Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

Showing posts with label Tazkira. Show all posts
Showing posts with label Tazkira. Show all posts

RASA PERTANGGUNGJAWABAN DALAM KALANGAN ANAK-ANAK




Rasa bertanggungjawab/pertanggungjawaban adalah sebuah perasaan yg terbetik dalam jiwa/minda hasil drp didikan ibu bapa/sekolah/masyarakat ke atas anak-anak. Proses menerap, menanam, memupuk, menyemai rasa pertanggungjawaban ini sewajarnya bersemi, tumbuh dan hidup segar dalam jiwa si anak sampai akhir hayat. Sementelah pula adanya faktor iman yg menyegar dan mengikat jiwa ke arah kebaktian dan rasa kemanusiaan yg mendalam.

Proses tarbiyah seorang anak terus berlaku dari semenjak cilik sehingga ke mercu IPT. Halaqat dan usrah terus menyemai jiwa-jiwa si anak bagi membetuli fikrah dan memurnikan amaliyah Islaminya. Namun sangat kentara sekali, akhlak si anak dalam berperilaku dan berperihidup dalam keluarga, tidak seindah rasa persaudaraan/ukhuwah sesama sebaya sewaktu bersama rakan taulan. Mereka lebih bersifat membantu dan ringan tulang dan tubuh bagi menolong kawan rakan [apatah lagi kalau pacarnya]. 

Jiwa mahu menolong dan meringankan beban hidup, beban tugas, beban menguruskan rumahtangga ibu ayah sudah tidak dilihat sebagai kewajiban si anak. Pinggan dan cawan yg digunakan untuk makan dan minum, masih tak terbasuh oleh tangan yg sangat berkudrat berbanding ibu dan ayah. Hampir semua perkara perlu dirayu dan disuruh baru dapat merasai nikmat punya anak. Jika tidak ibu dan ayahlah terpaksa menyongsong arus melakukan kerja sendirian tanpa ada harapan akan mendapat pertolongan si anak meringankan bebanan fizikal, hati dan fikiran membilang waktu dan hari-hari tersampainya kemusnahan. Apa ertinya Hari Ibu @ Hari Bapa yg menyapa setahun sekali? Bahagiakah ibu dan ayah dilayan begini? Cukupkah sekeping kad dan bunga yg dikirimkan untuk mengharumkan hidup mereka semusim hanya sekali? Seorang bapa bertanya saya semalam: " Dimanakah silapnya pendidikan kita ini?" 

Wahai anak-anak, bangkitlah dari tidurmu yg asyik, lepaskanlah laptop di ribamu. Jenguklah dapur dan anjung rumahmu; apakah terurus dan masih mahu dikemaskan oleh orang tuamu? Janganlah berkira dalam hidup, nanti anda akan dikira secukup-cukupnya dalam menyeberangi lautan kehidupan semasa bergelar ibu dan ayah. Kasih berbalas kasih. Rindu berbalas rindu. Tanpa bibit-bibit kebaikan yg disemai, tiada pohon jasa yg akan tumbuh merimbun meneduhi perjalananmu.

fIKIR-fIKIRKANLaH.

qALAMUNIR 

12 mEI 2013

SEMPURNAKANLAH IBADAH AYAH BUNDA


BILA ayah bunda kembali mengadap Allah, yg ditinggalkan mungkin hutang-hutang ibadat selain hutang wang ringgit. Ibadat yg tertangguh dan tertinggal lantaran kekangan masa/wang, kesibukan mengurus rezeki/nafkah keluarga, kefahaman agama yg dangkal, kecuaian dan lemah iman perlulah dibayar oleh waris terhampir iaitu anak-anak. 

Anak-anak harus mengerti dan insaf bahawa kepayahan dan kemiskinan ayah bunda sewaktu membesarkan mereka, menyebabkan ayah ibu lalai dan kehilangan ruang masa utk menyempurnakan ibadah mereka. Ada ibu bapa yg menangguhkan pelaksanaan ibadah haji karena terpaksa menggunakan wang simpanan utk pelajaran anak-anak. Ada yg akhirnya berjaya ke tanah suci dan ada yg mati sebelum hasrat itu tercapai. 

Atas alasan apa sekalipun, kewajiban tersebut tidak expired dengan kematian mereka. Hutang dengan Allah masih dituntut, justeru waris-waris yg masih muda dan berkemampuan perlu melunaskan hutang tersebut mengikut ketentuan syara'. Penyempurnaan ibadah bagi pihak ibu ayah membolehkan mereka menjadi Muslim yg berpotensi menerima keampunan dan keredhaan daripada Allah swt. Bagaimanakah nasib ibu ayah jika anak-anak tak ambil peduli membayar hutang-hutang kpd Allah? Agaknya bagaimanakah keadaaan mereka bila bertemu Allah di padang mahsyar?

Bagi ayah bunda yg telah lama meninggal dunia dlm keadaan masih terhutang dengan Allah dan manusia, apakah anak-anak mahu relax dan menikmati duniawi sepuasnya tanpa menghiraukan jeritan halus ayah bunda memohon dilangsaikan hutang. Ingatlah: anda menjadi manusia yg berpelajaran, mengenal agama, memiliki harta dan kemewahan duniawi yg sementara adalah atas penat lelah mereka.

Di atas nikmat Tuhan yang manakah hendak kamu dustakan?






231212

MELUNASI HUTANG IBU BAPA

HUTANG IBU BAPA

Pasca pengebumian jenazah adalah membereskan hutang. Hutang itu membelenggu ruh orang yg sudah mati. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa ada seseorang pernah bertanya kpd Rasulullah saw tentang saudaranya yg telah meninggal dunia sedangkan ia berhutang.

Rasulullah saw bersabda; 'Dia terbelenggu dgn hutangnya, maka bayarlah untuknya.' Lelaki itu berkata, wahai Rasulullah, aku telah membayarnya kecuali 2 dinar yg diminta oleh seorang wanita. Tetapi dia tidak mempunyai bukti.' Rasulullah bersabda; "Berilah kepadanya, dialah berhak."

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw telah bersabda; "Nyawa seorang mukmin itu tergantung kepada hutangnya sehingga dibayar terlebih dulu."

Maksud hadith di atas; urusan seseorg mukmin itu akan terhalang dlm kehidupan akhirat akibat hutangnya. Dia tak dapat akses syurga sehingga ia menjelaskan hutangnya. Macamana si allahyarham/yarhamah mahu melunaskan hutangnya dalam keadaan dia sudah kaku mati. Pada saat inilah timbul t/jawab di bahu anak-anak utk membayar hutang tersebut. Cara ini sajalah yg membuka exit kpd ruh ibu ayah agar dapat kembali kpd Allah dlm keadaan selamat dan diredhai. Hal ini mencerminkan ketatnya peraturan syara' tentang masalah hutang. Hingga seorang syahid pun tak bisa masuk syurga walaupun ia gugur berjuang di jalan Allah seandainya dia mati berhutang. 

Ibu ayah mungkin berhutang semasa hidupnya utk membelanjakan kos hidup keluarga dan pendidikan anak-anak dsbnya. Jika semasa hayat mereka, anak-anak mengongkosi keperluan mereka sewaktu tua@pensiun, justeru sama jua halnya apabila mereka tiada lagi, sisa-sisa hutang perlulah dilunaskan sepenuhnya sebagaimana mereka dibantu semasa hayat mereka, sebagai tanda kasih sayang sejati anak-anak kpd ayah bunda. 

Jadi berwaspadalah mengendalikan hutang piutang. Jangan berhutang membeli barangan @harta mewah yg tidak penting dlm hidup, supaya ia tidak membebankan generasi yg ditinggalkan. Kecuali sangat terpaksa karena keperluan mendesak.
Di atas nikmat Tuhan yg manakah hendak kamu dustakan???
 
Wallahu a'lam.
 
14 November 2012

TOLONG MENOLONGLAH SESAMA ADIK BERADIK



Manusia tercipta dgn berbagai perbezaan. Perbezaan rupa, warna kulit, kapasiti, daya fikiran, status sosial, kedudukan ekonomi. Kelainan dan perbezaan ini adalah tanda kekuasaan Allah. Hal ini berlaku agar manusia boleh saling mengenali dan melengkapi antara satu sama lain.


Dalam satu keluargapun demikian. Ada yg pandai dan pintar, berjaya dlm akademik dan diberi kedudukan tinggi dlm masyarakat. Hidup mewah dan berharta. Ada pula yg kurang berjaya dlm pelajaran, tahap pemikiran rendah- hidup sederhana dan ekonomi tidak mantap. Mereka ini adalah drp titih dan galur keturunan yg sama. 

Sekiranya yg berjaya dlm kehidupan itu abang dan kakak ataupun adik-adiknya saja, maka bersikap kasih dan ihsanlah terhadap mereka yg Allah anugerahkan kekurangan itu. Kasihani dan pedulikanlah adik beradik yg nasibnya malang dan kesusahan hidup. Ambil tahu nasib dan kesengsaraan/keperitan hidup mereka, karena berbakti bukan sekadar kepada ibu ayah, malah juga terhadap adik beradik dan keluarga lainnya.

Rasulullah saw bersabda, "berbaktilah kpd ibumu, ayahmu, saudara perempuanmu, saudara lelakimu, kemudian yg terhampir dgnmu dan yg terhampir."

