Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

JANGAN BUNUH KEHIDUPAN AKHIRAT ANDA

Sewelkah manusia sekiranya dia membunuh kehidupan akhiratnya? Bijakkah manusia seandai dia memburu terus terusan kenikmatan duniawi yang akan bernoktah bila dia berhenti menjadi manusia? Gilakah penyembah-penyembah Tuhan yang gigih berubudiyah siang malam tanpa rasa jemu dan penat menabur bakti mengajak manusia berfikir dan muhasabah diri bagi menentukan halatuju dan arah tujuan, supaya sampai ke destinasi akhirat membawa laba dan keberuntungan hakiki - firdausi Allah yang ngetop nikmat tanpa ada kata-kata yang bisa menggambarkan kehebatannya. 

Mahukah kita berfikir sejenak bagaimana mahu merangkul bonanza nikmat yang begitu kabir? Hidup sambil lewa macam orang biasa-biasa = keluar rumah pagi pagian menaiki mobil ke kantor, ladang, pelabuhan, sawah bendang, huma atau apa saja tempat kerja buat mencari sesuap nasi; tetapi melupakan juzuk keakhiratan, walaupun melelahkan namun ia tetap tidak bermakna apa-apa di sisi Allah swt. Ini adalah lantaran semua makhluk Allah begitu perangainya - cari makan dan cari makan, tak habis-habis. Sangat segelintir teringat akan maksud mereka dijadikan dan dikirimkan ke dunia untuk berubudiyah kepada Allah. Hidup mereka penuh dengan gurauan dan mainan. Memperolokkan agama dan mempertaruhkan seluruh umur yang dikurniakan untuk menghirup dan menghisap nikmat madu duniawi yang tidak seberapa. Umur ada hadnya, kemudaan ada batasnya, kekuatan ada tahapnya, kecantikan ada waktu surutnya, kekuasaan ada tempohnya, kekayaan ada penghujungnya. Semuanya ini menjurus kepada pertemuan dengan Sang Pencipta pada saat yang ditentukan. Justeru orang yang membunuh kehidupan akhiratnya adalah orang-orang yang bodoh tidak celik akhirat. 

Manusia yang tidak celik akhirat adalah mereka yang mempunyai konsep @ ciri-ciri kehidupan :-
1.  tidak endah dengan pesanan Allah dan Rasul bahawa      akhirat itu ada dan sedang menunggu ketibaan kita.
2.  tidak kisah dengan sebarang petanda dan amaran kecil mahupun besar yang didatangkan oleh Allah kepada manusia untuk dijadikan peringatan dan keinsafan.
3. hari-hari siang dan malam dilalui dengan foya berseronokan dan melampiaskan runtunan syahwat sehingga otak menjadi tepu dan jumud tidak dapat memerhati dan memahami ayat-ayat Allah supaya waspada terhadap dunia yang menipu dan syaitan yang menyesatkan. 
4.   majlis ilmu dianggap membazirkan masa dan ianya hanya untuk orang-orang yang ketagihan syurgawi dan tidak ada orientasi pembangunan ekonomi.
5.   membaca, mentadabbur al Quran dan mengkaji Hadith Nabawi adalah sia-sia. Ia adalah pekerjaan manusia yang mahu mengajak orang lain untuk balik ke zaman batu yang primitif dan anti kemajuan.

Kalau ibu bapa berfikiran begini, manakan bisa sianak keluar daripada kepompong pemikiran yang anti Tauhid dan mempersiakan umur mencari kebenaran yang tak kunjung dapat. Anda bunuh akhirat anda dan juga akhirat anak-anak anda. Anda memilih jalan fujur; orang lain memilih jalan taqwa. Apakah sama jalan fujur berbanding jalan taqwa? Tepuk dada tanya citarasa....fikir fikirkanlah wahai taulan.

Wallahu'alam
2 Februari 2011


CARA HIDUP LEBIH PENTING DARIPADA CARA MATI

CARA HIDUP ditentukan oleh cara fikir. Cara fikir membangunkan fikrah seseorang mukallaf. Kenapa pembangunan fikrah penting dalam kehidupan insan? Tidak lain karena ia adalah asas pembentukan dan pengembangan watak, pandangan hidup, jiwa, nilai budaya, keperangaian dan arahtuju kehidupan. 

