Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

BALADA RAMADHAN


Saudara,
           Terasa benar beningnya malam semalam
            Malangnya  ummah tertidur nyenyak
            Terlena dalam leka
            Tenggelam dalam  mimpi
            Didakapi keseronokan duniawi
            Yang kosong fana

            Abu Huzaifah menangis penuh sendu
            Melihat buih-buih yang begitu banyak
            Di samudera dunia
            Berhanyut-hanyutan
            Makin lama makin gawat
            Dilambung ganas ombak kuffar

            Teringatlah dia sabda junjungan
            Semakin sebak, semakin kencang debaran
            Ummah kebuihan
            Di manakah rijaluddin
            Mana dia  rijaludakwah
            Yang bisa hatta sanggup
            Mengumpulkan buih-buih ombak
            Yang terdampar di perpantaian hidup
            Memberinya akar agar tumbuh
            Hidup segar semula
            Menghunjam akarnya ke perut bumi
            Mengibarkan panji-panji lillahi wahdah
          
  Abu Fawwaz
   27 Ramadhan 1432H

LAILA AL- QADR - ENGKAU DI MANA?



Malam tadi 27 Ramadhan 1432H. Kemungkinan Malam Qadr. Seperti biasa para jamaah yang peka dan mencari-cari hadiah besar bonanza Lailatul Qadr terus-terusan  berpusu ke masjid BIA. Cahaya suram dalam masjid mencipta suasana syahdu. Bagaikan ashkar berbaris menunggu perintah panglima perang untuk maju ke medan, para jamaah bersiap siaga untuk memulakan rakaat pertama solat tasbih. Laungan zikir pengenalan bermula dengan Hasbi Rabbi Jalallah ma Fi Qalbi ghoirullah, Nur Muhammad sollallah. Tenang damai amat terasa dalam alunan dan lenggokan zikir bagi membangkitkan kesegaran jasad dan ketulusan jiwa, sebelum memulakan takbirotul ihram.

Layarpun terkembang. Bagaikan biduk, para makmum menyusuri riak alunan kecil ombak samudera solat, berdayung dalam tasbih yang bergema menyerap dalam seluruh dan segenap urat nadi. Terasa membuak pilu dan hiba mengenangkan betapa fakirnya diri yang sedang menuju kembali ke alam yang asli, tempat asal yang termeterai dalam janji:
 øŒÎ)ur x‹s{r& y7•/u‘ .`ÏB ûÓÍ_t/ tPyŠ#uä `ÏB óOÏdÍ‘qßgàß öNåktJ­ƒÍh‘èŒ öNèdy‰pkô­r&ur #’n?tã öNÍkŦàÿRr& àMó¡s9r& öNä3În/tÎ/ ( (#qä9$s% 4’n?t/ ¡ !$tRô‰Îgx© ¡ cr& (#qä9qà)s? tPöqtƒ ÏpyJ»uŠÉ)ø9$# $¯RÎ) $¨Zà2 ô`tã #x‹»yd tû,Î#Ïÿ»xî ÇÊÐËÈ  
Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil ia bertanya Dengan firmanNya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), Kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya Kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini". Al-A’raaf 172.


Dalam wa’ad yang kita meteraikan semasa berada dalam alam ruh, setiap insan telah diberitahu dan mempersaksikan serta bersetuju bahawa Allah adalah Rabb yang mencipta sekalian makhluk dan berhak disembah. Satu pengakuan yang pasti sebagai hamba kepada al-Khaliq. Berada dalam bulan Ramadhan sebenarnya adalah peluang memperbaharui dan menyegarkan pengakuan beriman dalam wa’ad itu. Wa’ad sudah berumur  dan iman menjadi lusuh dan kusut masai lantaran  pergelutan hebat bertarung melayari bahtera hidup supaya terselamat daripada serangan lanun dan agen maksiat serta terbentur karena menghentam beting pasir atau batu karang.


