Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

AYAH ADALAH PINTU SYURGAWI BAGI ANAK YG TAAT


Anak-anak sekarang membuat pilihan teman hidup sendiri, ibuayah hanya merestukan asal saja pilihan tersebut menepati kehendak syara’ dan sunnah NAbi saw. Tetapi masih ramai pula yg memilih pasangan macam beli ikan di pasar borong. Tak kisah hendak lihat dan periksa sama ada ikan itu medak atau busuk, insang masih merah atau mata sudah berubah warna. 

Anak perempuan yg masih dara, ayah atau atuknya boleh nikahkannya dengan calon yg lain bukan pilihannya, walaupun kedua-duanya adalah sekufu dan memenuhi kehendak syara’. Anak lelaki pun sama, hak ayah untuk tidak bersetuju dengan pilihannya dikisahkan dalam kes anak Sayidina Omar al Khattab, yg mana Abdullah bin Omar disuruh menceraikan isteri yg sangat disayanginya. Keengganannya untuk bercerai dilaporkan kepada Rasulullah saw. Nabi saw merespon kepada kes ini dengan memberitahu kepada Abdullah, “ceraikanlah dia..” 

Satu lagi kes yang dilaporkan oleh Ibnu Hibban tentang seorang lelaki yg datang berjumpa Abu Darda’ lalu berkata, “ ayahku sentiasa menyuruh aku berkahwin sehingga dia mengahwinkan aku. Sekarang dia suruh aku menceraikannya.” Abu Darda’ berkata, ‘aku tidak menyuruh kamu derhaka kpd orang tuamu dan aku tidak menyuruhmu menceraikan isterimu. Namun jika engkau mahu, aku akan ceritakan kepadamu apa yg aku dengar daripada Rasulullah saw. Rasulullah pernah bersabda, “Ayah adalah pintu syurga, peliharalah pintu itu jika engkau mahu atau tinggalkanlah. Harapkanlah pahala.” Kemudian lelaki itu menceraikan isterinya. Dalam kes lain pula, Abu Darda’ berkata: bahawa seorang lelaki datang bertanya, “sesungguhnya aku memiliki seorang isteri tapi ibuku menyuruhku menceraikannya.” Abu Darda’ menjawab; “aku mendengar Rasulullah bersabda, ibubapa adalah pintu syurga yg paling tengah. Terserah kpd kamu [seorang anak] sama ada untuk mensia-siakan pintu itu atau memeliharanya."

Kalau nak tahu kenapa perkara di atas terjadi, kenalah semak dan rujuk sirah sahabat dan asbab hadith-hadith di atas. Jangan terus buat kesimpulan yg silap.  Barulah bertambah kejap kefahaman dan fikrah Islam anda! Secara amnya ia ada kena mengena dengan soal menjaga iman dan taqwa!

Wassalam,

Qalamunir 29/08/12

PERIHAL AIS @ AIR BATU YANG TIDAK MENYEJUKKAN




Ais@air batu sifatnya sejuk dan dingin. Ia merupakan watak air yang mencapai kesempurnaan kejadian = kamal al-awwal. Samalah seperti seorang Muslim, ia berada dalam fitrah sejati sebagai orang yang beriman setelah terselamat daripada kekafiran karena ucapan kalimah toyyibah.

Persoalannya: az Zariyat :56 telah menjelaskan kepada manusia bahawa core business manusia dijadikan dan didatangkan ke dunia ini adalah untuk berubudiyyah kepada Allah. Tugas-tugas lain adalah sekunder = cari rezki, urusniaga ekonomi, mengurus rumahtangga, hatta segala serba serbi kegiatan besar dan kecil duniawi lain adalah sekunder. Sebab ia dikatakan sekunder lantaran pekerjaan dan aktiviti tersebut adalah untuk kepentingan diri sendiri dan keluarga, tanpa melibatkan kepentingan dan kesejahteraan ummah.