Seorang mulhid@atheis, terbina fikrahnya dengan bersandarkan kepada rasional @ aqliyah bahawa segala benda, bernyawa atau tidak bernyawa tercipta tanpa campurtangan Sang Pencipta. Lalu berdasarkan premis sedemikian, ia tidak mempedulikan wahyu sebagai informasi untuk memperjelaskan tentang alam malakut dan perkara ghaibiyah yang tidak dapat diterokai aqal cebisan. Justeru aqal padanya adalah segala-galanya. Apa yang tampak dan nyata dipercayai wujud, apa yang tidak dapat diimbas oleh sebarang deria terutamanya deria lihat, ia dianggap tidak wujud dan bathil. Maka watak yang tercipta daripada pemikiran yang berlandaskan semata-mata aqal ini, memunculkan insan yang berjiwa bebas daripada ikatan ketuhanan, agama dan nilai masyarakat yang terpandu dan terpimpin  oleh adunan hukum, peraturan dan adat yang terpusat kepada Tauhid. 


Begitulah juga halnya dengan peribadi-peribadi bengkok yang dibentuk oleh ideologi ciptaan manusia lainnya seperti kapitalisme, liberalisme, eksistensialisme, sosialisme, komunisme dll, semuanya menjurus kepada pelarian daripada tauhid/pencipta agung. Mereka menggelarkan diri mereka sebagai bebas dan berfikiran lepas terbuka. Hakikatnya mereka terkurung dalam diri mereka sendiri, terpenjara dalam alam yang luas terbentang tanpa mengenal diri, pencipta dan destinasi akhir tempat kembali. Personaliti bengkok yang seperti ini kedapatan ramai dalam pasaran terbuka - menjaja slogan-slogan muluk bagai agen Dajjal untuk memerangkap dan menyesatkan anak-anak Adam yang kurus pengetahuan dan tohor iman. 


Abu Jahal @ Abu Lahab & Co., dengan cara fikir jahiliyahnya mencipta perseteruan dan penentangan terhadap deen Allah. Melakar cara hidup yang taksub kepada sistem jahiliyah nenek moyang atas sentimen dan kepentingan duniawi. Merasa izzah dan hebat dengan kemajuan dan kekayaan ekonomi serta kudrat sendiri. Mereka tidak perasan bahawa kemajuan dan kekayaan ekonomi dan kudrat serta kuasa yang dipinjamkan Al-Dayyan boleh ditarik bila-bila masa tanpa notis.


Manusia yang melakar kehidupan ala Abu Jahal & Co. sering menyibukkan diri dengan rutin biasa mencari rezki di darat dan lautan, tanpa berhenti sejenak untuk memikirkan apakah rutin mencari makan itu adalah segala-galanya dalam erti kehidupan insan. Apakah menjadi manusia biasa yang hanya self centered dan tidak peduli persoalan dan masalah ummah sudah cukup syarat untuk masuk syurga Allah? Apakah memadai kalau sempat menunaikan Haji dan berkebetulan mati di Makkah berkemungkinan mendapat tiket dan pas terus untuk masuk jannah? Ramai orang fikir kalau kita mati dalam keadaan dan tempat tertentu yang baik, kita boleh lalui laluan hijau ke syurga. 


Cara mati sebetulnya ditentukan oleh cara hidup. Jika hidup kita bergelumang dan berselirat dengan maksiat, dosa dan mungkar; kata para alim, mereka akan mati dalam keadaan mereka sedang melakukan  maksiat itu. Bagaimana mungkin seorang yang tidak suka solat boleh mati dalam keadaan sujud; seorang penzina boleh wafat kena serangan jantung dalam situasi qiam dalam masjid dan bukan di lorong-lorong merah. Ini adalah logika biasa, lainlah kalau Allah hendak menyelamatkannya atas iradah atau sebab tertentu. Kebarangkalian seperti ini tidak boleh dijadikan asas perkiraan dalam kehidupan Muslim, karena ianya adalah satu pemberian dan rahmat yang Allah sahaja berkuasa ke atasnya mengikut tilikan dan kasih sayangNya. 


Abu Jahal & Co. mati di Makkah dalam keadaan menentang Allah dan Rasul = sudah pasti tidak bagus kematiannya. Berbanding sahabat Nabi yang juga ditimpa musibah kematian di tanah suci tetapi dapat akreditasi syahid daripada Allah. Sahabat-sahabat Nabi yang lain ramai yang tidak wafat di Makkah atau Madinah, malah terkubur jauh di perantauan persada dunia negeri asing karena menjalankan kerja-kerja dakwah Islam, seperti Saad Abi Waqas yang bersemadi di Cina. 


