikmati apabila kita menjadi liar dan tidak mahu duduk dalam atmosfera tarbiyah. Tarbiyah itu mendidik, menyemai dan menganyam rasa hati yang tulus mengenali makna kewujudan, makna diri, akhir perjalanan hidup dan tempat kembali yang muktamad. Dengan bekalan daripada tarbiyah kita kembali kepada keluarga dan masyarakat untuk membina keluarga Islami dan berkongsi fikrah dengan masyarakat dan mengajak kepada makruf dan membenci @ mencegah mungkar. Laksana bateri kereta, apabila kita pakai, ia akan discharge tenaga yang kemudiannya perlu di recharge untuk digunakan seterusnya sehingga ia konk-out. 

Semua jiwa manusia perlu kepada iman. Dan iman perlu dijaga, dibelai, ditambah menerusi konsultasi dengan pendidik @ murabbi sepertimana para sahabat memerlukan keberadaan Nabi saw bagi membimbing dan mengisi  ketandusan jiwa hatta mengkoreksi kekurangan  dan kemunduran iman masing-masing.

Hati dan jiwa insan yang hadir dalam majlis ilmu @ dakwah dipenuhi dengan kelembutan dan kelunakan serta kekhusyukan lantaran intensiti @ kekuatan zikir yang berlaku semasa majlis berlangsung. Dalam majlis ilmu @ dakwahlah kita akan merasai :-


  • riqqatul qulub =  kesegaran/kenyamanan/kelembutan hati dan jiwa.

  • az-zuhdu fid dunya = rasa hati terongkai dari belitan dunia karena tahu bahayanya.  

  • ar-raghbah fil akhirah = hati dan jiwa dipenuhi dengan rasa kecintaan    kepada akhirat dan kerinduan syurga.
Ayuh! Marilah melawat taman-taman syurga di dunia yang bisa dijumpai di mana-mana saja di sekitar residensi kota, pinggiran bandar dan desa pingitan. Taman-taman syurga tidak terjumpa dalam majlis-majlis tari menari, dung-dude, karaoeke, kelab berdengung dan nama-nama lain yg setaraf dengannya. Tempat-tempat seperti itu tidak diiktiraf sebagai taman syurga dan Allah tidak menjanjikan ketenteraman karena Dia hanya menurunkan  dan melimpahkan rahmatNya kepada taman-taman ilmu dan dakwah dengan malaikat ditugaskan menaungi mereka yang hadir dan memasukkan mereka ke dalam kelab orang-orang yang dekat dengan Nya.

Wallahu'alam

24 September 2010

MARILAH HIDUP DENGAN NILAI-NILAI ISLAMI


Islam yang tuntas perlu dilaksanakan dalam kehidupan Muslim. Ia adalah satu tuntutan dan kewajiban terhadap Allah swt. Kalau diperhatikan sekeliling kehidupan kita dewasa ini, tampak sekali betapa banyak lompang-lompang  hidup yang tidak diisi oleh nilai Islami - petak-petak hidup diwarnai sesuka hati. Justeru menjadikan kita manusia Muslim kartu @ nominal sekadar tercatat dalam kartu pengenalan diri, tidak lebih daripada itu. 

Kenapa perlu amal Islami dalam kehidupan kita? Ia diperlukan  karena mahu menghidupkan dan mengharmoniskan nilai-nilai Islam dalam hayat kita sebagai bukti kita sebenarnya redha dengan Allah sebagai Rabb, Nabi Muhammad sebagai rasul@utusanNya dan Islam sebagai deen yang menguasai ke atas kehidupan kita. Kita menyedari bahawa uruf masa kini tidak mendidik manusia ke arah menjiwai Islam lantaran penghayatan Islam hanya berlaku secara sekular. Justeru Islam telah tidak diletakkan pada tempatnya yang tinggi sebagai pengatur kehidupan, ia hanya bersifat carikan dan cebisan kain buruk yang digunakan membalut luka masyarakat sekiranya sudah kehabisan ikhtiar yang lain. Umpama gambaran yang Allah sebutkan dalam Quran tentang sekumpulan manusia yang sedang berada dalam kapal yang dilambung badai taufan di laut. Mereka mohon keselamatan daripada Allah dan berjanji akan mentaatiNya seandai Allah menyelamatkan mereka. Akan tetapi apabila  mereka terselamat dengan izin Allah, mereka melupai janji mereka seolah-olah sebentar tadi tidak ada apa-apa yang berlaku ke atas diri mereka. Inilah sifat degil dan engkar  manusia, bila susah baru hendak berpaut kepada Allah, setelah terasa tidak terancam dan senang lenang - lupa terus kepada Zat yang mengeluarkan mereka daripada bahaya dan kesukaran, yang memberi mereka rezki yang banyak dan rahmat yang tidak terhitung.