Yang dikehendaki oleh Allah adalah ais yg sejuk lagi menyejukkan. Yakni berupaya menyejukkan sayur/buah/ikan dll hingga menyegarkan serta melambatkan pereputan. Justeru manfaat kedinginannya jelas sekali dapat diambil dan digunakan oleh berbagai benda dan makhluk disekitarannya. Begitulah halnya dengan manusia, jika hidup dengan anugerah kekayaan oleh Allah, tapi tidak membantu masyarakat setempatnya karena bakhil, sikaya ini tidak berguna. Jika orang berilmu tinggi namun tidak mahu mengajar atau berkongsi ilmu karena malas atau tidak peduli masyarakat, manusia seperti itu tidak berfaedah kepada masyarakat namanya. Kayanya hanya untuk diri sendiri tanpa menginfaqkan wangnya untuk pembangunan ummah bagi menjiwai Islam. Berilmunya hanya untuk hiasan semata-mata dan bangga diri, sedangkan ummah dibiarkan jahil dan rosak binasa bergelumang dalam maksiat.

Manusia yang mandul tidak menghasilkan/memberi sumbangan apa-apa untuk kebahagiaan dan kesejahteraan ummah,  umpama ais yang tidak menyejukkan sesuatupun yang berada di sekitarannya. Apakah kita daripada jenis manusia yang mendatangkan kebaikan dan kebagusan masyarakat, atau daripada jenis yang hantu langsuir pun tak lalu hendak buat kawan? Apapun jawatan kita dalam perkhidmatan awam, swasta atau militer, core biz kita sebagai manusia adalah membawa, menyebar dan menyalakan obor kebenaran Tuhan dan menganjur manusia taat dan buat kebaikan. Inilah saja kerja yang boleh dijadikan hujjah di hadapan Tuhan tentang apa yang telah kita laksanakan sebagai insan dai'e yang mengaku beriman.

Hidup biar berjasa kepada Allah dan Rasulullah, menjadi pelita dan kandil kemerlap memantulkan sinar, mencerahkan denai dan jalan kelam gelemat bertukar menjadi hiway Plus untuk dilalui manusia, deras menuju Tuhan penuh rahmat.P

Wallahualam

Qalamunir
10 Julai 2012

BIARKU SENTUH HATIMU


HATI yang seketul Allah berikan kepada kita mesti dijaga rapi. Rasulullah saw telah berpesan supaya kita pelihara hati karena walaupun ia bersaiz kecil, berkapasiti besar untuk memandu dan mewarnai keseluruhan watak dan keperibadian seorang insan. Ia juga digelar masdar al- wahid, yakni sebuah satelit yang mampu mencorak, memimpin dan mewarnai   pemikiran dan geraklaku serta tindakan manusia.

Ramai manusia tidak kisah dengan keadaan hati. Mahu jadi apa pada hati lantaklah, asalkan badan sihat sudah cukup baik.  Menjaga jasad dengan rajin beriadah dan memakan makanan yang berkhasiat tidak mencukupi syarat untuk menjadi manusia yang  berguna kepada agama. Agama atau deen Islam tumbuh dan hidup dalam hati yang bersih nyaman daripada kotoran zahir dan batin.  

Justeru sekitaran yang nyaman dan damai daripada segala macam  kebusukan yang boleh mencacatkan hati dijagai dan dipagari dengan pengisian fikrah Islam yang salimah. Fikrah yang murni ini bagai benih yang tumbuh segar menghunjamkan akarnya ke dalam bumi mencekam tanah dengan akar yang besar lagi kukuh. Hatta melonjakkan batangnya yang tegak menujah angkasa dipenuhi rimbunan dedaunan yang lebat memenuhi dahan dan ranting.## Dan buahnya bergugus dan berangkai menghiasi pohon yang merimbun meneduhi makhluk Allah, bersedia dengan keranumannya untuk santapan mereka yang lapar berkelana. Inilah analogi seketul hati yang baik dan segar, ia mampu membina kekuatan manusiawi yang tegak menjunjung kebenaran dan berasa mulia untuk hidup dan mati dalam kebenaran. Siap siaga berkhidmat untuk semua makhluk yang cintakan kedamaian dan kesejahteraan abadi.

