Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

RAMADHAN AL MUBARAK : TADARRUS VS TERDERRAS

Bulan Ramadhan setiap tahun tampak hebat dan meriah. Hebat dan meriah amat karena masjid, surau, madrasah dan musolla meremut dipenuhi para pengunjung lama dan baru. Pasar-pasar Ramadhan tumbuh bagai cendawan untuk menyemarakkan makan dan minum. Justeru bulan Ramadhan al-Mubarak bertukar menjadi Ramadhan al-Murtabak.

Sekilas pandang, memang seronok melihat perubahan semangat masyarakat dalam bulan puasa. Masing-masing nampak bersungguh mahu menghayati keindahan Ramadhan supaya ia membawa perubahan dalaman yang kekal membekas dalam hati nurani, membibitkan satu transformasi jiwa yang benar-benar merobah syakhsiyah Jahiliyah kepada keperibadian Islamiyah yang dikehendaki Allah swt. 

Dua kilas pandang kita lihat apa? Kita akan dapati sebenarnya tiada apa-apa perubahan besar yang berlaku dalam bulan Ramadhan tahun ini. Ia adalah seperti biasa berlaku dalam tahun-tahun yang lalu. Minggu-minggu pertama dan kedua puasa sahaja masjid dan surau penuh meremut tak cukup tempat. Seolah-olah macam kelkatu keluar daripada sarang menerkam sinaran lampu. Kemudian daripada itu satu demi satu gugur ke lantai letih tidak bermaya, lalu syahid[?]dan tidak muncul-muncul lagi ke masjid dan surau. Yang tinggal berterawih hanyalah makmum-makmum regular dicampurlah sedikit bilangan peserta baru yang tegar [belum jadi dropouts]. Fahaman dan sikap masyarakat terhadap solat jamaah nampaknya seolah-olah hidup seketika Ramadhan saja. Itupun sekejap waktu. Paling lama 2 minggu ke 2.5 minggu. Seolah-olah pula solat jamaah sunat terawih ini saja yang mesti dipulun setiap tahun untuk mendapat pahala daripada Allah, tetapi meninggalkan solat jamaah fardhu yang sepatutnya diberatkan dan diutamakan, selain di top-up dengan solat jamaah terawih. Sikap membuang dan mengabaikan solat jamaah fardhu berlaku berleluasa dalam masyarakat dan akan terus berlaku saban tahun tanpa ada sebarang perubahan yang ketara selepas Ramadhan berlalu. Dalam bahasa yang mudah, inilah yang dikatakan manusia yang tidak pandai berniaga dengan Allah. Mereka ambil dan buat perkara atau amalan yang sunnat beria-ria macam wajib, tetapi melemparkan amalan fardhu ke taraf sunnat atau sifar [0]- satu pelaburan yang toksik untuk akhirat. 

Majlis tadarrus memanglah bagus dihidupkan sama ada di rumah atau masjid/surau. Gelanggang tadarrus seharusnya menjadi tempat membaca dan sekaligus menjiwai makna al Quran. Tadarrus diikuti Tadabbur al Quran adalah satu pendekatan penting untuk meneliti dam memahami Quran bagi memahami arahan-arahan Allah kepada kita. Quran memang ditanzilkan untuk dibaca, akan tetapi bukan untuk dibaca sahaja, malah untuk difahami kandungannya supaya dapat mencorak dan mewarnai peribadi Muslim yang totok patuh kepada arahan Allah dan Rasul. Ia bukan bahan sayembara atau penglipur lara untuk sekadar membuai ulit rasa. Ia bukan seperti kitab Mahabratha dan Veda. Tadarrus bukanlah Terderras dengan speed limit mengalahkan Hiway PLUS. Bukanlah tujuan tadarrus untuk masuk explore race hendak bersaing siapa habis dulu dan buat majlis khatam Quran cepat. Sekiranya beginilah gamaknya, sampai bila-bilapun kita tidak mencapai apa-apa natijah yang positif. Para alim berkata: ini laksana kita mengutip angka-angka kosong [0].Walau banyak mana sekalipun angka 0, ia tetap bernilai 0 dan tidak mempunyai makna, kecuali ada nombor lain di depan atau belakangnya.