Justeru kita kena insaf dan faham bahawa kalau kita hidup atas makna kesyumulan Islam dan kita melaksanakan tugas-tugas dakwah yang dipusakakan oleh Nabi, itulah sebaik-baik kehidupan karena kita berada dalam suasana sentiasa menyampaikan kebenaran dan memberi kebaikan kepada manusia lantaran cinta kepada kebahgiaan abadi untuk semua. Oleh itu formula hidup yang mesti kita ingat dan pegang adalah: cara fikir = cara hidup = cara mati > bertemu Allah dalam keadaan sejahtera iman > InsyAllah dipermudahkan masuk jannah.


Wallahu'alam


25 Januari 2011



MATA LALAT VS MATA LEBAH VS MATA KAYU

Semua makhluk Allah dianugerahkan mata, satu pancaindera yang sangat penting dan tak ternilai kegunaannya. Lipas, lalat, lebah dan binatang lainnya mempunyai jenis mata masing-masing termasuklah manusia. Sekiranya terbuta mata tidak ada alat ganti dalam pasaran terang dan tak mudah pula untuk mendapat bekalan daripada pasaran gelap.  Mata berfungsi  membantu makhluk manusia dan haiwan untuk melihat, menatapi, memerhati dan mengenali alam benda. Segala ta'akulan ke atas alam benda menjadi sumber asas untuk membina kefahaman alam bukan benda @ alam ghaib @ hakikat kewujudan semua benda > membantu menjelaskan makna kehidupan.

Lihatlah peranan lalat - menerusi mata dan derianya ia berjaya melaksanakan kerjanya dengan prestasi yang sangat tinggi memenuhi sasaran Key Result Areas [KRA] yang ditetapkan oleh Penciptanya. Tidak ada sampah sarap,  kotoran, bangkai dan najis yang ditolak daripada senarai semak kerjanya untuk digarap dan dilupuskan sepenuh ketaatan hati bagi membersih, memantap dan mengimbangi alam sekitar ciptaan Tuhannya. Lalat @lias langau diberi mata oleh Allah berserta deria hidu jarak jauh yang canggih untuk mengesan bau busuk bagi memudahkan kerjayanya. Lalat@langau tidak pernah komplen tugasannya. 

Bagaimana pula dengan lebah - melalui matanya ia membina kerjayanya mengutip madu yang tersimpan dalam kelopak bunga untuk menghasilkan madu yang sedap rasa, untuk dimanfaatkan oleh manusia membangunkan tenaga, merawat berbagai jenis penyakit, awet muda dan macam-macam lagi.  Lebah yang menggilai  bunga-bunga telah membangunkan industri madu dan menceriakan kehidupan manusiawi.


Melihat kepada peranan lalat dan lebah yang begitu rajin dan taat menimbulkan persoalan mengapa lalat tak suka bunga dan lebah pula tak berminat pada bangkai@najis? Sedangkan manusia pula iaitu jenis homo sapien/homo erectus dilihat mempunyai bermacam kesukaan dan minat = cenderung kepada kebaikan/makruf dan ada yang condong kepada maksiat dan mungkar. Kata ilmuan, lalat walaupun terbang dalam kebun dan taman bunga derianya tak peka kepada keharuman dan kebagusan madu - ia masih teruja dengan bau bangkai dan najis yang bersepah di hujung kampung. Begitulah pula halnya dengan lebah, kendatipun terbang merentasi  kawasan yang dipenuhi dengan kotoran dan najis, ia tetap mencari-cari bunga yang mekar mewangi yang tumbuh terselit di situ. 


Dalam kehidupan manusiawi, mata dan deria ala lebah ini sangat penting untuk memandu dan menyelamatkan manusia dalam  setiap tindakannya. Mata jenis lebah ini cekap mencermati dan menilai perkara-perkara yang baik dan bermanfaat untuk dilakukan dalam kehidupan bagi diri sendiri dan orang lain. Seandainya kita memiliki mata spesifikasi lalat, kita amat tangkas dalam mengerumuni perkara-perkara kejahatan dan dosa. Kehidupan manusia stail mata lalat, membahayakan diri dan membebankan masyarakat. Kalau hidup kita hanya membebani masyarakat, lebih baik kalau kita mempunyai mata kayu. Spesifikasi mata kayu tidak membahayakan sesiapa, kecuali pemiliknya sebab ia tidak nampak apa-apa. Bila tidak nampak apa-apa, ia tak panjang angan-angan dan cita-cita hendak buat perkara jahat dan sia-sia. Langkahnya terhad dan perlu bantuan dan simpati orang sekelilingnya untuk ia bergerak dan melakukan aktiviti. Dosa matanya tidak ada, kecuali dosa yang terlahir daripada perbuatan anggota badan yang lain.


