Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

RISIK MERISIK, PINANG MEMINANG, MENIKAH KAHWIN

BULAN sebelum cuti sekolah dan semasa cuti sekolah bagaikan hendak rak meluncur ke hulu dan ke hilir bertandang meraikan undangan dan jemputan bernikah kahwin. Hatta berlakulah kebocoran dan ketirisan  saku dan dompet. Rabaklah bajet si rakan taulan , sahabat handai dan anak anak buah karena musim menikah mengawan ini. Bukan majlis nikah kahwin saja yang berlaku, malah ada pula yang baru hendak merisik dan bertunang karena sudah lama berkawan dan berkenalan. Kononnya kini hati budi sudah dikenali antara dua sejoli. Sudah pergi mari tali temali mengusung awek naik motorsikal atau kereta mencari makna cinta dan kesatuan hati. "Alamak ! kufukah kita ni, tanya si bakal bini?" Sang bakal laki yang sudah lama bersenandung siang dan malam bagai hendak pitam menjual minyak wangi supaya disayangi dan melabur kasih, dok tunggu-tunggu bila nak boleh, pun tertanya-tanya "inikah calon bini yang solehah?", walaupun diri sendiri tak soleh. Tidak soleh karena pada peringkat awal lagi tidak ikut sunnah, walaupun berkahwin itu sunnah. Kenapa ya? Sebab daripada awal mula lagi cara berkenalan antar pasangan tidak syariah compliance - meranduk semacam kambing lapar mencari makan tidak bertambat @ tidak bertuan. Bertemu awek@cowok semacam pertemuan gerabak-gerabak keretapi di stesyen, tiada nilai halal-haram. Namun ironinya mereka termasuk ibubapa mereka mendambakan kerahmatan dan keredhaan Allah swt daripada penyatuan nikah itu. Masing-masing masih kuat mendoakan untuk mendapat zuriat yang soleh [qurrota 'ayun], sedangkan perangai@akhlak dalam mencari jodoh dan melayari kehidupan jauh daripada ruh Islam. Inilah sekelumit malakah @ tabiat tradisi masyarakat jahiliah moden dalam menanggapi kehidupan. Kekacauan, kekeliruan dan habuk serta  puing jahili sangat tebal menindani iman yang terbina tapi tidak kukuh sempurna. Tarbiyah diri dan keluarga tidak berjalan untuk memberi tenaga kepada ruh bagi mendepani kegawatan akhlak dan serangan pengaruh jahiliyah atas nama kemodenan.  Yang ketara berjalan hanyalah penekanan kepada kecemerlangan akademik, prestasi kerjaya dan kemewahan hidup dengan memiliki rumah besar, kereta besar dan simpanan wang yang banyak agar dapat hidup mewah pada hari tua. Mana dia kecemerlangan agama, iman dan gaya hidup Muslim yang ada jati diri. Siapa kisah?

MAKA berentetanlah majlis-majlis risik merisik, pinang meminang berlaku sebelum berdirinya tiang-tiang khemah yang berwarna warni bumbungnya siap dengan kain rentang tanda promosi pengisytiharan perkahwinan sang mempelai akan berlaku. Kunjungan ke rumah bakal mentua @ bisan di sebelah perempuan pun diadakan. Berderetanlah hantaran pertunangan dengan tepak sirih atau sirih junjung menjadi kepala hantaran dengan diikuti buah-buahan serta kuih/kek yang digubah pelbagai gaya dan citarasa memenuhi ruang tamu. Pantun bermula dan disambut menyatakan hasrat dan persetujuan masing-masing. Cincin pertunangan pun tersarunglah sudah. Alangkah syahdu, damai dan nyaman suasana. Dan bibir kedua-dua belah pihak  terukir senyuman indah menawan  tanda ikatan telah termeterai. 

DALAM kereta sewaktu perjalanan pulang ke rumah, si teruna memicit-micit kepala semacam berfikir serius amat. "Hai macam mana hendak mencari pitih untuk mencukupi jumlah tanda harga/price tag anak dara yang telah diletak  oleh bakal mentua dan dipersetujui oleh sang wakilnya tadi." Tinggi juga harganya macam harga kereta model baru Hyundai Sonata @ Nissan Teana. Jadi tetap kena jadi. Tapi tak boleh jadi ni, mahal bebenor. Kalau gitu kenalah bertungkus lumus sampai berlemus siang malam bekerja ditambah  banyak-banyak dengan overtime. Kena pulun kumpul duit come what may bisik hati kecilnya lagi." 

BILA  kita menelusuri  tradisi dan prosedur yang ditinggalkan oleh Rasulullah saw, urusan perkahwinan dalam Islam adalah mudah dan tidak memberatkan mana-mana pihak lelaki atau perempuan. Yang paling pentingnya kita hendaklah memulakan dengan mencari pasangan yang kufu dan cocok. Kufu yang utama adalah dari sudut iman dan memiliki fikrah Islam yang murni dan sempurna. Perkara ini sangat asasi sebagai tapak semaian yang kukuh untuk membina sebuah keluarga Muslim yang totok dan gagah merenangi samudera  rumahtangga.
Selain itu barulah cari padanan@kufu dari segi taraf ilmu, ekonomi, darajat, kecantikan dan sebagainya. Ramuan ini adalah garis panduan yang mesti difokuskan dan diprihatinkan karena selain iman, anasir-anasir seperti pangkat/darajat/harta/ilmu/kecantikan dll tidak bisa dijadikan dasar atau asas membina keluarga Muslim yang berjaya dunia dan akhirat.