Biarlah ku sentuh hatimu. Membuka lipatan hati yang sudah lama berlipat dan bergulung. Merongkai kusut jiwa dengan kalimah Allah yang dulunya pernah berjaya mengetuk dan membuka luas hati Si Omar al Khattab r.a. Carilah di manakah gerbang hatimu. Jangan biarkan ia kematu lantaran ketandusan usapan ilmu. Justeru, sentuhilah hati selalu dengan zikir dan ilmu yang memperjelaskan kebenaran dan membezakan kebatilan. Letakkanlah ia dalam raga tarbiyah yang berterusan istiqamah mengasah pemikiran agar tiada peluang bisikan syaitan untuk memenuhi rongga-rongga iman yang pasang surut  saban ketika.
Wallahua’lam.

Qalamunir
22 Mei 2012

RESTORAN MAMAK 24 JAM VS KERJA DAKWAH 24 JAM



Sungguh kuat motivasi bekerja para mamak. Mereka buka restoran 24 jam round the clock. Mereka kutip fulus 24 jam tanpa henti dan para pengunjung rata-rata orang Melayu makan minum 24 jam  sambil bersembang bisnes atau sembang kosong, melayari internet, tonton  bola dan cerita movie di layar perak atau melepak sambil menghisap syisya@rokok, berjenaka, gelak ketawa, usik-usik kawan  dan ada yang termenung panjang, sengaja tak mahu pulang ke rumah awal.


Restoran mamak 24 jam menjadi melting pot dan pelabuhan para pengunjung malam untuk menghabiskan waktu malamnya yang dianggap tidak produktif karena kelam itu adalah masa rehat santai bagi melepaskan penat seharian mencari mengais rezki di bumi Allah. Para muallim berpesan bahawa: manusia harus membahagikan masa 24 jam dalam sehari kepada beberapa juzuk penting supaya tidak ada kesia-siaan membelanjakan masa yang mahal yang diberikan Tuhan itu. Bahagian pertama  mencari rezki; kedua beribadat mentaati Allah; ketiga memberi hak kepada badan untuk rehat @ santai agar dapat mengumpul kembali kekuatan; keempat menyebarkan risalah Islam dan mengajak manusia membuat kebaikan dan menghindar maksiat dan mungkar.  


Terfikir kenapalah  Mamak tidak mengambil peluang menjadikan restoran 24 jamnya ini  sebagai tempat bertemu sua dan menyemarakkan dakwah. Tempat sebegini memang kondusif untuk bertukar-tukar maklumat dan sembang santai perihal kehidupan beragama kepada pengunjung yang ramai silih berganti. KIOSK Agama kalau diwujudkan bukankah bagus untuk menjana keprihatinan minda terhadap isu-isu ringan tetapi penting dalam mencelikkan minda yang dorman @ menopaus terhadap kehidupan akhirat.  Dengan andaian itu, ada baiknya tv-tv plasma yang tersangkut di segenap sudut dalam restoran itu dimuatkan dengan siaran ceramah, tazkirah serta cereka yang bisa mencetuskan minda berfikir dan memimpin iman. Rasanya tersangatlah banyak sekali kebajikan dan pahala yang diraih oleh si mamak sekiranya ia sedar inilah peluang dan pendekatan yang mudah untuk membantu agama Allah. Semangat bekerja seorang dai’e itu harus mencontohi ketahanan bekerja dalam masa yang lama dan melelahkan seperti pekerja-pekerja Restoran Mamak 24 jam. Memang nampak sekali kejenuhan berperan melayan pelanggan yang rencam perangainya. Begitulah pula halnya melayani mad’u yang berbeza pemikiran, tingkat pendidikan, latar belakang didikan agama dan sosio-ekonomi. Kejenuhan menggarapi dakwah ini perlu dirasai sendiri oleh para dua’t supaya mereka lebih kental dan tegar mengharungi medan realiti dan seterusnya rasa terhibur dengan janji Allah yang besar di akhirat mengatasi kebaikan dan kehebatan duniawi.


Individu Muslim yang lain tidak payah tunggu buka restoran 24 jam untuk menjual produk-produk Islam. Bisa saja menyebarkan maklumat, pesanan dan nasihat ajaran Islam melalui sms, facebook, e-mail dan cara maya lain jika ada, supaya alam ini dipenuhi dengan ajakan-ajakan kepada keimanan kepada Allah dan menegakkan kebenaran hakiki. Manisnya hidup bukanlah karena banyak merasai gula atau manisan, tetapi dengan banyaknya membuat kebaikan sesama insan dengan menunjukkannya jalan keselamatan dunia dan akhirat.

Wallahua’lam.

Qalamunir
30 April 12

SENGKEKNYA TARBIYAH....



Sejak terlahir dalam keluarga Islam sepatutnya proses tarbiyah berjalan secara fitrah. Masuk pula ke Sekolah Kebangsaan yang rata-ratanya orang Islam, sewajarnya fikrah Islam memenuhi dada dan minda sedari kecil dan tasawwur Islam sudah terbina jelas. Sudah besar dan dewasa pula bernikah kahwin dengan pemuda atau pemudi Muslim, lagilah memantapkan perjalanan tarbiyah Islamiyah dalam kalangan keluarga yang dibina atas kalimah Allah yang menghalalkan percantuman intim dua insan. 


 Konsep Baitul Muslim tidak pernah terbina secara sedar dalam minda  pasangan yang bernikah mutakhir ini karena perkahwinan tidak pernah diwar-warkan atau dianjur oleh institusi masyarakat dalam konteks itu. Ibu bapa, kaum keluarga dan jiran malah institusi perkahwinan serta kursus-kursus kahwin yang disuapkan kepada bakal pengantin tidak berjaya memperjelaskan dengan terang akan maksud dan fungsi suatu pernikahan. Ia berlaku sekadar mahu memberi pencerahan mudah kepada audiens tentang perihal yang mudah-mudah saja untuk melangsungkan proses nikah, tetapi tidak merangkumi kedalaman maknawi dan hasrat Tuhan. Mempermudahkan pernikahan adalah baik, namun buat mudah terhadap perkara yang mesti difahami mendalam dan kemas dalam menggarap sebuah pernikahan yang besar ertinya dalam membentuk kehidupan sebuah keluarga Muslim, akan menggagalkan misi Islam dalam memberi kebahagiaan kepada ummah.


 Lihatlah betapa gelongnya perjalanan hidup keluarga-keluarga Islam sekarang. Posisi dan lakonan watak suami dan isteri tampak kucar kacir dalam aspek peranan dan pertanggungjawaban. Sang lelaki  tidak faham kewajiban suami dan sang perempuan tidak tahu kewajiban isteri. Peliknya kedua-dua sangat peka tentang hak masing-masing. Sebab itu dalam banyak hal perceraian dan keruntuhan rumahtangga adalah karena manusia sibuk dan peka dalam menuntut hak, berbanding kemahuan dan kepedulian menunaikan tanggungjawab.


 Dalam sebuah rumahtangga yang sang suami dan isteri berlumba-lumba menunaikan tanggungjawab akan mengecapi kesejahteraan dan kesakinahan berbanding mereka yang berlumba-lumba mencari rezeki tetapi sengkek dalam pelaksanaan tanggungjawab. Kesengkekan berperan dengan kesungguhan watak suami @ isteri adalah kesan langsung daripada kesengkekan tarbiyah yang berlaku dalam sepanjang hidup dari usia kanak-kanak hingga menjelang dewasa. Ilmu agama yang ditelan sewaktu mengambil Pendidikan Agama Islam SPM itulah bekalan yang dibawa ke peringkat IPT tanpa pertambahan, guna untuk mendayung kehidupan sebuah rumahtangga yang mahu dibina selepas graduasi, kecuali mereka yang tampil merentasi disiplin pembelajaran dan bidangan masing-masing, justeru karena  amat memahami keperluan ilmu diniyah dalam membina makna hidup yang sempurna, duniawi dan ukhrawi.


 Watak-watak suami, isteri, anak, menantu dan cucu haruslah diacuankan dalam celupan Qurani dan as-Sunnah melalui program halaqah/usrah yang berstruktur dan berjadual sama ada berlaku secara santai atau formal dalam semua suasana dan sekitaran kehidupan. Ia perlu berlaku dalam rumah, di taman permainan/rekreasi,  dalam kenderaan semasa musafir, program hari keluarga, sewaktu mengendalikan mesyuarat di pejabat, sambil bersantai ngombeh teh tarik di warung tepi jalanan atau di mana saja di atas muka bumi Tuhan. Kenapa manusia perlu tarbiyah di sepanjang perjalanan hidup, tanya seorang rakan. Ketahuilah bahawa manusia itu digelar insan = ‘pelupa’ sifatnya walaupun berkilogram atau bertan-tan tarbiyah telah berlaku, namun jika dinoktahkan maka surut dan pudarlah iman dan motivasi untuk hidup dalam kemuliaan @ izzah Islam.


