Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

AYATUR RAHMAN - IMBASAN KARAMAH DALAM PERJUANGAN

KARAMAH adalah pemberian dan nugerahan Allah SWT. IA beri kepada sesiapa yang layak diberi anugerah. Biasanya yang layak adalah orang-orang yang kuat iman dan ikhlas dalam perjuangan. Niat mereka tiada lain kecuali untuk meraih kemuliaan daripada Allah karena berkhidmat untuk  menegakkan dan meninggikan Islam di bumi Allah. 
G-had  para mujahideen di Afghanistan pada tahun 1980'an menentang komunis Russia laknatullah telah mengembalikan kenangan silam peperangan Badr, Uhud, Hunain, Tabuk dll yang mempamerkan karamah [orang zaman sekarang sebut miracle/misteri?] yang berlaku sebagai penzahiran nasrullah. Pertolongan daripada Allah SWT sungguh canggih, pelik dan ajaib tak terfikir oleh aqal. Pokoknya terpapar kepada kita bahawa formula: bilangan yang banyak dapat dikalahkan oleh jumlah yang kecil telah berulang kembali.


Umat Islam sekarang ketagih bantuan daripada Allah swt untuk menghadapi musuh yang begitu ramai dan rencam. Strategi dan cara bergerak musuh-musuh Islam begitu lihai dan licik : kafir totok, munafiq dan Islam kartu bergabung satu dengan satu tekad mahu memadamkan cahaya kebenaran Islam sepertimana yang telah berlaku pada zaman awal kemunculannya di bumi Makkah. Umat Islam perlu yakin bahawa Islam sebagai nur yang menghidupkan dunia dan menjadi sebab kelangsungan hayatnya, akan terpadam obornya bila Allah izinkan kiamat terjadi. Sebelum berlaku kiamat, para sipenderhaka dan sipendusta yang melawan hidayah tetapi masih memakan rezeki yang Allah tabur; akan merasai getir azab berdepan dengan realiti sebenar sekonyong-konyong apabila dibungkus kain putih. 


Masyarakat Melayu memang sangat suka kepada perkara-perkara keramat, ajaib, sakti dan seumpamanya. Sebab itulah dalam amalan hidup harian, mereka mudah tergoda dengan ajaran-ajaran yang mistik yang boleh membawa mereka mencapai kelebihan tertentu seperti kebal tubuh badan, boleh berjalan atas air, ghaib daripada pandangan mata manusia dengan berlindung di sebalik sehelai daun dan macam-macam misteri lagi. Justeru agama Islam didekati oleh segolongan besar masyarakat Melayu dari sudut mengambil ayat-ayat Quran sekadar untuk beramal bagi meraih kehebatan mistik tertentu mengikut niat masing-masing. Maka terjadilah golongan ini beriman kepada Allah dan menjadi Islam atas  keyakinan yang kurus kerdil dan tidak pernah nampak Islam sebagai satu gagasan atau pandangan hidup yang tuntas mencakupi segenap ruang hidup manusiawi. Golongan in sampai bilapun berwasangka dan syak terhadap agamanya sendiri serta rasa fobia macam orang Barat - geli dan meluat kepada Islam. Sebab apa? Karena bila mereka cuba melihat wajah Islam mereka terpandang hukum hudud sahaja - jelek, buruk dan kejam. Kejulingan intelek dan pandangan hidup sebegini memang akan berlaku kepada sesiapa saja jika mereka tidak pandai melihat dalam jarak pandangan yang sempurna. Seorang wanita jelita tidak akan ternampak cantik jika seorang jejaka itu menatap wajahnya terlalu dekat, apatah lagi memakai kanta pembesar sehingga terlihat lubang-lubang roma yang kasar. Malah kalau diteropong pada hidungnya pula sudah tentu memberikan pandangan sebuah terowong yang berbulu sehingga tidak menimbulkan rasa indah bahkan jauhlah daripada terpikat. Justeru inilah penyakit yang terkena kepada sebilangan besar anggota masyarakat - mereka tidak melihat Islam dari sudut pandangan yang sempurna. Mereka tidak melihat Islam sebagaimana Nabi, auliya, dan orang-orang soleh melihat. Pandangan mereka sering dikabuti  jerebu asap buatan sendiri iaitu ideologi asing yang cuba diharmoniskan dengan Islam. 