PERKARA kedua yang dipesan oleh Nabi saw kepada ummatnya adalah agar mahar @ mas kahwin @ hantaran itu diminta oleh pihak perempuan berpadanan dengan taraf kedudukan atau status pihak lelaki dengan mengambil ingatan bahawa mahar@hantaran yang rendah atau murah adalah baik dan diberkati Allah swt. Dalam apa keadaanpun yang hendak diraih adalah keredhaan Allah dan keberkatan hidup  pasca perkahwinan yang tidak dibebani oleh permasalahan hutang dan kesenakan otak memikirkan keberatan pertanggungjawaban yang bakal dipikul. Ekonomi sedang gawat di seluruh alam jagat. Kos hidup telah meningkat tinggi hatta kos mati pun meningkat juga. Tidak ada satu bendapun yang turun, kecuali saham dan pelaburan yang toksik.

KEDUA-DUA belah pihak lelaki dan perempuan kena faham as-sunnah dan hukum alam raya yang penuh dengan perlumbaan hawa nafsu mahu tunjuk siapa terror atau lebih hebat. Kehebatan bukan terletak pada price tag dan berapa banyak wang telah dikorbankan dan terkorban dalam majlis perkahwinan, akan tetapi ia terletak pada kesederhanaan dan keikhlasan niat mahu menunaikan pernikahan sebagai satu ibadah dan menjunjung sunnah Nabawiah bagi melangsungkan penerusan zuriat manusia yang beriman kepada Allah dan Rasul serta menegakkan panji-panji Islam dalam kehidupan untuk melayakkan diri memasuki syurga Allah swt. Justeru, semasa melaksanakan kenduri kendara nanti, seperkara yang perlu diberi perhatian adalah perjalanan majlis kenalah bersifat dengan sifat Islami dan watak peribadi Muslim sejati. Ia tidak dipenuhi dengan muzik lagho atau lirik lagu yang tidak ada makna atau kosong jiwa. Ia perlu menayangkan keperibadian Muslim yang beriman, bukan meniru mereka yang fasik dan hampa dan lompong ruh, supaya ia menjadi ibadah dan ada nilai pahala. Janganlah jadi kenduri yang tak jadi ibadah, malah binasa dan rosak pahala karena kebutaan syariat lantaran tiada ilmu agama. Atau sebab keras hati tak mahu dengar kebenaran dan anti ilmu.

Alahai! kahwinlah...jangan tak kahwin ...!! Ini baru sedikit cerita perihal merisik dan masam manis majlis pertunangan, belum lagi masuk bab asam garam berumahtangga  dan lambungan ombak kehidupan. Berjayakah mereka menganyam kasih dan melayari bahtera hidup menuju ke pulau harapan, membina Baitul Muslim yang bakal menerima tanggungjawab Rabbani bagi mempertahankan  jati diri Muslim dalam kemelut dunia yang ganas menyeret sesiapa saja  yang kekosongan jiwa dan kebuihan ke dalam putaran kefasikan abad jahiliyyah moden.

Wallahu 'alam.

13 Jun 2011

RAWATAN DAN PENAWAR BAGI MASYARAKAT JAHILIYAH MODEN


Pagi tadi kami berseminar dengan satu tajuk bicara yang penting " PERKAHWINAN SEBAGAI JAMBATAN MEMBINA BAITUL MUSLIM@BAITUL DAKWAH. Kenapa persoalan ini penting sangat tegur seorang rakan. Jawab saya kenapa tidak, sebab sekarang ini manusia asyik menikah kahwin tak henti-henti tak kira masa cuti sekolah atau tidak. Dengan hantaran ribu-ribuan dan berkenduri sakan di rumah kediaman sendiri, hotel, taman, dewan-dewan orang ramai/sekolah serta masjid dan serba mak nenek tempat lain yang mereka fikirkan hendak buat; tetapi, matlamat illek. Maksud saya matlamat yang tinggi dan mulia yang dianjurkan oleh Rasulullah saw = iaitu matlamat Rabbani yang bertujuan untuk bukan saja mengekalkan zuriat manusia di muka bumi ini, malah yang terutama sekali = menjadikan setiap keluarga nuklear @ keluarga baru sebagai Baitul Muslim sejati yang menggendong peranan dan pertanggungjawaban dakwah bagi melahirkan zuriat yang mempunyai kemahiran hati, selain kemahiran-kemahiran hidup lainnya. 

Perceraian dalam kalangan masyarakat Islam Malaysia pada 2008 = +22,000 orang meningkat kepada 27,116 orang pada tahun 2009. Ikatan dan tautan perkahwinan terongkai mudah dengan sekali lafaz cerai sama ada secara zahir atau maya [sms] seolah-olah perkahwinan itu hanya macam mainan pondok-pondok semasa zaman kanak-kanak. Bila rasa bosan dan malas hendak main, boleh saja roboh-robohkan pondok yang pada mulanya dibina dengan penuh ceria dan semangat kerjasama. 

Setiap 13 minit satu perceraian berlaku berbanding setiap 17 minit satu penagih baru muncul di bawah jambatan dan lorong jalanan. Masyarakat terus ditambah gawat dengan kehadiran bayi-bayi segera daripada kilang-kilang manusia tak berlesen daripada Pejabat Agama/Kadi. Kemelut demi kemelut Allah timpakan ke atas manusia yang tak ambil peduli tentang pembaikan diri dan sosialnya. Masyarakat terus cair meninggalkan syariat Allah dan Allah tambahkan lagi kegawatan dengan himpitan masalah dan kegilaan baru yang tidak mampu otak manusia menyelesaikannya. Seolah-olah Allah swt mencabar manusia : "Wahai manusia, tunjukkanlah kehebatan aqal cebisan mu yang kamu anggap hebat itu untuk merongkai masalah ciptaan tangan-tangan kamu yang zalim." Sedangkan selagi manusia melarikan diri daripada mengambil Islam sebagai jalan penyelesaian, selagi terbelit dan serabut ia terbungkus dengan sampah sarap dan najis masalah lama yang tak terselesai. Apa yang manusia sedang buat sekarang adalah untuk memotong ranting-ranting dan dahan-dahan busuk maksiat yang membiak galak, tetapi akar tunjang pokok serta batang yang sudah memburuk busuk menyumbang kepada kerosakan fabrik masyarakat tidak diendahkan, malah dipelihara dengan penuh yakin agar dapat mempertahankan kelangsungan sebuah masyarakat yang aman sejahtera, walhal, pokok yang  akarnya sedang mereput itu, tidak berdaya menyumbang kebaikan lagi. 

Justeru, kembalilah kepada kaedah bagaimana Rasulullah saw memperbaiki keruntuhan dan kebejatan masyarakat Jahiliyah Makkah. Kaedah itu berjaya menyelamatkan mereka dari tebing neraka kepada tingkat kemuliaan yang tinggi. Pendekatan yang Nabi gunakan hanya satu : ajak kepada penyembahan kepada Allah yang Esa dan memurnikan aqidah. Ikuti proses penyembuhan jiwa dan hati dengan mengambil seluruh isi Quran untuk dipraktikkan dalam kehidupan. Inilah proses pembaikan hati yang terbukti menyelamatkan manusia jahiliyah Quraisy 1432 tahun yang lampau; dan inilah juga penawar dan pendekatan yang mesti dipakai untuk merawat penyakit masyarakat jahiliyah  sejagat dalam abad ini, jika ingin kepada salvation dunia dan akhirat. Ketahuilah tidak ada jalan lain yang lebih manjur!


Bagaimana dengan sikap dan watak pasangan  yang baru membina keluarga asas, termasuk juga yang sudah veteran melayari bahtera rumah tangga? Apakah persoalan Baitul Muslim berada dalam pemikiran  dan kefahaman mereka? Apakah mereka prihatin dengan anak-anak yang mereka lahirkan dan memastikan iman salimah bersemi dalam jiwa zuriat mereka.   Anak-anak  mengenali Allah dalam konteks yang tuntas>syumul dan memiliki iman yang kamilah. Iman yang sempurna guna untuk mengharungi cabaran kehidupan yang serba gawat pada masa hadapan. Baitul Muslim adalah berketuakan ibubapa yang prihatin sungguh tentang dakwah terhadap anak-anak, mengawal -selia dengan didikan yang bermutu deeniyah, bukan sekadar memfokus tentang kelas tuisyen matematik, BI, BM dan lain-lain karena mahu cemerlang dalam  PMR & SPM. Skor A dalam subjek PAI bukan ukuran  kecemerlangan beragama. Ia hanya ilmu yang dipaksa baca dan ingat untuk mengambil peperiksaan. Ia bukan satu bentuk kefahaman yang tuntas dan mendalam, apatah lagi menghayatinya sebagai jalan kehidupan yang mengharapkan kebahagiaan dunia dan akhirat. 


Wallahu'alam,


31 Mei 2011




SYISYA > KAFE SIBER = PONTENG SEKOLAH

Malam itu sekumpulan anak muda belasan tahun ramai-ramai mengerumuni 3 buah meja yang digabungkan di sebuah kedai mamak. Rata-rata diperhatikan umur mereka antara 12 hingga 16 tahun. Masih mentah dan penuh dengan gejolak nafsu untuk mencuba segala sesuatu. Sebuah gerai di kanan mereka di luar kedai mamak sibuk menyediakan tempahan alatan syisya dan campuran bahan dan aroma untuk hisapan mengikut pilihan. Anak-anak muda tadi sedang menanti penuh sabar untuk menikmatinya beramai-ramai ikut giliran. Kosnya mungkin juga dikongsi bersama. Jam tepat 10pm dan mereka ini nampak sangat santai, gaya orang berada tapi tampak pada  pakaian mereka masih di taraf marhaen = anak proletar yang memburuhi tenaga mencari sesuap nasi setiap hari. Mereka ala gelandangan persis orang-orang tanpa rumah, tetapi yang pastinya mereka ini masih bersekolah. 

Sesekali nampak seorang demi seorang menghisap dan menyedut dalam-dalam gaya pro. Hebat betul mereka beraksi. Namun kalau dilihat mereka beraksi dalam kelas di sekolah mungkin berbeza = layu, malas, moyok dan tidak bermaya. Keturutsertaan mereka dalam perbincangan tajuk-tajuk dalam subjek-subjek ajaran tidak serancak perbualan tema di meja syisya. Ketawa berdekah-dekah diselang seli dengan lelucon entah apa-apa. Ibubapa mereka di mana... rumah mereka di mana? Pelajaran mereka entah ke mana! 