 Bagi pemuda dan pemudi Islam yang sedang merancang kehidupan masa depannya, kutiplah sebanyak mungkin permata-permata yang hilang yang baru ditemui. Binalah syakhsiyah dan jati diri Islami yang boleh diharapkan mendokongi watak dan pekerti Islami yang bisa menjadi qudwah generasi seangkatan dan pelapis yang mengharumkan deen Allah semerbak kasturi. Janganlah lagi diwarisi kesengkekan peribadi.


Wakafa billahi syahida.
Wallahu’alam.


Qalamunir
19 April 2012

BUDAYA ASYIK, ASYIK, ASYIK

Manusia adalah makhluk paradox sifatnya. Ia walaupun gagah dan hebat tetapi dapat dikalahkan oleh seekor nyamuk. Justeru sebagai insan kita perlu tahu kekuatan kita, tetapi pada masa yang sama mesti menginsafi kelemahan yang ada pada diri.

Seorang pemuka Barat Lawrence of Arabia berkata, " Kami tahu orang Barat telah sampai ke bulan, tetapi mereka masih belum pandai berjalan di bumi." Jadi manusia harus mengerti dan ingat bahawa mereka tidak boleh sombong dan pada masa yang sama tidak bisa terlalu menghina diri.

Manusia yang berimbang dalam menjalani hidupnya harus rabbani karena mengenali Tuhannya. Dengan mengenali Pencipta itu dan meletakkan diri dalam skop yang rabbani, ia membina set minda yang tepat arahnya menuju Tuhannya yang mengajaknya kembali ke pangkuan dalam keadaan bersih jiwa, raga dan aqidah untuk ditempatkan dalam jannah. Dalam jannah manusia terlepas bebas daripada kesakitan, keresahan, kegelisahan, rasa takut dan menikmati keluasan rahmat Allah tanpa batas dan hukum duniawi.

Maka keasyikan dalam hidup sementara ini mesti ada panduan dan berjaga-jaga. Beberapa keasyikan yang disuruh dan dianjurkan oleh Islam adalah agar manusia sentiasa bersyukur ke atas nikmat Illahi. Maknanya manusia harus asyik mengingati Allah dan menyebut-nyebut nikmatNya. Nikmat yang paling kabir adalah nikmat iman. MensyukuriNya adalah dengan melaksanakan ketaatan sama ada dalam keadaan suka atau terpaksa. Bukan sekadar taat dalam skop yang terbatas yakni bersolat, puasa, berzakat dan menunaikan haji, malah yang sangat dituntut adalah ketaatan yang tuntas, syumul dan menyeluruh dalam menghidupkan nilai dan akhlak Islami dalam segenap juzuk kehidupan seiring dan senada dengan ruh Al Quran dan As Sunnah.

Inilah syukur sebenar! Inilah kerja asyik sebenar. Yakni asyik berbicara dengan diri tentang kelemahan bersyukur kepada Allah, sedangkan usia sudah lewat senja atau sudah dini hari. Sibuk berfikir dan bertanya diri: berapa ramaikah individu dan oknum di luar sana yang telah kita garapi dakwah supaya mereka juga dapat merasai nikmat keseronokan menjiwai Islam agar selamat sampai ke kampung akhirat dengan sejahtera. Atau kita masih terlalu leka dengan keasyikan gila yang tidak diberi sebarang nilai oleh Allah? Asyik leka bersembang tanpa inti yang bernas bagi membina minda, ilmu,  akhlak dan kehidupan yang riuh rendah berlaku dalam facebook [fB] hingga berjam-jam lamanya mengatasi ketekunan dan  masa solat yang kita persembahkan kepada Allah dengan tertib, teratur dan tertumpu khusyuk.