Ayuh! sila semak mata masing-masing dan dapatkan rawatan segera daripada murobbi yang pakar menyembuhkan pandangan mata melalui rawatan hati. Kawan-kawan,  pandangan mata manusia rosak bukan karena matanya itu sakit tetapi hatinya yang rosak dan derita lantaran tidak terpenuh dengan santapan ruhiyah yang sangat didambakan hati.


Nah! Fikir fikirin....


Wallahu'alam.


15 Januari 2011

MERENCANA KEHIDUPAN KEDUA DENGAN MEMBANGUNKAN KEKAYAAN JIWA

DALAM kehidupan kita perlu sentiasa berfikir bagaimana hendak menjadi manusia yang mengundang kekaguman Allah, setelah menikah dalam rangka untuk merealisasikan kesempurnaan agama; selain membina rumah tangga Muslim, menjaga keimanan hati, menjana pahala daripada harta benda yang Allah anugerahkan meskipun menghadapi kekangan masa  dan amal kita diganggu oleh kesibukan, sakit serta hambatan lain.

KENDATIpun dalam kesibukan masa yang sentiasa mencengkam dan kelelahan tubuh yang mendambakan kerehatan, namun untuk meraih anugerah kebaikan di akhir kehidupan, kita mesti tega berjuang bergelut merebut setiap saat berlalu dengan menghasilkan amalan terbaik, tanpa sesaatpun tertumpah. Sebab itu kita  perlu merencana kehidupan kedua dengan amat teliti dan sungguh-sungguh. Pastikan kehidupan kedua adalah kehidupan terbaik mengatasi kehebatan kehidupan dunia. Ini adalah karena kehidupan akhirat adalah final chance sedangkan kehidupan dunia adalah first chance serta tapak semaian kepada merangkul kebagusan dan kelestarian hidup hebat dan abadi. Inilah life style yang perlu terbentuk dalam minda seorang Muslim, dan menjana need achievement yang mahu dicapai  iaitu gaya hidup manusia beriman dan bertaqwa yang mendapat kerahmatan tanpa batas daripada Allah SWT.

MERENCANA kehidupan kedua yang berjaya memerlukan perancangan strategik. Perancangan strategik yang dibuat oleh organisasi kecil atau besar biasanya dibuat dalam dua cara : jangka pendek & jangka panjang. Perancangan jangka pendek perlu dilaksanakan dahulu sambil merangka pelan jangka panjang yang lebih mantap untuk memberi impak kelangsungan sesebuah organisasi. Impak yang besar dan berkesan bergantung kuat kepada sejauhmana perkara-perkara yang dirancang itu bersifat strategik dan berdayasaing atau sebaliknya. Kalau begitu apa maknanya strategik? Ringkasnya strategik bermaksud tindakan yang dirancang dan dilaksanakan itu terpenting  dan paling utama dalam mencapai keberkesanan maksimum bagi menjamin  kelangsungan dan hayat sesuatu organisasi.  Sama halnya dengan manusia, jika ia mahu menjaga kelangsungan hidupnya yang baik dan bermakna di dunia dan akhirat, semua perkara yang bisa dibuat dahulu terutamanya yang wajib dan amalan sunnah kecil mesti dimulai tanpa bertangguh lagi. Komitmen terhadap perkara dan hal-hal besar dalam kehidupan Muslim mestilah pula terus diteliti, dirangka dan ditentukan tarikh pelaksanaannya supaya kesyumulan Islam berlaku dalam kehidupan kita. Pendekata, daripada amalan yang asasi [solat, puasa, zakat, haji] berubah dengan dinamis ke arah penyempurnaan ikrar syahadah dengan berinfaq dan berkorban harta, masa, tenaga dan nyawa bagi menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Bukan sekadar beribadah pada takok lama dengan melakukan amalan asasi@wajib tanpa melakukan peningkatan ilmu, fikrah, amalan sunnah yg dituntut, penglibatan dalam kegiatan kemasyarakatan dan lainnya, bagi menjana taqwa dan meraih keredhaan Allah. Masa dipergunakan sepenuhnya untuk membangunkan diri, masyarakat dan Islam.