Justeru, hulurlah bantuan material dan moral kpd mereka. Infaqlah harta dan rezeki yg Allah kurniakan itu utk dirasai oleh mereka. Malah bantu dan pimpinilah mereka yg dhaif agar bisa sama-sama berjaya dlm kehidupan. Dan yang lebih afdhal adalah membantu mendidik dan menta'dib fikrah dan akhlak Islami. Agar kita dan semua adik beradik dapat merasai masuk ke dalam syurga Allah lantaran usaha dakwah kita. Ingatlah, sebaik-baik sedekah dan infaq adalah yg diberikan kpd kerabat yg terdekat. Malah sebaik-baik pemberian adalah ilmu yang bermanfaat yang dapat menyelamatkan kita daripada bahaman neraka Allah swt.

Allah swt berfirman, "dan berikanlah kpd keluargamu yg dekat akan haknya dan orang miskin serta orang musafir dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dgn boros yg melampau." [Isra 17:26]



Ayah dan Ibu merasa aman dan bahagia melihat anak-anaknya bantu membantu dan bersatu padu dlm meranjau kehidupan. Karena makna kehidupan itu adalah pd memberi, bukan pd menerima. Berkongsi kemanisan dan kemasinan hidup yg digauli pahit maung, agar membuahkan satu rasa yg hebat dan kepuasan hidup yg bererti. 


Wahai anak-anakku, inilah wasiat ayah ibu. Sepeninggalan kami, ingatilah pesanan ini dan jadikan ia amali.

Di atas nikmat Tuhan  yg manakah hendak kamu Dustakan?


Qalamunir

19 Oktober 2012

UMUR SUDAH 30AN MASIH MAHU MAIN GAME?




  • Permainan atau games cara maya menguasai pasaran masyarakat manusia kini. Ibubapa yg khuatir keselamatan anak-anak bermain di taman permainan @ luar rumah, membawa pulang play station ke rumah supaya anak-anak betah di rumah hatta selesailah sementara kegusaran itu.

    Anak-anak mula belajar bermain ala maya menggunakan joy stick hingga asyik. Tidak cukup dengan itu, PC dijadikan alat untuk muat turun games daripada internet untuk memberi banyak pilihan permainan kepada pencandunya. Dengan demikian, ramai pula yang terjebak dengan games yang mempertaruhkan wang yang dianjurkan secara pertandingan siber.  Sikap suka bermain dan seronok melihat skrin yg penuh aksi serta gejala judi, menumpulkan minat belajar al Quran dan membaca buku sekolah. Prestasi bermain games si anak sangat meningkat. Segala trick dan gaya telah dieksplorasi sehingga catatan/hits bagi skor markah satu-satu game itu mencapai status cemerlang. Mereka rasa bangga kpd sesuatu yg tak bermanfaat. 


    Orang dewasapun semacam juga perangainya. Terikut-ikut dengan gaya dan gelagat hidup sianak kecil dan remaja yg berseronok berdepan dengan skrin berjam-jam sehari. Seolah-olah umur dan masa yg ada padanya tidak ada harga langsung. Ia menggadaikan jiwa dan raganya untuk menghabiskan masa menikmati keseronokan sementara. Sambil makan jajan dan minuman karbonat yg terletak di sisi, games harus diteruskan. Waktu solat masuk tidak berdaya untuk berjamaah di surau @ masjid. Melekat pada skrin laksana ikan bandaraya menyapu bersih najis pada dinding cermin dan lantai akuarium. Ketagihan jenis baru ini selain ketagihan rokok dalam kalangan remaja @ dewasa, adalah ketololan baru yang akan mempercepatkan pemupusan generasi Islam yang sudah kian tenat menghadapi penyakit sosial kritikal yang lain.

    Wahai ibubapa yg masih muda, termasuklah yang super dewasa, sila lihat kembali secara introspeksi kepada isu ini bagi berlaku adil kepada diri sendiri dan anak-anak didikan kita yg masih muda, agar kita dan mereka tidak hanyut terbungkus dalam kemelut permainan yg akan memusnahkan intelektualiti dan amalan hidup Islami. Kita perlu khuatir masa akhirat yg sedang menanti dan apakah justifikasi kita bila berdepan dengan Allah nanti, bila ditanya : bagaimanakah anda menghabiskan umur dan harta yang dipinjamkan kepada anda itu? 

    Kalau rasa boleh jawab dengan yakin dan diterima oleh Allah, tidak mengapa, teruskanlah bermain... "wamal haya taddunya illa mata'al ghurur."[p]

    Wallahua'lam.

    Qalamunir
    06 September 2012

PERIHAL AIS @ AIR BATU YANG TIDAK MENYEJUKKAN




Ais@air batu sifatnya sejuk dan dingin. Ia merupakan watak air yang mencapai kesempurnaan kejadian = kamal al-awwal. Samalah seperti seorang Muslim, ia berada dalam fitrah sejati sebagai orang yang beriman setelah terselamat daripada kekafiran karena ucapan kalimah toyyibah.

Persoalannya: az Zariyat :56 telah menjelaskan kepada manusia bahawa core business manusia dijadikan dan didatangkan ke dunia ini adalah untuk berubudiyyah kepada Allah. Tugas-tugas lain adalah sekunder = cari rezki, urusniaga ekonomi, mengurus rumahtangga, hatta segala serba serbi kegiatan besar dan kecil duniawi lain adalah sekunder. Sebab ia dikatakan sekunder lantaran pekerjaan dan aktiviti tersebut adalah untuk kepentingan diri sendiri dan keluarga, tanpa melibatkan kepentingan dan kesejahteraan ummah.

Yang dikehendaki oleh Allah adalah ais yg sejuk lagi menyejukkan. Yakni berupaya menyejukkan sayur/buah/ikan dll hingga menyegarkan serta melambatkan pereputan. Justeru manfaat kedinginannya jelas sekali dapat diambil dan digunakan oleh berbagai benda dan makhluk disekitarannya. Begitulah halnya dengan manusia, jika hidup dengan anugerah kekayaan oleh Allah, tapi tidak membantu masyarakat setempatnya karena bakhil, sikaya ini tidak berguna. Jika orang berilmu tinggi namun tidak mahu mengajar atau berkongsi ilmu karena malas atau tidak peduli masyarakat, manusia seperti itu tidak berfaedah kepada masyarakat namanya. Kayanya hanya untuk diri sendiri tanpa menginfaqkan wangnya untuk pembangunan ummah bagi menjiwai Islam. Berilmunya hanya untuk hiasan semata-mata dan bangga diri, sedangkan ummah dibiarkan jahil dan rosak binasa bergelumang dalam maksiat.

Manusia yang mandul tidak menghasilkan/memberi sumbangan apa-apa untuk kebahagiaan dan kesejahteraan ummah,  umpama ais yang tidak menyejukkan sesuatupun yang berada di sekitarannya. Apakah kita daripada jenis manusia yang mendatangkan kebaikan dan kebagusan masyarakat, atau daripada jenis yang hantu langsuir pun tak lalu hendak buat kawan? Apapun jawatan kita dalam perkhidmatan awam, swasta atau militer, core biz kita sebagai manusia adalah membawa, menyebar dan menyalakan obor kebenaran Tuhan dan menganjur manusia taat dan buat kebaikan. Inilah saja kerja yang boleh dijadikan hujjah di hadapan Tuhan tentang apa yang telah kita laksanakan sebagai insan dai'e yang mengaku beriman.

Hidup biar berjasa kepada Allah dan Rasulullah, menjadi pelita dan kandil kemerlap memantulkan sinar, mencerahkan denai dan jalan kelam gelemat bertukar menjadi hiway Plus untuk dilalui manusia, deras menuju Tuhan penuh rahmat.P

Wallahualam

Qalamunir
10 Julai 2012

RESTORAN MAMAK 24 JAM VS KERJA DAKWAH 24 JAM



Sungguh kuat motivasi bekerja para mamak. Mereka buka restoran 24 jam round the clock. Mereka kutip fulus 24 jam tanpa henti dan para pengunjung rata-rata orang Melayu makan minum 24 jam  sambil bersembang bisnes atau sembang kosong, melayari internet, tonton  bola dan cerita movie di layar perak atau melepak sambil menghisap syisya@rokok, berjenaka, gelak ketawa, usik-usik kawan  dan ada yang termenung panjang, sengaja tak mahu pulang ke rumah awal.


Restoran mamak 24 jam menjadi melting pot dan pelabuhan para pengunjung malam untuk menghabiskan waktu malamnya yang dianggap tidak produktif karena kelam itu adalah masa rehat santai bagi melepaskan penat seharian mencari mengais rezki di bumi Allah. Para muallim berpesan bahawa: manusia harus membahagikan masa 24 jam dalam sehari kepada beberapa juzuk penting supaya tidak ada kesia-siaan membelanjakan masa yang mahal yang diberikan Tuhan itu. Bahagian pertama  mencari rezki; kedua beribadat mentaati Allah; ketiga memberi hak kepada badan untuk rehat @ santai agar dapat mengumpul kembali kekuatan; keempat menyebarkan risalah Islam dan mengajak manusia membuat kebaikan dan menghindar maksiat dan mungkar.  


