Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

Pasca Ramadhan - Mempersiapkan Manusia Menjadi Insan Bertaqwa

       Berkata Ibnu Qayyim, "Puasa memiliki pengaruh yang menakjubkan dalam memelihara jasad, memelihara kekukuhan batin dan mencegah bercampuraduknya berbagai bahan makanan yang merosakkan kesihatan. Puasa memelihara kesihatan hati dan anggota badan, serta mengembalikan lagi hal-hal yang telah dirampas oleh tangan-tangan nafsu syahwat." 
Ia adalah sebesar-besar pertolongan untuk membangun taqwa, sebagaimana firman Allah swt. yang bermaksud; "Hai orang-orang beriman, telah diwajibkan atas kalian puasa sebagaimana yang telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian, agar kalian bertaqwa. [Al Baqarah: 185].

       Mengambil maksud Ibnu Qayyim dan firman Allah swt. di atas,  bolehlah kita fahami bahawa perbuatan puasa itu sepatutnya melahirkan@mencetak keperibadian Muslim yang dikehendaki,  bertepatan tujuan asal perancangan Allah swt. ke atas manusia. Tapi perkara ini tidak terjadi walaupun telah bertahun-tahun berpuasa daripada awal baligh hingga hampir mencecah umur pesara @ pusara. Soalnya kenapa dan mengapa jadi demikian?  Kalaulah kita tamsilkan kepada pegawai/staf sesebuah organisasi yang dikirim untuk berkursus, namun apabila kembali ke kantor masing-masing, tidak ada apa-apa kesan baik atau peningkatan ke atas kemajuan kerja. Asyik-asyik  boss masih kena pantau rapi, gesa,  pujuk dan macam-macam sesi kaunseling ke atas stafnya lantaran sikap masih di takok lama - yakni tiada perubahan.  Soalnya kenapa sikap tidak berubah sedangkan  sudah berapa siri dan jenis kursus serta latihan telah diikuti. Pakar psikologi bernama Mc Clelland telah merumuskan bahawa yang penting dalam diri manusia adalah sikap, motif, trait budaya yang betul dan dinamis. Kelulusan akademik dan ketrampilan teknologi/teknikal saja tidak cukup dan tidak menjadi dasar kepada kebagusan pekerjaan dan tindakan seseorang, kalau tidak dipacu oleh sikap yang betul, motif yang benar dan trait budaya [budaya berkualiti]. Pokoknya bagaimana mahu kita wujudkan sikap, motif dan budaya berkualiti ini dalam diri manusia? Waduh! Persoalan ini membuat kita linu-linu di kepala. Ya... sikap yang betul, motif yang benar dan trait budaya berkualiti itu datang dari mana?  Mungkin ada orang mengatakan ia terjana secara spontan [spontaneous generation]. Mengikut logik, sesuatu yang terhasil itu mesti dihasilkan melalui proses tertentu. Manakan bisa terwujud secara tiba-tiba tanpa sebab musabab. Maknanya mesti ada asbab @ hubungan sebab akibat.


       Seandainya kita menerima hujjah mantiq sedemikian, secara mudah kita boleh menyatakan bahawa sikap, motif,  trait budaya itu sebenarnya datang dari satu proses yang digelar tarbiyah @ didikan @ asuhan yang bernilai tinggi. Nilai yang bermutu tinggi sudah tentu datang dari tempat @ maqam yang tinggi pula. Tak lain dan tak bukan ia adalah nilai Rabbani. Bukan nilai yang datang dari manusiawi yang serba dangkal dan bersifat serba kekurangan lagi dhaif. Kerana manusia yang naif tidak berupaya menyajikan kepada manusia lainnya panduan hidup yang lengkap sempurna bagi meleraikan problema kehidupan duniawi  sekaligus mencapai kehidupan akhirat yang sejahtera abadi. 


       Nah! Betapa benar Ramadhan merupakan  madrasah mutamayizah [sekolah istimewa] yang diprogramkan oleh Sang Pencipta sendiri, yang dibukanya saban tahun untuk mentarbiyah dan memproses secara praktis bagi menanam seagung-agung nilai dan setinggi-tinggi sikap, sebenar-benar motif bagi menzahirkan satu budaya Rabbani yang tiada tandingannya di mayapada. Benchmark @ kayu ukur ini tidak boleh disetarakan dengan mana-mana best  practices dalam apa-apa aspek kehidupan sama ada mundane atau supra mundane kerana ia terlalu tinggi untuk dibandingkan.  Justeru, barangsiapa memasuki madrasah ini, ia harus menyertainya dengan ilmu dan kefahaman Islam yang syamil. Fikrah Islamnya sudah sepatutnya jelas dan murni. Lantas apabila ia masuk ke madrasah Ramadhan, ia telah masuk dengan aqal dan hati yang menerima Allah sebagai Pencipta Alam Semesta  dan  Penggubal Peraturan Hidup Manusia,  bukan sekadar tahu syarat sah dan batal puasa. Solatnya sudah dijalin dengan  Tuhannya sekian lama penuh intim dengan rasa penuh ketundukan dan penyerahan total seorang hamba yang tahu asal usulnya. 

      Bila tercipta sentimen demikian terhadap penciptanya, terjalinlah perhubungan dengan Allah dengan penuh kerelaan dan keseronokan. Puasanya berkualiti tinggi, tarawihnya berjalan dengan penuh tertib, khusyuk dan tidak dihambat perasaan tergesa-gesa. Jasadnya berupaya berdiri malam untuk solat sunat tahajud/tasbih/hajat/taubat dll. Sedaqah, derma dan segala infaq untuk menyuburkan kehidupan Islami dilakukan menurut syariat Rasulullah saw dengan penuh kesungguhan tanpa rasa syak dan was-was akan kebenaran dan kebaikannya. Orang yang seperti inilah yang dianggap sebagai telah berjaya mengikuti madrasah Ramadhan dengan jayanya dan InsyAllah mendapat ganjaran yang besar iaitu syurga, lantaran ia masuk dengan fikrah, kefahaman dan ilmu, bukan hanya satu rutin dan tradisi tahunan kerana mengikut perbuatan/tingkahlaku nenek moyang tanpa mempunyai pengertian.

        Ayuh! Hanya 207 hari lagi untuk kita bertemu semula dengan Ramadhan Karim. Persiapkanlah diri dengan fikrah, sikap dan motif yang betul serta ilmu yang mendalam, agar kali ini kita berjaya berniaga dengan perniagaan yang menguntungkan [attijaratan lan tabur]. 
InsyAllah kita bertemu di waktu lain dengan urutan tajuk yang berhubungkait. Topik Pasca Ramadhan telah berakhir. Wassalam.

      






0 comments: