Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Pasca Ramadhan: MASJID & SURAU KEMBALI kepada Fitrahnya

Sebulan kita berpuasa. Sebulan pula kita sibuk beraya. Jalanraya, lebuhraya, expressway dipenuhi kenderaan pada setiap hari terutamanya hari Sabtu dan Ahad karena mengunjungi undangan rumah terbuka dan menziarahi sanak saudara. Sabtu dan Ahad juga dipenuhi dengan majlis walimatul urus. Anak dara dan teruna sibuk bernikah kahwin. Justeru jalan-jalan negeri dan mukim pun jadi sendat dan padat dengan kenderaan berderetan berparkir di tepi jalan.

Kalau kita jenguk ke dalam masjid dan surau tidak kira mana-mana waktu, terutamanya asar, isya dan subuh, ruang-ruang masjid dan surau kelihatan lapang dan nyaman lantaran kekurangan jamaah bersolat. Sawm @ puasa sewajarnya membawa manusia ke darjat taqwa seusai Ramadhan. Sambutan hariraya membawa erti bahawa kembalinya insan kepada fitrah asalnya yang cantik murni tanpa titik hitam noda dan dosa. Namun cepat sekali manusia mengotorinya dengan pelbagai aktiviti dan perlakuan haram dan makruh karena  terlalu seronok giler menyambut hariraya. Siaran Tv semua rangkaian  mengajak manusia leka-lekaan dengan ceritera dan drama serta hiburan yang mempercepatkan pengotoran jiwa yang telah bersih setelah bertarung sebulan berpuasa. Kita diajak menyambut hariraya ala artis dengan sentuhan, salaman, pelukan, ciuman dan bicara lidah serta balut tubuh yang mengabaikan syarak. Sunnah Nabi menyambut hari kemenangan Syawal ditenggelami dengan gelagat mereka

Sepatutnya manusia-manusia yang selesai berpuasa akan kembali kepada sifat asli dan murninya karena telah mendapat maghfirah. Peliknya yang kembali kepada fitrah yang asal dan tetap lestari dengan keadaan aslinya adalah masjid dan surau. Ia tetap lengang dan senggang serta lapang tanpa dipenuhi jemaah.     Hanya ahli jamaah yang regular saja yang tetap hadir menunaikan solat fardhu berjamaah. Yang menambahkan dan meramaikan bilangan jemaah adalah cicak-cicak untuk mengaminkan doa dan bacaan imam. Ahli-ahli baru dan anak-anak muda yang nampak gah dan berpusu-pusu membanjiri ruang masjid dan surau pada awal Ramadhan telah hilang entah ke mana. Mereka pupus dan jerlus ke dalam lubang-lubang kehidupan masing-masing, laksana haiwan yang hibernate menunggu datangnya musim bunga baru. Stail dan gaya hidup macam ini memang lazim dalam konteks hidup manusia yang tiada kesedaran fikrah Islam yang salimah. Ramadhan tiada berupaya mengangkat jiwa mereka ke mercu tanda yang lebih tinggi daripada sebelumnya. Yang semakin tertingkat tinggi hanyalah umur mereka, yang lainnya tetap malar mendatar menuruni cerun-cerun, menggelongsor ke lembah kefakiran iman dan amalan.

Kaum Nasara dan Yahud menawarkan pakej hebat kepada nafsu haiwaniyah  manusia untuk bersantai dan berhibur 24 jam. Sedangkan program Ramadhan hanya beroperasi selama sebulan untuk mentarbiyah dan membetulkan akhlak yang bengkok. Tanpa kesedaran Islam yang tinggi dan hanya duduk bersantai setiap hari dalam zuruf yang rencam macam rojak mamak; apatah lagi tanpa membina biah hasanah yang boleh membangun jiwa Islami, orang-orang Islam akan terjebak dan terkurung dalam pakej seronok 5S yang mereka rencanakan:-

  • SONG = Industri lagu dan muzik yang mengasyikkan. Lirik yang batil dan melalaikan dan tidak mengajak manusia mentaati Tuhan.  
  • SPIRIT = Industri arak dan samsu@todi dll yang menggalakkan manusia hilang aqal dan keupayaan berfikiran waras dan lupa kepribadian diri sendiri dan lupa Tuhan.
  • SEX = Kedua-dua industri di atas menjanakan kehidupan seks bebas dalam kalangan belia, remaja dan dewasa. Berlaku inovasi perlakuan seks sumbang@luar tabiie yang kemudiannya menghasilkan anak-anak gampang@haram@luar nikah yang dilunakkan dengan gelaran anak tidak sah taraf. Industri anak-anak H**** tersebut telah merosakkan nasab dan keturunan manusia. Dan secara tidak sedar dan perlahan pula ia akan mencemarkan dan mencarikkan keturunan dan titih manusia yang bersih yang tidak terlibat dengan cara hidup hedonisme. 
  • SPORT = Atas nama sukan dan semangat kesukanan, manusia diajak bermain dan bertanding bermacam jenis permainan yang tidak mengendahkan peraturan syarak. Aurat perempuan dan lelaki dilondeh dan dibuka semahunya. Berteriak dan berpelukan tanpa batasan antara berlainan seks apabila meraih kemenangan. Bermain dan bertarung dalam aturcara yang padat dan melupai zikir dan ketundukan kepada Tuhan. 
  • SMOKE = Menghisap dan menyedut asap tembakau rokok/cerut/paip/syisya dipamerkan sebagai gaya hidup berprestij dan maju. Rokok khususnya digandingkan dengan stail hidup bergaya dan berstatus serta cool. Kononnya sumber inspirasi, walaupun membakar paru-paru, merosakkan jasad dan membazirkan harta.
Program 5S ini berlangsung terus-terusan hebat ditaja oleh agen-agen pemusnah sunnah nabi, akhlak dan minda manusia. Semua ini ditaja untuk melupakan manusia daripada tujuan sebenar mereka didatangkan ke dunia. Program Solat, Puasa, Haji@Umrah dan Zakat serta amalan-amalan sunnah lainnya, perlulah dilaksanakan dengan fikrah yang jelas  dan ikhlas agar  dapat  membentengi terjerlusnya manusia ke dalam perangkap agen-agen iblis, syaitan dan kuffar.


Wahai Ramadhan! Janganlah engkau tidak datang lagi karena berpatah hati dan bersedih karena belum berjaya mengusap dan membalut jiwa manusia yang tercalar dan terluka. Atau karena melihat akhlak manusiawi tidak tertingkat dan terbina dalam musim yang lalu.  Berilah masa kepada kami untuk mengubati jiwa yang kaku lantaran percikan kuat karat jahiliyah yang memenuhi relong hati karena kurang tarbiyah. 


Pasca Ramadhan = masjid dan suraulah yang kembali kepada fitrah asalnya.  Berbahagialah wahai tetamu-tetamu regular pensiunan. Wahai anak-anak muda harapan ummah dan bangsa,  berpusu-pusulah memakmurkan masjid dan surau , karena di situlah tarbiyahmu bermula dan berkembang untuk membentuk meluruskan perjalanan hidup yang bersimpang siur ini, supaya pasti langkahmu berderap tidak tercicir menagih dan melanggan di lorong-lorong gelap - menggelapkan masa akhiratmu yang sedang menunggu. 

Ramadhan kareem, sempatkah kita bertemu lagi?

Wallahua'lam.