ISLAM kini terasing@alien daripada penganutnya sendiri. Orang yg belum Islam apatah lagi pelik melihat gambaran Islam yg dipertontonkan dengan penampilan keliru oleh penganutnya yg mencampuradukkan  nilai indah Islam dengan nilai-nilai biadab dari Timur dan Barat. Inilah tanda-tanda aqidah ummah telah tidak berfungsi. Aqidah yg tidak berfungsi adalah aqidah yg sakit. Bila aqidah sakit, manusia tidak menerima Islam secara menyeluruh  kecuali  mengamalkannya secara tempelan mengikut apa yg disukai sahaja. Pendekata, orang-orang Islam benar-benar jahil terhadap agamanya sendiri.  Pada  mereka  Islam tampak jelek, sukar dan tidak menarik karena menghalang hawa nafsu berbuat onar. Islam yang disukai adalah Islam yang meliberalkan segala kehendak manusiawi.

Islam menjadi asing karena manusia lupa kepada peringatan Allah. Kesannya, Allah menjadikan permusuhan dan persengketaan antara sesama manusia - merebut harta dunia yang sedikit tetapi membiarkan kesenangan dan kenikmatan akhirat yg tak kunjung habis terlepas dengan percuma. Dunia telah menguasai hati dan kehidupan ummat Islam. Mereka makan dan minum persis binatang.


Al Quran didatangkan kepada manusia untuk mendidik - memberitahu manusia bahawa semua problema insan ditanggung beres dengan solusi dinyatakan dalam al Quran. Begitulah sikap generasi awal al Quran, mereka mengambil wahyu Allah sebagai sumber utama mendidik jiwa dan mengawasi kehidupan. Al Quran yang mereka pegang dan amalkan benar-benar berjaya membuang karat jahiliyah. Ia berjaya membentuk fikrah, akhlaq dan segala gerak kerja zahir dan batin berlandaskan nilai Islami. Al Quran bukan sekadar bacaan matannya untuk disayembarakan dengan alunan suara yang merdu dan lunak didengar, tetapi sebagai sebuah gagasan besar yang melahirkan aqidah yang sahih dan salimah yang mampu merobah paksi kehidupan manusiawi - merendah diri kepada Tuhan sarwa alam, tidak syirik dan tidak engkar. 


Jika kita mahu menjadi  manusia yang berjaya seperti generasi didikan Rasulullah saw, kita kena ikut proses pendidikan yang sama yang diltunjuki dan dilalui oleh Rasulullah saw dan para sahabat. Dengan proses ini barulah akan lahir pemuda-pemuda aqidah [rijaluddin] untuk membina semula Islam yang telah tersirna oleh penganut-penganutnya yang tersilau oleh kepalsuan duniawi.


Wahai pemuda dan semua angkatan umur, marilah kita muhasabah dan menilai diri masing-masing dalam 10 hari terakhir Ramadhan ini, sama ada kita telah menghayati Islam sepenuh hati dan tuntas dalam kehidupan:-

     a]  apakah kita hidup bersendirian atau hidup berjamaah@berkomuniti 
          untuk menjaga nilai Islami?
     b]  apakah kita menyempurnakan hubungan sesama manusia?
     c]  apakah kita mengimbangi kedua-dua hubungan kita dengan Allah & 
          manusia?
     d]  apakah hati kita benar-benar terikat dan menurut ajaran Islam dan 
          iman yang ada dalam diri kita dijelmakan dan bukan angan-angan?
     e]  apakah kita mengutamakan kepentingan Islam dalam kehidupan?
     f]   apakah kita berasa izzah@mulia dengan kebenaran Islam dan yakin 
         kepada Allah?


 Allahu Akbar walillahil hamd.. 

03 September 2010