Dari syisya ke kafe siber - itulah jalurannya pada keesokan hari siang semasa menuju ke sekolah. Mereka akan mengambil subjek GAMES di kafe siber apabila mencilok dari kelas ke situ atas alasan menyampah giler dengan subjek ajaran karena Cikgu Boring; lari lantaran tak buat homework; anti disiplin sekolah dan berbagai alasan lagi yang akhirnya mematikan jalur kerjaya mereka selepas SPM nanti. Dunia remaja adalah dunia sewel - kata sang ustaz keremajaan adalah kegilaan = anak remaja memang buat kerja gila. Macam pulut sedang diragikan untuk menjadi tapai , tetapi sudah over bertukar rupa menjadi samsu tapai. Kepeningan air tapai atas sifat kesamsuannya bisa membuat kepala linu dan pusing-pusing. Justeru anak-anak muda sekarang nampaknya begitu - berada dalam suasana sangat terpusing. Matlamat hidup terpusing, arahtuju hidup terpusing, mindapun pusing macam gasing. Bagaimana tidak terpusing kata sang murobbi, mereka tidak ada kemahiran hati. Kemahiran hati hanya ada pada mereka yang menghidupkan hati dengan 3 jenis zikir : lisan, hati dan perbuatan. Zikir lisan adalah sebarang ucapan yang membesar/mengagung/mensucikan Allah sebagai Rabb. Zikir hati adalah rasa kebergantungan dan tawakkal hanya sanya kepada Allah. Dan zikir fi'li [perbuatan] adalah kerajinan dan kesungguhan bekerja kerana Allah demi kebajikan dan kebaikan diri dan ummah, keluar ke jalan Allah untuk menyampaikan risalah tauhid serta mengajak kepada ketaatan. 

Hati yang mahir adalah :-

a] hati yang menyedari syaitan itu benar-benar menyertai @ menghampiri kita dan ia tak pernah lupa untuk menjerumuskan kita bila saja ada kesempatan.

b] menyedari bahawa nafsu bekerjasama dengan syaitan, kecuali nafsu yang telah menerima hidayah.

c] hati yang sentiasa berzikir kepada Allah swt.

d] hati yang memahami setiap ketaatan @tau kemaksiatan ada akibat baik dan buruknya. Setiap keburukan dan dosa kalau tidak diampuni Allah di dunia, siksaan menanti kita di akhirat.

e] hati yang sentiasa mengingatkan diri supaya sibuk dengan kerja-kerja kebaikan, menjadi murabbi/dai'e dan tidak ada ruang lagi baginya untuk teringat kepada maksiat dan kerja-kerja bodoh serta sia-sia.

Gejala  melagho dengan menyedut syisya, melepak di kafe siber & ponteng sekolah adalah karena hati dibelit dengan kebodohan diri sendiri lantaran benci kepada ilmu dan didikan/tarbiyah. Nasihat orang tua-tua dan guru laksana racun berbisa dan pahit sekali untuk ditelan walaupun ia penawar duka nestapa masa hadapan. Berapa lama mahu duduk-duduk di meja kedai mamak dan bersantaian di depan skrin besar sambil menggonggong paip syisya sambil derai ketawa? Ketuaan menghambat manusia. Ia memancung umur manusia tanpa belas kasihan setiap hari siang berlalu - setiap berlakunya ulang tahun hari kelahiran. Yang pastinya usia terus memendek dan menirus dan menjadi cupus - dan akhirnya pupus.

Wahai anak sekolah yang masih  remaja...bangkitlah daripada lamunan mu yang sementara! Gagal PMR @ SPM tidak menjadi hal atau kudis buta, tetapi kalau gagal menjadi hamba Allah yang taat sudah tentu celaka dan banyak hal yang perlu ditangani di kampung abadi. Waktu masih ada untuk menjadi modal mu mengorak langkah tegap berderap menjunjung tugas asalmu : menjadi hamba Allah yang setia dan merdeka! Merdeka dari permainan murahan di kafe siber dan keseronokan picisan menghirup barbican sambil menyedut  asap syisya yang menggelapkan hati dan perasaan. Tenaga mudamu diperlukan oleh Islam untuk menggegar dunia dengan kalimah Allah karena cintakan  kebaikan dan keselamatan manusiawi sejagat. Maut merinduimu walaupun masih muda bellia, karena muda tidak menjanjikan hayat yang panjang. Begitu pula  kalaupun sudah tua tidak mesti akan cepat mangkat. 


Bangkitlah dari tiduran dan lamunanmu yang sia-sia. Dunia ini tidak indah dengan duduk-duduk di kafe siber dan kedai-kedai mamak dan tempat-tempat keseronokan lain bikinan manusia. Allah akan hadiahkan kamu tempat permainan yang hebat dan menakjubkan. Jom ke syurga!!

Wallahu'alam.