20 September 2011

BALADA RAMADHAN


Saudara,
           Terasa benar beningnya malam semalam
            Malangnya  ummah tertidur nyenyak
            Terlena dalam leka
            Tenggelam dalam  mimpi
            Didakapi keseronokan duniawi
            Yang kosong fana

            Abu Huzaifah menangis penuh sendu
            Melihat buih-buih yang begitu banyak
            Di samudera dunia
            Berhanyut-hanyutan
            Makin lama makin gawat
            Dilambung ganas ombak kuffar

            Teringatlah dia sabda junjungan
            Semakin sebak, semakin kencang debaran
            Ummah kebuihan
            Di manakah rijaluddin
            Mana dia  rijaludakwah
            Yang bisa hatta sanggup
            Mengumpulkan buih-buih ombak
            Yang terdampar di perpantaian hidup
            Memberinya akar agar tumbuh
            Hidup segar semula
            Menghunjam akarnya ke perut bumi
            Mengibarkan panji-panji lillahi wahdah
          
  Abu Fawwaz
   27 Ramadhan 1432H

LAILA AL- QADR - ENGKAU DI MANA?



Malam tadi 27 Ramadhan 1432H. Kemungkinan Malam Qadr. Seperti biasa para jamaah yang peka dan mencari-cari hadiah besar bonanza Lailatul Qadr terus-terusan  berpusu ke masjid BIA. Cahaya suram dalam masjid mencipta suasana syahdu. Bagaikan ashkar berbaris menunggu perintah panglima perang untuk maju ke medan, para jamaah bersiap siaga untuk memulakan rakaat pertama solat tasbih. Laungan zikir pengenalan bermula dengan Hasbi Rabbi Jalallah ma Fi Qalbi ghoirullah, Nur Muhammad sollallah. Tenang damai amat terasa dalam alunan dan lenggokan zikir bagi membangkitkan kesegaran jasad dan ketulusan jiwa, sebelum memulakan takbirotul ihram.

Layarpun terkembang. Bagaikan biduk, para makmum menyusuri riak alunan kecil ombak samudera solat, berdayung dalam tasbih yang bergema menyerap dalam seluruh dan segenap urat nadi. Terasa membuak pilu dan hiba mengenangkan betapa fakirnya diri yang sedang menuju kembali ke alam yang asli, tempat asal yang termeterai dalam janji:
 øŒÎ)ur xs{r& y7/u .`ÏB ûÓÍ_t/ tPyŠ#uä `ÏB óOÏdÍqßgàß öNåktJ­ƒÍhèŒ öNèdypkô­r&ur #n?tã öNÍkŦàÿRr& àMó¡s9r& öNä3În/tÎ/ ( (#qä9$s% 4n?t/ ¡ !$tRôÎgx© ¡ cr& (#qä9qà)s? tPöqtƒ ÏpyJ»uŠÉ)ø9$# $¯RÎ) $¨Zà2 ô`tã #x»yd tû,Î#Ïÿ»xî ÇÊÐËÈ  
Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil ia bertanya Dengan firmanNya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), Kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya Kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini". Al-A’raaf 172.


Dalam wa’ad yang kita meteraikan semasa berada dalam alam ruh, setiap insan telah diberitahu dan mempersaksikan serta bersetuju bahawa Allah adalah Rabb yang mencipta sekalian makhluk dan berhak disembah. Satu pengakuan yang pasti sebagai hamba kepada al-Khaliq. Berada dalam bulan Ramadhan sebenarnya adalah peluang memperbaharui dan menyegarkan pengakuan beriman dalam wa’ad itu. Wa’ad sudah berumur  dan iman menjadi lusuh dan kusut masai lantaran  pergelutan hebat bertarung melayari bahtera hidup supaya terselamat daripada serangan lanun dan agen maksiat serta terbentur karena menghentam beting pasir atau batu karang.


Perairan hidup sentiasa bergolak dan dipenuhi karangan batu, beting pasir dan bongkah ais. Nakhoda dan juragan yang kurang kompetensi dan ketrampilan ilmu kelautan laksana seorang fakir yang berkelana dalam lautan bergelora. Gunung-gunung air melambungkan bahtera dan arus deras serta pusaran air bersedia menghanyut dan menelan sang kerdil di atas permukaannya.  Maka pupuslah ia dilambung dan ditelan ganas ombak badai menggunung. Lalu tenggelamlah ia menuju dasar laut bergalang lantai tanah Illahi. Kepupusan manusia daripada menerima kebaikan dan rahmat Allah adalah lantaran kesombongan, kejahilan dan sikap tidak ambil peduli terhadap tuntutan agama. Saranan dan pesanan Nubuwah dipandang sinis dan sepi karena ia melihat semuanya kuno sedangkan ia menilai dirinya moden sebab berani menentang kekolotan agama. Bukankah agama itu candu kata Nabi Marxisme!  Karena sikap sebeginilah manusia Muslim Kartu tidak pernah berubah walaupun  saban tahun berpuasa. Puasanya tidak berupaya menanggalkan karat dan sifat jahiliyah serta amalan yang haram dan makruh.

Malam itu semasa mengangkat takbir pertama dibelakang imam, aku benar-benar terganggu oleh bau busuk perat, pahit & maung melintasi lubang hidung. Konsentrasi tergendala dan terasa mahu saja mempercepatkan solat atau mufaroqah karena ingin lari jauh dari kebusukan mulut yang gila menghisap tembakau. Setiap lantunan bacaan ayat suci Al Fatihah dan wirid lain sewaktu solat mengeluarkan hela nafas busuk asap rokok. Bayangkan mulut dan nafas busuk bau tembakau rokok dibawa dalam solat untuk bermunajat kepada Allah swt memohon jalan yang lurus dan kerahmatan serta pimpinan yang baik dan tidak disesatkan, seolah-olah semacam suatu lakonan kartun Charlie Chaplin atau Mr Bean yang memaparkan watak dungu dan ningcompoop. Kelakar betul, dalam kebusukan asap rokok ada hati hendak meminta kebaikan dan kerahmatan daripada Allah yang Maha Suci lagi benci kepada perkara haram dan makruh. Rokok@tembakau sama ada dihisap melalui medium apa sekalipun ia adalah HaRaM. Wahai si perokok, tanyalah orang di sebelah anda selepas solat,  “Apakah Anda Selesa berada di samping saya semasa Solat?”

Tak perlulah tanya Ustaz, sebab ada juga ustaz-ustaz yang menarik dan menyedut asap selepas memberi kuliah atau tazkirah. Ini adalah senario umum yang kita boleh lihat di beranda dan koridor masjid dan surau. Bekas abu rokok bertaburan merata berbau busuk, mematikan suasana bening dan damai masjid. Ramadhan demi Ramadhan dilalui, namun program dan tamrin Ramadhan tidak pernah berjaya membuang sikap buruk suka kepada perkara HaraM dan BusuK. Ramai Muslim yang graduat daripada program Ramadhan kalah kepada sebatang rokok. Ini tandanya iman dan taqwa tidak terbina dalam musim Ramadhan, malah terus terkuncup layu dan terbakar hangus , laksana terbakarnya puntung-puntung rokok yang bergelimpangan. Seandainya malam itu bertemu Lailatul Qadr, sudah pastinya orang-orang yang kecanduan itu mendapat kebaikan 1000 bulan menghisap RoKoK. Poofffff berasap dong! Waduh azabnya!

Wallahua’lam
27 Ramadhan 1432H
27 Ogos 2011


12 PERKARA YG ANDA BOLEH LAKUKAN SEMASA MENANTI MALAM QADR

Malam qadr adalah malam yang nilainya lebih baik daripada 1000 bulan. Apa saja perlakuan yang dilakukan pada malam tersebut seperti membaca al Quran, mengingati Allah dsbnya adalah lebih baik daripada beraksi 1000 bulan tanpa malam Qadr.

Pada malam-malam 10 terakhir Ramadhan Rasulullah saw memaksa dirinya supaya lebih gigih beribadah kepada Allah berbanding masa-masa lain.[HR Muslim].

