Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

Ruhani : Pemacu @ Pengendali @ Pengemudi Dan Penentu Arahtuju Manusiawi

Ruhani adalah unsur yang tersangat urgen untuk diasuh dan dibina berbanding anasir jasad dan aqal. Kalau kita mahu membina bangunan besar dan tinggi mencakar awan, yang mesti dan perlu dibina dulu adalah asasnya. Asasnya pula mestilah dibina kukuh untuk menerima berat binaan itu. Superstructure bangunan tidak akan berdiri lama jika asasnya lembik macam beleda @ agar-agar. Kegoyahan yang berlaku sehingga menyebabkan ia tumbang bukan kerana ombak seismik, akan tetapi lantaran asasnya yang jerlus kerana punyai banyak cavities @ lompongan. Bayu yang berhembus gemalai pun bisa menumbangkan binaan jenis ini, apatah lagi gempaan dan gegaran bumi berskala tinggi. 


Ruhani manusia pun serupa. Kalau ia lompong dan berongga, masakan ia bisa membawa bebanan tugas sebagai khalifah di muka bumi. Walaupun ia memiliki  ijazah berjela-jela panjang  dan ilmu duniawi yang tinggi serta ketrampilan hebat dalam bidang kepakarannya, ia laksana orang gemuk yang sangat obeis berkaki kecil. Jika perumpamaan ini bisa dipakai, bolehlah kita katakan bahawa seorang yang kecil kakinya tetapi berbadan sangat besar tidak upaya mendorong dan menampung jasadnya berjalan dan berlari. Sedemikian juga halnya dengan ruh yang bonsai tidak pula berupaya memotivasi seseorang untuk mentaati Allah dan Rasul walaupun dari sudut akademiknya ia pintar dan mendalam profesionalismenya. Dorongan untuk tunduk mentaati Allah dan Rasul serta merasai kerdil di hadapan Sang Pencipta bukan bergantung kepada rantaian kelulusan akademia. Karena ramai  berkelulusan  tinggi dari institusi dalam dan luar negara tidak mempamerkan  sifat kehambaan dan kerabbaniyan. Sedangkan ramai pula yang tidak memiliki credentials mempunyai kesedaran Islam yang tinggi dan berserah diri kepada pemilik alam ini. Justeru ini memberi makna bahawa jiwa yang terusap dan tersentuh dengan tuntunan Allah swt akan menjelmakan manusia yang berjiwa dinamis dalam setiap pekerjaan dan patuh tunduk kepadaNya.  Perihal ini terjadi lantaran jiwanya hidup -  yang menghidup dan menjernihkan jiwanya itu adalah ISLAM. 


Lihat saja Almarhum Sheikh Ahmad Yasin di Palestin yang menjadi ikon dan simbol penentangan Yahudi laknatullah, jasadnya  lumpuh dan matanya buta, tetapi berjiwa kental dan penuh semangat juang menyemarakkan obor perjuangan. Semua ini berlaku lantaran pembinaan jiwa/ruh/hati menjadi landasan  kepada pendidikan akademik dan jasadi. Sebab itulah Rasulullah saw pernah bersabda : " Ingatlah dalam diri manusia ada segumpal daging yang jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh dan bila ia jelek maka jeleklah pula seluruh tubuh. Ingatlah bahawa itu adalah hati." [HR. Ibnu Majah].

2 comments:

Tidak berbuat jahat/tidak berniat @ berhati busuk terhdp org lain @ Kata org 'hati biar baik beb'..memadaikah utk mencapai maksud hadits tersebut?

-HM

 

To be good hearted or heart of gold is insufficient.
Many disbelievers have such qualities but void of faith/iman. They sometimes potray themselves as philanthropists doing benovelent jobs, but in the eyes of Allah it is useless and got no rewards from Him. So the essence of the said Hadith is to have faith in Allah swt and to attain taqwa by enjoining good and forbid evil during the course of our entire life. In short a Muslim has to succumb to Islam in totality. Not in bit and pieces.
Wallahu'alam.