Terfikir kenapalah  Mamak tidak mengambil peluang menjadikan restoran 24 jamnya ini  sebagai tempat bertemu sua dan menyemarakkan dakwah. Tempat sebegini memang kondusif untuk bertukar-tukar maklumat dan sembang santai perihal kehidupan beragama kepada pengunjung yang ramai silih berganti. KIOSK Agama kalau diwujudkan bukankah bagus untuk menjana keprihatinan minda terhadap isu-isu ringan tetapi penting dalam mencelikkan minda yang dorman @ menopaus terhadap kehidupan akhirat.  Dengan andaian itu, ada baiknya tv-tv plasma yang tersangkut di segenap sudut dalam restoran itu dimuatkan dengan siaran ceramah, tazkirah serta cereka yang bisa mencetuskan minda berfikir dan memimpin iman. Rasanya tersangatlah banyak sekali kebajikan dan pahala yang diraih oleh si mamak sekiranya ia sedar inilah peluang dan pendekatan yang mudah untuk membantu agama Allah. Semangat bekerja seorang dai’e itu harus mencontohi ketahanan bekerja dalam masa yang lama dan melelahkan seperti pekerja-pekerja Restoran Mamak 24 jam. Memang nampak sekali kejenuhan berperan melayan pelanggan yang rencam perangainya. Begitulah pula halnya melayani mad’u yang berbeza pemikiran, tingkat pendidikan, latar belakang didikan agama dan sosio-ekonomi. Kejenuhan menggarapi dakwah ini perlu dirasai sendiri oleh para dua’t supaya mereka lebih kental dan tegar mengharungi medan realiti dan seterusnya rasa terhibur dengan janji Allah yang besar di akhirat mengatasi kebaikan dan kehebatan duniawi.


Individu Muslim yang lain tidak payah tunggu buka restoran 24 jam untuk menjual produk-produk Islam. Bisa saja menyebarkan maklumat, pesanan dan nasihat ajaran Islam melalui sms, facebook, e-mail dan cara maya lain jika ada, supaya alam ini dipenuhi dengan ajakan-ajakan kepada keimanan kepada Allah dan menegakkan kebenaran hakiki. Manisnya hidup bukanlah karena banyak merasai gula atau manisan, tetapi dengan banyaknya membuat kebaikan sesama insan dengan menunjukkannya jalan keselamatan dunia dan akhirat.

Wallahua’lam.

Qalamunir
30 April 12

BUDAYA ASYIK, ASYIK, ASYIK

Manusia adalah makhluk paradox sifatnya. Ia walaupun gagah dan hebat tetapi dapat dikalahkan oleh seekor nyamuk. Justeru sebagai insan kita perlu tahu kekuatan kita, tetapi pada masa yang sama mesti menginsafi kelemahan yang ada pada diri.

Seorang pemuka Barat Lawrence of Arabia berkata, " Kami tahu orang Barat telah sampai ke bulan, tetapi mereka masih belum pandai berjalan di bumi." Jadi manusia harus mengerti dan ingat bahawa mereka tidak boleh sombong dan pada masa yang sama tidak bisa terlalu menghina diri.

Manusia yang berimbang dalam menjalani hidupnya harus rabbani karena mengenali Tuhannya. Dengan mengenali Pencipta itu dan meletakkan diri dalam skop yang rabbani, ia membina set minda yang tepat arahnya menuju Tuhannya yang mengajaknya kembali ke pangkuan dalam keadaan bersih jiwa, raga dan aqidah untuk ditempatkan dalam jannah. Dalam jannah manusia terlepas bebas daripada kesakitan, keresahan, kegelisahan, rasa takut dan menikmati keluasan rahmat Allah tanpa batas dan hukum duniawi.

Maka keasyikan dalam hidup sementara ini mesti ada panduan dan berjaga-jaga. Beberapa keasyikan yang disuruh dan dianjurkan oleh Islam adalah agar manusia sentiasa bersyukur ke atas nikmat Illahi. Maknanya manusia harus asyik mengingati Allah dan menyebut-nyebut nikmatNya. Nikmat yang paling kabir adalah nikmat iman. MensyukuriNya adalah dengan melaksanakan ketaatan sama ada dalam keadaan suka atau terpaksa. Bukan sekadar taat dalam skop yang terbatas yakni bersolat, puasa, berzakat dan menunaikan haji, malah yang sangat dituntut adalah ketaatan yang tuntas, syumul dan menyeluruh dalam menghidupkan nilai dan akhlak Islami dalam segenap juzuk kehidupan seiring dan senada dengan ruh Al Quran dan As Sunnah.

Inilah syukur sebenar! Inilah kerja asyik sebenar. Yakni asyik berbicara dengan diri tentang kelemahan bersyukur kepada Allah, sedangkan usia sudah lewat senja atau sudah dini hari. Sibuk berfikir dan bertanya diri: berapa ramaikah individu dan oknum di luar sana yang telah kita garapi dakwah supaya mereka juga dapat merasai nikmat keseronokan menjiwai Islam agar selamat sampai ke kampung akhirat dengan sejahtera. Atau kita masih terlalu leka dengan keasyikan gila yang tidak diberi sebarang nilai oleh Allah? Asyik leka bersembang tanpa inti yang bernas bagi membina minda, ilmu,  akhlak dan kehidupan yang riuh rendah berlaku dalam facebook [fB] hingga berjam-jam lamanya mengatasi ketekunan dan  masa solat yang kita persembahkan kepada Allah dengan tertib, teratur dan tertumpu khusyuk.

Kegilaan asyik fB ternyata kini menguasai ruang dan waktu manusiawi yang sangat bernilai itu. Terbangun tidur terus fB dengan wirid dunia yang panjang, sedangkan wirid seusai solat Subuh diringkaskan lantaran gamitan fB sangat terasa keras memanggil hingga kerja-kerja asas pagi hari untuk membersih dan mengemas rumah, mendandan dan melangir diri dikesampingkan. Fb sudah menjadi satu gejala. Iaitu fenomena yang membina tembok pengasingan diri antara anak dengan ibu ayah; isteri dengan suami; atau paling kritikal lagi seandainya masing-masing memiliki PC, laptop, tablet dan lain-lain alatan canggih yang menggersangkan hubungan antar peribadi dalam satu kediaman.

Bicara fB merangkumi dan menyelinapi 1001 ruang hidup yang kadang-kadang menyelongkari tanpa perasan bagi  mengomentari hal-hal yang tidak wajar dan bersifat rahasia peribadi atau orang lain. Lebih buruk lagi jika kenyataan-kenyataan pada dinding itu dipaparkan 'ayat-ayat' yang tidak sahih, mengelirukan, fitnah, bisikan@gosip, malah kadang tiada nilai berita atau makna langsung. Ada yang tidak tahu apa yang hendak tulis pada dinding, lantas tulis saja asalkan tulis.

Inilah keasyikan baru. Sekiranya fB tidak dimanfaatkan sebetulnya untuk memperkayakan ilmu dan pengalaman, ia akan bertukar menjadi medan tempur dan cambahan minda yang mengusutkan hubungan dan pertalian serta akrab persaudaraan/persahabatan. Fb hendaknya menjadi medan dakwah dan tarbiyah yang menganjurkan kefahaman dan kebaikan hidup, selain maklumat biasa dan bertanya khabar. Justeru kenyataan dan ulasan harus berlaku dalam hujah yang mahir, ringkas padat dan nyata dan bersumber muktabar, bukan ambilan daripada punca yang tidak dapat diperakui kebenaran dan kewibawaannya.

Setiap alat itu tidak dinilai haram atau halal. Hukum haram atau halal itu bergantung kepada cara pemakaiannya. Awas bila berfB. Jangan terlalu berasyik-asyikan hingga terlupa tugas dan tanggungjawab kepada jiwa-jiwa yang berada di bawah tanggungan kita, karena Allah sedang memerhati gelagat asyik kita! Orang-orang Muslim jangan jadi macam manusia Barat seperti kata Lawrence of Arabia, yang walaupun telah menjejakkan kaki ke bulan, namun masih tidak pandai berjalan di atas muka bumi. Nah! bagaimanakah kita semua berjalan di atas bumi dan bagaimanakah pula lagak kita berjalan di atas muka buku? Fikir-fikirlah jangan tidak mahu fikir.

Wallahua'lam.

Qalamunir
16 April 2012

  


SEMAKIN PANJANG UMUR, SEMAKIN PENDEK USIA DAN SEMAKIN SINGKAT MASA UNTUK BERMAIN-MAIN...

Masa yang meluncur laju telah memanjangkan umurku. Menjadikan aku tua dan mengumpul seribu satu macam peristiwa. Universiti pertama yang ku pijak laman kampusnya sekadar mewarnai sekelumit juzuk insan yang dahagakan ilmu. Empat tahun berkelana mencari makna diri dalam gawat dan gegak suara nurani yang tercari-cari dimensi hidup bererti. Banyak sekali lelongan ilmu-ilmu bersepah di sana sini untuk dikutip antara hampas, antah, dan isi padi. Justeru jadilah aku bagai ayam jantan yang lapar mengais-ngais sambil berhati-hati mematuk memilih dan menyisihkan yang kosong daripada yang berisi. Cuma seuncang kecil terpilih dan dengan sebanyak itu digenggam kuat guna berkelana jauh ke dasar alam buana untuk terus mencari makna diri yang lebih kukuh demi mahu membina sebuah kehidupan yang berperi.

Lalu masuklah aku ke laman kampus universiti kedua. Dasarnya terlalu dalam tidak cukup nafas bagi menyelaminya. Padanya aku bina sebuah keluarga kecil bermula dengan dua oknum jiwa yang diikat kukuh dengan tali iman dan kontrak sosial. Wa’ad yang pertama ini adalah lampiran kepada wa’ad awal yang berlaku dalam alam ruh ..‘alas tubirobbikum qolu bala syahidna..’ [Bukankah Aku Tuhan mu, lalu mereka menjawab Ya! Dan kami mempersaksikan]. Dalam daerah yang asing ini aku mendayung sambil menjadi juragan memimpin tangan teman setia yang membantu menyuluh kehidupan. Sakit dan pening, demam dan lelah, lenguh dan sesak nafas diharungi serta terus meranjau kehidupan untuk memberi erti wujud sebenar kepada anak-anak didik yang masih kecil ligat bermain. Mereka tumbuh bagai pepohon yang segar merendangi dengan dedaunan hijau, berbunga cantik menawan. Mereka melagukan nyanyian hidup yang memeriahkan taman keluarga.