Rasulullah saw bersabda: "Barangsiapa bersolat malam  Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaranNYA, akan diampuni segala dosanya yang lalu." [HR Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah].

Berikut adalah beberapa tip tentang perkara-perkara yang bisa dibuat sebelum, semasa dan selepas malam Qadr:-

  • Ambil cuti daripada segala pekerjaan, pejabat atau apa saja dalam kehidupan.Cuti kali ini pergunakan untuk tumpukan beribadat dan mensyukuri Allah. Kalau tak dapat cuti 10 hari, ambillah cuti sekadar yang boleh diluluskan. Dengan cara ini anda akan berupaya berjaga malam untuk melakukan lebih ibadah daripada biasa, tanpa khuatir bagi melakukan kerja pagi esok dalam keadaan kurang cergas. Hal ini juga akan membantu anda  beriktikaf.
  • Amalan Rasulullah saw dalam 10 hari terakhir Ramadhan adalah beriktikaf dalam masjid. Semasa iktikaf kita boleh lakukan berbagai macam zikir [mengingati Allah] = solat sunat, membaca & mentadabbur serta mengkaji al Quran. Kalau tak dapat iktikaf lama-lama, iktikaf dalam tempoh masa yang pendekpun memadai = 1 malam/1hari atau beberapa hari/malam saja dimulakan sebagai satu latihan.
  • Berdoa' secara khusus memohon keampunan daripada Allah; " Allahumma innaka 'afuwwun tuhibbul 'afwa fa' fu 'annii." Apabila berdoa' biarlah panjang dan mendalam serta menggegar qalbu. Ini dilakukan semasa bangun satu jam sebelum sahur. Pilihlah doa' yang ma'thur atau berdoa' dalam bahasa yang difahami. Sebaiknya hafazlah satu doa' pada setiap malam dan bacalah doa' yang berlainan, walaupun satu baris. Doa'-doa' ini boleh dibaca juga di pejabat, semasa memandu atau menunggu giliran menunaikan hajat sesuatu.
  • Membaca Al Quran sepanjang masa dan kesempatan yang ada khususnya selepas solat fardhu.
  • Mentadabbur makna al Quran dengan cara membaca terjemahan dan juga meneliti kitab tafsir yang muktabar. Segala pengajaran dan arahan Allah dalam Quran hendaklah dimuhasabah terhadap gaya hidup yang telah dilalui selama ini. Buat perubahan dan penambahbaikan agar menjadi lebih mulia kehidupan selepas Ramadhan sehinggalah dijemput mengadap Allah swt.
  • Hapuskan dosa-dosa dengan bersolat lebih lama, tertib, tenggelam dalam doa' dan bacaan yang difahami makna. Justeru semak kembali surah-surah yang biasa kita baca dan fahami maknanya untuk dibawa dalam solat supaya kali ini lebih dijiwai dan bermakna. Inilah pendekatan untuk membina tumpuan dan  khusyuk dalam solat di dalam & luar Ramadhan.
  • Buat senarai doa' dan susun apakah kandungan permohonan yang akan kita panjatkan kepada Allah sama ada kecil atau besar, duniawi ataupun ukhrawi - karena Allah sangat suka mendengar dan menerima doa. Selain berdoa', fikirkanlah apakah tindakan yang telah diambil untuk mendapatkan apa yang didoa'kan. 
  • Muhasabah diri dengan menyoal diri sendiri soalan-soalan yang perlu ditanya. Misalnya : di manakah aku kini dan ke arah manakah aku sedang tuju? Kalau sedang menuju kepada kebaikan dan ketaatan, bersyukurlah. Jika ke arah kemaksiatan dan kemurkaan Allah, berasa malulah dan bertaubat bersungguh-sungguh.
  • Ajak dan bawa ahli keluarga ke masjid atau surau untuk berterawih, agar ini menjadi tarbiyah ke atas anak-anak yang belum lekat solat berjamaah karena kita [ibubapa] tak sempat @ sibuk semacam bekerja.
  • Bacalah sebuah kitab/buku berkaitan  kehidupan/sirah Rasulullah saw. Ini akan mencetuskan dan membina kecintaan kita kepada baginda dan Deen Islam yang dibawanya.
  • Merancang untuk tahun depan sebaik saja evaluasi dibuat ke atas diri. Inilah masanya untuk  berkontemplasi dan merawat kelukaan jiwa, yakni pada malam-malam menanti Lailatul Qadr.
  • Sediakan senarai kerja kena buat dan lakukan mengikut keutamaan tanpa terjebak dalam percakapan dan sembang-sembang kosong malam Qadr lantaran tenggelam sakan dalam suasana buat kuih, lemang dan ketupat serta menghiasi rumah sebab teruja benar hendak raya.
Ayuh! Datuk, nenek, abang, kakak, adik, rakan dan taulan - jom beriktikaf dan beribadah sungguh-sungguh sambil menanti malam qadr, satu tawaran besar daripada Allah yang mengatasi mana-mana tawaran bonanza duniawi. Tapi awas kalau ada sesiapa yang tersasar melakukan maksiat dan mungkar pada malam Qadr, penalti  dosanya juga adalah melebihi 1000 bulan nilainya.

Wallahua'lam.

Nukilan: Abdul Malik Mujahid
Alihbahasa: WasH
22 Ogos 2011

RAMADHAN AL MUBARAK : TADARRUS VS TERDERRAS

Bulan Ramadhan setiap tahun tampak hebat dan meriah. Hebat dan meriah amat karena masjid, surau, madrasah dan musolla meremut dipenuhi para pengunjung lama dan baru. Pasar-pasar Ramadhan tumbuh bagai cendawan untuk menyemarakkan makan dan minum. Justeru bulan Ramadhan al-Mubarak bertukar menjadi Ramadhan al-Murtabak.

Sekilas pandang, memang seronok melihat perubahan semangat masyarakat dalam bulan puasa. Masing-masing nampak bersungguh mahu menghayati keindahan Ramadhan supaya ia membawa perubahan dalaman yang kekal membekas dalam hati nurani, membibitkan satu transformasi jiwa yang benar-benar merobah syakhsiyah Jahiliyah kepada keperibadian Islamiyah yang dikehendaki Allah swt. 

Dua kilas pandang kita lihat apa? Kita akan dapati sebenarnya tiada apa-apa perubahan besar yang berlaku dalam bulan Ramadhan tahun ini. Ia adalah seperti biasa berlaku dalam tahun-tahun yang lalu. Minggu-minggu pertama dan kedua puasa sahaja masjid dan surau penuh meremut tak cukup tempat. Seolah-olah macam kelkatu keluar daripada sarang menerkam sinaran lampu. Kemudian daripada itu satu demi satu gugur ke lantai letih tidak bermaya, lalu syahid[?]dan tidak muncul-muncul lagi ke masjid dan surau. Yang tinggal berterawih hanyalah makmum-makmum regular dicampurlah sedikit bilangan peserta baru yang tegar [belum jadi dropouts]. Fahaman dan sikap masyarakat terhadap solat jamaah nampaknya seolah-olah hidup seketika Ramadhan saja. Itupun sekejap waktu. Paling lama 2 minggu ke 2.5 minggu. Seolah-olah pula solat jamaah sunat terawih ini saja yang mesti dipulun setiap tahun untuk mendapat pahala daripada Allah, tetapi meninggalkan solat jamaah fardhu yang sepatutnya diberatkan dan diutamakan, selain di top-up dengan solat jamaah terawih. Sikap membuang dan mengabaikan solat jamaah fardhu berlaku berleluasa dalam masyarakat dan akan terus berlaku saban tahun tanpa ada sebarang perubahan yang ketara selepas Ramadhan berlalu. Dalam bahasa yang mudah, inilah yang dikatakan manusia yang tidak pandai berniaga dengan Allah. Mereka ambil dan buat perkara atau amalan yang sunnat beria-ria macam wajib, tetapi melemparkan amalan fardhu ke taraf sunnat atau sifar [0]- satu pelaburan yang toksik untuk akhirat. 