Mahu jadi Graduan Ramadhan yang berjaya? Kalau itu objektifnya, sikap dan mind set terhadap Ramadhan mesti dan perlu diubah segera, sekarang juga. Baki Ramadhan tinggal 3 minggu lagi. Jika mahu graduat dengan CGPa >3.00 - 4.00, kena buat perkara-perkara berikut:-

  • betulkan Niat = berpuasa hanyasanya karena Allah; 
  • solat fardhu berjamaah ditunaikan secara tetap tanpa culas lagi dalam dan luar bulan Ramadhan; 
  • baca al Quran secara tartil sepanjang hayat tidak kira bulan apa. Dan ambil saranan dan arahan Allah dengan penuh santun untuk dihayati dan dijelmakan dalam amalan kehidupan harian sehingga dipanggil mengadap Allah swt.
  • terus-terusan belajar membaca al Quran daripada guru yang faqih supaya mutu bacaan meningkat naik dari masa ke semasa. Jangan tunggu untuk baca dalam bulatan tadarrus untuk membetulkan sebutan makhraj & tajwid karena ia mungkin menggencatkan kelancaran kumpulan, walaupun speed nya sederhana. Maknanya, kita kena siap siaga terlebih dulu sebelum masuk bulatan atau gelanggang. Seandainya persediaan ini dibuat dahulu, barulah cantik perjalanan tadarrus.
  • muhasabah dan betulkan fikrah Islam yang tertanam dalam minda yang bercampur aduk dengan ideologi jahiliyah. Pemurnian fikrah Islam dalam minda adalah penting karena ia adalah enjin dalam menentukan setiap geraklaku insan sama ada menjadi ibadah yang diterima Allah atau tertolak lantaran terdapatnya karat-karat jahiliyah yang masih tebal dan pekat menyelaputi hati. Pemurnian fikrah boleh dilasanakan dengan membawa diri menekuni bahan-bahan fikrah Islam yang diajar oleh Murrobi yang faqih lagi muktabar dalam bidang tasawur Islam. 
  • mencari uruf yang kondusif serta kawan, taulan dan sahabat yang ada fikrah Islam yang mantap untuk dikongsi berbicara dan bertukar-tukar fikiran bagi membangunkan kembali kesirnaan fahaman Islam yang rosak dan bonsai yang dikemetotkan oleh agen-agen  syaitan.
Penjernihan jiwa serta pemurnian amal ibadah perlu berlaku serentak. Ia berlaku dalam bulan Ramadhan dan mesti dilakukan sepanjang hayat bagi menjaga keaslian iman, karena iman bisa bertambah dan bisa berkurang. Ia juga tamsil pakaian yang akan lusuh dan pudar lantaran basuhan yang acapkali, apatah lagi jika dijilat garing oleh panahan mentari.

Wallahua'lam.

6 Ogos 2011

SYARAT KALAU HENDAK BUAT DOSA : AL- QURTUBI

Siapa saja yang hendak buat DOSA dipersilakan, tapi ada  syarat yang mesti dipenuhi dulu kata al- Qurtubi. Syaratnya mudah saja dan kalau  bisa ditunaikan oleh sesiapa saja dia akan diberi lesen untuk buat apa saja dosa & maksiat yang diinginkan.

Best betul nampaknya peluang yang ditawarkan. Tawaran ini sengaja diiklankan untuk penggemar-penggemar maksiat. Tarikh tutup iklan tidak ada - ia dibuka sepanjang masa dan tiada tarikh luput.

Syarat-syaratnya adalah seperti berikut :-
  • Jangan makan atau minum rezeki daripada Allah.
  • Jangan pijak bumi Allah. Cari bumi atau mana-mana planet lain yang bukan diciptakan      oleh Allah dan tinggallah di sana.
  • Semasa hendak atau sedang buat maksiat/dosa, pastikan dulu Allah tidak nampak.
  • Sewaktu Izrael datang hendak mencabut nyawa, pastikan anda dapat minta tangguh barang sekejap untuk bertaubat.
Apa macam, bagus tak syarat tawaran untuk buat Dosa dan Maksiat seperti di atas? Agak-agaknya ramai tak manusia yang ketagih dosa dapat memenuhi syarat-syarat tersebut? Sekali imbas, nampaknya macam ramai sungguh manusia zaman sekarang ini berani buat dosa. Tidak dipedulinya lagi timbangan dosa pahala. Ini bererti manusia sudah boleh memenuhi 5 syarat di atas tanpa masalah. Mereka mungkin sudah memastikan bahawa bumi  ini bukan milik sesiapa -  ia terjadi sendiri. Samalah juga dengan sumber makanan dan minuman, semuanya telah disahkan semulajadi, tiada siapa yang bikin. Kalau begitulah keyakinan mereka, maka Zat Allah sudah tidak wujud lagi dalam minda dan kehidupan mereka. Justeru tidak ada apa-apa masalah yang perlu difikirkan tentang Allah nampak atau tidak ketika  mereka berbuat nista. Cerita Izrael, Munkar, Nakir dan Malik Zabaniyah adalah bahan fiksi untuk menakutkan dan mendisiplinkan manusia. Inilah mungkin agaknya pemikiran paria yang ada pada setiap penagih dosa dan maksiat. 


Pemikiran paria  begitu kuat menguasai minda masyarakat jahiliyah moden. Mereka melihat dunia sebagai matlamat akhir kehidupan. Oleh itu pembangunan dan kekayaan ekonomi yang mencapai tahap mass consumption dan affluence adalah syurga firdausi. Kebalikannya, inflasi dan kemacetan  ekonomi adalah neraka. Inilah pandangan dan sikap hidup manusia yang terbelit oleh runtunan harta benda duniawi karena menjadikan dunia sebagai matlamat mutlak kehidupan. Kekaburan minda sebegini sangat menjauhkan manusia daripada mengingati azab yang pedih, walaupun disebut berulangkali dalam al Quran agar jangan tersalah langkah atau tersilap pilih jalan hidup. Allah telah menyindir manusia dalam al Quran dengan firmanNya, "Biarlah mereka bermain-main dengan dunianya,"  al- Ma'arij: 42. 


Al- Quran dan Islam itu basirah atau mata hati. Bagi mereka yang memiliki pemikiran paria [feeble mind] tentang makna hidup, bererti mereka hanya ada mata tetapi tak ada mata hati. Maka layaklah mereka mendapat layanan kelas corot di alam akhirat, sesuai dengan kemalasan mereka untuk mencari dan menyingkap kebenaran. Kebenaran hanya satu, yang lainnya kebatilan yang tersalut gula-gula duniawi yang menipu manusia. Kebenaran itu hanya datang dan bersumberkan Allah swt.


Wallahua'lam.


1 Ogos 2011



   

HIDUP INI ADA BANYAK TANDA TANYA & PERSOALAN

Dalam meranjau kehidupan, manusia sering diganggu oleh macam-macam tanda tanya dan persoalan yang berat lagi kritikal. Kalau persoalan dan tanda tanya tidak pernah berlaku dalam kepala  dan benak manusia, itu tandanya otak dan saraf neuro mengalami masalah. Manusia seawal zaman kehidupannya, merasa takjub melihat alam sekeliling mereka. Merasai gerun dan takut kepada benda-benda alamiah, malah terasa aneh dan hairan mentafsir kejadian alam dalam lingkungan mereka. Justeru manusia menjadi pagan, animistik dan mencipta berhala daripada pengalaman mereka hidup bersama alam serta menterjemah alam dengan segala kekuatan akal cebisan. 

Proses menta'kul berdasarkan pendekatan yang lebih berdisiplin dan saintifik terus berlangsung bagi mengurai dan meleraikan kekusutan persoalan makna kehidupan dan ketuhanan. Proses pencarian makna diri, makna hidup dan makna mati terus berlangsung. Dalam kekosongan jiwa dan kepenuhan perut, manusia terus mencari makna wujud. Bermula dari lembah hingga ke menara gading. Bergulung-gulung ijazah diterima tanda pencapaian akademik yang tinggi, namun tidak pula dapat mengenal Tuhan. Walaupun Ia terlalu dekat dengan jasadnya namun tidak terlihat jua. 

Begitulah rentetan hidup, semasa bayi dan kemudian menjadi anak kecil dalam kendongan kasih ibu dan membesar sebab jasa ayah yang bekerja keras mencari sesuap nasi. Pagi bermula sampai ke malam bergelut dengan kerja sampai lupa makan dan minum menerjah maya mengorek rezeki di celah-celah belukar kota. Supaya mulut yang sedang merah ternganga dapat disusui dan diberi suapan nasi agar berkat membentuk jasad dan kudrat mental, agar bisa pandai mengaji dan mengenali wujud diri dan wujud Tuhan. Ke manakah kewarasan itu hilang dalam genggaman segulung kertas ijazah yang kononnya menandakan kepandaian dan kedewasaan? Sungguh banyak tanda tanya dalam hidup ini. Para Nabi dan Rasul mengajar manusia mengenali dan mencintai Allah lebih dahulu sebelum mencintai manusia. Karena Dialah sumber kehidupan, cinta dan kasih sayang.


Tanpa Allah tiada wujud bibit cinta dan sebarang rasa kasih sayang di antara insan. Benih cinta adalah suatu anugerah besar daripada Sang Pencipta untuk disemarakkan pada tempatnya yang betul. Bukan ditabur-taburan di setiap lorong dan denai laluan asal terjumpa lembaga manusia walaupun belum pernah dikenali watak dan budinya. Hinggakan ibu ayah serta keluarga diketepikan  lantaran jantung hati gunung payung diutamakan!  Para Ambia tidak menganjur demikian. Ia mengajar manusia mengasihi dan mencintai ibu ayah sesuai dengan martabat pengorbanan dan keikhlasan mereka menggenggam bara kehidupan untuk menghidupkan si anak kecil yang lemah supaya gagah berdiri mendepani dunia yang sifatnya menipu dan durjana bagi mereka yang tak kenal tempat kembali. 