Perairan hidup sentiasa bergolak dan dipenuhi karangan batu, beting pasir dan bongkah ais. Nakhoda dan juragan yang kurang kompetensi dan ketrampilan ilmu kelautan laksana seorang fakir yang berkelana dalam lautan bergelora. Gunung-gunung air melambungkan bahtera dan arus deras serta pusaran air bersedia menghanyut dan menelan sang kerdil di atas permukaannya.  Maka pupuslah ia dilambung dan ditelan ganas ombak badai menggunung. Lalu tenggelamlah ia menuju dasar laut bergalang lantai tanah Illahi. Kepupusan manusia daripada menerima kebaikan dan rahmat Allah adalah lantaran kesombongan, kejahilan dan sikap tidak ambil peduli terhadap tuntutan agama. Saranan dan pesanan Nubuwah dipandang sinis dan sepi karena ia melihat semuanya kuno sedangkan ia menilai dirinya moden sebab berani menentang kekolotan agama. Bukankah agama itu candu kata Nabi Marxisme!  Karena sikap sebeginilah manusia Muslim Kartu tidak pernah berubah walaupun  saban tahun berpuasa. Puasanya tidak berupaya menanggalkan karat dan sifat jahiliyah serta amalan yang haram dan makruh.

Malam itu semasa mengangkat takbir pertama dibelakang imam, aku benar-benar terganggu oleh bau busuk perat, pahit & maung melintasi lubang hidung. Konsentrasi tergendala dan terasa mahu saja mempercepatkan solat atau mufaroqah karena ingin lari jauh dari kebusukan mulut yang gila menghisap tembakau. Setiap lantunan bacaan ayat suci Al Fatihah dan wirid lain sewaktu solat mengeluarkan hela nafas busuk asap rokok. Bayangkan mulut dan nafas busuk bau tembakau rokok dibawa dalam solat untuk bermunajat kepada Allah swt memohon jalan yang lurus dan kerahmatan serta pimpinan yang baik dan tidak disesatkan, seolah-olah semacam suatu lakonan kartun Charlie Chaplin atau Mr Bean yang memaparkan watak dungu dan ningcompoop. Kelakar betul, dalam kebusukan asap rokok ada hati hendak meminta kebaikan dan kerahmatan daripada Allah yang Maha Suci lagi benci kepada perkara haram dan makruh. Rokok@tembakau sama ada dihisap melalui medium apa sekalipun ia adalah HaRaM. Wahai si perokok, tanyalah orang di sebelah anda selepas solat,  “Apakah Anda Selesa berada di samping saya semasa Solat?”

Tak perlulah tanya Ustaz, sebab ada juga ustaz-ustaz yang menarik dan menyedut asap selepas memberi kuliah atau tazkirah. Ini adalah senario umum yang kita boleh lihat di beranda dan koridor masjid dan surau. Bekas abu rokok bertaburan merata berbau busuk, mematikan suasana bening dan damai masjid. Ramadhan demi Ramadhan dilalui, namun program dan tamrin Ramadhan tidak pernah berjaya membuang sikap buruk suka kepada perkara HaraM dan BusuK. Ramai Muslim yang graduat daripada program Ramadhan kalah kepada sebatang rokok. Ini tandanya iman dan taqwa tidak terbina dalam musim Ramadhan, malah terus terkuncup layu dan terbakar hangus , laksana terbakarnya puntung-puntung rokok yang bergelimpangan. Seandainya malam itu bertemu Lailatul Qadr, sudah pastinya orang-orang yang kecanduan itu mendapat kebaikan 1000 bulan menghisap RoKoK. Poofffff berasap dong! Waduh azabnya!

Wallahua’lam
27 Ramadhan 1432H
27 Ogos 2011


12 PERKARA YG ANDA BOLEH LAKUKAN SEMASA MENANTI MALAM QADR

Malam qadr adalah malam yang nilainya lebih baik daripada 1000 bulan. Apa saja perlakuan yang dilakukan pada malam tersebut seperti membaca al Quran, mengingati Allah dsbnya adalah lebih baik daripada beraksi 1000 bulan tanpa malam Qadr.

Pada malam-malam 10 terakhir Ramadhan Rasulullah saw memaksa dirinya supaya lebih gigih beribadah kepada Allah berbanding masa-masa lain.[HR Muslim].

Rasulullah saw bersabda: "Barangsiapa bersolat malam  Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaranNYA, akan diampuni segala dosanya yang lalu." [HR Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah].