Titik pertemuan antara Islam dengan ideologi kufur tidak akan pernah berlaku. Ia tidak berlaku dahulu pada zaman Rasulullah saw dan begitu juga halnya sekarang dan sampai bila-bila. Hidayah perlu dicari sungguh-sungguh menerusi ilmu yang benar. Pengorbanan masa, keselesaan dan wang adalah wajib dan perlu untuk mendaki aqabah ilmu untuk menuju ke puncak kefahaman. Unsur syirik, mistik, misteri dan sakti dalam kotak minda masyarakat perlu dinyahsucikan supaya virus ideologi palsu ciptaan manusia tidak lagi bersemayam dalam hati dan jiwa agar membolehkan syu'ur Islam dalam jiwa terserlah keluar menampilkan wajah sebenar seorang hamba yang taat kepada Pencipta yang satu. Ayatur Rahman masih benar. Ia akan membenarkan kata-kata Allah dalam kitabNya dengan berbagai peristiwa yang akan bakal berlaku bagi menyingkap kepalsuan ideologi buatan manusia. Kemuliaan atau karamah akan terus berlaku ke atas manusia beriman yang terpilih dengan kehendak dan izinNya. Ia bukan satu tawar menawar yang boleh diminta, karena itu bukanlah tujuan sebenar manusia beriman kepada Allah melainkan hanyasanya lantaran rasa kehambaan yang sebenar dan tahu makna diri dan makna hidup.


Wallahua'lam


5 November 2011



PELAYARAN TERAKHIR

ALI IMRAN : 185 memberitakan bahawa manusia akan bertemu dengan satu saat paling bermakna dan tersangat besar bahayanya yang digelar perjalanan  terakhir. Perjalanan ini adalah perpisahan menuju ke satu  destinasi pelancongan yang belum pernah disenaraikan dalam mana-mana senarai destinasi agen-agen pelancongan. Pasport dan visa tiada perlu karena manusia ke sana atas jemputan khas pemilik kerajaan besar 1Dunia tanpa sempadan.


Perjalanan dan perpisahan ini adalah lambaian  terakhir antara manusia dengan segala yang disayangi dan dikasihinya : isteri, anak, sahabat, rumah, kenderaan, kad kredit, saham dan segala kemewahan dan kesenangan duniawi. Manusia yang cerdik lagi bijaksana ialah mereka yang sentiasa mengingati mati dan merancang strategi mengumpul bekalan untuk berpindah ke destinasi akhir kehidupan untuk beristirahat, jauh dari kekalutan, kesedihan, kedukaan dan kesengsaraan. Melancong kali ini adalah pelancongan satu hala tiada tiket kembali. Allah telah berfirman dengan amaran keras dan sinis bahawa ada kumpulan manusia yang suatu masa dulu ketika berada di dunia bermaian-main dengan kehidupan, relaks dan bersantaian sambil menikmati keseronokan  duniawi yang menipu; lalu dikejutkan oleh kematian dan mendapati bajet untuk hidup dalam alam akhirat tidak mencukupi. Hatta terkapai-kapai memohon Allah meluluskan cuti tanpa gaji untuk pulang ke dunia untuk beramal soleh dan beribadat supaya cukup bajet untuk balik semula ke alam akhirat dengan harapan tidak dikenakan apa-apa penalti oleh Allah. Malangnya permohonan mereka ditolak karena kehidupan duniawi sudah expired. Dunia yang dulunya pernah wujud sudah hilang kewujudannya. Semua manusia tidak lagi beribadat - masa yang ditunggu-tunggu telah tiba iaitu the moment of truth untuk sesi timbangan amal. 


Alamak! inilah kecelakaan dan kerugian besar yang sebenar. Kerugian yang mengatasi kejatuhan harga saham, sekuriti, emas dan serba serbi barangan dagangan. Inilah kemacetan dan kemuflisan  ekonomi hakiki seseorang yang tak bisa diperbaiki dan diatasi lagi oleh mana-mana pakar ekonomi Timur dan Barat. Maka mengadaplah Allah oleh seseorang itu dalam keadaan compang camping ibadatnya dan koyak rabak jiwanya yang belum bersedia ditimbang amalannya. Saat ini tiada siapa yang dapat membantu kita. Mahu buat pinjaman mikro untuk menampung pahala yang kurang, tiada sebarang skim yang ditawarkan oleh mana-mana agensi akhirat. Skim yang ada hanyalah skim  mahligai super mewah dan skim penjara super azab. Kemewahan dan keazabannya tiada upaya diberi spesifikasi oleh manusia sebab konsep dan bayangan perspektifnya belum dikeluarkan. Blueprint masih rahasia dan tersimpan kukuh dalam perbendaharaan Allah swt. 