Dalam meniti kehidupan yang titiannya bercabang, si anak kecil yang sudah bertukar dewasa menggilai lambaian dunia yang tidak seberapa nilainya. Malah terpegun ia karena singkapan kilauan permata palsu bersepah di mana-mana. Ramailah si anak muda tertewas lantaran gigitan keras bernafsu juak-juak syaitani yang sememangnya bekerja gigih tanpa noktah, tanpa rasa penat dan tiada pernah rasa puas, jika belum tersungkur tertiarap tiang panji yang membawa kalimat syahadah. Maka ramailah manusia yang cerdik pandir zaman jahiliyah moden ini tidak pandai menyantuni dirinya sendiri vis-a-vis Tuhannya, ibu ayahnya, gurunya, adik beradiknya, rakan taulannya hatta masyarakatnya. Inilah yang digelar si cerdik akademik tapi pandir agama.

Marilah berfikir sejenak, agar pandailah kita menyantuni semua yang ada di sekeliling kita, sama ada yang ghaib ataupun nyata.

Wallahua'lam.

16 Julai 2011

PERIHAL MAKMUM TERTIDUR dalam KHUTBAH JUMAAT

Semalam Jumaat 08 Julai 2011, seperti biasa masjid-masjid dipenuhi para makmum untuk solat Jumaat. Sebelum solat, sesi tazkirah berjalan dengan tajuk khusus memperingati jamaah tentang bahaya kehilangan permata berharga iaitu iman dan taqwa. Iman yang semakin larut dan taqwa yang semakin mengecut serta maksiat yang semakin meningkat, mengundang murka Allah. Kemurkaan Allah apabila berlaku, manusia tidak ada tempat bergantung harap dan berlindung daripada ujian azab kelaparan dan ketakutan karena kekurangan makanan dan kekacauan sosial, kecuali dengan kerahmatan dan belas kasihan Allah.

Sesi khutbah pun bermula dengan salam daripada khatib dengan penuh semangat. Beliau melantunkan suara secara teratur dan sedikit demi sedikit menekan dan melantangkan suaranya. Deru suaranya mengajak para jamaah bertaqwa kepada Allah dan mentaati sunnah Rasulullah saw. Para tetamu Allah diam sepi mendengar seruan klise ini. Masa berjalan dan terdapat beberapa orang makmum lentuk terkulai macam dahan dan ranting patah terkena angin kencang. Ada yang liut meraban dan mata terpaku ke karpet dan lantai, kuyu dan layu. Kelantangan suara khatib menderu memecah udara ruang masjid, sesekali menaik dan menurun laksana gemersik gendang perang meminta lasykar bersedia menahan serangan musuh. Namun keenakan tidur mengatasi segala-gala. Kini ramai para makmum menidurkan diri terlena. Ada yang berdengkur dan ada yang meleleh air liur basi karena tersangat syok mengulit rasa fana. 

Yang peliknya terlihat yang tersembul mata dan terdongak kepala kepada mimbar yang sedang berapi-api mengajak manusia bertaqwa dan berbuat kebaikan serta menjaga kelangsungan iman ialah pak-pak hitam Afrika dan Bangla. Mungkinkah mereka ini sedang fokus untuk memahami apa yang sedang dibicarakan khatib. Dan ini adalah sebaik-baik tempat dan cara untuk mempelajari Bahasa Melayu, selain menikmati isi kandungan khutbah yang tidak dipedulikan sebahagian besar makmum sawo mateng. 