Kini mereka telah membesar bagi mengisi dan memeriahkan kehidupan alam. Cantasan dahan dan ranting yang buruk selain menjaga akar yang sering diganggu anai-anai tidak menafikan tertumbangnya pohonan hijau yang segar itu akibat tersedut racunan asap dan wasap sekitaran yang kotor akibat gelojoh manusiawi membangun duniawi. Enam belas tahun dicampur enam belas lagi aku meniti lorong, denai dan jalur kehidupan menuju makna kebenaran hidup bertuhan. Kerikil sangat tajam menyengat kaki yang kosong tanpa alas. Cuma bening hati yang belajar makna keikhlasan mengusap sabar hati yang longlai.

Aku belum puas hati membina kapal yang besar lagi kukuh untuk menghadapi badai taufan gelombang samudera luas. Bahtera yang besar memerlukan tangan besar dan jiwa yang besar. Anak-anak kapal jangan dibiarkan bergelandangan di atas geladak. Jangan pula dibiarkan merayau hanyut di setiap pelabuhan di mana kapal bersauh. Mereka masih perlu diajak melagukan dendangan kalimat Tuhan. Supaya minda tidak senak dengan tipu daya syaitan manusia dan jin. Agar aqal berkuasa dan berfungsi waspada hatta berupaya menilai antara kaca dan permata. Tiga puluh dua musim berlalu terlalu deras dan pantas. Sekilat sinar menyambar malam yang kelam. Namun aku mengharapkan ia tidak akan membutakan mataku, apatah lagi mata hatiku. Setiap jerlusan kaki semasa menapaki jalanan anak-anak masih mampu dirawat untuk terus berdiri semula menggagahi kerja yang belum sempurna selesai.

Semakin panjang umur, semakin pendek usia yang berbaki untuk meneruskan perjalanan hidup bagi membantu mendidik diri dan mengajak ahli keluarga menetapi kebenaran dan terus lestari dalam menempuh kebanjiran kedustaan. Bagaimana mahu rasa enak bermain-main macam dulu dengan anak-anak yang kini sudah dewasa? Bagaimana pula mahu menangani kebengkokan diri dan kebengkokan mereka supaya terus berjalan lurus dengan jajaran yang betul menuju Tuhan yang sedang menanti. Harapannya satu: semoga benih dan bibit yang tertanam sejak kecil terus bersemi dan tumbuh membesar walaupun dalam kepayahan yang amat! Pusaka benih itu jangan dimatikan dan dibuang. Ia berguna untuk anak-anakku semua menongkah arus deras kehidupan yang semakin menggoncang nurani. Karena dunia sedang meniti tebing kematian abadi.
Namun bibit-bibit kebaikan harus terus ditabur menjadi semaian untuk mengindahkan laman masyarakat. Dan pendokong-pendokongnya adalah anak-anakku yang semakin mengenali dan menginsafi  maksud kehidupan, lantaran telah mengumpulkan beberapa helaian peristiwa yang sangat mengajar perkara-perkara yang pernah aku sampaikan. Kini mereka mengerti perihal yang dulunya sukar ditanggapi dan difahami.
Wallahua’lam.
Qalamunir
4 April 2012
http://www.blogger.com/img/icon18_edit_allbkg.gif

BADAN YANG SIHAT UNTUK APA?




Ramai anak-anak remaja, eksekutif muda, pegawai-pegawai peringkat pengurusan pertengahan dan orang-orang atasan dalam Jabatan, Kementerian  dan Agensi Kerajaan serta sektor swasta, termasuklah juga ahli-ahli NGO, kelab-kelab sosial yang berbagai tujuan dan ragam, begitu prihatin menjaga kesihatan badan. Slogan dan kempen rakyat sihat Negara maju memang sudah menjadi kenyataan justeru karena telah timbul kesedaran yang tinggi dalam kalangan anggota masyarakat untuk beriadah dan  berekreasi agar fizikal dapat dilestarikan kesihatannya. Tubuh yang sihat adalah aset yang mahal dan berguna untuk produktiviti Negara hatta mengurangkan kos merawat penyakit dan keperluan ubat-ubatan oleh klinik dan hospital.

Perniagaan MLM berkembang biak dengan memasarkan bermacam-macam produk makanan dan minuman kesihatan. Pusat-pusat Spa  dan salun kecantikan tumbuh merata tempat dengan menawarkan pakej rawatan penjagaan badan bagi para wanita yang prihatin keanggunan tubuh yang menawan dan awet muda. Jimnasium-jimnasium juga tidak ketinggalan didirikan untuk memberi khidmat penjagaan kesihatan dan membina otot agar anak muda dan pria nampak lebih tampan dan macho.

Namun apa untungnya kalau badan sihat tetapi ia tidak dimanfaatkan untuk berubudiyah kepada Allah swt. Ramai manusia yang sihat tubuh badan melakukan kerja-kerja kontra iman. Jasad muda dipacu macam kuda jantan liar merempuh desa dan kota, menuruni lurah dan lembah menghirup manisan duniawi semahunya, yang akhirnya membawa keruntuhan peribadi dan koyak rabak fabrik masyarakat. Akhirnya manusia menjadi layu macam papadom masuk angin atau kangkong rebus lantaran lecuran yang parah terjadi pada jiwa dan raga. Nah! Lihat saja berapa ramai kalangan muda belia yang sihat bugar, mampu lari 100 meter dengan daya pecutan terpantas; mampu berjoging 10 kilometer 2 kali seminggu tanpa lelah tercungap; bisa mengangkat berat besi  antara puluhan hingga ratusan kilogram, namun tidak tega malah tidak terangkat kain selimut yang nipis saat mendengar azan Subuh berkumandang.

Ternyata badan yang sihat, bugar dan kuat itu belum pasti dapat mengatasi rintangan naluri dan nafsu tidur sehingga berupaya terbangun tegak untuk menyirami anggota tubuh dengan air dingin dan sejuk pagi. Mampukah mata yang kantuk dibuka untuk menerima usapan pagi untuk menyusuri surau dan masjid karena terpesona melihat lambaian muezzin mengajak kepada sukses sebenar iaitu memasuki jannah Allah swt?  Anak-anak muda serta yang telahpun merangkul usia bonus, ketahuilah tiada siapa tahu siapa yang akan menyusul dahulu ke pusara untuk mengadap Allah swt.  Jasad yang tegap dan sendo atau susuk tubuh yang langsing dengan lilit ukur yang menawan dan tidak obese, belum tentu tidak tersentuh oleh penyakit tiga serangkai. Cardiac infarction @ angina @ serangan jantung tiada lagi memilih orang-orang yang malas riadah. Banyak berita kejut yang menceritakan kewafatan dan akhir hayat pemain-pemain bola di atas padang permainan karena sesak nafas [asbab yang Allah jadikan untuk berhenti menjadi manusia], pendaki-pendaki dan penyelam-penyelam professional pun tidak ketinggalan direntap malaikat maut dengan aturan asbab yang sama atau berbeza. Pokoknya semua tersungkur di hadapan Allah walaupun sebelum itu payah mahu sujud karena angkuh atau sibuk dengan aktiviti dan kerja dunia yang tidak pernah mahu habis.

Kita sebagai makhluk berakal, menatapi alam semesta sebagai sebuah buku yang menggambarkan kehebatan Penciptanya. Apakah tidak terasa sentuhan wahyu yang masih panas membisikkan pengalaman manusia silam yang pupus tenggelam dalam murka Allah lalu hilang daripada muka bumi lantaran kesombongan dan tidak mempergunakan gajet hati nurani untuk mengimbas sengsara karena membelakangi ayat-ayat Allah. Ajaklah hati masing-masing untuk berkontemplasi. Renungilah diri dan alam ini sepuas-puas dan sebaik-baiknya, hatta mentafsirkan makna kewujudan dan menilai maksud ketaatan seorang hamba musafir,  sebelum alam ini membungkus dan menelan jasad kita.

Kepulangan kita biarlah beradab dan berjasa kepada diri, keluarga dan ummah. Bukan sekadar pulang membawa tulang dan belulang yang tiada nilai timbangan.

Wallahu’alam.
Qalamunir
19 Mac 2012  


BUKTI CINTA SEORANG SUAMI KEPADA ISTERI DAN KELUARGANYA


Kalimat cinta sungguh syahdu diungkapkan untuk didengari sang perawan . Begitulah kebalikannya, ia sangat didambakan sang pria yang dilambung deru angin cinta. Setiap patah perkataan yang dilontarkan berbunga-bunga walaupun berada dalam musim panas dan daun daunan kering berguguran.  Namun sesudah melampaui beberapa musim sejak diijab qabulkan, mahligai damai yang dijanjikan dan bulan serta bintang yang ditawarkan sebagai pernyataan cinta sejati , kini telah tidak memberi erti lagi justeru segala dambaan materi oleh rakus nafsu telah menjadi biasa  dan membosankan jiwa.


Bait-bait dan stanza-stanza puitis cinta tidak lagi didendangkan lantaran jiwa dan semangat muda sudah luntur. Bahtera perkahwinan memasuki samudera baru dan luas. Gelombang dan badai makin ganas dan menggerunkan. Nakhoda@juragan semakin cemas dan mabuk tidak keruan dilambung ombak besar. Tiap lantunan dan hunjaman ombak menantikan saat terpecahnya bahtera atau tertelannya bahtera dalam ngagaan mulut ombak raksasa.