Tanda-tanda kematian menurut  Imam Al-Ghazali adalah nyata kepada semua orang yang masih hidup : kulit kedut, rambut beruban, sakit pinggang, lenguh lutut, kebas kaki dan tangan, mata rabun,gigi goyang dan jarang, ingatan mulai kurang, menopaus, mati dahan dan pucuk dan entah apa-apa lagi yang telah expired. Mahu lari ke mana sekalian manusia daripada penyakit ketuaan ini? SPA dan salun kecantikan serta herba tidak cukup kuat untuk menahan kemaraan umur tua. Kata Saiyidina Ali karamallah wajhah, "... kamu tunggulah kematian, nescaya ia datang berjumpa kamu..."Rasulullah saw yang disayangi Allah pun mati, inikan pula manusia macam kita yang banyak buat dosa. Bezanya kita dengan Rasulullah saw ialah baginda rela dan redha pergi bertemu  Allah dengan segera karena beliau tidak sedikitpun terikat pada dunia. Pesan Nabi,' ..kamu di akhirat adalah dengan apa yang kamu kasihi..'
Bagaimana dengan kita? Kita kasih apa dan siapa?


Ayuh fikir-fikirkan ...our days are numbered... 


Wallahua'lam.


31 Oktober 2011

SAMURAI KE MASJID SOLAT JUMAAT

Jumaat lalu aku terjumpa seorang Samurai di Masjid BBA. Ala Shintaro Akikusa dia memasuki ruang solat dan bersolat sunat tahiyyatul masjid tanpa ditemani rakan karibnya Tombei. Rambutnya diikat tocang berdiri tegak menujah langit dengan beberapa helai rambut berjatuhan di atas bahu dibuai angin lalu berkibaran lembut, semacam samurai sedang meneliti medan tempur sambil mengukur kekuatan musuh. Tazkirah sedang berkumandang disampaikan oleh sang mualim menunggu saat waktu zohor masuk. Para jemaah sedang mendengar penuh sungguh. Terdapat di situ seorang pemuda berambut tocang kuda, panjang berjela melepasi bahu sedang berteleku menekuni dan mencermati patah perkataan sang mualim. Inilah senario umum dalam masjid sekarang kalau kita prihatin melihat gelagat dan perangai manusia di sekeliling dan memikirkan masalah ummah yang kian ghurbah@asing dalam menghayati kehidupan Islami. Citarasa dan gaya hidup yang terlahir daripada pembentukan fikrah dan minda yang serabut nescaya menzahirkan penampilan@perlakuan@citra yang juga serabai dan penuh semak samun. Pemuda-pemuda yang demikian dikisahkan, masih cenderung ke masjid dan masih mahu mendengar tazkirah dengan tekun. Alhamdulillah semoga Allah terus memberi mereka kekuatan dan hidayah untuk mereka istiqamah dengan kehidupan Islam yang sedang dagang@terasing. Semoga beransur baiklah mereka apabila sering terkena tempiasan dan siraman hidayah daripada Allah swt. Bagaimanakah pula dengan sebilangan ramai lagi pemuda yang memiliki stail dan penampilan yang serupa yang tak kenal jalan ke masjid dan surau? Justeru apakah pelajaran yang kita perolehi daripada  cerminan aksi kepribadian dua jejaka tadi? Persoalan ummah dalam perihal ini tidak lain daripada keperluan kita untuk melihat kembali isu pokok yang belum selesai. Isu pokok atau back to basics adalah perkara yang jarang-jarang manusia mahu menoleh ke belakang dan melihat apabila menganalisis kekusutan nilai dan fabrika masyarakat. Ramai dalam kalangan masyarakat melihat gejala sosial seolah-olah macam terjadinya buah-buah busuk daripada pohon yang berputik daripada ranting-ranting buruk yang berulat; bukan berpunca daripada sistem akar serta batang yang reput lantaran terkena serangan anai-anai dan makanan baja yang berbisa yang merosak dan merobohkan seluruh sistem pepohonan itu. Hatta ramailah dalam kalangan yang cerdik tapi tak pandai akan menyarankan agar ranting-ranting yang buruk itu dipangkas dan ditutuh untuk mendapat hasilan buah yang elok.

Apakah benar berlaku  kecelaruan nilai dan kekusutan fabrika masyarakat? Apakah puncanya?  Gerangan apakah penawar dan penyelesaiannya? Persoalan-persoalan ini adalah sesuatu yang sentral @ asasi yang mesti difikir dan dipecahkan supaya nilai dan fabrika masyarakat tidak terus-terusan rosak binasa, sehingga anggota sosial sudah tidak lagi dapat mengenali dan membezakan antara makruf dan mungkar, antara iman dan kufur. Kalau masyarakat Arab jahiliyah totok yang rabak akhlak serta segala sendi-sendi sosialnya lantaran diperintah hawa nafsu dapat  diperbaiki dan menjadi tertib jiwanya dengan  al-Quran, sudah pasti  masyarakat manusia lainpun sama sahaja ubat dan penawarnya untuk menyembuhkan penyakit akhlak dan sosialnya. Unsur-unsur yang menjadikan manusia adalah serupa dan sama = ruh, jasad dan aqal. Ketiga-tiga anasir ini harus menerima santapan makanan yang betul dan asli secara berterusan bagi membina ruhi yang sihat segar lagi bersih daripada tuhan-tuhan palsu; jasadi yang berotot lagi perkasa untuk menggalas tugas dan tanggungjawab Rabbani; dan aqal yang salimah dan murni daripada kekacauan dan kepeningan mabuk alkohol supaya terurus minda dalam memikirkan maslahat diri, keluarga dan ummah. Ini semua memerlukan tarbiyah ruhiyah, tarbiyah jasadiyah dan tarbiyah aqliyah daripada gagasan besar yang diturunkan oleh Allah kepada manusia. Gagasan ini diperincikan oleh detik kehidupan Nabi saw yang dipancarkan di atas skrin hadith yang mengajar manusia untuk menjadi manusia dan hidup sebagai manusia Islam beriman yang akhlaknya  jauh berbeza dengan akhlak iblis dan syaitan serta agen-agennya.

Oleh itu marilah kita mengajak diri-diri kita untuk duduk sebentar dan membuka hati dan minda. Kemudian kita fikirkan apakah kesudahan jasad, ruh dan aqal yang dipinjamkan oleh Allah kepada kita dalam menangani dan mendepani kehidupan duniawi ini? Apakah kita seperti buih yang menggelembung dan kemudian pecah begitu saja tanpa ada apa-apa pertanggungjawaban. Masih terpercayakah kita bahawa manusia dan makhluk-makluk lain terjadi dan terbentuk secara spontaneous generation tanpa campur tangan Sang Pencipta Maha Perkasa? Sehinggakan kita yakin bahawa jasad kita dan segala apa yang ada pada kita boleh kita pakai dan gunakan semahunya tanpa terikat kepada mana-mana undang-undang dan peraturan Ilahi. Jika kita daripada keluarga Muslim, jangan terjadi Muslim atas sebab keturunan keluarga. Jadilah Muslim karena kita mengenali siapa diri kita dan Pencipta kita. Kalaulah kita menjadi Muslim atas alasan logika dan panduan ilmu wahyu, maka janganlah disingkirkan nilai Islami dengan mengambil serta meniru gayahidup, penampilan dan peradaban masyarakat sesat yang bertuhankan nafsu dan syaitan.

Anak-anak muda dan para remaja yang sudah kehilangan warna kehidupan Rabbani, insafilah diri dan tolehlah ke belakang, karena terowong hidup yang lurus dan diredhai masih terbuka untuk kita berpatah kembali untuk diisi dengan ketaatan dan kerendahan jiwa mengadap Allah swt yang maha mengampuni dan mengasihi. Eloklah tocang dan jambul dicukur sekali lagi bagi membersihkan karektor tanda kita kembali kepada sifat diri yang sejati = Islam pada ruh, jasad dan aqal.

Samurai san, Sayonara!

Wallahua'lam.
04 Oktober 2011



Pasca Ramadhan: MASJID & SURAU KEMBALI kepada Fitrahnya

Sebulan kita berpuasa. Sebulan pula kita sibuk beraya. Jalanraya, lebuhraya, expressway dipenuhi kenderaan pada setiap hari terutamanya hari Sabtu dan Ahad karena mengunjungi undangan rumah terbuka dan menziarahi sanak saudara. Sabtu dan Ahad juga dipenuhi dengan majlis walimatul urus. Anak dara dan teruna sibuk bernikah kahwin. Justeru jalan-jalan negeri dan mukim pun jadi sendat dan padat dengan kenderaan berderetan berparkir di tepi jalan.

Kalau kita jenguk ke dalam masjid dan surau tidak kira mana-mana waktu, terutamanya asar, isya dan subuh, ruang-ruang masjid dan surau kelihatan lapang dan nyaman lantaran kekurangan jamaah bersolat. Sawm @ puasa sewajarnya membawa manusia ke darjat taqwa seusai Ramadhan. Sambutan hariraya membawa erti bahawa kembalinya insan kepada fitrah asalnya yang cantik murni tanpa titik hitam noda dan dosa. Namun cepat sekali manusia mengotorinya dengan pelbagai aktiviti dan perlakuan haram dan makruh karena  terlalu seronok giler menyambut hariraya. Siaran Tv semua rangkaian  mengajak manusia leka-lekaan dengan ceritera dan drama serta hiburan yang mempercepatkan pengotoran jiwa yang telah bersih setelah bertarung sebulan berpuasa. Kita diajak menyambut hariraya ala artis dengan sentuhan, salaman, pelukan, ciuman dan bicara lidah serta balut tubuh yang mengabaikan syarak. Sunnah Nabi menyambut hari kemenangan Syawal ditenggelami dengan gelagat mereka