23 Mei 2011




UMUR BAGAIMANA PANJANGPUN BERAKHIR DENGAN KEMATIAN

Umur adalah perkiraan  masa. Ia mengukur jangka masa hayat atau tempoh masa sesuatu kewujudan sama ada yang bernyawa ataupun tidak. Makin berumur panjang, makin tua. Semakin kita tua, semakin lemah, goyah dan luntur segala yang  dibekalkan atau dipinjamkan kepada kita oleh Allah SWT. Jasad yang kuat sudah menjadi lemah. Lutut terkena serangan athritis, mahu naik tangga pun berkriuk-kriuk tulang karena rawan menipis dan lubrikasi kekeringan - waduh terasa berbisa, kebas-kebas serta ngilu. 

Begitulah pula halnya dengan sesuatu tamadun atau peradaban. Semakin fasad dan bobrok masyarakat, semakin ia menuju ke arah kehancuran dan kesirnaan. Sepanjang manapun umur manusia dan tamadunnya, ukuran penting baginya adalah keberkatan. Barakah @ berkat maknanya bertambah. Bertambah saja tidak ada makna melainkan ia membawa atau menyumbang kebahagiaan. Malah ada pula perkara yang kita tak mahu tambah sebab ia menjadikan kita pelik atau hodoh atau tak relevan. Umpamanya hidung, mata, telinga, gigi, jari tangan/kaki: kalau ia bertambah, jadi pelik dan cacatlah [freak] simanusia itu. 


Akan tetapi kalau harta benda bertambah, wang ringgit, pound sterling, dollar dan yen bertimbun, kereta mewah menjalar berderetan di laman, rumah agam berbilang buah dan macam-macam lagi harta dunia: kita tentu suka dan syok. Tetapi kita kena semak dan nilai kembali sama ada ia membawa kebahagiaan serta redha Allah atau kemurkaanNya. Dalam  sirah Nabawi, ada satu kes tersohor tentang seorang sahabat baginda yang sangat soleh; sentiasa tiba awal waktu di masjid bila terdengar azan, solat saf pertama di belakang Nabi saw dan dapat takbiratul ihram bersama imam. Seusai solat ia lekas-lekas  bergegas pulang ke rumah karena perlu menanggalkan pakaian solat yang satu-satunya itu untuk dipakai sang isteri lantaran tiada pakaian lain yang layak digunakan ketika bersolat. Tentu sekali si Abu Tha'labah ini miskin amat. Rakan taulannya menyarankan beliau minta Nabi saw berdoa agar beliau diberkati dengan rezki yang banyak supaya keperluannya diatasi dan bisa berkhidmat untuk Islam pula dengan harta itu. Namun perjalanan kehidupannya tidak seperti sebelum ia jadi kaya sebagai saudagar kambing , selepas doa Nabi dimakbulkan. Kekayaan yang terhasil daripada kambing menyebabkan ia terseliuh hati dan hambar jiwa untuk berubudiyah seperti biasa  bersolat di belakang Nabi saw berjamaah. Malah makin  surut  dan tertinggal segala yang pernah dan mampu dibuat dulu. Ia menangguh-nangguh untuk mengeluarkan zakat walaupun diminta Nabi saw hingga akhirnya turun wahyu melabelkan beliau tergolong dalam golongan orang-orang munafik. Bagaikan hendak pitam dan tidak keruan Si Tha'labah bila label ini diberikan padanya. Ia menjadi keluh kesah dan tidak bahagia. Nabi saw enggan menerima lagi zakat daripadanya karena sudah terlambat. Zaman-zaman khalifah berikutnya ia cuba juga untuk menzakati hartanya namun tidak diterima oleh amirul mukminin sehingga ia mati sebagai  seorang muflis lantaran semua kambingnya mati terkena penyakit.

Betapa harta membelit jiwa dan jasad kita hingga tergamak melupai tanggungjawab agama. Tarbiyah yang dilalui masih mampu digugat oleh bisikan halus syaitan yang mudah menyusup dalam kesedapan memiliki dan memandang harta sebagai segala-galanya. Inilah tarbiyah Allah kepada ummat manusia daripada episod cerita ini untuk mengingatkan kita supaya berawas dengan apa saja yang dimiliki - karena jika silap pengurusan dan fokus terhilang, daki dunia akan dikendong dengan melupai nikmat akhirat yang tidak terbilang. Umur terus mengejar kita menyebabkan wajah bertukar rupa. Walaupun hasrat hendak lari dari ketuaan dengan memakan produk-produk kesihatan dan awet muda, namun sunnatullah lebih berkuasa. Benci dan takut pada ketuaan atau tidak, manusia terus meluncur maju meninggalkan kemudaannya dan pasti sampai ke garisan akhir hayat yang menjanjikan kematian. 

Justeru syukur adalah sebaik-baik penawar yang bisa merawat penyakit lupa nikmat Allah. Syukur adalah adab seorang Muslim terhadap tuhannya. Dengan bersyukur ia merasai dan melihat dirinya serta segala kurniaan Allah sebagai anugerah yang tidak terhitung banyaknya. Nikmat itu bermula sejak ia mula tergantung dalam rahim ibunya berterusan tidak putus-putus sehingga rezkinya habis = sampailah ajalnya.  Jadi dalam perjalanan hidup yang pendek atau panjang, ia tetap pendek berbanding masa akhirat. Kalau hidup kita sesibuk  manapun, jangan lupa Allah, karena jika kita melupaiNya semakin kita jauh daripada Nya. 


Dengan bersyukur kita  menyedari bahawa Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan. Hati terasa sedih apabila kita terbuat dosa dengan tidak sengaja. Rasa malu sekiranya terlanggar perintah Allah, lantaran kita tahu bahawa Allah mengetahui apa yang dizahir dan disembunyikan. 