Berikut adalah beberapa tip tentang perkara-perkara yang bisa dibuat sebelum, semasa dan selepas malam Qadr:-

  • Ambil cuti daripada segala pekerjaan, pejabat atau apa saja dalam kehidupan.Cuti kali ini pergunakan untuk tumpukan beribadat dan mensyukuri Allah. Kalau tak dapat cuti 10 hari, ambillah cuti sekadar yang boleh diluluskan. Dengan cara ini anda akan berupaya berjaga malam untuk melakukan lebih ibadah daripada biasa, tanpa khuatir bagi melakukan kerja pagi esok dalam keadaan kurang cergas. Hal ini juga akan membantu anda  beriktikaf.
  • Amalan Rasulullah saw dalam 10 hari terakhir Ramadhan adalah beriktikaf dalam masjid. Semasa iktikaf kita boleh lakukan berbagai macam zikir [mengingati Allah] = solat sunat, membaca & mentadabbur serta mengkaji al Quran. Kalau tak dapat iktikaf lama-lama, iktikaf dalam tempoh masa yang pendekpun memadai = 1 malam/1hari atau beberapa hari/malam saja dimulakan sebagai satu latihan.
  • Berdoa' secara khusus memohon keampunan daripada Allah; " Allahumma innaka 'afuwwun tuhibbul 'afwa fa' fu 'annii." Apabila berdoa' biarlah panjang dan mendalam serta menggegar qalbu. Ini dilakukan semasa bangun satu jam sebelum sahur. Pilihlah doa' yang ma'thur atau berdoa' dalam bahasa yang difahami. Sebaiknya hafazlah satu doa' pada setiap malam dan bacalah doa' yang berlainan, walaupun satu baris. Doa'-doa' ini boleh dibaca juga di pejabat, semasa memandu atau menunggu giliran menunaikan hajat sesuatu.
  • Membaca Al Quran sepanjang masa dan kesempatan yang ada khususnya selepas solat fardhu.
  • Mentadabbur makna al Quran dengan cara membaca terjemahan dan juga meneliti kitab tafsir yang muktabar. Segala pengajaran dan arahan Allah dalam Quran hendaklah dimuhasabah terhadap gaya hidup yang telah dilalui selama ini. Buat perubahan dan penambahbaikan agar menjadi lebih mulia kehidupan selepas Ramadhan sehinggalah dijemput mengadap Allah swt.
  • Hapuskan dosa-dosa dengan bersolat lebih lama, tertib, tenggelam dalam doa' dan bacaan yang difahami makna. Justeru semak kembali surah-surah yang biasa kita baca dan fahami maknanya untuk dibawa dalam solat supaya kali ini lebih dijiwai dan bermakna. Inilah pendekatan untuk membina tumpuan dan  khusyuk dalam solat di dalam & luar Ramadhan.
  • Buat senarai doa' dan susun apakah kandungan permohonan yang akan kita panjatkan kepada Allah sama ada kecil atau besar, duniawi ataupun ukhrawi - karena Allah sangat suka mendengar dan menerima doa. Selain berdoa', fikirkanlah apakah tindakan yang telah diambil untuk mendapatkan apa yang didoa'kan. 
  • Muhasabah diri dengan menyoal diri sendiri soalan-soalan yang perlu ditanya. Misalnya : di manakah aku kini dan ke arah manakah aku sedang tuju? Kalau sedang menuju kepada kebaikan dan ketaatan, bersyukurlah. Jika ke arah kemaksiatan dan kemurkaan Allah, berasa malulah dan bertaubat bersungguh-sungguh.
  • Ajak dan bawa ahli keluarga ke masjid atau surau untuk berterawih, agar ini menjadi tarbiyah ke atas anak-anak yang belum lekat solat berjamaah karena kita [ibubapa] tak sempat @ sibuk semacam bekerja.
  • Bacalah sebuah kitab/buku berkaitan  kehidupan/sirah Rasulullah saw. Ini akan mencetuskan dan membina kecintaan kita kepada baginda dan Deen Islam yang dibawanya.
  • Merancang untuk tahun depan sebaik saja evaluasi dibuat ke atas diri. Inilah masanya untuk  berkontemplasi dan merawat kelukaan jiwa, yakni pada malam-malam menanti Lailatul Qadr.
  • Sediakan senarai kerja kena buat dan lakukan mengikut keutamaan tanpa terjebak dalam percakapan dan sembang-sembang kosong malam Qadr lantaran tenggelam sakan dalam suasana buat kuih, lemang dan ketupat serta menghiasi rumah sebab teruja benar hendak raya.
Ayuh! Datuk, nenek, abang, kakak, adik, rakan dan taulan - jom beriktikaf dan beribadah sungguh-sungguh sambil menanti malam qadr, satu tawaran besar daripada Allah yang mengatasi mana-mana tawaran bonanza duniawi. Tapi awas kalau ada sesiapa yang tersasar melakukan maksiat dan mungkar pada malam Qadr, penalti  dosanya juga adalah melebihi 1000 bulan nilainya.