JUSTERU, dalam merenangi dan merentasi kehidupan duniawi yg terpaksa menggeluti berbagai cabaran dan tribulasi, modal yang sangat penting untuk membantu kita ke arah menggapai kejayaan mutlak adalah kekayaan jiwa. Apa itu kekayaan jiwa? Kekayaan jiwa terbahagi kepada 2 iaitu:  kekayaan hati + kekayaan Rabbani.

KEKAYAAN hati adalah: bentuk kekayaan tertinggi menurut Ibnu Qaiyyim & Ibnu Taimiyyah. Ia dikatakan tertinggi karena  manusia yg dapat merasainya tidak akan pernah merasa miskin buat selama-lamanya. Rasa kebergantungannya kepada Allah sangat ngetop [optimum]. Ia tidak mempercayai harta duniawi sebagai sumber yg memberi ketenteraman dan kebahagiaan yang mutlak. Ia adalah benda yang boleh datang dan hilang bila-bila masa, sedangkan Allah adalah dzat yang mencipta dan menganugerahkan kepada manusia harta benda itu. Jadi mana lebih kuat dan hebat - yang mencipta dan menjadikan harta kekayaan atau benda yang diciptakan? Sebab itulah orang yang bijaksana memandang kekayaan materi sebagai kekayaan yang rendah sifatnya. Ia tunduk kepada Allah dan pasrah kepada hukum dan ketentuan Allah secara total. Ia tidak mempertikai apatah lagi menentang hukum dan peraturan yg ditetapkan Allah ke atasnya. Ia suka kepada apa yang Allah suka, ia tidak ingin kepada apa yang Allah benci. Ia taat kepada Allah dengan sesungguh hati bukan auta. Selain terbebasnya ia daripada kebergantungan kepada materi duniawi dan tidak menentang hukum dan peraturan Allah, ia bebas daripada permusuhan terhadap sesama manusia karena merebut harta dunia. Hatinya  tawakkal, redha dan aman daripada runtunan rasa gelisah mahu memiliki keseronokan yang palsu. Ia tidak memusuhi manusia kecuali untuk membela hak Tuhannya. Permusuhannya karena berhukum dengan undang-undang dan peraturan Allah. 


KEKAYAAN Rabbani adalah: rasa hati yang tinggi yang memerlukan Allah mengatasi keperluan kepada  yang lain. Rasa kefakiran kita terhadap Allah begitu padu membuahkan kekayaan sejati. Rasa sebegini hanya akan terbit dengan berasaskan 2 ilmu: pengetahuannya tentang Tuhannya & pengetahuan tentang dirinya. Jika tingkat pengetahuan kita tentang Tuhan sebagai memiliki kekayaan yang mutlak, maka kita berasa insaf bahawa diri kita memiliki kefakiran mutlak. Barangsiapa menyedari bahawa Penciptanya mempunyai kekuasaan sepenuhnya, nescaya ia menginsafi dirinya memiliki kelemahan sepenuhnya. Begitulah seandainya kita mengetahui Tuhan memiliki kemuliaan mutlak, sudah tentu pula kita menerima bahawa diri kita mewarisi kehinaan yang mutlak. Kesedaran dan keyakinan sebegini mencetuskan rasa paling kaya, bahagia dan paling mulia di dunia dan akhirat.


MERANCANG untuk menemui Allah dengan kemuliaan dan mendapat keredhaanNya memerlukan kesedaran luarbiasa untuk meningkatkan amal Islami secepat mungkin, memandangkan usia semakin singkat setiap saat berlalu. Kepedulian kepada segala amalan sunnah terus ditingkatkan sehingga menjadi mendarah daging mencetuskan rasa rindu yang tak pernah malap untuk bersua dengan Allah SWT. Akhlaq kita dengan Allah, Rasulullah SAW, Quran, manusia, alam sekitar, haiwan dan serba serbi lainnya perlu berjalan dengan baik berlandaskan ajaran agama. 


JANGAN lupa berfikir, merancang, melaksanakan sungguh-sungguh dan bermuhasabah untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan kedua. Sentiasalah memohon kekuatan dan keampunan Allah SWT di atas kelemahan dan kelalaian kita sebagai hamba yang penuh kehinaan. 