Lazimnya setiap kali khutbah hendak dimulakan, muazzin akan  berpesan kepada sekalian jamaah supaya apabila khatib sedang membaca khutbah, janganlah bercakap-cakap sesama makmum, ataupun berkata diam kepada orang yang berbuat bising, karena dikhuatiri lagho dan  hilang pahala  solat Jumaat. Pokok persoalannya: apakah perbuatan tidur hingga lena dan mengeluarkan air cola basi itu tidak lagho dan hilang pahala solat Jumaat? Perkara ini mesti disebut dan diberi pencerahan kepada semua tetamu Allah dalam masjid bahawa, solat Jumaat adalah program mingguan untuk mentarbiyah manusia memperingati halatuju kehidupan yang dipandu taqwa. Ia bukan program tidur-tiduran @ sengguk-senggukan. Sesiapa dengan sengaja tidur atau sebaliknya tak sengajapun tertidur, pahala Jumaatnya binasa = gunduk? Pihak Sang Khatib pun kena ubah gaya penyampaiannya, daripada membaca khutbah kepada berkhutbah. Membaca teks khutbah semata-mata tak ada ruh tarbawi. Ia dirasai kosong dan lompong macam perut masuk angin karena banyak makan ubikayu@singkong. Tiada tembungan mata, suara tinggi  dan sergahan khatib yang tidak disesuaikan  dengan intonasi serta volume sistem pembesar suara, kadang-kadang menjadi bingit pada telinga dan tak lalu untuk didengar dan dihayati. Apatah lagi PA system yang macam orang berbisik dan suara yang kembang dan tenggelam timbul memang mengulit mata menjadi layu. Tambahan pula bagi para makmum yang datang awal ke masjid dan sudah pekena dan tibai nasi beriani ayam madu! Kemahiran khatib dalam aspek pengucapan awam nampaknya sangat penting untuk mencapai impak maksimum bagi setiap mesej yang hendak disampaikan. Sang khatib ialah murrobi masyarakat. Ia perlu meningkatkan tahap  kerabbaniannya dengan amalan batin dan disokong dengan kekuatan dan ketinggian ilmu, barulah akal dan minda serta hati makmum dapat ditambat dan dikuasai bagi mengajak mereka berfikir secara serius topik dan hujah yang dilontarkan. Bukan sekadar pergi ke masjid untuk lena tersandar di tiang-tiang seri atau tersengguk di celah-celah manusia lain dan pulang dengan kekosongan minda dan jiwa yang tak tersentuh, walaupun tak pernah tinggal solat Jumaat!

Wahai para pengunjung masjid Hari Jumaat, marilah sama-sama kita perbaiki amalan solat dan menjadi Muslim yang lebih baik setiap minggu berlalu. Menjadi semakin hebat kepekaan jiwa untuk membela Islam dan memberi manfaat kepada diri dan keluarga serta masyarakat sekeliling di mana sahaja kita berada. Semoga Insyallah kita berjaya di dunia dan akhirat.

Wallahua'alam.

09 Julai 2011

BERNIAGA DENGAN ALLAH

Setiap kali udara disedut dan dihembus, kita berhutang kepada Allah, sang pencipta agung alam raya. Semakin lama hidup dan terus menerus menggunakan segala kebaikan dan kemudahan yang wujud dalam alam ini, semakin kita terbelenggu dengan hutang yang amat banyak kepada Allah dan tidak mungkin dapat dilunaskan dalam hayat bekerja sebelum bersara. Orang Jepun kata: "a working man is a salary man on loan ...oftenly man has more loan than salary.." Orang Jepun menggelarkan manusia jenis ini sebagai sarariman ron. Manusia, macam mana kuat sekalipun bertungkus lumus bekerja tak akan jadi maha kaya seperti Allah swt. Sekuat manapun memiliki kekuasaan fizikal dan militer, tidak akan menyamai kegagahan Allah dengan segala bala tenteranya iaitu seluruh alam ini! Dan al-maut adalah tenteranya yang paling ditakuti oleh sekalian makhluk.

Menyedari kekerdilan dan betapa bonsainya keupayaan serta kekuasaan manusiawi dan betapa pula kekuatan dan kekuasaan yang kerdil itupun adalah pinjaman daripada Allah swt; mengapa manusia masih tidak sedar diri mahu bergantung harap kepada sesama manusia, sedangkan manusia yang diharapkan pertolongannya itupun tidak berdaya menahan kematian dirinya sendiri apabila maut menyapa. Allah bertanya kepada manusia, "wahai orang-orang yang beriman. Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada  Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Alllah dengan hartabenda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui [hakikat sebenar]." As- Saff:10.


Berniaga dengan Allah dijamin tidak rugi berbanding membuat urusniaga dan pelaburan dengan mana-mana institusi kewangan peringkat lokal atau bertaraf antarabangsa. Laba dan rugi sentiasa menjadi risiko sama ada rendah atau tinggi bergantung kepada jenis perniagaan. Transaksi dengan Allah hanya memerlukan aset iman, g-had menegakkan agama dengan rezki yang Allah beri serta diri fizikal. Ketiga-tiga komponen ini bila dilakukan dengan ikhlas akan menjanjikan keselamatan daripada neraka dengan mendapat balasan syurga. Balasan syurga adalah tidak terbanding [incomparable] dengan mana-mana profit yang berupa dividen atau hadiah bonanza kebendaan. Ini adalah karena ia merupakan nikmat yang bersifat kekal dan belum pernah dilihat atau dirasai oleh manusia di muka bumi. 