Wallahua'lam.

Nukilan: Abdul Malik Mujahid
Alihbahasa: WasH
22 Ogos 2011

RAMADHAN AL MUBARAK : TADARRUS VS TERDERRAS

Bulan Ramadhan setiap tahun tampak hebat dan meriah. Hebat dan meriah amat karena masjid, surau, madrasah dan musolla meremut dipenuhi para pengunjung lama dan baru. Pasar-pasar Ramadhan tumbuh bagai cendawan untuk menyemarakkan makan dan minum. Justeru bulan Ramadhan al-Mubarak bertukar menjadi Ramadhan al-Murtabak.

Sekilas pandang, memang seronok melihat perubahan semangat masyarakat dalam bulan puasa. Masing-masing nampak bersungguh mahu menghayati keindahan Ramadhan supaya ia membawa perubahan dalaman yang kekal membekas dalam hati nurani, membibitkan satu transformasi jiwa yang benar-benar merobah syakhsiyah Jahiliyah kepada keperibadian Islamiyah yang dikehendaki Allah swt. 

Dua kilas pandang kita lihat apa? Kita akan dapati sebenarnya tiada apa-apa perubahan besar yang berlaku dalam bulan Ramadhan tahun ini. Ia adalah seperti biasa berlaku dalam tahun-tahun yang lalu. Minggu-minggu pertama dan kedua puasa sahaja masjid dan surau penuh meremut tak cukup tempat. Seolah-olah macam kelkatu keluar daripada sarang menerkam sinaran lampu. Kemudian daripada itu satu demi satu gugur ke lantai letih tidak bermaya, lalu syahid[?]dan tidak muncul-muncul lagi ke masjid dan surau. Yang tinggal berterawih hanyalah makmum-makmum regular dicampurlah sedikit bilangan peserta baru yang tegar [belum jadi dropouts]. Fahaman dan sikap masyarakat terhadap solat jamaah nampaknya seolah-olah hidup seketika Ramadhan saja. Itupun sekejap waktu. Paling lama 2 minggu ke 2.5 minggu. Seolah-olah pula solat jamaah sunat terawih ini saja yang mesti dipulun setiap tahun untuk mendapat pahala daripada Allah, tetapi meninggalkan solat jamaah fardhu yang sepatutnya diberatkan dan diutamakan, selain di top-up dengan solat jamaah terawih. Sikap membuang dan mengabaikan solat jamaah fardhu berlaku berleluasa dalam masyarakat dan akan terus berlaku saban tahun tanpa ada sebarang perubahan yang ketara selepas Ramadhan berlalu. Dalam bahasa yang mudah, inilah yang dikatakan manusia yang tidak pandai berniaga dengan Allah. Mereka ambil dan buat perkara atau amalan yang sunnat beria-ria macam wajib, tetapi melemparkan amalan fardhu ke taraf sunnat atau sifar [0]- satu pelaburan yang toksik untuk akhirat. 

Majlis tadarrus memanglah bagus dihidupkan sama ada di rumah atau masjid/surau. Gelanggang tadarrus seharusnya menjadi tempat membaca dan sekaligus menjiwai makna al Quran. Tadarrus diikuti Tadabbur al Quran adalah satu pendekatan penting untuk meneliti dam memahami Quran bagi memahami arahan-arahan Allah kepada kita. Quran memang ditanzilkan untuk dibaca, akan tetapi bukan untuk dibaca sahaja, malah untuk difahami kandungannya supaya dapat mencorak dan mewarnai peribadi Muslim yang totok patuh kepada arahan Allah dan Rasul. Ia bukan bahan sayembara atau penglipur lara untuk sekadar membuai ulit rasa. Ia bukan seperti kitab Mahabratha dan Veda. Tadarrus bukanlah Terderras dengan speed limit mengalahkan Hiway PLUS. Bukanlah tujuan tadarrus untuk masuk explore race hendak bersaing siapa habis dulu dan buat majlis khatam Quran cepat. Sekiranya beginilah gamaknya, sampai bila-bilapun kita tidak mencapai apa-apa natijah yang positif. Para alim berkata: ini laksana kita mengutip angka-angka kosong [0].Walau banyak mana sekalipun angka 0, ia tetap bernilai 0 dan tidak mempunyai makna, kecuali ada nombor lain di depan atau belakangnya.