Inilah gambaran kehidupan sebuah rumahtangga dengan berketuakan seorang suami@ayah yang tidak ada kemahiran mengemudi bahtera merentasi samudera kehidupan lantaran bekalan ilmu pelaut tidak dituntut dengan mendalam sebelum menyambut cabaran mengemudi bahtera besar Si Mendam Berahi. Isteri berpeleseran dalam kapal; anak-anak berkeliaran di geladak menikmati kemanisan duniawi yang mengkhayalkan.


 Nah! Mana dia bukti dan tanda sebuah cinta seorang suami yang Muslim berbanding Si Pelaut yang mabuk ini? Waduh! Jawabannya memang senang untuk diungkap, tetapi pelaksanaannya tetap gawat dan sulit digarapkan tanpa kesungguhan dan keikhlasan karena Allah, sebab ditakuti dayung tetap akan menunggu saat patah lantaran kerasnya pukulan deru ombak besar yang tidak kenal penat lelah mengejar pantai. Ayuh! Bangunlah kamu daripada pitam dan mabuk yang melekakan. Karena ombak tidak akan berhenti memukul sampai bila-bila. Saat aman dan tenang hanya seketika. Lunaslah tanggungjawabmu segera sebelum badai yang lebih besar menjelma.


Ingatlah kembali khutbah nikahmu. Apa kata Sang Kadhi agar kamu tidak tewas menyeberang lautan tak bertepi. Rentaplah tali pengikat di pengkalan. Bawalah isterimu yang baru menjadi kekasih bersamamu. Bawalah bekalan yang cukup. Ajarlah dia dengan ilmu pelaut. Mahirkanlah dia dengan ilmu bintang agar pelayaran tika malammu tidak menyesatkan. Anak-anakmu yang bakal lahir di atas bahtera itu, jadikanlah mereka kelasi-kelasi handal yang bukan sekadar berani merentas lautan, malah tidak gerun menentang lelanun yang mahu menumpaskan kamu sekeluarga agar tidak sampai ke Pulau Harapan. Bacalah sepuas hati mu lautan kecil dan besar yang kau lalui, agar ia menjadi lembaran kitab yang menajamkan aqalmu dan hatimu tega  berkorban menegakkan sebuah Baitul Muslim yang akan menyebarkan dakwah ke segenap pelusuk dan rantau yang kamu singgahi. Rawatlah luka dan dukamu dengan banyak berzikir ayat-ayat Allah. Peringatilah mereka, isteri dan anak-anakmu supaya tidak terpesona dengan kekayaan yang ada di bawah permukaan air. Ambillah sekadar perlu supaya alam laut tidak sirna lantaran tanganmu. Dan pastikan bahteramu sampai berlabuh di pantai syurgawi.  Itulah bukti dan tanda cintamu yang abadi. Cinta yang mengarah kepada keredhaan Tuhan Sarwa Alam. Bukan sekadar pandai beri makan dan minum kepada anak bini, mententeramkan  luapan  rasa rindu dendam isteri, macam orang lain yang juga mendakwa mencintai  isteri dan menyayangi anak-anak, namun hanya sekadar menyuapkan mulut yang ternganga, menyelimuti kesejukan tubuh yang menggigil dan menyekolahkan mereka untuk mengenal ABC @ alif ba' & ta'! Mencintai dan menyayangi mereka mesti dizahirkan dengan kerja keras memimpin mereka kepada syurga Allah dan menghindari malapetaka dahsyat neraka. Perhiasan duniawi dalam bentuk ilmu ontologi yang tidak berpaksikan Tauhid tiada maknanya; gelang emas dan permata mahal tiada ertinya, jikalau sentuhan tarbiyah tidak meratai dan menembusi jiwa anak-anak dan isteri-isteri yang seseungguh dan sepatutnya menjadi agenda utama dan tetap dalam kehidupan yang penuh dengan cinta membara. Ia harus dinyalakan saban tika, setiap saat ia panas membakar kesilapan dan dosa. Semua ini berlaku dalam tasbih dan zikir cinta abadi seorang suami dan ayah pada sebuah keluarga.


Inilah digelar Cinta Sejati. Cinta seperti ini tidak ada pada sang suami yang gersang dan tandus iman, yang hidup hanya sebagai manusia kerdil dan mati juga sebagai manusia kerdil, justeru terpisahnya iman dan praktis kehidupan Islaminya dengan ahli masyarakat, kecuali dalam lingkungan keluarganya sendiri.

Wallahua’lam.

Qalamunir
26 Februari 2012

JADILAH KUDA DAKWAH JANGAN JADI KELDAI DADAH

Dalam banyak-banyak keldai didunia, keldai dadahlah yang membawa beban paling ringan tetapi paling bernilai dari segi matawang dunia. Kalau kita bandingkan dengan keldai yang berjuang bersama-sama para Mujahidin Afghanistan  menentang kuasa Kuffar, mereka membawa senjata berat seperti meriam, peluru dan bekalan makanan para pejuang. Walaupun teramat berat, mereka tetap tegar dan tega melangkah terhegeh-hegeh  di tepian tebing dan cenuram bukit dan gunung atas semangat G-had yang jitu membara. Keldai-keldai jenis ini adalah keldai kelas pertama yang berjiwa waja mempertahankan deen Allah bersama pejuang-pejuang yang cinta kematian dan syahid. Keldai-keldai ini juga cintakan kesyahidan.


Berbanding manusia daripada kalangan anak muda  yang suka menjadi keldai bodoh membawa dan mengedar dadah, lantaran ingin kerja mudah dan cepat kaya, sanggup meletakkan diri dalam penjara dan leher dipasrahkan ke tali gantung. Alangkah ruginya kehidupan yang sebegini, khususnya para pemuda yang sepatut berjiwa agama dan menjadi kuda-kuda dakwah yang kental menonggak panji-panji kebenaran, karena mengejar keuntungan berlipat ganda dalam kehidupan akhirat, bukan sekadar mendapat upah membawa dadah sebab mengkeldaikan diri. Surah al- 'Adiyaat menjelaskan betapa sikap kuda-kuda dakwah sanggup berlari kencang, bersungguh-sungguh menyerbu dan menyerang musuh Allah, sedangkan mereka hanya makan rumput-rumput kering. Berbeza orang-orang Islam sekarang walaupun masih muda dan banyak makan makanan dan minuman berkhasiat, namun tidak ada tenaga dan kemahuan untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab agama Allah di atas bahu mereka karena cinta kepada harta benar-benar berlebihan.


Dalam perjalanan hidup yang telah disusuri setakat ini, sisa umur yang masih ada menandakan pamitan yang kekal menuju kesirnaan, maka elok berpalinglah ke belakang seketika dan lihatlah jalur kenangan yang telah diukir dan ditinggalkan - adakah ia penuh dengan kebaikan atau kemusnahan serta keburukan yang bakal dipertanggungjawabkan di hadapan Allah, auditor teragung yang akan mengaudit setiap geraklaku dan perasaan, sama ada diperhambakan kepada Nya sebagai Sang Pencipta atau menjadi pendokong dan juak-juak syaitan dan iblis sepanjang perjalanan hidup.


Wallahua'lam, 


Qalamunir
23 Februari 2012

PENCEN KUBUR VS PENCEN DUNIA


Orang Malaysia kuat bekerja. Daripada umur pencen 55 naik menjadi 56. Kemudian melonjak lagi ke 58. Dan sekarang tawakkuf pada 60 tahun. Pencen swasta atas saranan MTUC mungkin diperkenankan jadi 64 tahun. Maka bekerjalah sang manusia Malaysia siang malam, berlemus mencari makan macam ayam dan itik, asyik mengais dan menyudu setiap detik dari subuh hingga alam tenggelam dalam kelam malam. 

Ada orang yang buat pilihan umur pencen 50 @ 56 tahun karena hendak memanfaatkan sisa waktu untuk perkara lain yang aula dan afdhal daripada terperuk dalam minda kusut cari makan alias tunggu naik pangkat lebih tinggi dengan macam-macam cara dan pendekatan. Ada yang menyondol dan meranduk seperti kambing liar tak bertuan, meragut apa saja yang sempat tibai melalui orang-orang berpengaruh yang boleh melonjakkan kerjaya, walaupun diri sendiri tidak layak memegang pangkat tinggi.  Sungguh ramai manusia sekarang ini mengemis pangkat dan jawatan, sedangkan orang Islam yang beriman menolak kalau diberi pangkat/jawatan karena khuatir akan amanah yang akan ditanggung untuk dilaksanakan. Orang Islam yang hilang sifat tawaddhuk, tidak malu  meminta dan terhegeh-hegeh mengejar tulang kering macam anjing kebuluran, bila dihulur pangkat dan jawatan. Bila ditanya kenapa kejar kedudukan dan pangkat? Jawabannya: mahu dikenali dan dihormati, yang penting sekali adalah ganjaran bulanan yang besar. Akhirnya bila pencen, dapatlah elaun pencen yang agak lumayan untuk berkayuh dalam kehidupan serba kekurangan daripada dulu yang sarat dengan berbagai elaun dan imbuhan.