Majlis tadarrus memanglah bagus dihidupkan sama ada di rumah atau masjid/surau. Gelanggang tadarrus seharusnya menjadi tempat membaca dan sekaligus menjiwai makna al Quran. Tadarrus diikuti Tadabbur al Quran adalah satu pendekatan penting untuk meneliti dam memahami Quran bagi memahami arahan-arahan Allah kepada kita. Quran memang ditanzilkan untuk dibaca, akan tetapi bukan untuk dibaca sahaja, malah untuk difahami kandungannya supaya dapat mencorak dan mewarnai peribadi Muslim yang totok patuh kepada arahan Allah dan Rasul. Ia bukan bahan sayembara atau penglipur lara untuk sekadar membuai ulit rasa. Ia bukan seperti kitab Mahabratha dan Veda. Tadarrus bukanlah Terderras dengan speed limit mengalahkan Hiway PLUS. Bukanlah tujuan tadarrus untuk masuk explore race hendak bersaing siapa habis dulu dan buat majlis khatam Quran cepat. Sekiranya beginilah gamaknya, sampai bila-bilapun kita tidak mencapai apa-apa natijah yang positif. Para alim berkata: ini laksana kita mengutip angka-angka kosong [0].Walau banyak mana sekalipun angka 0, ia tetap bernilai 0 dan tidak mempunyai makna, kecuali ada nombor lain di depan atau belakangnya.

Mahu jadi Graduan Ramadhan yang berjaya? Kalau itu objektifnya, sikap dan mind set terhadap Ramadhan mesti dan perlu diubah segera, sekarang juga. Baki Ramadhan tinggal 3 minggu lagi. Jika mahu graduat dengan CGPa >3.00 - 4.00, kena buat perkara-perkara berikut:-

  • betulkan Niat = berpuasa hanyasanya karena Allah; 
  • solat fardhu berjamaah ditunaikan secara tetap tanpa culas lagi dalam dan luar bulan Ramadhan; 
  • baca al Quran secara tartil sepanjang hayat tidak kira bulan apa. Dan ambil saranan dan arahan Allah dengan penuh santun untuk dihayati dan dijelmakan dalam amalan kehidupan harian sehingga dipanggil mengadap Allah swt.
  • terus-terusan belajar membaca al Quran daripada guru yang faqih supaya mutu bacaan meningkat naik dari masa ke semasa. Jangan tunggu untuk baca dalam bulatan tadarrus untuk membetulkan sebutan makhraj & tajwid karena ia mungkin menggencatkan kelancaran kumpulan, walaupun speed nya sederhana. Maknanya, kita kena siap siaga terlebih dulu sebelum masuk bulatan atau gelanggang. Seandainya persediaan ini dibuat dahulu, barulah cantik perjalanan tadarrus.
  • muhasabah dan betulkan fikrah Islam yang tertanam dalam minda yang bercampur aduk dengan ideologi jahiliyah. Pemurnian fikrah Islam dalam minda adalah penting karena ia adalah enjin dalam menentukan setiap geraklaku insan sama ada menjadi ibadah yang diterima Allah atau tertolak lantaran terdapatnya karat-karat jahiliyah yang masih tebal dan pekat menyelaputi hati. Pemurnian fikrah boleh dilasanakan dengan membawa diri menekuni bahan-bahan fikrah Islam yang diajar oleh Murrobi yang faqih lagi muktabar dalam bidang tasawur Islam. 
  • mencari uruf yang kondusif serta kawan, taulan dan sahabat yang ada fikrah Islam yang mantap untuk dikongsi berbicara dan bertukar-tukar fikiran bagi membangunkan kembali kesirnaan fahaman Islam yang rosak dan bonsai yang dikemetotkan oleh agen-agen  syaitan.
Penjernihan jiwa serta pemurnian amal ibadah perlu berlaku serentak. Ia berlaku dalam bulan Ramadhan dan mesti dilakukan sepanjang hayat bagi menjaga keaslian iman, karena iman bisa bertambah dan bisa berkurang. Ia juga tamsil pakaian yang akan lusuh dan pudar lantaran basuhan yang acapkali, apatah lagi jika dijilat garing oleh panahan mentari.

Wallahua'lam.

6 Ogos 2011

RAMADHANKAN HIDUPMU

Apakah akan terjadi selepas habis Ramadhan? Jawabnya habislah puasa! Tepatpun jawaban itu tetapi jawaban itu tetap salah. Memanglah Ramadhan datang setahun sekali dan kita diwajibkan berpuasa seperti orang-orang terdahulu dalam era Nabi dan Rasul berlainan. Yang orang tak faham-faham adalah Ramadhan itu datang setahun sekali sebagai bulan tarbiyah @ latihan untuk memberi kesegaran kepada jiwa tentang bagaimana harus manusia beraksi di sepanjang hayat yang Allah pinjamkan. Ia menjana kesegaran dan kemantapan aqidah, ketundukan, ketaatan, kerendahan diri dan pengharapan manusia kepada keredhaan Allah swt. Kefahaman, semangat dan rasa hati seperti ini perlu berkesinambungan sampai akhir masa hayat masing-masing. Bukan sekadar menjadi Muslim yang baik, rajin beribadah, murah hati, cinta Quran, seronok menghadiri tazkirah, ralit berzikir dan sentiasa memohon ampun dan bertaubat atas setiap dosa yang terlanjur dilakukan hanya dalam musim Ramadhan!

MAKA Ramadhankanlah hidup kita di luar Ramadhan. Jangan beri sedikitpun ruang kepada syaitan dan agen-agennya menerobos masuk merosak binasakan binaan Islam yang telah kukuh kita bangunkan dalam diri kita sepanjang Ramadhan. Bulan Ramadhan bukan semacam penganut-penganut Hindu membasuh dosa di Sungai Ganges, lepas itu  bersukaria buat dosa  semula dan kemudian datang lagi ke Sungai Ganges untuk mandi cuci dosa. Kita mesti faham secara mendalam deen Islam sesuai dengan tingkatan umur. Semakin meningkat tua semakin jelas fikrah Islam dan semakin mantap ubudiyyah kepada Allah. Ketundukan dan ketaatan serta rasa penyerahan diri kepada Allah semakin menjiwai seluruh ruang qalbu. Citarasa keislaman kita sudah Ori dan kesanggupan untuk berjuang untuk menegak kelangsungan Islam menjadi agenda utama dalam setiap detik nafas. Kehidupan kita sudah berubah daripada tak keruan hidup kepada rasa aman @ damai bernaung di bawah payungan Islam. Sikap memberontak dan tidak hirau agama bertukar menjadi pembela deen Allah - peka terhadap permasalahan ummah. Kita mulai bercakap dan menyampaikan saranan-saranan Islam. Sudah belajar menjadi dai'e kecilan sebab kita faham itulah core business manusiawi yg dijelaskan dalam surah azZaariat:56 "tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada  Ku." Bukan duduk di takok lama dengan kefahaman dangkal cetek seperti anak-anak tadika, sedangkan usia pensiunan 60an. Masih bergelut dengan dunia yang sedikit masa lagi kita hendak tinggalkan.