Wallahu'alam
4 Januari 2011


KARAT-KARAT JAHILIYAH



Karat dalam terma sains adalah selaput perang kemerahan yang terbentuk pada besi oleh tindakan udara dan air. Kalau dibiarkan lama, besi akan dimakan karat menyebabkan ia rosak dan punahlah sifat kebesiannya. Sebab itulah orang mengatakan hina besi karena karatnya, hina manusia karena hartanya. Maka hina seorang Muslim karena karat jahiliyah yang masih melekat padanya!


Soalannya: bagaimanakah generasi para sahabat bisa muncul sebagai generasi terbaik dan unik dalam sepanjang sejarah Islam dan kemanusiaan? Sedangkan sewaktu mereka baru mengenali Islam, unsur jahiliyah masih tebal dan pekat hitam menyelubungi masyarakat Quraisy. Apakah kaedah yang mereka pakai untuk menanggalkan karat-karat jahiliyah sehingga jasad dan ruh mereka bebas daripada belitan dan kongkongan rawasib jahili yang memenjarakan diri mereka – lantas menjadi peribadi Muslim yang taat dan patuh kepada Allah tanpa sebarang rasa ragu dan syak. Selepas itu tidak pernah lagi terulang munculnya sebuah generasi yang hebat memiliki karekteristik dan keunikan yang serupa. Justeru apakah penyebab dan rahasia keberhasilan mereka?


Jika diamati dan dikaji, para sahabat Rasulullah SAW mengambil al Quran sebagai asas pedoman dan perjuangan dalam kehidupan mereka. Al Quran itulah yang sedang berada di tangan kita sekarang. Demikian pula hadith Nabawi, mereka menjadikannya sebagai manual kerja yang mengoperasikan seluruh aspek kehidupan Islami. Kedua-dua al Quran dan hadith masih ada dan tersimpan rapi tanpa adulterasi. Ia mudah dicapai dan difahami melalui teks secara asli ataupun maya. Dan bahan-bahan inilah yang akan dibaca oleh generasi sesudah kita sehinggalah ke akhir waktu. Yang tidak bersama kita hanyalah jasad Rasulullah SAW – apakah ini sebab dan puncanya kenapa kita generasi sekarang tidak Rabbani, tidak Qurani dan tidak cemerlang seperti generasi awal? Sudah tentu jawabannya tidak. Seandainya keberadaan Rasulullah SAW menjadi rahasianya, nescaya Allah tidak akan menjadikan dakwah Islam sebagai kaffatan linnas wa rahmatan lil ‘alamin.


Asy Syahid Syed Qutb dalam analisisnya lewat buku Ma’alim fi al- Tariq, mencermati profil masyarakat para sahabat lalu mengupas pengamatannya terhadap persoalan di atas dengan mengemukakan 3 faktor utama yang menjadi ciri khas generasi al Quran yang pertama itu seperti berikut :-


Pertama :  al Quran sebagai sumber utama
Persepsi generasi sahabat terhadap al Quran adalah sebagai satu-satunya sumber dan landasan kehidupan. Dan hadith merupakan tafsir operasional daripada sumber utama itu. Sebab itulah apabila Sayidatina ‘Aisyah r.a. ditanya tentang akhlaq@peribadi Rasulullah SAW, beliau menjelaskan bahawa,”Budipekerti baginda adalah al Quran”. Justeru Rasulullah SAW adalah the walking al Quran becoz he walked the talk. Ia melaksanakan seluruh isi al Quran dalam totaliti kehidupannya tanpa sebarang ilat. Ketika sahabat mulai giat menegakkan Islam, peradaban besar semasa itu adalah Romawi, Cina, India dan Parsi. Sudah tentu ada hambatan budaya yang ketara pada waktu itu terhadap generasi sahabat. Namun Rasulullah SAW berjaya mencetak generasi yang spesifik – di mana hati, aqal, wawasan, ideologi dan orientasinya kebal dan terpelihara daripada tembusan pengaruh luar yang asing daripada manhaj al Quran. Mereka tidak terbaur dengan sistem jahiliyah yang kotor penuh cemaran dalam memahami sumber utama. Tradisi dan budaya asing daripada peradaban besar pada waktu itu berjaya ditambat terkekang dan tidak dibenarkan melacuri penafsiran ayat-ayat al Quran sehingga mengkabuti pemikiran generasi berikut dalam memahami mesej asli al Quran.