Pencen dunia: ramai orang yang berkira-kira sejak memasuki status pengesahan jawatan tetap dan berpencen. Namun tidak ramai yang berperancangan jauh melewati jendela dunia untuk mentaksirkan secara awalan, berapa agaknya ia akan dapat pencen di akhirat, apabila sudah dibangkit selepas barzah. Tidak terfikirkah berapa banyakkah modal dan simpanan yang telah disediakan untuk kehidupan yang kekal abadi? Tidak terfikirkah aset dan tabungan yang berjuta itu bisakah dibelanjakan dan dihabiskan dalam tempoh hayat yang tidak tahu di mana noktahnya? Ingatkah kepada infaq, derma, sedaqah, wakaf, zakat dan sumbangan lain yang memperbanyakkan jumlah elaun pencen di alam kubur dan akhirat? Semuanya manusia tidak ingat, kecuali yang dita’alim dan ditazkirah mengenai kehidupan selepas mati sepanjang jalan kehidupannya. Nampak jelas azab api neraka dan jelas pula nikmat jannah yang tidak terhingga. Orang-orang yang dapat visualized realiti ini adalah individu-individu seperti Bilal bin Rabah, Abu Bakr as Siddiq, Ammar bin Yasir, Hanzalah dan peribadi-peribadi lain yang hebat. Mereka hebat karena iman mereka sungguh ngetop tinggi, walaupun ilmu belum setinggi mana. Iman mereka terbina kukuh sebelum al Quran diturunkan. Keadaan  kita pula berbeza. Quran sudah lama diturunkan, diperdengarkan dan disayembarakan, namun iman susah untuk meningkat. Gambaran alam kubur dan kiamat makin pudar pada titik mata. Yang sentiasa terang benderang adalah dunia yang menipu laksana kelkatu yang terpedaya oleh kilauan lampu yang  akan membakar sayap dan tubuhnya.

Justeru, majlis-majlis ilmu yang tumbuh dan berkembang subur di merata ceruk dan pelusuk Negara perlu berjalan dalam suasana mendidik @ mentarbiyah secara tersusun dan dipantau perkembangan dan peningkatan audiensnya dengan rapi. Dari aspek dan sudut bacaan Quran, aqidah Islam, takrif Islam, fardhu ‘ain, fiqh, sirah Nabi dan Sahabat, hadith serta asesori-asesori lain yang  perlu untuk memantapkan jiwa agama supaya mekar cintanya kepada Allah dan Rasul. Majlis-majlis ilmu tidak boleh lagi dikendalikan secara sambil lewa dan santai macam mendengar cerita penglipur lara Awang Batil, Tok Selampit, Ramayana, Panji Semirang dll. Atau macam mendengar lawak jenaka daripada Raja Lawak atau Talk Show Oprah yang penuh dengan lelucon untuk memeriahkan suasana agar tidak diserang kantuk. Namun apa yang dipelajari akhirnya adalah kekosongan lantaran hati dan minda tidak serius karena penuh dengan hilai tawa. Kehidupan seorang Muslim adalah fokus dan serius. Oleh itu jiwanya perlu dibentuk untuk sentiasa serius dengan kerja dan tugas yang Allah telah letakkan di atas pundaknya, sebab ia tahu bahawa tugasnya terlalu banyak sedangkan masa terlalu sedikit dan singkat untuk disia-siakan.

Iman itu mahal. Jalan untuk memperolehinya juga adalah mahal! Kita mesti bersedia berkorban masa, harta dan keselesaan serta kerehatan untuk menikmati keimanan yang tulin macam generasi awal Al Quran. Kita perlu memohon kepada Allah swt untuk membantu kita berada atas jalan kebenaran dan istiqamah pada jalan Nya sampai ke akhir waktu untuk Pencen Kubur  yang lumayan dan mendapat layanan baik di akhirat daripada Allah, Tuhan Sarwa Alam.

Wallahu'alam.

Qalamunir
18 Februari 2012

KEJAHATAN MALAM : AWASILAH AKHLAK MU

Kalau dulu kita bicarakan isu keremajaan satu kegilaan, kali ini kita tinjau pula bab kejahatan malam. Allah ciptakan malam untuk menggantikan siang yang cerah yang memenatkan fizikal dan fikiran, sebagai tempat berhenti seketika untuk melepaskan lelah dan menidurkan badan  yang keletihan. Malam adalah masa yang Allah peruntukkan kepada sekalian manusia buat mengira untung rugi transaksi atau urusniaga siang hari. Melakukan timbang amal dan memikirkan kesan perbuatan dan perlakuan seharian, sama ada beroleh laba, rugi atau celaka dan sia-sia.



Senjakala bermula tanda pelabuhan malam yang sepi sedang masuk beradu. Manusia beriman sepatutnya menggunakan malam untuk kembali ke pangkuan keluarga di rumah yang berfungsi merawat cinta kasih dengan belaian kemanisan serta kelembutan kasih sayang menerusi pergaulan intim antara ayah ibu dan anak. Memekarkan jiwa sang anak dan sang isteri dengan sesi bacaan tartil al Quran sebagai wirid harian yang mengasyikkan. Menjernihkan sanubari menerusi sedutan hadith Nabawi yang mengajar nilai Rabbani untuk terus kental memegang erat tali Allah. Meredakan gelabah jiwang orang muda yang terseksa dihimpit derita lonjakan nafsu yang sentiasa meruntun, lantaran nanar melihat gelagat manusia yang hampa nur kasih dan hidayah Ilahi. Betapa rumah adalah pelabuhan bening yang bersedia merawat kegawatan dan kepenatan hidup, justeru terhimpit dan dihempap bebanan duniawi yang memperdaya, menyonsong sampah sarap manusia ke cerun-cerun kehidupan yang menghitamkan seluruh catatan amal.


Kalau kita bertanya mengapa dan kenapa anda mahu keluar malam? Si anak muda akan menjawab selamba, "Ah! duduk di rumah merimaskan, memeningkan, memanaskan baran jiwa yang sudah senak dengan tekanan hidup, tiada privasi, "  Kita tanya lagi, mengapa ada stres di rumah anda?  Jawabannya; rumahku kosong rasa persaudaraan, tak tahan bebelan dan leteran keluarga, ayah ibu sibuk cari makan je, anak ikut suka buat hal sendiri le". Gelagat dan respon seperti ini mencerminkan rencam remaja dan anak muda yang kejauhan nilai dan budi insan yang memiliki jiwa yang redup dan mantap mendayung arus hidup yang pantas, terutamanya di kota metropolitan. Bagaimana dengan jiwa dan tingkah laku hidup si anak muda di kampung dan pinggiran kota. Keluh kesahnya sama saja, derita batiniyah dan rasa kejiwaan yang luntur dek ganyangan deru habuk dan asap kehidupan yang tidak dipedomkan oleh deen, sudah tentunya menggagalkan maksud dan halatuju sebuah rumahtangga Muslim. Jebak kemungkaran dan kebatilan kuffar telah menghitamkan wajah manis dan jernih insan muda yang putih bersih fitrahnya suatu masa dulu, kini menagih simpati usapan dan dorongan para dai'e bagi melerai dan merongkaikan kekusutan serta simpulan kemiskinan dan ketandusan  jiwa yang kian meruncing.


Malam dengan kegelapan yang dihiasi lampu-lampu menawan. Kerdipannya menggamit jiwa lara untuk mencari ketenangan palsu dan sementara dalam pelukan dan usapan tangan-tangan hitam dan kuning di lorong dan jalanan, jualan peribadi-peribadi sumbang yang mencari makan. Gerai makan, restoran 24 jam seolah bergabung dengan pub, kelab malam, pusat karaoeke untuk memakmurkan malam. Agar anak muda dan remaja berpeleseran ke hujung malam dan pulang ke laman rumah bila fajar awal menyinsing. Inilah fenomena kehidupan malam zaman kontemporari. Ia berdiri bukan sebagai qiam mengingati dan mendekati Pencipta, malah bermaksiat terhadapNya. Sorak sorai terbit dari gelak dan tawa mematikan fikiran dan jiwa. Ada yang tersungkur rebah lantaran bahana syabu, arak, betina dan kalah judi. Ada pula yang hilang nyawa karena dipukul samseng kebetulan berada di tempat yang salah dan masa yang salah.


Anak muda dan remaja yang dikasihi dan dirahmati Allah, nyawa adalah aset. Umur yang Allah berikan sepatutnya digunakan untuk menanam benih-benih syurga di atas muka bumi yang sementara ini. Awasilah akhlakmu. Jangan biarkan kawan dan rakan dan segala kehidupan hedonistik merompak harta anda yang satu-satunya amat berharga - iaitu NYAWA anda dan Masa Depan Akhirat anda!


Wabillahi tawfiq wakafa billahi wakila.


Qalamunir


15 Februari 2012



JAHIL DALAM MENTAATI ALLAH = ENGKAR KEPADA ALLAH

Bagaimanakah halnya kalau kita mentaati Allah dalam keadaan kita jahil serba serbi tentang perkara-perkara asas  Islam? Para alim menjelaskan bahawa keadaan itu sangatlah berbahaya sekali, karena amalan seseorang yang tidak berasaskan ilmu samalah seperti ia tidak beramal. Justeru kalau ia dianggap tiada beramal maknanya ia engkar kepada Allah. Satu suasana yang amat merugikan.


Kalau kita pandang-pandang di sekeliling dan sekitaran kehidupan kita, tampak jelas sekali pekerjaan dan amalan yang dilakukan oleh sebahagian anggota masyarakat, dibikin secara hantam kromo. Jika kita menjadi pengamat yang peka, kita akan dapat melihat macam-macam cara orang mengambil wudhu'; macam-macam stail orang bertakbir semasa solat; berbagai posing sewaktu qiam@berdiri; begitu juga halnya semasa ruku'; duduk antara dua sujud serta sewaktu membaca tasyahud. Ini adalah rentasan kecil mengenai kehidupan beribadat manusia awam yang belum lagi menyinggung perihal pembangunan fikrah,  kemurnian dan kesahihan deen. Apatah lagi bila dikaitkan dengan kepekaan terhadap menjalankan kerja-kerja dakwah Islam, yakni menganjurkan kebaikan dan amal salih dalam kejiranan dan masyarakat umum atas rasa tanggungjawab Rabbani. 