Seandainya Ramadhan telah mengajar kita berimsak dengan perkara yang HALAL & HARAM dan kita bisa melakukannya, sudah tentu di luar Ramadhan perangai kita tetap seperti orang yang sedang berpuasa - peka dan berhati-hati terhadap perkara-perkara haram/syubhat/makruh dalam rangka untuk bertaqwa kepada Allah dalam semua aspek - bukan sekadar makan @ minum! Bukan sekadar geli geman tak lalu hendak tengok babi atau meloya lalu tepi restoran yang ada menu masakan sang sondol, MALAH sepatutnya semua yang haram kita tak gamak dan tak lalu hendak lakukan sebab semasa puasa, yang halalpun kita jauhi karena Allah tegah. Larangan ini semata-mata untuk melatih kita kuat jiwa agama dan berlaku ikhlas dengan diri sendiri apatah lagi berdepan dengan perkara-perkara haram.

Sewajarnya latihan @ tamrin 29/30 hari sudah cukup untuk memberi kesan kepada tabiat jiwa dan minda manusia agar tetap berperangai teguh dengan pegangan agama dan mampu menjaga diri daripada serangan bertubi nilai-nilai kuffar yang sentiasa berada di sekeliling hidup kita. Kalau kita alpa sekejap sahaja arus budaya busuk dari Barat dan Timur akan menyongsong dan mengheret dan menenggelamkan kita ke dasar kekuffaran yang pekat hitam dan sukar untuk timbul kembali menyedut udara segar Islam yang menawarkan kebebasan diri daripada kebinasaan nafsu haiwani dan mencapai kemenangan hakiki - "barangsiapa dihindarkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga Allah, maka dia adalah manusia yang paling berjaya"- Ali Imran:185. Inilah konsep dan makna kejayaan sebenar dalam hidup. Sekalipun kita berpangkat tinggi, jutawan, usahawan  atau orang ternama  - namun di kampung akhirat yang abadi, jika kita tak dapat meraih redha Allah dan masuk ke dalam syurgaNya, bermakna kita adalah manusia yg gagal & celaka.  Lebih baik jadi hamba marhaen dan tak dikenali semasa di dunia tetapi mendapat habuan paling berharga tidak ternilai iaitu keredhaan dan syurga Allah swt karena keimanan dan keyakinan kita kepada Hari Perhitungan dan Hari Pembalasan yg telah diwar-warkan dalam kitab yang sahih lagi benar iaitu Al- Quranul Kareem.

Wallahu'alam.


8 KESILAPAN YG SERING DILAKUKAN ORANG BERPUASA

Ramai orang berpuasa tapi tak faham maksud puasa. Sedikit pula yang  faham maksud puasa tapi tak faham cara pelaksanaannya. Segelintir  daripada  yang sedikit itu  faham pelaksanaannya tapi tak semuanya  yg benar-benar sanggup dan berjaya melakukannya. Kendatipun demikian, puratanya sangatlah ramai tak faham ajaran Rasulullah saw sebab itu lah mereka buat kesalahan & kesilapan - "bila Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang, maka dia akan difahamkan mengenai urusan agama" HR: Bukhari - Muslim. Bukan susah hendak faham agama, pokoknya kena belajar dan terus belajar. Yang tak faham, masih biul dan buta agama adalah karena tak mahu bertanya kepada orang ariffin @ ulama. Tidak mahu atau enggan bertanya itu sendiri adalah satu kesalahan. Berikut adalah 8 kesilapan yang dilakukan orang berpuasa yg perlu dihindari:-
  • Akibah daripada malas/enggan/malu bertanya atau sudah rasa cukup pandai dan tak perlu kepada guru@ orang alim > terjadilah dosa lisan yang banyak lantaran gelinciran lidah [umpat, berkata keji, mengejek, melaknat, melaga-laga].
  • Sikap suka berlebihan dalam menyediakan makanan dan minuman ketika berbuka dan sahur. Bukan setakat itu sahaja malah beli makanan dan minuman yang mahal-mahal tetapi yang dimakan/minum hanya sedikit sahaja. Selebihnya masuk dalam tong sampah dan tempat kumbahan. Kalau yang lalu makan-minum pula, mereka bantai sampai rosak pencernaan sedangkan ada orang lain di luar sana yang  mati kelaparan.
  • Tidur tiduran sepanjang hari dengan tujuan agar tidak merasai lapar & haus berpuasa adalah satu strategi salah. Bayangkan si mamat @ minah bisa melengkar bermalas malasan macam ular sawa kenyang, hanya bangun untuk solat dan kemudian ke bantal lagi. Anehnya pada malam hari digunakan masa untuk bergadang. Pada hal hikmah puasa adalah agar kita menikmati rasa lapar dahaga karena mendambakan redha Allah.
  • Melakukan perbuatan makruh dengan bermain kartu, karom, dam aji dan lainnya sebagai hiburan sambil membuang masa tanpa manfaat. Apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main saja, dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami? Mukminun :115 ; Dan tinggalkan orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai main-mainan dan senda gurau -  Al an 'Am :70.
  • Kesalahan lain yang berat adalah tidak menunaikan solat berjamaah. Hmmm ... ada juga qaul yang rajin  puasa tapi tak sembahyang [elergik kot] ambil wudhuk. Tidak pegang dan baca al Quran tetapi pegang dan baca bahan-bahan bacaan lain yang tidak mendidik ruh.
  • Tidak mendidik diri untuk bersedaqah, menjamu fakir miskin atau jiran berbuka puasa. Apa yang di sisimu akan lenyap dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal.. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan - an Nahl :96.
  • Tidak melakukan solat tarawih atau malas mengerjakannya. Padanya ibadah wajib sudah cukup, pada hal dia tidak pernah rasa cukup dengan sedikit harta yang diperolehi di dunia. Selalu saja meminta lebih daripada Allah. 
  • Membebani diri dengan membuat banyak makanan dan minuman [kueh raya?] hingga tidak sempat baca Quran, hadith, berzikir dan qiamullail. Seandainya dirancang betul-betul  agenda harian dalam semua urusan makan minum, nescaya banyak perkara-perkara lain yang bisa dilakukan untuk memberkati diri dengan ketaatan kepada Allah swt.    

 Jadi kita kenalah semak perkara di atas sama ada berlaku pada diri kita atau sebaliknya. Kalau ada kesilapan dan kesalahan mana-mana yang tertera itu, cepat-cepat buat U turn supaya tak memanjang masuk No Entry yang menyebabkan  kurang atau rosak pahala puasa.


Wallahu'alam

Sumber: Dr. 'Aidh al Qarni, "Ramadhankan Hidupmu", Maghfirah,2005

    RABBANIYYUN VS RAMADHANIYYUN

    Hari pertama hingga hari ketiga puasa, aku nampak muka-muka baru di surau TTDJ tempat aku selalu berkunjung sebagai ahli jamaah regular. Muka-muka baru ini kebanyakannya golongan muda dan sedikit saja angkatan tua. Sebilangan besar aku tak pernah nampak sebelum datang Ramadhan. Muka-muka ini membanjiri setiap ruang dan sudut surau sehingga terasa berkuap dan membahang w/pun kipas angin dan penghawa dingin berfungsi baik. Hatiku kembang melihat suasana ini bagaikan bunga raya kembang pagi di bawah kilauan mentari lembut menyinari alam. Alangkah nikmatnya kalau begini ramai anak muda berduyun memenuhi masajid, surau dan musolla. Islam sungguh mendambakan suasana ini - terasa syuur Islami mulai berkelopak kembang mewangi di relong hati generasi muda! 