Kita mungkin panik dan terjelir lidah mengejar habuan duniawi yang sedikit karena takut habis dikaut orang, tapi kita tak endah langsung mengejar dan pulun mengaut kekayaan syurgawi lantaran kita tidak bijak menilai makna dan erti kewujudan. Manusia sanggup terhegeh-hegeh mencari keuntungan duniawi yang sedikit tetapi membuang dan campak laba yang besar di Akhirat. Lantas umur yang panjang sejengkal dijadikan sandaran dan modal untuk dihabiskan mengemis duniawi. Wal hasil jadilah si manusia itu sibuk semedang tanpa perasan maut berada di atas ubun-ubunnya. Bila saja dipanggil Allah mengadap, ia tetap akan berhujah dengan tuhannya bahawa ia sangat sibuk tak berkesudahan!!!


Manusia yang sangat sibuk dan tidak pernah terfikir untuk menilai kembali masa dan waktu yang digunakannya di dunia, sehingga Allah swt dikesampingkan, ia termasuk dalam golongan manusia yang tidak beradab.


Wallahu'alam.
5 Mei 2011

PERIHAL HATI TERKENA TOKSIK

TOXIC @ racun adalah berbahaya untuk manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan. Sewaktu alam ini diciptakan racun memang wujud dalam lingkungan manusia, tetapi tidak mendatangkan bahaya karena ia berada dalam kadar yang seimbang dan ditempatnya. Ia wujud dan punya peranan tertentu yang Allah telah tetapkan. 

Kalau alam semesta tidak bisa diracuni lantaran mahu menjaga kesegaran dan keceriaan hidupan darat dan laut, maka hati manusia pun perlu dijagai supaya tiada unsur asing meracuninya karena hati itu laksana kaca. Ia perlu dibelai dan digilap cermat agar berkilau untuk menjadi bekas dan wadah bagi mengisi nur dan tempat menerima hidayah Alllah SWT. Oleh itu hati harus sentiasa bening dan jangan dikeruhkan. Hati yang diumpamakan cermin punyai sifat pantulan nur atau cahaya. Ia bisa menyerap dengan kuat pantulan hidayah Allah bergantung kepada keruh atau jernihnya hati kita. Hati yang penuh noda dan dosa menjadi kelabu malap, malah mungkin hitam legam metalik, lantaran titik-titik hitam yang telah bersatu mengelamkan jiwa. Jiwa yang kelam bagaikan semut-semut hitam yang berjalan di atas marmar hitam dalam gelap gelita malam tiada bulan dan bintang. Obor penyuluh sudah terpadam, mana mungkin siBingung bisa berjalan lurus ke destinasi dan pasti sampai dengan selamat tanpa tersandung masuk longkang maksiat.

Manusia yang berhati gelap@kelam@muram tidak tertarik kepada membuat kebaikan  dan kebajikan. Akan tetapi ia sangat terpukau dengan ajakan nista dan maksiat. Langkah kakinya maksiat; tutur katanya keji; makan minumnya haram dan halal berbaur tanpa had lagi. Ia melihat agama sebagai penghalang besar nafsu serakahnya untuk merasa sepuas nikmat duniawi. Jadi jenis hati yang macam ini - keruh dan zulumat memang selalu terpegun dengan lampu neon berbanding obor kebenaran dan ketaqwaan. Justeru hati yang sebegini tak mudah menerima nasihat; tidak juga mampu menyerap peringatan dan arahan Allah. 


Hati yang sentiasa jaga dan sedar adalah hati yang bening. Ia peka kepada sebarang penyimpangan dan keteledoran. Kalau tergelincir cepat-cepat ia terjaga dan terus lantas memperbaiki diri dan bertaubat, karena tidak ada sesiapapun yang sunyi daripada terkena  lintasan dan  tempiasan maksiat. Namun ia tidak terus terusan membiarkan dirinya dijual oleh syaitan. 


Para alim menyebut beberapa perkara yang menyebabkan hati diracuni dan menjadi rosak serta sukar untuk ditembusi nasihat :-
  • bercakap berlebihan daripada keperluan
  • memandang berlebihan [pandangan maksiat]
  • berinteraksi berlebihan [bukan atas sebab-sebab yang diharuskan] terutamanya menerusi media moden ie. facebook, twitter, telefon bimbit dll. 
  • makan dan minum berlebihan [badan & minda jadi malas@mengantuk dan fikiran tidak cerdas].
  • tidur berlebihan [masa terbuang sia-sia] sebab letih berjaga malam tanpa  sebab yang munasabah. 
Lima perkara di atas adalah toksik yang memamah kebaikan manusia. Bahan toksik yang paling teruk adalah datangnya dari lidah yang tidak tahu duduk diam, menceceh dan membebel tidak tahu hujung pangkal. Inilah yang dikatakan bercakap overlimit. Matanya pula macam spotlight terbeliak menjilat setiap susuk yang lalu di hadapannya termasuk bahan porno yang mudah dilanggani. Bila berinteraksi tak kira siapa lagi sama ada mahram atau tidak, macam jentolak menyodok habis apa yang ada di sekeliling - tidak hirau apakah hubungan itu wajar dan diharuskan agama. Itu belum dihitung lagi tajuk bicara - mungkin daripada perkara paling picisan hingga kepada subjek paling tidak berguna dan tiada nilai pahala. Sebab itulah para alim memperingatkan kita bahawa bencana terbesar yang menimpa seseorang  di dunia adalah lidah dan kemaluan; bukan tsunami juga bukan kebocoran reaktor nuklear. Kalau ditenggelami ombak tsunami atau terkena radioaktif, kesan maksimumnya adalah maut. Akan tetapi sekiranya ditenggelami kesedapan lidah berbicara serta keseronokan melayani syahwat haiwani tak kenal tempat halal@haram - akibatnya seluruh jasad menjadi toksik layak untuk bakaran api neraka. 