Kejahilan menuntut pembelajaran berterusan hingga ke liang lahad. Selagi hidup dan mahu terus maju dalam beragama, memerlukan jiwa yang sentiasa cenderung dan dahagakan ilmu. Ilmu tidak datang secara automatis tanpa mempelajari. Ia harus berjuang dan berkorban masa, harta dan keselesaan demi mendaki aqabah ilmu yang tinggi, agar memiliki asas agama yang kukuh dan mengetahui prinsip-prinsip ilmu untuk membolehkan seseorang itu menilai dan membandingkan antara kebenaran dengan kebatilan. Kalau prinsip dan asas ilmu tidak mantap, sekadar pengetahuan Islam tahap Tingkatan 5 SPM, sudah barang pasti seseorang itu tidak punya cukup kapasiti untuk beraksi dan menghayati kehidupan Islaminya dengan berjaya, karena akan sering digomoli oleh masalah bersangkutan aqidah dan juga berkaitan segala cabangan amal yang boleh memeningkan kepala lantaran kedangkalan ilmu.

Justeru hidupkanlah halaqah, usrah, grup diskusi, bicara intelektual, sesi tadah kitab muktabar, ziarah ulama dan usaha-usaha lain yang membina ruang minda dan cendekia seseorang untuk terus kukuh ilmu dan mantap jiwa bagi mendepani rencam mainan duniawi dan gelojoh nafsu dalam melampiasi kehendak badani.

Wabillahi tawfiq wa kafa billahi  syahida.

Qalamunir
04 Februari 2012 

YA ALLAH! SUDAH TUAKAH AKU?



Tahun Hijrah 1432 dan Masehi 2011 melabuhkan tirainya diiringi senandung malam yang bening. Tiada pamitan dan gamitan melepaskan tahun yang berlalu. Pergilah mereka sebagai hamba Allah, entah ke mana. Tersimpan kukuh mencatat zaman yang menghilang. Tidak bisa dikembalikan lagi, walaupun dengan harga segunung emas. Demikianlah umur muda berlari pantas berterbangan menuju ufuk sepi. Dalam terbangannya ia mengumpul episode suka dan luka persis wirawan yang gagah menerjah medan tempur dengan gegak gempita perisai mendepani cabaran getir zaman.

Si anak muda kini dewasa. Si ayah dan ibu berkedut dahi dan tangan. Si perawan, kulitnya tiada halus dan tubuhnya tiada mulus lagi karena mendaki umur super dewasa. Semuanya meniti usia dengan masing-masing mengelek dosa dan pahala.  Sewaktu remaja dan perawan dulu, bercita-cita mahu menggapai awan, berlari-lari dalam kabus pagi mengejar pelangi. Selepas tercapai cita barulah mahu tumpukan masa mengadap tuhan dan  tekun beribadat. Namun masa yang luang dan santai yang ditunggu-tunggu selepas terpenuhnya cita, tiada singgah di sisi. Cabaran, hambatan, kekangan dan segala runtunan duniawi tetap berlaku sampai saat ini. Tugas diri memikul tanggungjawab Rabbani bukan sekadar menjadi baik untuk diri sendiri. Bukan terpenuh sekadar baik untuk keluarga kecil peribadi. Malah baru terpenuh apabila tanggungjawab itu dilebarkan merata dalam segenap lapisan masyarakat yang kita bersemuka. Antar hubungan yang rapat lagi intim dengan setiap oknum masyarakat adalah masih tanggungjawab Rabbani yang mesti terlaksana. As Syahid Syed Qutb pernah berkata; seorang Muslim yang hidup untuk dirinya sendiri akan menjadi manusia yang kerdil, berbanding seseorang yang hidup untuk dirinya dan orang lain.

Ramai orang mengeluh, kalau dulunya kesempitan wang dan terpaksa berlemus mencari rezeki menyebabkan tiada masa untuk diberikan kepada Tuhan. Bacaan al Quran pun semput nafas lantaran mengejar masa. Dapat satu dua ayat pun rasa bertuah. Apatah lagi kalau mencapai satu halaman. Kini pencapaian yang begitu rendah menjadi lebih rendah apabila tertingkat usia dalam jalur dewasa. Macam tidak tertangkap perkara yang dulu bisa terlaksana, walaupun kini masa luang terbuka. Pengajaran yang bisa diambil adalah jangan sangka sesuatu itu bisa diubah bila meniti usia tua, kalau ia tiada pernah diamalkan dan dijenuhkan sebagai cara hidup yang dibiasakan sehingga menjadi malakah atau tabiat dan rasa hati nurani yang mengakari dalam kehidupan seorang Muslim yang gencar melakukan kerja-kerja dai’e yang sentiasa mengajak dan mengajar manusia berbuat baik dan menegah maksiat terhadap Allah swt.

Tiba-tiba kita dikejutkan oleh umur tua.  Ya Allah!  Sudah tuakah aku? Kapan pula aku jadi begini tidak diketahui lantaran seronok mengisi dunia sesendat perut yang tidak akan lebih besar untuk menelan gunung dan bongkah ais di kutub utara. Wahai diri yang satu dan sepi sejak awal kedatangan ke dunia. Engkau tetap akan kesepian walaupun kini didampingi isteri-isteri yang ramai dan anak pinak serta sanak saudara yang memeriahkan suasana melalui sembang-sembang facebook sampai jauh malam, sehingga meninggalkan suami@isteri yang fana di pembaringan. Mungkinkah itu baringan yang terakhir dalam lafaz duka menanti teman yang sudah kehilangan dalam maya.

Kita semua sudahpun tuha. Justeru apakah  telah kita semak kerja-kerja kita sama ada Rabbanikah ia dalam seluruh juzuk kehidupan ini. Atau terlalu duniawikah ia semacam kehidupan orang lain  yang tiada kisah tempat kembali di akhirat. 


Jangan sampai sepi mengiringi sepi. Jangan sampai pilu mengiringi pilu. Sendu hati yang tenggelam dalam pukulan pekat malam, akhirnya terjaga dalam alam yang asing menuju Tuhan Sarwa Alam. Sepi itu sendu. Sendu itu pilu. Pilu  itu duka. Duka itu sengsara. Sengsara itu derita, lantaran kehidupan duniawi terlupa menjadi manusia yang hidup untuk kebaikan manusiawi.


Salam kasih sayang untuk semua di ruang maya.


Wallahua’lam.

Qalamunir
24 Januari 2012

DUNIA = SAYAP LALAT LALAT LALAT LALAT LALAT!


SaYaP LaLaT adalah senipis membran @ tisu yang lutsinar. Ia digunakan lalat untuk terbang mencari rezeki dan membuat kerja-kerja Syarikat Alam Flora dan Indahwater yang ditetapkan Allah selama hayatnya yang pendek kurang lebih 20 hingga 30 hari. Dalam tempoh itu Sang LaLaT ini bisa beranak ribuan anak-anak lalat untuk memikul taklif yang ditetapkan oleh Allah swt tanpa protes.

Kalau hendak dihitung, tentu saja bilangan populasi lalat sedunia mungkin mencapai angka ribuan juta. Mereka istiqamah dengan tugas dan tanggungjawab yang diberikan, supaya alam  ini harmonis dan layak diduduki manusia serta haiwan lain. Tahukah anda nilai dunia ini di sisi Allah? Anda mungkin terkedu jika dikhabarkan bahawa …”jika dunia ini setara nilainya dengan sebelah sayap@kepak LaLaT, sudah pasti Allah tidak akan memberi air walaupun hanya setitis  untuk diminum kepada orang-orang kafir…” Hadith.
Orang-orang yang kufur, pagan, atheis, politheist, komunis, sosialis, liberalis dan bermacam lagi nama yang pelik, semuanya sangat bertuah karena dapat tumpang sekaki kenikmatan yang disediakan kepada orang-orang beriman.  Dunia ini belum lagi kiamat lantaran masih ada ruh Islam, manusia beriman, orang-orang tua, kanak-kanak dan bayi, haiwan serta tumbuh-tumbuhan yang menimbulkan belas kasihan Allah swt.  

Ramai manusia telah mencampakkan deen@agamanya ke dalam tong sampah karena berpendapat bahawa tanpa agama dan Tuhan mereka masih boleh hidup  selesa. Ukuran keselesaan dan kesenangan hidup sebagai bukti manusia tidak perlu kepada Tuhan adalah hujah yang lemah dan salah. Karena bukan saja orang miskin materi sempit kehidupannya, malah orang kaya raya pun tersepit dan dihimpit oleh kesedihan dan kepedihan hidup justeru hati sentiasa gundah; jiwa terus resah; minda lagi serabut tidak tenang tanpa diketahui sebab musababnya. Manusia, kalau tidak kenal diri, tidak akan kenal Penciptanya. Apabila tidak kenal Penciptanya  manusia akan berkata dengan yakin bahawa semua makhluk  dan benda terjadi sendiri, macam fahaman para saintis yang mengaku pandai termasuklah Darwin yang sesat itu.  Hanya manusia berani berkata demikian, satu ucapan yang menolak kedaulatan Allah swt.  Akan tetapi kalau ditanya pada tikus, cicak dan mengkarung, siapakah yang menjadikan mereka? Tentu mereka tidak seberani manusia dengan memberi jawaban ‘aku terjadi sendiri’. Seandainya sang tikus, sang cicak dan sang mengkarung berani berkata demikian, bayangkanlah spesis tikus, cicak & mengkarung ternyata sangat berkuasa ke atas diri sendiri. Bukan setakat itu saja, malah sang katak, kodok, lipan dan sekalian vertebra dan invertebra akan pulun ketawa karena terlalu kelakar mendengar jawaban yang sangat palsu. Namun manusia yang tidak tahu malu, buat nehin @ sadin  saja macam dia masih benar. Setiap hari mereka melantak rezeki Allah dan terus terusan bermaksiat terhadapNya. Namun Allah tetap curah dan hamburkan rezeki kepada mereka karena … dunia ini tidak bernilai langsung, kendatipun sebelah sayap Sang LaLaT yang hina dina.