    Termenung aku sejenak mengumpulkan ingatan pada musim-musim lalu. Betapa pula samanya suasana begini berulang saban tahun, tetapi menjelang berakhir Ramadhan, wajah-wajah tua dan muda yang kelihatan berduyun melimpahi surau kian surut bagai air laut yg menyurut ke tengah laut sebelum terjadinya tsunami. Yang tinggal cuma ahli-ahli jamaah yg regular, setia mengunjungi tempat ibadat tanpa menghiraukan bilangan yg mengombak deras sewaktu Ramadhan menjelma. Solat jamaah pada mereka ini hanya  sebulan dalam setahun. Itupun kalau dilakukan genap 29/30 hari. Selepas Ramadhan entah ke mana mereka menyembunyikan diri. Sekali sekala timbullah karena hendak minta imam buat tahlil di rumah untuk memperingati arwah-arwah yg telah tiada atau mohon solat hajat waris sakit tenat atau anak hendak ambil peperiksaan besar. Inilah waqi' atau realiti semasa di mana-mana saja di tanahair tercinta. Nampaknya the rising tide of submission unto Allah only happens during fasting month and it subsides gracefully when it reaches the climax prior to Aidul Fitri

    Inilah qadhiyah Islam. Persoalannya: apakah kita beribadah demi Allah swt atau demi Ramadhan? Kalau kita beribadah kerana Allah, zat yg maha mulia dan tinggi maka benarlah iman kita. Akan tetapi seandainya kita berubudiyah karena Ramadhan, maka dustalah iman kita sebab Ramadhan adalah makhluk Allah.Jelasnya kita menyertai program Ramadhan secara tradisi.  Orang berpuasa maka kitapun berpuasa. Orang faham  maksud dan ingin benar-benar mencapai taraf taqwa di penghujung Ramadhan, tetapi kita terkapai-kapai  lemas dalam nafsu. Tahun demi tahun berulangnya Ramadhan mampir dalam kehidupan kita, tetapi sedikitpun tidak membawa erti apa-apa karena kita sentiasa tewas dengan pesta makanan yg dianjurkan oleh rangkaian hotel/motel hingga kepada restoran dan kedai serta gerai yg menawarkan harga potongan@diskaun hebat untuk menambat hati yg jahil dan perut yg benak yg hanya tahu melampiaskan nafsu yang tak ada piawai. Kita membeli-belah semahunya pakaian mahal indah setiap hari raya sehingga menyemakkan almari. Kita kalah lantaran promosi dan ajakan gedung-gedung pakaian yg licik memainkan sentimen cheap sale=cheat sale. Justeru Ramadhan bukan lagi menjadi bulan ibadat malah sudah bertukar menjadi bulan meRaban. Kita meraban tak tentu hala dengan berebut-rebut membeli belah sakan untuk berbuka, menghiasi rumah, pakaian raya, perabot raya, kueh raya dll perkara asalkan rAyA. Dan kita ulangi setiap tahun perkara yg sama sampailah di penghujung   sisa usia.

    Jika beginilah lagaknya kita berpuasa - apakah taraf dan terma yg layak kita pakai di akhir Ramadhan? Taraf insan Rabbaniyyun atau Ramadhaniyyun? Pada penghujung Ramadhan sepatutnya kita dapat gelaran orang bertaqwa tetapi malangnya mungkinkah kita hanya bergelar orang-orang berduka karena puasa telah menjadi sia-sia. Pilihan ada di tangan kita. Mahu jadi hamba siapa - Allah swt atau hamba Ramadhan?

    Wabillahi tawfiq, wassalam.








    Pasca Ramadhan - Mempersiapkan Manusia Menjadi Insan Bertaqwa

           Berkata Ibnu Qayyim, "Puasa memiliki pengaruh yang menakjubkan dalam memelihara jasad, memelihara kekukuhan batin dan mencegah bercampuraduknya berbagai bahan makanan yang merosakkan kesihatan. Puasa memelihara kesihatan hati dan anggota badan, serta mengembalikan lagi hal-hal yang telah dirampas oleh tangan-tangan nafsu syahwat." 
    Ia adalah sebesar-besar pertolongan untuk membangun taqwa, sebagaimana firman Allah swt. yang bermaksud; "Hai orang-orang beriman, telah diwajibkan atas kalian puasa sebagaimana yang telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian, agar kalian bertaqwa. [Al Baqarah: 185].

           Mengambil maksud Ibnu Qayyim dan firman Allah swt. di atas,  bolehlah kita fahami bahawa perbuatan puasa itu sepatutnya melahirkan@mencetak keperibadian Muslim yang dikehendaki,  bertepatan tujuan asal perancangan Allah swt. ke atas manusia. Tapi perkara ini tidak terjadi walaupun telah bertahun-tahun berpuasa daripada awal baligh hingga hampir mencecah umur pesara @ pusara. Soalnya kenapa dan mengapa jadi demikian?  Kalaulah kita tamsilkan kepada pegawai/staf sesebuah organisasi yang dikirim untuk berkursus, namun apabila kembali ke kantor masing-masing, tidak ada apa-apa kesan baik atau peningkatan ke atas kemajuan kerja. Asyik-asyik  boss masih kena pantau rapi, gesa,  pujuk dan macam-macam sesi kaunseling ke atas stafnya lantaran sikap masih di takok lama - yakni tiada perubahan.  Soalnya kenapa sikap tidak berubah sedangkan  sudah berapa siri dan jenis kursus serta latihan telah diikuti. Pakar psikologi bernama Mc Clelland telah merumuskan bahawa yang penting dalam diri manusia adalah sikap, motif, trait budaya yang betul dan dinamis. Kelulusan akademik dan ketrampilan teknologi/teknikal saja tidak cukup dan tidak menjadi dasar kepada kebagusan pekerjaan dan tindakan seseorang, kalau tidak dipacu oleh sikap yang betul, motif yang benar dan trait budaya [budaya berkualiti]. Pokoknya bagaimana mahu kita wujudkan sikap, motif dan budaya berkualiti ini dalam diri manusia? Waduh! Persoalan ini membuat kita linu-linu di kepala. Ya... sikap yang betul, motif yang benar dan trait budaya berkualiti itu datang dari mana?  Mungkin ada orang mengatakan ia terjana secara spontan [spontaneous generation]. Mengikut logik, sesuatu yang terhasil itu mesti dihasilkan melalui proses tertentu. Manakan bisa terwujud secara tiba-tiba tanpa sebab musabab. Maknanya mesti ada asbab @ hubungan sebab akibat.


           Seandainya kita menerima hujjah mantiq sedemikian, secara mudah kita boleh menyatakan bahawa sikap, motif,  trait budaya itu sebenarnya datang dari satu proses yang digelar tarbiyah @ didikan @ asuhan yang bernilai tinggi. Nilai yang bermutu tinggi sudah tentu datang dari tempat @ maqam yang tinggi pula. Tak lain dan tak bukan ia adalah nilai Rabbani. Bukan nilai yang datang dari manusiawi yang serba dangkal dan bersifat serba kekurangan lagi dhaif. Kerana manusia yang naif tidak berupaya menyajikan kepada manusia lainnya panduan hidup yang lengkap sempurna bagi meleraikan problema kehidupan duniawi  sekaligus mencapai kehidupan akhirat yang sejahtera abadi. 