Kegilaan asyik fB ternyata kini menguasai ruang dan waktu manusiawi yang sangat bernilai itu. Terbangun tidur terus fB dengan wirid dunia yang panjang, sedangkan wirid seusai solat Subuh diringkaskan lantaran gamitan fB sangat terasa keras memanggil hingga kerja-kerja asas pagi hari untuk membersih dan mengemas rumah, mendandan dan melangir diri dikesampingkan. Fb sudah menjadi satu gejala. Iaitu fenomena yang membina tembok pengasingan diri antara anak dengan ibu ayah; isteri dengan suami; atau paling kritikal lagi seandainya masing-masing memiliki PC, laptop, tablet dan lain-lain alatan canggih yang menggersangkan hubungan antar peribadi dalam satu kediaman.

Bicara fB merangkumi dan menyelinapi 1001 ruang hidup yang kadang-kadang menyelongkari tanpa perasan bagi  mengomentari hal-hal yang tidak wajar dan bersifat rahasia peribadi atau orang lain. Lebih buruk lagi jika kenyataan-kenyataan pada dinding itu dipaparkan 'ayat-ayat' yang tidak sahih, mengelirukan, fitnah, bisikan@gosip, malah kadang tiada nilai berita atau makna langsung. Ada yang tidak tahu apa yang hendak tulis pada dinding, lantas tulis saja asalkan tulis.

Inilah keasyikan baru. Sekiranya fB tidak dimanfaatkan sebetulnya untuk memperkayakan ilmu dan pengalaman, ia akan bertukar menjadi medan tempur dan cambahan minda yang mengusutkan hubungan dan pertalian serta akrab persaudaraan/persahabatan. Fb hendaknya menjadi medan dakwah dan tarbiyah yang menganjurkan kefahaman dan kebaikan hidup, selain maklumat biasa dan bertanya khabar. Justeru kenyataan dan ulasan harus berlaku dalam hujah yang mahir, ringkas padat dan nyata dan bersumber muktabar, bukan ambilan daripada punca yang tidak dapat diperakui kebenaran dan kewibawaannya.

Setiap alat itu tidak dinilai haram atau halal. Hukum haram atau halal itu bergantung kepada cara pemakaiannya. Awas bila berfB. Jangan terlalu berasyik-asyikan hingga terlupa tugas dan tanggungjawab kepada jiwa-jiwa yang berada di bawah tanggungan kita, karena Allah sedang memerhati gelagat asyik kita! Orang-orang Muslim jangan jadi macam manusia Barat seperti kata Lawrence of Arabia, yang walaupun telah menjejakkan kaki ke bulan, namun masih tidak pandai berjalan di atas muka bumi. Nah! bagaimanakah kita semua berjalan di atas bumi dan bagaimanakah pula lagak kita berjalan di atas muka buku? Fikir-fikirlah jangan tidak mahu fikir.

Wallahua'lam.

Qalamunir
16 April 2012

  


SEMAKIN PANJANG UMUR, SEMAKIN PENDEK USIA DAN SEMAKIN SINGKAT MASA UNTUK BERMAIN-MAIN...

Masa yang meluncur laju telah memanjangkan umurku. Menjadikan aku tua dan mengumpul seribu satu macam peristiwa. Universiti pertama yang ku pijak laman kampusnya sekadar mewarnai sekelumit juzuk insan yang dahagakan ilmu. Empat tahun berkelana mencari makna diri dalam gawat dan gegak suara nurani yang tercari-cari dimensi hidup bererti. Banyak sekali lelongan ilmu-ilmu bersepah di sana sini untuk dikutip antara hampas, antah, dan isi padi. Justeru jadilah aku bagai ayam jantan yang lapar mengais-ngais sambil berhati-hati mematuk memilih dan menyisihkan yang kosong daripada yang berisi. Cuma seuncang kecil terpilih dan dengan sebanyak itu digenggam kuat guna berkelana jauh ke dasar alam buana untuk terus mencari makna diri yang lebih kukuh demi mahu membina sebuah kehidupan yang berperi.