Sepatutnya manusia-manusia yang selesai berpuasa akan kembali kepada sifat asli dan murninya karena telah mendapat maghfirah. Peliknya yang kembali kepada fitrah yang asal dan tetap lestari dengan keadaan aslinya adalah masjid dan surau. Ia tetap lengang dan senggang serta lapang tanpa dipenuhi jemaah.     Hanya ahli jamaah yang regular saja yang tetap hadir menunaikan solat fardhu berjamaah. Yang menambahkan dan meramaikan bilangan jemaah adalah cicak-cicak untuk mengaminkan doa dan bacaan imam. Ahli-ahli baru dan anak-anak muda yang nampak gah dan berpusu-pusu membanjiri ruang masjid dan surau pada awal Ramadhan telah hilang entah ke mana. Mereka pupus dan jerlus ke dalam lubang-lubang kehidupan masing-masing, laksana haiwan yang hibernate menunggu datangnya musim bunga baru. Stail dan gaya hidup macam ini memang lazim dalam konteks hidup manusia yang tiada kesedaran fikrah Islam yang salimah. Ramadhan tiada berupaya mengangkat jiwa mereka ke mercu tanda yang lebih tinggi daripada sebelumnya. Yang semakin tertingkat tinggi hanyalah umur mereka, yang lainnya tetap malar mendatar menuruni cerun-cerun, menggelongsor ke lembah kefakiran iman dan amalan.

Kaum Nasara dan Yahud menawarkan pakej hebat kepada nafsu haiwaniyah  manusia untuk bersantai dan berhibur 24 jam. Sedangkan program Ramadhan hanya beroperasi selama sebulan untuk mentarbiyah dan membetulkan akhlak yang bengkok. Tanpa kesedaran Islam yang tinggi dan hanya duduk bersantai setiap hari dalam zuruf yang rencam macam rojak mamak; apatah lagi tanpa membina biah hasanah yang boleh membangun jiwa Islami, orang-orang Islam akan terjebak dan terkurung dalam pakej seronok 5S yang mereka rencanakan:-

  • SONG = Industri lagu dan muzik yang mengasyikkan. Lirik yang batil dan melalaikan dan tidak mengajak manusia mentaati Tuhan.  
  • SPIRIT = Industri arak dan samsu@todi dll yang menggalakkan manusia hilang aqal dan keupayaan berfikiran waras dan lupa kepribadian diri sendiri dan lupa Tuhan.
  • SEX = Kedua-dua industri di atas menjanakan kehidupan seks bebas dalam kalangan belia, remaja dan dewasa. Berlaku inovasi perlakuan seks sumbang@luar tabiie yang kemudiannya menghasilkan anak-anak gampang@haram@luar nikah yang dilunakkan dengan gelaran anak tidak sah taraf. Industri anak-anak H**** tersebut telah merosakkan nasab dan keturunan manusia. Dan secara tidak sedar dan perlahan pula ia akan mencemarkan dan mencarikkan keturunan dan titih manusia yang bersih yang tidak terlibat dengan cara hidup hedonisme. 
  • SPORT = Atas nama sukan dan semangat kesukanan, manusia diajak bermain dan bertanding bermacam jenis permainan yang tidak mengendahkan peraturan syarak. Aurat perempuan dan lelaki dilondeh dan dibuka semahunya. Berteriak dan berpelukan tanpa batasan antara berlainan seks apabila meraih kemenangan. Bermain dan bertarung dalam aturcara yang padat dan melupai zikir dan ketundukan kepada Tuhan. 
  • SMOKE = Menghisap dan menyedut asap tembakau rokok/cerut/paip/syisya dipamerkan sebagai gaya hidup berprestij dan maju. Rokok khususnya digandingkan dengan stail hidup bergaya dan berstatus serta cool. Kononnya sumber inspirasi, walaupun membakar paru-paru, merosakkan jasad dan membazirkan harta.
Program 5S ini berlangsung terus-terusan hebat ditaja oleh agen-agen pemusnah sunnah nabi, akhlak dan minda manusia. Semua ini ditaja untuk melupakan manusia daripada tujuan sebenar mereka didatangkan ke dunia. Program Solat, Puasa, Haji@Umrah dan Zakat serta amalan-amalan sunnah lainnya, perlulah dilaksanakan dengan fikrah yang jelas  dan ikhlas agar  dapat  membentengi terjerlusnya manusia ke dalam perangkap agen-agen iblis, syaitan dan kuffar.


Wahai Ramadhan! Janganlah engkau tidak datang lagi karena berpatah hati dan bersedih karena belum berjaya mengusap dan membalut jiwa manusia yang tercalar dan terluka. Atau karena melihat akhlak manusiawi tidak tertingkat dan terbina dalam musim yang lalu.  Berilah masa kepada kami untuk mengubati jiwa yang kaku lantaran percikan kuat karat jahiliyah yang memenuhi relong hati karena kurang tarbiyah. 