           Nah! Betapa benar Ramadhan merupakan  madrasah mutamayizah [sekolah istimewa] yang diprogramkan oleh Sang Pencipta sendiri, yang dibukanya saban tahun untuk mentarbiyah dan memproses secara praktis bagi menanam seagung-agung nilai dan setinggi-tinggi sikap, sebenar-benar motif bagi menzahirkan satu budaya Rabbani yang tiada tandingannya di mayapada. Benchmark @ kayu ukur ini tidak boleh disetarakan dengan mana-mana best  practices dalam apa-apa aspek kehidupan sama ada mundane atau supra mundane kerana ia terlalu tinggi untuk dibandingkan.  Justeru, barangsiapa memasuki madrasah ini, ia harus menyertainya dengan ilmu dan kefahaman Islam yang syamil. Fikrah Islamnya sudah sepatutnya jelas dan murni. Lantas apabila ia masuk ke madrasah Ramadhan, ia telah masuk dengan aqal dan hati yang menerima Allah sebagai Pencipta Alam Semesta  dan  Penggubal Peraturan Hidup Manusia,  bukan sekadar tahu syarat sah dan batal puasa. Solatnya sudah dijalin dengan  Tuhannya sekian lama penuh intim dengan rasa penuh ketundukan dan penyerahan total seorang hamba yang tahu asal usulnya. 

          Bila tercipta sentimen demikian terhadap penciptanya, terjalinlah perhubungan dengan Allah dengan penuh kerelaan dan keseronokan. Puasanya berkualiti tinggi, tarawihnya berjalan dengan penuh tertib, khusyuk dan tidak dihambat perasaan tergesa-gesa. Jasadnya berupaya berdiri malam untuk solat sunat tahajud/tasbih/hajat/taubat dll. Sedaqah, derma dan segala infaq untuk menyuburkan kehidupan Islami dilakukan menurut syariat Rasulullah saw dengan penuh kesungguhan tanpa rasa syak dan was-was akan kebenaran dan kebaikannya. Orang yang seperti inilah yang dianggap sebagai telah berjaya mengikuti madrasah Ramadhan dengan jayanya dan InsyAllah mendapat ganjaran yang besar iaitu syurga, lantaran ia masuk dengan fikrah, kefahaman dan ilmu, bukan hanya satu rutin dan tradisi tahunan kerana mengikut perbuatan/tingkahlaku nenek moyang tanpa mempunyai pengertian.

            Ayuh! Hanya 207 hari lagi untuk kita bertemu semula dengan Ramadhan Karim. Persiapkanlah diri dengan fikrah, sikap dan motif yang betul serta ilmu yang mendalam, agar kali ini kita berjaya berniaga dengan perniagaan yang menguntungkan [attijaratan lan tabur]. 
    InsyAllah kita bertemu di waktu lain dengan urutan tajuk yang berhubungkait. Topik Pasca Ramadhan telah berakhir. Wassalam.

          






    Pasca Ramadhan - Menajamkan Perasaan Atas Anugerah Kenikmatan Allah


    Bercakap tentang nikmat, biasanya kita tak perasan malah tak peka @ pedulipun sekiranya nikmat itu sentiasa berada di sisi kita. Ambil contoh orang kaya dengan kekayaan materi, ia anggap segala kesenangan dan kebagusan hidup itu macam tak ada apa-apa. Orang sihat merasai kesihatan yang ia miliki tak ada apa-apa nilai kerana sihat itu pakaian biasa baginya. Sang suami @ isteri menyenangi kehadiran pasangan masing-masing akan tetapi tidak benar-benar merasai kehadiran itu tinggi nilai dan sangat bermakna dalam hidupnya. Pokoknya, apa yang hendak disebut di sini ialah sebuah nikmat itu tidak begitu terasa semasa ianya dimiliki @ dipunyai. Namun ia sangat terasa sewaktu nikmat itu sudah tiada lagi ditangan kita.

    Mari kita lihat bagaimana Allah mengajar manusia untuk merasai @ menghargai nilai sesuatu nikmat itu. Ramadhan mengajak kita memahami nikmat kenyang dan nikmat pemenuhan dahaga dengan cara kita berlapar dan haus. Lihatlah seketika kita sudah selesai makan dan minum dan sejurus merasa kenyang dan hilang dahaga lantas terungkap ucapan syukur Alhamdulillah secara spontan. Justeru untuk manusia mengerti dengan mendalam makna kehidupan yang penuh dengan berbagai rasa kebahagiaan/kedukaan, kebagusan/keburukan, kesenangan/keperitan ia mesti menyusuri dan mengalami proses hidup ini bagi melengkapi perasaan insani. Perasaan insani yang dibaluti nilai inilah yang menjadikan manusia peka dan peduli perasaan dan penderitaan orang lain. Perasaan seperti ini hanyalah dimiliki oleh manusia yang beradab yang terhasil daripada proses ta'dib. Proses memberi adab inilah yang berlaku dalam Ramadhan selama sebulan. Cuma soalnya sejauhmanakah perasaan demikian tercerna dalam jiwa hasil daripada santapan nilai yang diprogramkan oleh Allah.

    Bila dicermati, alangkah tersasarnya nilai baik yang hendak dipupuk itu pada diri manusia. Berapa kerat sangat individu yang dapat merasai pentingnya tarbiyah Allah itu dan menyanggupi menjalani sungguh-sungguh puasa dengan hati yang redha dan bercita-cita mencantikkan peribadi dengan pakaian nilai baru yang hasanah pada hari Aidul Fitri dan seterusnya menjadi tabiatnya seumur hidup mengamalkan nilai-nilai Islam dalam urusannya dengan manusia dan lingkungannya.

    Belek-beleklah sendiri peribadi dan nilai-nilai yang sedang kita bawa - apakah ia syariah compliance atau sebaliknya. Jika masih berlaku non compliance, alangkah ruginya hidup ini. Wassalam dan jumpa lagi.

    Pasca Ramadhan - Mengamankan Gejolak Nafsu Biologis

    Lama telah diketahui bahawa nafsu seksual adalah senjata syaitan yang paling ampuh untuk menundukkan manusia. Cerminan kepada kekalahan manusia kepada nafsu terjelma dalam bentuk berbagai penyelewengan @ penyimpangan tingkahlaku yang menyebabkan keruntuhan akhlak hatta mengoyakkan fabrik sosial. Akhirnya membibitkan penyakit-penyakit kronik mewabak di seluruh daerah dan rantau. Tapi sayangnya, amaran Allah dalam bentuk wabak dan kesengsaraan jasadi tidak diendahkan oleh manusia yang tidak memanfaatkan akal. Manusia kalau sudah buta hatinya, tidak mampu dipandu oleh akal, walaupun abqari. Genius hanya pada akal, tapi hati belum tentu tajam dan mudah tersentuh oleh ayat-ayat Allah dan nasihat Rasulullah.

    Lantaran itu, Allah menyediakan kita satu tarbiyah khusus untuk menjinak, mengekang dan memimpin gelora nafsu. Naluri manusia ketika berpuasa kerana Allah berada pada puncak yang tinggi. Sebab itulah Rasulullah saw berpesan kepada para pemuda yang belum kahwin tapi masih belum cukup biaya atau bajet pernikahan supaya berpuasa demi menjaga pandangan mata dan kemaluan - kerana puasa itu umpama kebiri.

    Pantas sekali kalau sudah tamat musim puasa sebulan, kita harus perpanjangkan dengan puasa sunat mingguan dan bulanan. Kalau telefon bimbit perlu disuntik kuasanya setelah digomol habis-habisan siang malam, apatah lagi jiwa manusia perlu juga diperangat dengan suntikan amalan baik dan peringatan Allah agar sentiasa berada atas landasan yang betul. Persis seorang pemandu mobil yang memerlukan rawatan kafein dan kerehatan jasadnya setelah penat dan lelah memegang stereng. Mungkin sebab itulah R & R berkempen sewaktu cuti perayaan supaya jangan memandu terlalu lama - perlu rehat dan memanjakan diri di kiosk dan pekena secawan kopicino.

    Jadi sesiapa yang hendak pulang ke kampung atau bermusafir jauh sempena cuti panjang minggu depan, ada beberapa perkara kena ingat : jaga nafsu agar tidak meraban dan merapu ; jaga mata, telinga agar nampak dan tahu jalan yang dituju; jaga jiwa agar selalu ingat kepada Allah mohon kesejahteraan dan keselamatan duniawi dan ukhrawi. Mudah mudahan apa saja yang kita lakukan sepanjang perjalanan menjadi ibadah.