Manusia harus tahu tegakkan keseimbangan dalam hidupnya. Jadi sesiapa saja yang hidup atas prinsip Islam yang benar dan adil, bermakna ia adalah insan yang pintar dan punya pandangan hidup yang berhikmah. Hatinya tidak ditumpulkan oleh tidur  lama dan panjang; makan minum yang sembrono kenyang yang memandomkan aqal; mata yang liar menghitamkan fikiran; banyak berkata-kata menambah beban dusta dan kesilapan. Walhasil, kesemuanya ini akan menyebabkan hati menjadi toxicated walaupun jauh beribu batu dari Fukushima. 


Mangsa Fukushima sudah tentu berdepan dengan maut jika terlalu terdedah kepada tahap radioaktif yang tinggi. Perkara ini sangat diserami dan ditakuti manusia, malangnya jarang-jarang sangat orang jom heboh bila ramai manusia tenggelam dalam toksik maksiat yang menggelapkan jiwa dan nurani, karena jasad mereka  tidak cacat dan tidak perlu rawatan fizikal apa-apa. Namun merekalah oknum-oknum yang menjadi pembawa penyakit-penyakit masyarakat yang berbahaya - bisa merobohkan fabrik sosial yang tidak dikepung oleh tarbiyah Islamiyah dan perlahannya gerak kerja amar makruf nahi mungkar.


Wallahualam


20 Mac 2011








ISLAM IS A WAY OF LIFE VS ISLAM IS AWAY OF LIFE

ISLAM IS A WAY OF LIFE means, Islam is fully adopted as the only creed and the complete code of life. Stemmed from our vivid  understanding and very choice of submission unto Allah SWT, the god of all the worlds, man has no other choices but to render total surrender unto Allah to prove his sincerity in the oneness of god. Otherwise he will be deemed kufr as all his doings are contrary to his pledge of obedience.


Allah most exalted will be most pleased should His servants are ever willingly and without compulsion and coercion bring their knees to the floor and rest their foreheads in coolness in front of Him. Life  mundane is to be made useful, filled with good deeds at the same time upholding the banner of Islam while He gives us this worldly time to collect thawab to make our way to paradise. 


ISLAM IS AWAY OF LIFE means, Islam is rejected partially or in toto from all aspects and domains of life. This is because man regarded it as nuisance since he takes it as something disturbing and foresaking his quest of lust.  Islam as ad Deen advocates mankind to enjoin good and forbid evil. EVIL is all around us and aggressively promoted by satan. So man of faith will have to work extra hard and continuously supervising and overseeing himself to pursue the path of God and not to let himself fall into the pits and traps of satan laknatullah. The pits and traps are many and uncountable. Wealth, destitute, health, illness, power@authority, social status, women, offsprings and all sorts of other worldly gains are detrimental to the healthiness of our Deen or Islamic practices, provided that  it is guided by the virtues of  ISLAM consistently throughout our life. 


The way forward to maintain our creedence and to sustain Islamic values is to be educated and knowledgeable in entirety about ISLAM as the complete code of life. In short, we really need a holistic Islamic education to spawn Godly values in the hearts of mankind.  This is the prerequisites of becoming a true Muslim, or else will be thinking that we are one but in the eyes of Allah we are not, just because we are astray from the very basic tenets of Islam. Islam is simple BUT do not try to make it any simpler. To simplify is not our business but to realise Islam and make it our lifetime lifestyle is our business! He who does not seek Allah's pleasure is void of His pardon and mardhotillah in hereafter. 


Having said that, what is of paramount  importance now is to ponder seriously, whether we are on the right path to jannah OR are we on the right track to hellfire??? 


Come on...maximize the usage of our intellectual faculty and thinking capacity and be sincere to ourselves.. ask these questions,  "Are we Muslims?  Do we love our prophet SAW? And do we truly accept Allah as our sole Deity and nothing else but Him?" Upon acceptance, what do we do next to sustain our integrity as genuine and pious Muslims modeled by Prophet SAW.


Period
7 March 2011

MENGURUSKAN BADAN VS MENGGEMUKKAN IMAN

Masyarakat kontemporer begitu peka terhadap kesihatan badan mereka. Begitu jugalah terhadap penampilan wajah dan fesyen rambut mesti mengikut trend perdana yang terhasil daripada gedung-gedung ternama dan jenama besar di kota metropolitan Paris, London, New York dan lainnya. 