Pasca Ramadhan = masjid dan suraulah yang kembali kepada fitrah asalnya.  Berbahagialah wahai tetamu-tetamu regular pensiunan. Wahai anak-anak muda harapan ummah dan bangsa,  berpusu-pusulah memakmurkan masjid dan surau , karena di situlah tarbiyahmu bermula dan berkembang untuk membentuk meluruskan perjalanan hidup yang bersimpang siur ini, supaya pasti langkahmu berderap tidak tercicir menagih dan melanggan di lorong-lorong gelap - menggelapkan masa akhiratmu yang sedang menunggu. 

Ramadhan kareem, sempatkah kita bertemu lagi?

Wallahua'lam.

20 September 2011

BALADA RAMADHAN


Saudara,
           Terasa benar beningnya malam semalam
            Malangnya  ummah tertidur nyenyak
            Terlena dalam leka
            Tenggelam dalam  mimpi
            Didakapi keseronokan duniawi
            Yang kosong fana

            Abu Huzaifah menangis penuh sendu
            Melihat buih-buih yang begitu banyak
            Di samudera dunia
            Berhanyut-hanyutan
            Makin lama makin gawat
            Dilambung ganas ombak kuffar

            Teringatlah dia sabda junjungan
            Semakin sebak, semakin kencang debaran
            Ummah kebuihan
            Di manakah rijaluddin
            Mana dia  rijaludakwah
            Yang bisa hatta sanggup
            Mengumpulkan buih-buih ombak
            Yang terdampar di perpantaian hidup
            Memberinya akar agar tumbuh
            Hidup segar semula
            Menghunjam akarnya ke perut bumi
            Mengibarkan panji-panji lillahi wahdah
          
  Abu Fawwaz
   27 Ramadhan 1432H

LAILA AL- QADR - ENGKAU DI MANA?



Malam tadi 27 Ramadhan 1432H. Kemungkinan Malam Qadr. Seperti biasa para jamaah yang peka dan mencari-cari hadiah besar bonanza Lailatul Qadr terus-terusan  berpusu ke masjid BIA. Cahaya suram dalam masjid mencipta suasana syahdu. Bagaikan ashkar berbaris menunggu perintah panglima perang untuk maju ke medan, para jamaah bersiap siaga untuk memulakan rakaat pertama solat tasbih. Laungan zikir pengenalan bermula dengan Hasbi Rabbi Jalallah ma Fi Qalbi ghoirullah, Nur Muhammad sollallah. Tenang damai amat terasa dalam alunan dan lenggokan zikir bagi membangkitkan kesegaran jasad dan ketulusan jiwa, sebelum memulakan takbirotul ihram.

Layarpun terkembang. Bagaikan biduk, para makmum menyusuri riak alunan kecil ombak samudera solat, berdayung dalam tasbih yang bergema menyerap dalam seluruh dan segenap urat nadi. Terasa membuak pilu dan hiba mengenangkan betapa fakirnya diri yang sedang menuju kembali ke alam yang asli, tempat asal yang termeterai dalam janji:
 øŒÎ)ur xs{r& y7/u .`ÏB ûÓÍ_t/ tPyŠ#uä `ÏB óOÏdÍqßgàß öNåktJ­ƒÍhèŒ öNèdypkô­r&ur #n?tã öNÍkŦàÿRr& àMó¡s9r& öNä3În/tÎ/ ( (#qä9$s% 4n?t/ ¡ !$tRôÎgx© ¡ cr& (#qä9qà)s? tPöqtƒ ÏpyJ»uŠÉ)ø9$# $¯RÎ) $¨Zà2 ô`tã #x»yd tû,Î#Ïÿ»xî ÇÊÐËÈ  
Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil ia bertanya Dengan firmanNya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), Kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya Kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini". Al-A’raaf 172.


Dalam wa’ad yang kita meteraikan semasa berada dalam alam ruh, setiap insan telah diberitahu dan mempersaksikan serta bersetuju bahawa Allah adalah Rabb yang mencipta sekalian makhluk dan berhak disembah. Satu pengakuan yang pasti sebagai hamba kepada al-Khaliq. Berada dalam bulan Ramadhan sebenarnya adalah peluang memperbaharui dan menyegarkan pengakuan beriman dalam wa’ad itu. Wa’ad sudah berumur  dan iman menjadi lusuh dan kusut masai lantaran  pergelutan hebat bertarung melayari bahtera hidup supaya terselamat daripada serangan lanun dan agen maksiat serta terbentur karena menghentam beting pasir atau batu karang.