Mahu jadi Graduan Ramadhan yang berjaya? Kalau itu objektifnya, sikap dan mind set terhadap Ramadhan mesti dan perlu diubah segera, sekarang juga. Baki Ramadhan tinggal 3 minggu lagi. Jika mahu graduat dengan CGPa >3.00 - 4.00, kena buat perkara-perkara berikut:-

  • betulkan Niat = berpuasa hanyasanya karena Allah; 
  • solat fardhu berjamaah ditunaikan secara tetap tanpa culas lagi dalam dan luar bulan Ramadhan; 
  • baca al Quran secara tartil sepanjang hayat tidak kira bulan apa. Dan ambil saranan dan arahan Allah dengan penuh santun untuk dihayati dan dijelmakan dalam amalan kehidupan harian sehingga dipanggil mengadap Allah swt.
  • terus-terusan belajar membaca al Quran daripada guru yang faqih supaya mutu bacaan meningkat naik dari masa ke semasa. Jangan tunggu untuk baca dalam bulatan tadarrus untuk membetulkan sebutan makhraj & tajwid karena ia mungkin menggencatkan kelancaran kumpulan, walaupun speed nya sederhana. Maknanya, kita kena siap siaga terlebih dulu sebelum masuk bulatan atau gelanggang. Seandainya persediaan ini dibuat dahulu, barulah cantik perjalanan tadarrus.
  • muhasabah dan betulkan fikrah Islam yang tertanam dalam minda yang bercampur aduk dengan ideologi jahiliyah. Pemurnian fikrah Islam dalam minda adalah penting karena ia adalah enjin dalam menentukan setiap geraklaku insan sama ada menjadi ibadah yang diterima Allah atau tertolak lantaran terdapatnya karat-karat jahiliyah yang masih tebal dan pekat menyelaputi hati. Pemurnian fikrah boleh dilasanakan dengan membawa diri menekuni bahan-bahan fikrah Islam yang diajar oleh Murrobi yang faqih lagi muktabar dalam bidang tasawur Islam. 
  • mencari uruf yang kondusif serta kawan, taulan dan sahabat yang ada fikrah Islam yang mantap untuk dikongsi berbicara dan bertukar-tukar fikiran bagi membangunkan kembali kesirnaan fahaman Islam yang rosak dan bonsai yang dikemetotkan oleh agen-agen  syaitan.
Penjernihan jiwa serta pemurnian amal ibadah perlu berlaku serentak. Ia berlaku dalam bulan Ramadhan dan mesti dilakukan sepanjang hayat bagi menjaga keaslian iman, karena iman bisa bertambah dan bisa berkurang. Ia juga tamsil pakaian yang akan lusuh dan pudar lantaran basuhan yang acapkali, apatah lagi jika dijilat garing oleh panahan mentari.

Wallahua'lam.

6 Ogos 2011

SYARAT KALAU HENDAK BUAT DOSA : AL- QURTUBI

Siapa saja yang hendak buat DOSA dipersilakan, tapi ada  syarat yang mesti dipenuhi dulu kata al- Qurtubi. Syaratnya mudah saja dan kalau  bisa ditunaikan oleh sesiapa saja dia akan diberi lesen untuk buat apa saja dosa & maksiat yang diinginkan.

Best betul nampaknya peluang yang ditawarkan. Tawaran ini sengaja diiklankan untuk penggemar-penggemar maksiat. Tarikh tutup iklan tidak ada - ia dibuka sepanjang masa dan tiada tarikh luput.