Sekarang ini zaman anak muda menggilai fesyen rambut terpacak macam muncung burung tiruk atau duri landak. Daripada sekecil-kecil anak umur 5 tahun  tadika sehingga kepada penjawat awam @ swasta menggayakan rambut ala cacak macam tiang pagar. Gedung-gedung besar ternama tersebut adalah merupakan dynamo menjana arus perdana tempatan dalam kehidupan anak-anak muda dan dewasa Muslim. Jati diri Muslim entah tercicir di mana? Mungkin telah ditelan asap tamaddun Barat  karena tersilau mata oleh tradisi besar mereka yang tampak hebat yang diistilahkan moden dan maju. 

Gaya langsing tubuh badan ala konfigurasi botol CoCa cOLa pula digemari oleh para perawan dan semua wanita yang sensitif akan bentuk dan berat badan masing-masing. Setiap hari bila terjaga bangun pagi, papan mizan mesti dipijak dulu untuk  melihat dan merekod berat badan agar minda tidak stressss lantaran terdapat tanda-tanda kegemukan. Ukuran lilit 3P amat dijagai supaya terurus agar tidak membentuk puah pir ranum bagi kaum wanita dan rupa nangka boyak untuk lelaki. Bagaimana Islam menanggapi isu kesihatan jasadi adalah suatu persoalan pokok yang perlu dikupas dengan jelas. Pertama-tama kita perlu bertanya beberapa isu penting :
  •   apakah hak badan ke atas diri kita? 
  •   badan yang sihat,  tegap/tampan/langsing digunakan untuk apa?
  •   perawakan yang menarik dan kemas untuk menawan siapa?
Islam memerlukan pemuda dan pemudi serta seluruh pendokong Deen yang sihat dan kuat tubuh badan, bukan lembik macam papedom masuk angin. Justeru badan kita mempunyai hak ke atas diri kita supaya dijagai dan diberi makanan serta minuman yang halalan toiyiban. Kemudian badan mestilah pula dicergaskan dengan riadah secukupnya sepanjang kehidupan. Selepas itu badan yang sihat dan tegap itu dipergunakan untuk berubudiyah kepada Allah SWT secara total di sepanjang perjalanan hidup menuju akhirat. Lantas seterusnya perawakan dan watak yang hebat menarik dan karimah pula digunakan bagi melaksanakan tuntutan mengajak orang lain yang berada di sekeliling kehidupan kita untuk beriman dan mentaati  Allah dan mendapat mardhotillah. 

Ayuh! Sukatlah berat badan anda dan pada masa yang sama ukurlah pula apakah timbangan iman dan ibadah anda. Gemukkah ia atau kurus muluskah dia? Seandainya kurus mulus   macam ikan tamban kering, apakah perancangan kita? Jangan hanya asyik melihat tubuh, tetapi lihatlah juga apa yang tubuh telah lakukan dan buat sepanjang hayat yang Allah pinjamkan dan setiap 24 jam bagi hari-hari yang berikutnya kita berada di bumi Allah ini. Mihrab kita berada di mana-mana saja -  rumah, kantor, ladang, sekolah, taman rekreasi, pantai, dusun, bendang, huma, pesawat hatta setiap yang bernama ruang @ space ciptaan Allah SWT. Apakah Allah telah redha dan puas hati dengan ubudiyah serta kerja-kerja Islam kita? Atau kita laksana manusia yang Allah gambarkan dalam Surah at -Takaathur yang sibuk berlemus mengaut kekayaan dan harta dunia dan melupai taklif rabbani iaitu mengajak manusia berbuat kebajikan@makruf dan mencegah kemaksiatan dan kemungkaran. Jadi kalau kita selalu sibuk melaksanakan kerja-kerja ini, jangan risaulah tubuh badan insyAllah tetap langsing dan tegap menarik dan terhindar daripada penyakit zahir dan batin. Karena banyak lemak di pinggang, perut, pinggul, peha akan terbakar bersama terbakarnya maksiat dan mungkar yang terkena sentuhan para dai'e dan dai'eyah yang rakus mencari pahala dan nikmat syurgawi.


Kebangkitan manusia selepas tidur yang lama dalam kubur adalah penantian selama 40 tahun masa akhirat sangat melelahkan dan diselubungi ketakutan yang amat. Sambil berdiri bogel mendongak ke langit menanti hisab di mizan, masing-masing tidak terlintas di hati hendak melihat ke bawah atau kiri kanan karena kecut, kaget dan moyok takut kepada hasil timbangan kegiatan/kerja/aktiviti duniawi dahulu. Allah SWT tidak ukur lilit mana-mana bahagian badan kita. DIA hanya menilai perkara berikut:-


1.  fikrah Islam - sama ada sahih dan salimah
2.  ibadah - sahihah tanpa bida'ah
3.  harta/kekayaan - diinfaq dan dibelanjakan untuk pembangunan Islam dan kemaslahatan      
     ummah.
4.  badan dan jiwa - digunakan untuk dakwah dan tarbiyah diri sendiri, ahli keluarga, anggota
     masyarakat yang berinteraksi dengan kita secara langsung atau tidak langsung.


Justeru walaupun wajah kita cantik, tampan dan menawan dengan konfigurasi yang cukup hebat lantaran peka dan selalu jaga diet dan riadhah, statistik komponen ini tidak termasuk dalam final CgPa semester akhir hayat kehidupan. Aduhai jagalah badan dan jagalah iman dan amalan Islami kita. Mudah-mudahan sejahteralah kehidupan di sana!

Nah... fikir-fikirkan. Wallahu'alam.

1 Mac 2011