Justeru, wahai pembaca budiman sekalian, umur yang panjang janganlah pula disia-siakan panjangnya. Biarpun umur pendek, tidaklah pula panjang sia-sianya!!!

Selamat bermuhasabah dan taqarrub ilallah.

Qalamunir
31 Disember 2011




JANGAN JADI MACAM POKOK MENERUNG

 
POKOK Menerung tumbuh dalam air di tebing sungai, kolam, bendang dan tempat-tempat berair yang kondusif seperti itu. Ia tumbuh melayut tinggi tanpa dahan, ranting atau daun kecuali sejambak kecil bunga menghiasi cotek puncaknya. Fitrah SiMenerung ini tamsil kehidupan yang rapuh, karena batangnya tidak tahan melawan rempuhan dan terjahan keras angin atau haiwan. Batangnya mudah patah umpama kangkong melecur kena goreng. Akan tetapi ia ada satu kelebihan untuk dibuat tali apabila dijemur dan disiat-siatkan.
                
Kenapa hina sangat kalau ikut peribadi Si Menerung ini? Dia tidak hina di sisi Allah swt, karena itu ciptaanNya. Kita manusia tidak bisa ikut resminya justeru ditakuti merana badan lantaran kurang profit dalam kehidupan. Sebab apa rugi dan tidak ada laba? Karena bunganya sejemput dan dedaunnya tiada. Warna bungapun serupa macam warna daun = hijau saja tak ada tarikan langsung. Lantas kenapa dan mengapa dihubungkan dengan kehidupan manusia agar tidak meniru fiilnya?   

Cuba perhatikan dan tilik dengan pandangan yang sempurna – kenapa manusia mensia-siakan UMUR PERTAMA?  Seorang manusia bisa mencapai usia enam puluhan, selepas itu umur bonus. Ini adalah umur semasa kita mendiami dunia dengan jangka hayat yang dipinjamkan oleh Allah swt.  Kemudian ia akan diberi notis oleh Pencipta untuk kembali mengadap dengan segala amalan yang sempat dibuat. Pada saat itu nilai ketaatan dan ketundukan kepada Allah swt tidak ternilai segunung emas, USD langsung tak berguna. Ramai orang tidak sedar bahawa umur pertama adalah sangat penting untuk digunakan sebaik mungkin untuk menghasilkan UMUR KEDUA yang cemerlang. Kehidupan yang main-main seperti ini laksana kehidupan Sang Menerung karena sepanjang jangka hayatnya ia tidak produktif – berbatang kurus dan berbunga secoet. Apa itu umur kedua? Kenapa umur kedua sangat penting? Manusia bijaksana akan menggunakan umur pertama semaksimum untuk menyemai bibit benih pahala yang akan bersemi sepanjang zaman sehingga hari kiamat, selepas mati. Perkara inilah yang dititik beratkan oleh para alim dan cedekiawan silam untuk beramal salih dan amar makruf nahi mungkar. Mereka belajar dan mengajar; menulis kitab-kitab yang menjadi rujukan sepanjang zaman. Alangkah banyaknya pahala mengalir deras ke dalam akaun akhirat mereka lantaran kerja salih yang disumbangkan dengan umur pertama yang terhad itu. Sedangkan kita berhibur dan berlibur mencucuh usia sehingga terbakar rentung tanpa mendatangkan hasilan yang bisa digunakan di akhirat. Cermatilah bahawa umur kedua sangat panjang. Sepatutnya kita menerima dividen yang berbaloi tetapi melepaskan peluang keemasan itu tanpa merasa kesal. Kalau begitulah cara hidup kita, samalah seperti pokok al-Menerung yang lembik itu!

Ayuh fikirin! Jangan termenung kosong macam ikan termenung menunggu untuk digoreng....

Wallahu’alam.
26 Disember 2011  


AYATUR RAHMAN - IMBASAN KARAMAH DALAM PERJUANGAN

KARAMAH adalah pemberian dan nugerahan Allah SWT. IA beri kepada sesiapa yang layak diberi anugerah. Biasanya yang layak adalah orang-orang yang kuat iman dan ikhlas dalam perjuangan. Niat mereka tiada lain kecuali untuk meraih kemuliaan daripada Allah karena berkhidmat untuk  menegakkan dan meninggikan Islam di bumi Allah. 
G-had  para mujahideen di Afghanistan pada tahun 1980'an menentang komunis Russia laknatullah telah mengembalikan kenangan silam peperangan Badr, Uhud, Hunain, Tabuk dll yang mempamerkan karamah [orang zaman sekarang sebut miracle/misteri?] yang berlaku sebagai penzahiran nasrullah. Pertolongan daripada Allah SWT sungguh canggih, pelik dan ajaib tak terfikir oleh aqal. Pokoknya terpapar kepada kita bahawa formula: bilangan yang banyak dapat dikalahkan oleh jumlah yang kecil telah berulang kembali.


Umat Islam sekarang ketagih bantuan daripada Allah swt untuk menghadapi musuh yang begitu ramai dan rencam. Strategi dan cara bergerak musuh-musuh Islam begitu lihai dan licik : kafir totok, munafiq dan Islam kartu bergabung satu dengan satu tekad mahu memadamkan cahaya kebenaran Islam sepertimana yang telah berlaku pada zaman awal kemunculannya di bumi Makkah. Umat Islam perlu yakin bahawa Islam sebagai nur yang menghidupkan dunia dan menjadi sebab kelangsungan hayatnya, akan terpadam obornya bila Allah izinkan kiamat terjadi. Sebelum berlaku kiamat, para sipenderhaka dan sipendusta yang melawan hidayah tetapi masih memakan rezeki yang Allah tabur; akan merasai getir azab berdepan dengan realiti sebenar sekonyong-konyong apabila dibungkus kain putih. 


Masyarakat Melayu memang sangat suka kepada perkara-perkara keramat, ajaib, sakti dan seumpamanya. Sebab itulah dalam amalan hidup harian, mereka mudah tergoda dengan ajaran-ajaran yang mistik yang boleh membawa mereka mencapai kelebihan tertentu seperti kebal tubuh badan, boleh berjalan atas air, ghaib daripada pandangan mata manusia dengan berlindung di sebalik sehelai daun dan macam-macam misteri lagi. Justeru agama Islam didekati oleh segolongan besar masyarakat Melayu dari sudut mengambil ayat-ayat Quran sekadar untuk beramal bagi meraih kehebatan mistik tertentu mengikut niat masing-masing. Maka terjadilah golongan ini beriman kepada Allah dan menjadi Islam atas  keyakinan yang kurus kerdil dan tidak pernah nampak Islam sebagai satu gagasan atau pandangan hidup yang tuntas mencakupi segenap ruang hidup manusiawi. Golongan in sampai bilapun berwasangka dan syak terhadap agamanya sendiri serta rasa fobia macam orang Barat - geli dan meluat kepada Islam. Sebab apa? Karena bila mereka cuba melihat wajah Islam mereka terpandang hukum hudud sahaja - jelek, buruk dan kejam. Kejulingan intelek dan pandangan hidup sebegini memang akan berlaku kepada sesiapa saja jika mereka tidak pandai melihat dalam jarak pandangan yang sempurna. Seorang wanita jelita tidak akan ternampak cantik jika seorang jejaka itu menatap wajahnya terlalu dekat, apatah lagi memakai kanta pembesar sehingga terlihat lubang-lubang roma yang kasar. Malah kalau diteropong pada hidungnya pula sudah tentu memberikan pandangan sebuah terowong yang berbulu sehingga tidak menimbulkan rasa indah bahkan jauhlah daripada terpikat. Justeru inilah penyakit yang terkena kepada sebilangan besar anggota masyarakat - mereka tidak melihat Islam dari sudut pandangan yang sempurna. Mereka tidak melihat Islam sebagaimana Nabi, auliya, dan orang-orang soleh melihat. Pandangan mereka sering dikabuti  jerebu asap buatan sendiri iaitu ideologi asing yang cuba diharmoniskan dengan Islam. 


Titik pertemuan antara Islam dengan ideologi kufur tidak akan pernah berlaku. Ia tidak berlaku dahulu pada zaman Rasulullah saw dan begitu juga halnya sekarang dan sampai bila-bila. Hidayah perlu dicari sungguh-sungguh menerusi ilmu yang benar. Pengorbanan masa, keselesaan dan wang adalah wajib dan perlu untuk mendaki aqabah ilmu untuk menuju ke puncak kefahaman. Unsur syirik, mistik, misteri dan sakti dalam kotak minda masyarakat perlu dinyahsucikan supaya virus ideologi palsu ciptaan manusia tidak lagi bersemayam dalam hati dan jiwa agar membolehkan syu'ur Islam dalam jiwa terserlah keluar menampilkan wajah sebenar seorang hamba yang taat kepada Pencipta yang satu. Ayatur Rahman masih benar. Ia akan membenarkan kata-kata Allah dalam kitabNya dengan berbagai peristiwa yang akan bakal berlaku bagi menyingkap kepalsuan ideologi buatan manusia. Kemuliaan atau karamah akan terus berlaku ke atas manusia beriman yang terpilih dengan kehendak dan izinNya. Ia bukan satu tawar menawar yang boleh diminta, karena itu bukanlah tujuan sebenar manusia beriman kepada Allah melainkan hanyasanya lantaran rasa kehambaan yang sebenar dan tahu makna diri dan makna hidup.


Wallahua'lam


5 November 2011