Syarat-syaratnya adalah seperti berikut :-
  • Jangan makan atau minum rezeki daripada Allah.
  • Jangan pijak bumi Allah. Cari bumi atau mana-mana planet lain yang bukan diciptakan      oleh Allah dan tinggallah di sana.
  • Semasa hendak atau sedang buat maksiat/dosa, pastikan dulu Allah tidak nampak.
  • Sewaktu Izrael datang hendak mencabut nyawa, pastikan anda dapat minta tangguh barang sekejap untuk bertaubat.
Apa macam, bagus tak syarat tawaran untuk buat Dosa dan Maksiat seperti di atas? Agak-agaknya ramai tak manusia yang ketagih dosa dapat memenuhi syarat-syarat tersebut? Sekali imbas, nampaknya macam ramai sungguh manusia zaman sekarang ini berani buat dosa. Tidak dipedulinya lagi timbangan dosa pahala. Ini bererti manusia sudah boleh memenuhi 5 syarat di atas tanpa masalah. Mereka mungkin sudah memastikan bahawa bumi  ini bukan milik sesiapa -  ia terjadi sendiri. Samalah juga dengan sumber makanan dan minuman, semuanya telah disahkan semulajadi, tiada siapa yang bikin. Kalau begitulah keyakinan mereka, maka Zat Allah sudah tidak wujud lagi dalam minda dan kehidupan mereka. Justeru tidak ada apa-apa masalah yang perlu difikirkan tentang Allah nampak atau tidak ketika  mereka berbuat nista. Cerita Izrael, Munkar, Nakir dan Malik Zabaniyah adalah bahan fiksi untuk menakutkan dan mendisiplinkan manusia. Inilah mungkin agaknya pemikiran paria yang ada pada setiap penagih dosa dan maksiat. 


Pemikiran paria  begitu kuat menguasai minda masyarakat jahiliyah moden. Mereka melihat dunia sebagai matlamat akhir kehidupan. Oleh itu pembangunan dan kekayaan ekonomi yang mencapai tahap mass consumption dan affluence adalah syurga firdausi. Kebalikannya, inflasi dan kemacetan  ekonomi adalah neraka. Inilah pandangan dan sikap hidup manusia yang terbelit oleh runtunan harta benda duniawi karena menjadikan dunia sebagai matlamat mutlak kehidupan. Kekaburan minda sebegini sangat menjauhkan manusia daripada mengingati azab yang pedih, walaupun disebut berulangkali dalam al Quran agar jangan tersalah langkah atau tersilap pilih jalan hidup. Allah telah menyindir manusia dalam al Quran dengan firmanNya, "Biarlah mereka bermain-main dengan dunianya,"  al- Ma'arij: 42. 


Al- Quran dan Islam itu basirah atau mata hati. Bagi mereka yang memiliki pemikiran paria [feeble mind] tentang makna hidup, bererti mereka hanya ada mata tetapi tak ada mata hati. Maka layaklah mereka mendapat layanan kelas corot di alam akhirat, sesuai dengan kemalasan mereka untuk mencari dan menyingkap kebenaran. Kebenaran hanya satu, yang lainnya kebatilan yang tersalut gula-gula duniawi yang menipu manusia. Kebenaran itu hanya datang dan bersumberkan Allah swt.


Wallahua'lam.


1 Ogos 2011



   

HIDUP INI ADA BANYAK TANDA TANYA & PERSOALAN

Dalam meranjau kehidupan, manusia sering diganggu oleh macam-macam tanda tanya dan persoalan yang berat lagi kritikal. Kalau persoalan dan tanda tanya tidak pernah berlaku dalam kepala  dan benak manusia, itu tandanya otak dan saraf neuro mengalami masalah. Manusia seawal zaman kehidupannya, merasa takjub melihat alam sekeliling mereka. Merasai gerun dan takut kepada benda-benda alamiah, malah terasa aneh dan hairan mentafsir kejadian alam dalam lingkungan mereka. Justeru manusia menjadi pagan, animistik dan mencipta berhala daripada pengalaman mereka hidup bersama alam serta menterjemah alam dengan segala kekuatan akal cebisan. 

Proses menta'kul berdasarkan pendekatan yang lebih berdisiplin dan saintifik terus berlangsung bagi mengurai dan meleraikan kekusutan persoalan makna kehidupan dan ketuhanan. Proses pencarian makna diri, makna hidup dan makna mati terus berlangsung. Dalam kekosongan jiwa dan kepenuhan perut, manusia terus mencari makna wujud. Bermula dari lembah hingga ke menara gading. Bergulung-gulung ijazah diterima tanda pencapaian akademik yang tinggi, namun tidak pula dapat mengenal Tuhan. Walaupun Ia terlalu dekat dengan jasadnya namun tidak terlihat jua. 