Perairan hidup sentiasa bergolak dan dipenuhi karangan batu, beting pasir dan bongkah ais. Nakhoda dan juragan yang kurang kompetensi dan ketrampilan ilmu kelautan laksana seorang fakir yang berkelana dalam lautan bergelora. Gunung-gunung air melambungkan bahtera dan arus deras serta pusaran air bersedia menghanyut dan menelan sang kerdil di atas permukaannya.  Maka pupuslah ia dilambung dan ditelan ganas ombak badai menggunung. Lalu tenggelamlah ia menuju dasar laut bergalang lantai tanah Illahi. Kepupusan manusia daripada menerima kebaikan dan rahmat Allah adalah lantaran kesombongan, kejahilan dan sikap tidak ambil peduli terhadap tuntutan agama. Saranan dan pesanan Nubuwah dipandang sinis dan sepi karena ia melihat semuanya kuno sedangkan ia menilai dirinya moden sebab berani menentang kekolotan agama. Bukankah agama itu candu kata Nabi Marxisme!  Karena sikap sebeginilah manusia Muslim Kartu tidak pernah berubah walaupun  saban tahun berpuasa. Puasanya tidak berupaya menanggalkan karat dan sifat jahiliyah serta amalan yang haram dan makruh.

Malam itu semasa mengangkat takbir pertama dibelakang imam, aku benar-benar terganggu oleh bau busuk perat, pahit & maung melintasi lubang hidung. Konsentrasi tergendala dan terasa mahu saja mempercepatkan solat atau mufaroqah karena ingin lari jauh dari kebusukan mulut yang gila menghisap tembakau. Setiap lantunan bacaan ayat suci Al Fatihah dan wirid lain sewaktu solat mengeluarkan hela nafas busuk asap rokok. Bayangkan mulut dan nafas busuk bau tembakau rokok dibawa dalam solat untuk bermunajat kepada Allah swt memohon jalan yang lurus dan kerahmatan serta pimpinan yang baik dan tidak disesatkan, seolah-olah semacam suatu lakonan kartun Charlie Chaplin atau Mr Bean yang memaparkan watak dungu dan ningcompoop. Kelakar betul, dalam kebusukan asap rokok ada hati hendak meminta kebaikan dan kerahmatan daripada Allah yang Maha Suci lagi benci kepada perkara haram dan makruh. Rokok@tembakau sama ada dihisap melalui medium apa sekalipun ia adalah HaRaM. Wahai si perokok, tanyalah orang di sebelah anda selepas solat,  “Apakah Anda Selesa berada di samping saya semasa Solat?”

Tak perlulah tanya Ustaz, sebab ada juga ustaz-ustaz yang menarik dan menyedut asap selepas memberi kuliah atau tazkirah. Ini adalah senario umum yang kita boleh lihat di beranda dan koridor masjid dan surau. Bekas abu rokok bertaburan merata berbau busuk, mematikan suasana bening dan damai masjid. Ramadhan demi Ramadhan dilalui, namun program dan tamrin Ramadhan tidak pernah berjaya membuang sikap buruk suka kepada perkara HaraM dan BusuK. Ramai Muslim yang graduat daripada program Ramadhan kalah kepada sebatang rokok. Ini tandanya iman dan taqwa tidak terbina dalam musim Ramadhan, malah terus terkuncup layu dan terbakar hangus , laksana terbakarnya puntung-puntung rokok yang bergelimpangan. Seandainya malam itu bertemu Lailatul Qadr, sudah pastinya orang-orang yang kecanduan itu mendapat kebaikan 1000 bulan menghisap RoKoK. Poofffff berasap dong! Waduh azabnya!

Wallahua’lam
27 Ramadhan 1432H
27 Ogos 2011


12 PERKARA YG ANDA BOLEH LAKUKAN SEMASA MENANTI MALAM QADR

Malam qadr adalah malam yang nilainya lebih baik daripada 1000 bulan. Apa saja perlakuan yang dilakukan pada malam tersebut seperti membaca al Quran, mengingati Allah dsbnya adalah lebih baik daripada beraksi 1000 bulan tanpa malam Qadr.

Pada malam-malam 10 terakhir Ramadhan Rasulullah saw memaksa dirinya supaya lebih gigih beribadah kepada Allah berbanding masa-masa lain.[HR Muslim].

Rasulullah saw bersabda: "Barangsiapa bersolat malam  Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaranNYA, akan diampuni segala dosanya yang lalu." [HR Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah].