Allah menyeru manusia supaya lisan atau kata-kata yang juga merupakan aset yang ada pada manusia tidak disia-siakan dengan menggunakan mulut menghamburkan perkataan yang tidak mendatangkan faedah, malah keburukan; akan tetapi menjadikan lidah basah dengan ajakan serta panggilan menuju kebenaran agama Allah - ...dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada [mengEsakan dan mematuhi] perintah Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang salih...Fussilat :33. Ayat ini semacam mengajak semua manusia beriman membuat kerja pemasaran menjual produk terhebat dan terbaik [Islam] kepada manusia yang keliru mencari Tuhan sebenar, tanpa tarikh luput untuk dipakai dan dihayati sampai kedatangan hari kiamat. Produk ini bila dijaja dan dibeli orang, profitnya adalah 700 kali ganda, melebihi mana-mana dividen atau pulangan bank-bank kelolaan manusia - "...bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji..."al Baqarah :261.


Nah! bukankah ia lebih hebat daripada segala bandingan keuntungan mega duniawi. Bagi yang seronok buat urusniaga MLM bolehlah cuba yang ini sebagai tambahan aktiviti, supaya banyak pahala yang bisa dikaut dan yang pentingnya mendapat mardhotillah > tiket ke syurgawi Allah swt. 


Jom! buat kerja dakwah sampai ke hujung hayat. Akan tetapi sebelum terjun dalam medan dakwah untuk menyebarkan risalah Allah, proses tarbiyah bagi membetul dan meluruskan aqidah perlu berlaku. Karat-karat jahiliyah yang menutupi jiwa dan menahan hidayah Allah mesti dikikis agar hati kembali menjadi wadah bersih untuk menerima ilmu dan petunjuk kepada mengenali kebenaran sebagai kebenaran dan kebatilan sebagai kebatilan. Fikrah atau pemikiran Islam yang bersih adalah wajib bagi melahirkan ibadah yang sahih untuk Allah semata-mata. Tabiat tunduk dengan kepatuhan yang tinggi terhadap Allah adalah proses kejiwaan yang berterusan sampai ke liang lahad. Tanpa kelangsungan proses tarbiyah untuk membersih dan menjana jiwa agama yang sentiasa peka dan hidup dalam qalbu, tidak mungkin perjalanan hayat seorang Muslim akan terselamat dan terpelihara daripada serangan serta tipuan musuh yang nyata iaitu syaitan dari kalangan jin dan manusia. Justeru, manusia tetap tergadai dirinya dengan hutang yang tersangat berat kepada Allah swt, kecuali mereka yang sentiasa berawas setiap gerak gerinya [tawadhu'], bermuhasabah diri untuk menjaga taqwa, memohon ampun atas kesilapan dan dosa zahir dan batin hatta merindui pertemuan dengan Sang Pencipta bagi meleraikan segala  kekusutan duniawi yang membelitnya. Barulah tercipta kebahagiaan dan kerehatan yang abadi dari segala duka nestapa dan kejelikan dunia. 


Wallahua'lam.


07 Julai 2011

SAYIDINA 'ALI: APA ITU TAQWA?

Para sahabat bertanya Sayidina 'Ali tentang taqwa. Beliau memandang wajah sahabat lalu berkata, " Taqwa itu ada 4 unsur :- 

1. rasa khauf [takut] kepada Allah swt.
2. rasa redha dengan pemberian Allah.
3. mengamalkan sunnah Rasulullah saw dalam kehidupan.
4. bersiap sedia untuk bertemu dengan Allah swt.


Perihal dan perkataan taqwa ini sering didengar dan disebut dalam khutbah Jumaat saban minggu. Ia juga dicakap oleh para murobbi dan da'ie setiap kali berhadapan dengan sasaran dakwahnya. Bila difikir-fikir dan direnung-renung kembali - timbul persoalan dalam benak fikiran: apakah khalayak ramai memahami secara serius dan mendalam akan perkataan taqwa ini. Atau mereka sudah jadi lali dan terbius tanpa merasai apa-apa lagi karena selalu sangat dengar perkataan itu disebut-sebut hingga akhirnya maknanya menjadi longgar dan biasa, tiada menyentuh hati. 


Kayu ukur mudah untuk menilai diri sendiri sama ada bertaqwa atau tidak, mudah saja. Ambil saja mana-mana perbuatan  dan kegiatan yang kita lakukan    harian, mingguan, bulanan, tahunan atau bermusim. Gunakan scanner al- Quran dan as-Sunnah untuk buat imbasan ke atas perlakuan/aktiviti yang kita laksanakan; menepati syariat atau melanggarnya. Kalau imbasan itu menunjukkan kita tidak syariah compliance, apakah kita rasa bersalah dan berdosa malah gementar karena takut kepada Allah. Kalau tak rasa apa-apapun, tanda hati sudah kematu dan menjadi pak turut nafsu dan syaitan. 