Begitulah rentetan hidup, semasa bayi dan kemudian menjadi anak kecil dalam kendongan kasih ibu dan membesar sebab jasa ayah yang bekerja keras mencari sesuap nasi. Pagi bermula sampai ke malam bergelut dengan kerja sampai lupa makan dan minum menerjah maya mengorek rezeki di celah-celah belukar kota. Supaya mulut yang sedang merah ternganga dapat disusui dan diberi suapan nasi agar berkat membentuk jasad dan kudrat mental, agar bisa pandai mengaji dan mengenali wujud diri dan wujud Tuhan. Ke manakah kewarasan itu hilang dalam genggaman segulung kertas ijazah yang kononnya menandakan kepandaian dan kedewasaan? Sungguh banyak tanda tanya dalam hidup ini. Para Nabi dan Rasul mengajar manusia mengenali dan mencintai Allah lebih dahulu sebelum mencintai manusia. Karena Dialah sumber kehidupan, cinta dan kasih sayang.


Tanpa Allah tiada wujud bibit cinta dan sebarang rasa kasih sayang di antara insan. Benih cinta adalah suatu anugerah besar daripada Sang Pencipta untuk disemarakkan pada tempatnya yang betul. Bukan ditabur-taburan di setiap lorong dan denai laluan asal terjumpa lembaga manusia walaupun belum pernah dikenali watak dan budinya. Hinggakan ibu ayah serta keluarga diketepikan  lantaran jantung hati gunung payung diutamakan!  Para Ambia tidak menganjur demikian. Ia mengajar manusia mengasihi dan mencintai ibu ayah sesuai dengan martabat pengorbanan dan keikhlasan mereka menggenggam bara kehidupan untuk menghidupkan si anak kecil yang lemah supaya gagah berdiri mendepani dunia yang sifatnya menipu dan durjana bagi mereka yang tak kenal tempat kembali. 

Dalam meniti kehidupan yang titiannya bercabang, si anak kecil yang sudah bertukar dewasa menggilai lambaian dunia yang tidak seberapa nilainya. Malah terpegun ia karena singkapan kilauan permata palsu bersepah di mana-mana. Ramailah si anak muda tertewas lantaran gigitan keras bernafsu juak-juak syaitani yang sememangnya bekerja gigih tanpa noktah, tanpa rasa penat dan tiada pernah rasa puas, jika belum tersungkur tertiarap tiang panji yang membawa kalimat syahadah. Maka ramailah manusia yang cerdik pandir zaman jahiliyah moden ini tidak pandai menyantuni dirinya sendiri vis-a-vis Tuhannya, ibu ayahnya, gurunya, adik beradiknya, rakan taulannya hatta masyarakatnya. Inilah yang digelar si cerdik akademik tapi pandir agama.

Marilah berfikir sejenak, agar pandailah kita menyantuni semua yang ada di sekeliling kita, sama ada yang ghaib ataupun nyata.

Wallahua'lam.

16 Julai 2011

PERIHAL MAKMUM TERTIDUR dalam KHUTBAH JUMAAT

Semalam Jumaat 08 Julai 2011, seperti biasa masjid-masjid dipenuhi para makmum untuk solat Jumaat. Sebelum solat, sesi tazkirah berjalan dengan tajuk khusus memperingati jamaah tentang bahaya kehilangan permata berharga iaitu iman dan taqwa. Iman yang semakin larut dan taqwa yang semakin mengecut serta maksiat yang semakin meningkat, mengundang murka Allah. Kemurkaan Allah apabila berlaku, manusia tidak ada tempat bergantung harap dan berlindung daripada ujian azab kelaparan dan ketakutan karena kekurangan makanan dan kekacauan sosial, kecuali dengan kerahmatan dan belas kasihan Allah.