Berikut adalah beberapa tip tentang perkara-perkara yang bisa dibuat sebelum, semasa dan selepas malam Qadr:-

  • Ambil cuti daripada segala pekerjaan, pejabat atau apa saja dalam kehidupan.Cuti kali ini pergunakan untuk tumpukan beribadat dan mensyukuri Allah. Kalau tak dapat cuti 10 hari, ambillah cuti sekadar yang boleh diluluskan. Dengan cara ini anda akan berupaya berjaga malam untuk melakukan lebih ibadah daripada biasa, tanpa khuatir bagi melakukan kerja pagi esok dalam keadaan kurang cergas. Hal ini juga akan membantu anda  beriktikaf.
  • Amalan Rasulullah saw dalam 10 hari terakhir Ramadhan adalah beriktikaf dalam masjid. Semasa iktikaf kita boleh lakukan berbagai macam zikir [mengingati Allah] = solat sunat, membaca & mentadabbur serta mengkaji al Quran. Kalau tak dapat iktikaf lama-lama, iktikaf dalam tempoh masa yang pendekpun memadai = 1 malam/1hari atau beberapa hari/malam saja dimulakan sebagai satu latihan.
  • Berdoa' secara khusus memohon keampunan daripada Allah; " Allahumma innaka 'afuwwun tuhibbul 'afwa fa' fu 'annii." Apabila berdoa' biarlah panjang dan mendalam serta menggegar qalbu. Ini dilakukan semasa bangun satu jam sebelum sahur. Pilihlah doa' yang ma'thur atau berdoa' dalam bahasa yang difahami. Sebaiknya hafazlah satu doa' pada setiap malam dan bacalah doa' yang berlainan, walaupun satu baris. Doa'-doa' ini boleh dibaca juga di pejabat, semasa memandu atau menunggu giliran menunaikan hajat sesuatu.
  • Membaca Al Quran sepanjang masa dan kesempatan yang ada khususnya selepas solat fardhu.
  • Mentadabbur makna al Quran dengan cara membaca terjemahan dan juga meneliti kitab tafsir yang muktabar. Segala pengajaran dan arahan Allah dalam Quran hendaklah dimuhasabah terhadap gaya hidup yang telah dilalui selama ini. Buat perubahan dan penambahbaikan agar menjadi lebih mulia kehidupan selepas Ramadhan sehinggalah dijemput mengadap Allah swt.
  • Hapuskan dosa-dosa dengan bersolat lebih lama, tertib, tenggelam dalam doa' dan bacaan yang difahami makna. Justeru semak kembali surah-surah yang biasa kita baca dan fahami maknanya untuk dibawa dalam solat supaya kali ini lebih dijiwai dan bermakna. Inilah pendekatan untuk membina tumpuan dan  khusyuk dalam solat di dalam & luar Ramadhan.
  • Buat senarai doa' dan susun apakah kandungan permohonan yang akan kita panjatkan kepada Allah sama ada kecil atau besar, duniawi ataupun ukhrawi - karena Allah sangat suka mendengar dan menerima doa. Selain berdoa', fikirkanlah apakah tindakan yang telah diambil untuk mendapatkan apa yang didoa'kan. 
  • Muhasabah diri dengan menyoal diri sendiri soalan-soalan yang perlu ditanya. Misalnya : di manakah aku kini dan ke arah manakah aku sedang tuju? Kalau sedang menuju kepada kebaikan dan ketaatan, bersyukurlah. Jika ke arah kemaksiatan dan kemurkaan Allah, berasa malulah dan bertaubat bersungguh-sungguh.
  • Ajak dan bawa ahli keluarga ke masjid atau surau untuk berterawih, agar ini menjadi tarbiyah ke atas anak-anak yang belum lekat solat berjamaah karena kita [ibubapa] tak sempat @ sibuk semacam bekerja.
  • Bacalah sebuah kitab/buku berkaitan  kehidupan/sirah Rasulullah saw. Ini akan mencetuskan dan membina kecintaan kita kepada baginda dan Deen Islam yang dibawanya.
  • Merancang untuk tahun depan sebaik saja evaluasi dibuat ke atas diri. Inilah masanya untuk  berkontemplasi dan merawat kelukaan jiwa, yakni pada malam-malam menanti Lailatul Qadr.
  • Sediakan senarai kerja kena buat dan lakukan mengikut keutamaan tanpa terjebak dalam percakapan dan sembang-sembang kosong malam Qadr lantaran tenggelam sakan dalam suasana buat kuih, lemang dan ketupat serta menghiasi rumah sebab teruja benar hendak raya.
Ayuh! Datuk, nenek, abang, kakak, adik, rakan dan taulan - jom beriktikaf dan beribadah sungguh-sungguh sambil menanti malam qadr, satu tawaran besar daripada Allah yang mengatasi mana-mana tawaran bonanza duniawi. Tapi awas kalau ada sesiapa yang tersasar melakukan maksiat dan mungkar pada malam Qadr, penalti  dosanya juga adalah melebihi 1000 bulan nilainya.

Wallahua'lam.

Nukilan: Abdul Malik Mujahid
Alihbahasa: WasH
22 Ogos 2011