Dalam kehidupan yang serba mengancam dengan kemahuan dan kehendak yang tinggi, mahu dilihat hebat bergaya serta dihormati orang; apakah kita redha dengan apa yang telah Allah anugerahkan sama ada sedikit atau banyak? Bersyukur dan terus redha menyembah dan mentaati perintah Allah sambil memohon keampunan dan hidayah untuk terus patuh dalam lingkungan yang dibelit dengan rencam masalah dan kesulitan. Malah terus sentiasa menyedari bahawa dunia adalah tempat pergelutan antara nafsu dan iman - medan ujian amal baik atau jahat.


Dalam meranjau kehidupan yang rencam duniawi ini, bagaimana dengan amalan sunnah Rasulullah saw, telah cuba amal dan terapkan dalam tingkahlaku harian dalam semua sudut dan juzuk kehidupan atau masih pilih-pilih yang mana suka saja? Apakah telah menjadi malakah@tabiat yang mantap menguasai hati dan jiwa dengan penuh rasa cinta dan keikhlasan karena mahabbah kepada Nabi saw, bukan gara-gara mahu pancing-pancingan, tunjuk-tunjukan dan tonjol-tonjolan mahu orang melihat kita sebagai @#$ supaya dapat manfaat duniawi.


Bercakap tentang persediaan untuk bertemu Allah, alamak ... ramailah termasuk diri penulis sendiri mengalami masalah. Kadang-kadang ingat tapi dalam banyak keadaan terlupa. Macamana hendak bagi ingat sentiasa dan istiqamah melihat akhirat dan tempat kembali ke sana sebagai matlamat yang mutlak dalam kehidupan dan tidak bisa diteledorkan oleh agen-agen syaitani.  Ingatkah kita kepada surah at- Takathur tentang bahaya belitan harta duniawi yang melalaikan dan menipu? Apakah harta, anak isteri, kebunan dan kenderaan yang dikurniakan Allah dipergunakan untuk tujuan mendapat redha Allah selain sambil menikmatinya sekadar menanti kepulangan ke kampung abadi. Tahukah kita? Kalau tahu takpa. Kalau tak tahu, buatlah sesuatu supaya tahu, sebelum diberitahu oleh penguasa akhirat di Padang Mahsyar.


Padang Mahsyar bukan sebarang padang. Bukan Padang Besar, bukan Padang Matsirat, bukan pula Padang Golf ataupun Padang Bolasepak??? Jangan risau tentang padang ini, yang perlu dikhuatiri adalah diri dan amalan kita - sudahkah bersedia dengan bekalan iman salimah, ibadah yang sohih, amalan yang makruf serta cinta yang tidak pernah malap untuk mencapai mardhotillah, walaupun perit dan jerih menongkah kehidupan.


Wallahu'alam.


1 Julai 2011

PERIHAL AYAM MAKAN TELUR DAN ANAK PENYENGAT

Makanan dan minuman adalah sumber kekuatan dan penerusan hayat. Sebab itu kehalalan dan ketoyibannya perlu dititikberatkan sebelum dimasukkan ke dalam tembolok untuk dihadam dan diserapkan ke dalam seluruh pembuluh serta urat seni darah. Justeru terjadi dan terbentuklah daging, otot dan lemak dalam jasad dengan menjana kebersihan jiwa atau sebaliknya mengotori dan menghitamkan serta menumpulkan rasa hati terhadap kebaikan dan hidayah Allah.

Berikut adalah kisah seekor ibu ayam dengan sekawan anaknya yang tinggal di sebuah reban dalam dusun tuannya. Terdapat ratusan pepohon buah-buahan dan rimbunan dedaunan meneduhi sekitaran kedusunan. Pada celahan  rimbunan itu bergayutan sarang-sarang penyengat menyerikan suasana hutan. Si ibu ayam dengan anak-anaknya sering keluar mencari dan mencakar tanah di sekitaran teduhan pohon-pohon untuk mencari rezki tambahan karena anak-anaknya sentiasa lapar sebab sedang membesar.

Suatu hari si ibu ayam terjumpa sarang penyengat yang bergantungan, lalu melompat sambil mematuk  bagi meleraikan balutan kemas sarang tersebut. Setiap lompatan berhasil menggugurkan ratusan telur dan anak penyengat. Anak-anak ayam bergembira mematuk rezeki kurniaan Allah untuk mereka. Saban hari ibu dan anak ayam masuk ke hutan mencari dan memakan telur dan anak penyengat yang lazat berbanding biji-biji padi, beras temekut dan nasi sejuk campur dedak yang diberikan oleh tuannya.