Lalu masuklah aku ke laman kampus universiti kedua. Dasarnya terlalu dalam tidak cukup nafas bagi menyelaminya. Padanya aku bina sebuah keluarga kecil bermula dengan dua oknum jiwa yang diikat kukuh dengan tali iman dan kontrak sosial. Wa’ad yang pertama ini adalah lampiran kepada wa’ad awal yang berlaku dalam alam ruh ..‘alas tubirobbikum qolu bala syahidna..’ [Bukankah Aku Tuhan mu, lalu mereka menjawab Ya! Dan kami mempersaksikan]. Dalam daerah yang asing ini aku mendayung sambil menjadi juragan memimpin tangan teman setia yang membantu menyuluh kehidupan. Sakit dan pening, demam dan lelah, lenguh dan sesak nafas diharungi serta terus meranjau kehidupan untuk memberi erti wujud sebenar kepada anak-anak didik yang masih kecil ligat bermain. Mereka tumbuh bagai pepohon yang segar merendangi dengan dedaunan hijau, berbunga cantik menawan. Mereka melagukan nyanyian hidup yang memeriahkan taman keluarga.

Kini mereka telah membesar bagi mengisi dan memeriahkan kehidupan alam. Cantasan dahan dan ranting yang buruk selain menjaga akar yang sering diganggu anai-anai tidak menafikan tertumbangnya pohonan hijau yang segar itu akibat tersedut racunan asap dan wasap sekitaran yang kotor akibat gelojoh manusiawi membangun duniawi. Enam belas tahun dicampur enam belas lagi aku meniti lorong, denai dan jalur kehidupan menuju makna kebenaran hidup bertuhan. Kerikil sangat tajam menyengat kaki yang kosong tanpa alas. Cuma bening hati yang belajar makna keikhlasan mengusap sabar hati yang longlai.

Aku belum puas hati membina kapal yang besar lagi kukuh untuk menghadapi badai taufan gelombang samudera luas. Bahtera yang besar memerlukan tangan besar dan jiwa yang besar. Anak-anak kapal jangan dibiarkan bergelandangan di atas geladak. Jangan pula dibiarkan merayau hanyut di setiap pelabuhan di mana kapal bersauh. Mereka masih perlu diajak melagukan dendangan kalimat Tuhan. Supaya minda tidak senak dengan tipu daya syaitan manusia dan jin. Agar aqal berkuasa dan berfungsi waspada hatta berupaya menilai antara kaca dan permata. Tiga puluh dua musim berlalu terlalu deras dan pantas. Sekilat sinar menyambar malam yang kelam. Namun aku mengharapkan ia tidak akan membutakan mataku, apatah lagi mata hatiku. Setiap jerlusan kaki semasa menapaki jalanan anak-anak masih mampu dirawat untuk terus berdiri semula menggagahi kerja yang belum sempurna selesai.

Semakin panjang umur, semakin pendek usia yang berbaki untuk meneruskan perjalanan hidup bagi membantu mendidik diri dan mengajak ahli keluarga menetapi kebenaran dan terus lestari dalam menempuh kebanjiran kedustaan. Bagaimana mahu rasa enak bermain-main macam dulu dengan anak-anak yang kini sudah dewasa? Bagaimana pula mahu menangani kebengkokan diri dan kebengkokan mereka supaya terus berjalan lurus dengan jajaran yang betul menuju Tuhan yang sedang menanti. Harapannya satu: semoga benih dan bibit yang tertanam sejak kecil terus bersemi dan tumbuh membesar walaupun dalam kepayahan yang amat! Pusaka benih itu jangan dimatikan dan dibuang. Ia berguna untuk anak-anakku semua menongkah arus deras kehidupan yang semakin menggoncang nurani. Karena dunia sedang meniti tebing kematian abadi.
Namun bibit-bibit kebaikan harus terus ditabur menjadi semaian untuk mengindahkan laman masyarakat. Dan pendokong-pendokongnya adalah anak-anakku yang semakin mengenali dan menginsafi  maksud kehidupan, lantaran telah mengumpulkan beberapa helaian peristiwa yang sangat mengajar perkara-perkara yang pernah aku sampaikan. Kini mereka mengerti perihal yang dulunya sukar ditanggapi dan difahami.
Wallahua’lam.
Qalamunir
4 April 2012
http://www.blogger.com/img/icon18_edit_allbkg.gif