Sesi khutbah pun bermula dengan salam daripada khatib dengan penuh semangat. Beliau melantunkan suara secara teratur dan sedikit demi sedikit menekan dan melantangkan suaranya. Deru suaranya mengajak para jamaah bertaqwa kepada Allah dan mentaati sunnah Rasulullah saw. Para tetamu Allah diam sepi mendengar seruan klise ini. Masa berjalan dan terdapat beberapa orang makmum lentuk terkulai macam dahan dan ranting patah terkena angin kencang. Ada yang liut meraban dan mata terpaku ke karpet dan lantai, kuyu dan layu. Kelantangan suara khatib menderu memecah udara ruang masjid, sesekali menaik dan menurun laksana gemersik gendang perang meminta lasykar bersedia menahan serangan musuh. Namun keenakan tidur mengatasi segala-gala. Kini ramai para makmum menidurkan diri terlena. Ada yang berdengkur dan ada yang meleleh air liur basi karena tersangat syok mengulit rasa fana. 

Yang peliknya terlihat yang tersembul mata dan terdongak kepala kepada mimbar yang sedang berapi-api mengajak manusia bertaqwa dan berbuat kebaikan serta menjaga kelangsungan iman ialah pak-pak hitam Afrika dan Bangla. Mungkinkah mereka ini sedang fokus untuk memahami apa yang sedang dibicarakan khatib. Dan ini adalah sebaik-baik tempat dan cara untuk mempelajari Bahasa Melayu, selain menikmati isi kandungan khutbah yang tidak dipedulikan sebahagian besar makmum sawo mateng. 

Lazimnya setiap kali khutbah hendak dimulakan, muazzin akan  berpesan kepada sekalian jamaah supaya apabila khatib sedang membaca khutbah, janganlah bercakap-cakap sesama makmum, ataupun berkata diam kepada orang yang berbuat bising, karena dikhuatiri lagho dan  hilang pahala  solat Jumaat. Pokok persoalannya: apakah perbuatan tidur hingga lena dan mengeluarkan air cola basi itu tidak lagho dan hilang pahala solat Jumaat? Perkara ini mesti disebut dan diberi pencerahan kepada semua tetamu Allah dalam masjid bahawa, solat Jumaat adalah program mingguan untuk mentarbiyah manusia memperingati halatuju kehidupan yang dipandu taqwa. Ia bukan program tidur-tiduran @ sengguk-senggukan. Sesiapa dengan sengaja tidur atau sebaliknya tak sengajapun tertidur, pahala Jumaatnya binasa = gunduk? Pihak Sang Khatib pun kena ubah gaya penyampaiannya, daripada membaca khutbah kepada berkhutbah. Membaca teks khutbah semata-mata tak ada ruh tarbawi. Ia dirasai kosong dan lompong macam perut masuk angin karena banyak makan ubikayu@singkong. Tiada tembungan mata, suara tinggi  dan sergahan khatib yang tidak disesuaikan  dengan intonasi serta volume sistem pembesar suara, kadang-kadang menjadi bingit pada telinga dan tak lalu untuk didengar dan dihayati. Apatah lagi PA system yang macam orang berbisik dan suara yang kembang dan tenggelam timbul memang mengulit mata menjadi layu. Tambahan pula bagi para makmum yang datang awal ke masjid dan sudah pekena dan tibai nasi beriani ayam madu! Kemahiran khatib dalam aspek pengucapan awam nampaknya sangat penting untuk mencapai impak maksimum bagi setiap mesej yang hendak disampaikan. Sang khatib ialah murrobi masyarakat. Ia perlu meningkatkan tahap  kerabbaniannya dengan amalan batin dan disokong dengan kekuatan dan ketinggian ilmu, barulah akal dan minda serta hati makmum dapat ditambat dan dikuasai bagi mengajak mereka berfikir secara serius topik dan hujah yang dilontarkan. Bukan sekadar pergi ke masjid untuk lena tersandar di tiang-tiang seri atau tersengguk di celah-celah manusia lain dan pulang dengan kekosongan minda dan jiwa yang tak tersentuh, walaupun tak pernah tinggal solat Jumaat!

Wahai para pengunjung masjid Hari Jumaat, marilah sama-sama kita perbaiki amalan solat dan menjadi Muslim yang lebih baik setiap minggu berlalu. Menjadi semakin hebat kepekaan jiwa untuk membela Islam dan memberi manfaat kepada diri dan keluarga serta masyarakat sekeliling di mana sahaja kita berada. Semoga Insyallah kita berjaya di dunia dan akhirat.

Wallahua'alam.

09 Julai 2011