Berminggu dan berbulan si ibu dan anak ayam melazati hidangan telur dan anak penyengat. Anak-anak ayam kian membesar dan menjadi teruna dan dara. Tuannya ternampak kelainan pada perangai dan tabiat ibu ayam dan anak-anaknya berbanding ayam-ayam lain. Ketara sekali ayamnya agak sombong dan garang. Sifat gedebe ayam-ayam tersebut telah diketahui juga melalui kawan-kawannya yang melewati dusunnya dan terkena serangan ganas  ibu ayam dan anak-anaknya. Sembungan ayam-ayam tersebut kadangkala melukakan akibat patukan dan terjangan keras. 

Si tuan ayam rasa hairan kenapa begitu drastik perubahan berlaku pada ayam-ayamnya. Laluan denai dalam dusunnya tidak lagi digemari orang karena takut sembungan ayam gedebe.  Tuan ayam rasa gusar karena ramai rakan taulan tidak suka lagi bertandang ke rumahnya atau melewati kebunnya. Suatu hari beliau masuk ke dusun untuk menjalankan CSI bagi mengetahui perkara sebenar kenapa ayamnya bertukar jadi gila tak menentu. Alangkah terkedunya dia apabila terjumpa kesan-kesan baru dan lama cakaran dan patukan ayam pada sarang-sarang penyengat yang banyak berseghayut di dahan dan ranting pokok.  Persoalannya, apakah ini punca kepada perubahan tabiat dan perilaku ayam-ayamnya? Ayam-ayamnya memakan telur dan anak penyengat dalam kebunnya - sudah tentu halal karena bukan termasuk dalam kebun orang lain.  Dari sudut CSI dan berdasarkan sunnah Nabi saw, adalah jelas yang halal itu halal dan yang haram itu haram; tidak adapun keraguan dan syubhat padanya.Akan tetapi kenapa ayamnya jadi begitu. Mungkinkah karena sifat dan zat telur dan anak penyengat itu daripada jenis serangga@binatang yang garang @cenge, maka peribadi ayam-ayamnya bertukar mengikut perangai penyengat yang memang suka menitik dan menyerang manusia jika diganggu atau terganggu. 

Nampaknya ayampun kena lihat logo halal dulu sebelum mematuk makanan. Bukan itu saja malah kena baca ramuan yang ditulis pada pakej dan balutan produk-produk yang kebanyakannya mengaku "ditanggung halal", tapi kalau dimakan belum tentu. Setakat jadi ayam dan makan rezki yang Allah berikan dalam kebun tidak mengapa, tak ada pertanggungjawaban sebab ia binatang. Selepas mati dan menjadi lauk ia bertukar kepada tanah dan habislah perkhidmatannya kepada manusia. Manusia bagaimana? Kata para alim, ramai manusia zaman sekarang tidak takut pada akhirat, walaupun pernah melihat kejadian kiamat kecil dengan segala gegak gempita dalam peristiwa tsunami akibat gempa bumi berskala besar. Manusia pening mabuk terhuyung hayang dan tersirnalah segala kekuatan manusiawi - apakah belum cukup bukti bahawa kedatangan kiamat seperti yang Allah janjikan dalam al Quran adalah lebih besar daripada gempa yang sedikit itu? Jika gegaran 7.9 skala Richter pun tak keruan mabuk dan kecut perut; bagaimana pula dengan goncangan yang maksimum yang menjadikan gunung ganang dan bukit bukau hancur berterbangan macam kapas dan debu? Tegakah manusia menghadapinya tanpa pertolongan dan perlindungan Allah swt? Allah dengan sifatnya al-Qahhar [pemenang] tidak terkalahkan oleh unsur manusiawi yang ia cipta daripada tanah. Daripada seusia yang panjang seperti Nabi Nuh a.s. yang hidup >1000 tahun, segagah Nabi Musa a.s. yang membunuh musuh dengan sekali tumbukan, setampan Nabi Yusuf yang digilai perempuan, sekuat Firaun yang mengaku tuhan, sekaya Qorun yang memiliki ratusan kunci gedung yang terpaksa dimuat atas keldai, sekasih-kasih dan serindu Allah kepada Muhammad saw - semuanya sirna dan mati ditelan zaman apabila bertembung dengan tentera Allah yang digelar al-maut. Siapakah kita yang tidak ada apa-apa pengaruh, kekuatan, kuasa dan kekayaan mahu melawan Tuhan Sarwa Alam, tuhan yang tidak terkalahkan.

Semoga Allah swt sentiasa merahmati dan meredhai orang-orang yang beriman dan beramal saleh serta teguh pendirian mengharungi ranjau-ranjau kehidupan karena memelihara iman.

Wallahu'alam.

29 Jun 2011