    Pasca Ramadhan - Melatih Kesabaran dan Mencabar Serta Meninggalkan Kebiasaan

    Intipati kesabaran adalah menahan diri dari dorongan untuk segera memenuhi sesuatu yang kita inginkan. Sabar juga merujuk kepada keupayaan menahan nafsu amarah, sabar dari rasa malas dan enggan, sabar dalam menjalankan ketaatan, sabar untuk tidak berbuat maksiat yang umumnya menyeronokkan.


    Sabda Rasulullah saw, Puasa adalah bulan kesabaran dan tiga hari dalam setiap bulan dapat melenyapkan kedengkian dalam dada. [H.R. Bazzar dan Ali dan Ibnu Abbas, dan Thabrani dan Baghawi dan Namr bin Tulab]



    Puasa mendidik kesabaran untuk tidak melakukan kebiasaan. Yakni kebiasaan mengombeh teh tarik atau kopi kaw pada waktu pagi dengan santapan roti canai, capati, tose rawa rangup berkuah dal. Ada yang suka telan putu mayam, puri atau macam-macam lagi sarapan yang sedap, apatah lagi kalau dapat berasap dengan rokok kegemarannya. Benda yang sedap-sedap ini bukan senang hendak tinggal @ ketepikan begitu saja tanpa mencabar kebiasaan yang selalu kita ulangi saban hari. Semua ini berlaku dengan sengaja kerana kita berniat meninggalkan kebiasaan itu. Itulah yang digelar the power of intention [niat]. Ini baru cerita di pagi hari, tengahari belum lagi. Kalau disusun menu yang ada di restoran/gerai untuk persediaan makan tengahari, boleh jadi panjang berdepa-depa. Persoalannya apakah kita pasti dapat mengatasi kemahuan biologis dan libido lapar & dahaga termasuk runtunan seks tanpa niat mahu berubudiyyah semata-mata kerana Allah swt. Hendak bersabar dan meninggalkan kebiasaan bukan senang, cakap memang boleh. Bila mahu bikin belum tentu berjaya. Tetapi ternyata kita akan kembali buat perkara-perkara kebiasaan yang kontra sunnah selepas Ramadhan dengan begitu mudah tanpa rasa bersalah atau segan. Ramai yang gagal selepas berkursus Ramadhan kalau dikaitkan dengan kes merokok, mengumpat, melepak, merempit dan melakukan perkara sia-sia.

    Nampak seolah-olah macam tarbiyah Ramadhan tak menjadi dan tak memberi apa-apa kesan langsung. Hal seperti ini kita ulangi setiap tahun macam satu rutin. Tak buat rasa macam tak cukup sesuatu. Bila buat kita hanya mengutip angka-angka kosong yang tidak memberi sebarang makna. Akhlak kita dengan Allah masih rendah, akhlak kita dengan manusia masih bejat. Justeru masih belum menjadi salih walaupun usia terus meningkat naik, sedangkan nilai agama dan maruah diri sebagai Muslim terus menurun.

    Rupanya memang sukar hendak lari dan meninggalkan kebiasaan. Ia kuat melekat menjadi mendarah daging terpaut intim merangkul kukuh jiwa muda @ tua yang mudah mengalah kepada nafsu. Oleh itu lihatlah ke dalam diri [introspeksi] dan pujuklah jiwa agar ia menjadi bugar sebelum Allah memeriksa akaun kita masing-masing , sama ada kita telah membenarkan ikrar kita menjadi Muslim yang sejati

    Pasca Ramadhan - Mendidik Kemahuan Untuk Beramal Dalam Ketaatan


    Antara kemahuan diri dengan ketaatan kepada Allah selalunya bergeseran hebat dan sering cabar mencabar dalam diri seseorang. Kemahuan yang tidak baik dan cenderung maksiat adalah hasilan daripada tahap dan jenis didikan @ tarbiyah yang diperolehi seseorang daripada guru pertamanya iaitu ibubapa. Kemudian daripada sekolah, kawan sebaya hatta seluruh lingkungan sosialnya. Seseorang itu membesar dan menjadi serasi malah mantap perangai dan perilakunya daripada asuhan dan usapan dalam rumah dan luar rumah. Dalam realiti sekarang manakah yang lebih kuat dan gagah mendidik manusia untuk menjadi elok atau sebaliknya : asuhan dan nilai keluarga sendiri atau nilai asing yang tak kena mengena dengan agama dan anutan ibubapa?

    Kita kena ingat dan insaf bahawa sekolah, rakan sebaya, masyarakat amnya tidak bertanggungjawab secara terus dan total ke atas pendidikan anak-anak kita. Kita yang melahirkan, maka kitalah yang mesti menggalas tanggungjawab itu. Institusi atau lembaga-lembaga dalam masyarakat seperti sekolah dan uruf sekitaran adalah pelengkap saja, itupun kalau uruf yang hasanah. Jika tidak ia akan jadi kontra tarbiyah.

    Sekarang kita cuba perhatikan bagaimana puasa dapat memberi pendidikan kepada kita bahawa manusia ternyata mampu melakukan suatu amalan yang sangat berat (berlapar dan dahaga). Kalau kita bertanya pada orang bukan Islam yang tak pernah berpuasa tentang perkara ini, sudah tentu mereka akan berkata ini kerja gila/kes aniaya diri dsbnya. Menahan diri daripada makan, minum dan segala yang halal dan haram semasa puasa adalah atas kemahuan/kerelaan diri sendiri bukan dipaksa. Suasana inilah yang membentuk sifat amanah, jujur, ikhlas dan adil pada diri sendiri, kerana yang memantau pelaksanaannya adalah diri kita. Kemudiannya seluruh amalan sisipan yang sunat pula dilakukan sepanjang Ramadhan adalah atas rasa mahu menghampirkan diri dan berlatih ketaatan kepada Allah. Ramadhan adalah satu institusi yang Allah sediakan sebagai satu kurikulum khusus yang paling mantop untuk mencanai/mengukir/mencetak peribadi mulia dan cemerlang. Lantaran itu kursus dan kurikulum buatan manusia yang dicipta untuk diikuti hanyalah sekunder sahaja. Ia sekadar bertindak sebagai tampalan dan bahan penyegar dengan syarat tarbiyah asasi mestilah datang daripada kurikulum Allah swt dan telah diikuti dengan sempurna dengan kefahaman yang jelas, bukan ikut-ikutan @ tradisi nenek moyang.
    Dalam Quran pun kita biasa berjumpa dengan hujah @ dialog kaum musyrikin semasa menghadapi asakan intelektual berhubung kenapa dan mengapa sesuatu amalan itu dilakukan, mereka akan berkata:-

    "ini semua telah diamalkan oleh nenek moyang kami sejak dulu kala lagi, takkan mereka salah kot..."
    Jadi, kita kena pastikan yang amalan tak kira berupa ambilan daripada nenek moyang kah atau ambilan daripada mana-mana juzuk dalam masyarakat, syaratnya mesti dipelajari daripada sumber yang betul dan sahih; difahami dengan jelas dan mempunyai nas-nas dan dalil-dalil yang boleh dirujuk. Barulah namanya belajar dan memahami dan digelar berilmu. Jika tidak ia dinamakan taqlid yang buta sebab tak tahu hujah datang dari sumber mana. Pendeknya orang Islam mesti berilmu untuk beramal, bukan beramal sembrono.
    Wassalam, jumpa lagi pada maudhuk yang berikutnya.