Kedua :  Metode penerimaan al Quran
Generasi awal semasa membaca al Quran tidak bermaksud untuk menyelongkar rahasia alam atau explorasi sains atau bagi tujuan memperkaya bahan ilmiah dan latihan intelektual. Akan tetapi mereka menerima al Quran tamsil menerima perintah daripada Allah untuk diterapkan secara langsung dalam kehidupan peribadi dan masyarakat. Respons mereka terhadap arahan Allah adalah spontan – bukan menggeliat mencari alasan untuk bertangguhan. Justeru kaedah penerimaan yang aplikatif itu, mereka mampu mempraktikkan kerja, meringankan beban tugas yang dipikul dalam melaksanakan urusan duniawi yang nyata dengan penuh dinamisme.  Ternyata mereka mempersepsi al Quran bukan sebagai bahan bacaan biasa  yang diambil daripada pustaka untuk dibaca sebagai penglipur lara atau sayembara. Al Quran bagi mereka adalah sistem hidup atau minhajul hayah. Jadi penurunan al Quran secara bertahap itu telah merongkai keserabutan nilai hidup masyarakat jahiliyah, membuka jendela baru ke arah ufuk kehidupan yang indah penuh kemanusiaan. Tarbiyah yang diperolehi terus daripada Allah melalui al Quran dengan bantuan hadith Nabawi telah memperbaiki mind set dan paradigme hidup. Setiap kesalahan ditegur dan diperbetulkan sesuai fitrah jiwa manusia. Dengan demikian mereka amat terasa keterikatan jiwa dengan Allah sebagai Pencipta – satu perasaan keintiman perhubungan al Khaliq dengan makhluq.


Ketiga :  Peminggiran daripada persepsi lama@tradisi
Pengikraran syahadah oleh seseorang sebagai Muslim berarti ia telah meninggal dan menghapuskan segala tradisi dan karat jahiliyahnya. Ia memulai hidup baru yang terputus dan terkerat jalur masa lampaunya yang jahiliyah secara mutlak. Ia melihat jahiliyah sebagai noda dan dosa, benci melihat kemungkaran, terasa amat kotor dan cemar yang hanya bisa terhapus dengan menerima Islam secara syamil dan kamil. Inilah yang digelar anjakan saujana paradigme.  Atas sikap inilah mereka menyerah diri kepada Islam, kepada Allah dan Rasul tanpa syarat. Maka tazkiyah jasadiyah dan ruhiyah pun berlakulah tanpa rasa asing, pelik dan terbeban. Isolasi perasaan yang mutlak ini menjadikan diri para sahabat generasi awal al Quran berupaya untuk wujud bersama [co-exist] dengan masyarakat jahiliyah dalam konteks hubungan dagang dan kehidupan harian, namun mereka tidak menyatukan jasad, perasaan, kecenderungan, pemikiran serta apa saja dengan nilai jahiliyah yang telah dikapan dan dikebumikan. Perubahan total ini semuanya berpunca daripada tawhid yang jelas yang berupaya menanggalkan berhala yang berada dalam diri dan di luar diri.


Ketiga-tiga ciri yang tertera di atas inilah yang tidak dimiliki oleh generasi berikutnya. Untuk mengembalikan kehebatan sebagai ummah terbaik, kita perlu mengembalikan semangat berQuran. Relong hati kita mesti dibuka seluas mungkin untuk membiarkan seluruh intipati Quran bersemayam dan membentuk jiwa yang salimah. Pemberdayaan ruhiyah ini perlu berlaku secara intensif dan pantas agar al Quran bisa berinteraksi lebih kuat dan mendalam dalam diri kita. Dengan demikian barulah kita dapat menanggalkan dan meninggalkan segala karat jahiliyah : kebodohan, kejelekan dan akhlaq orang-orang musyrik tradisi dan moden. Karat yang berharga hanyalah karat timbangan emas, selain daripada itu tiada nilai. Bagaimana pula dengan karat jahiliyah? Bukan sekadar tiada nilai di sisi Allah, malah ia menyebabkan laluan ke syurga menghadapi kesukaran yang amat. Ada peluang untuk mendapat kemurkaanNya dan siksaan yang pedih lagi azab yang tak kunjung sudah. 

Wallahu’alam,
4 Disember 2010




DALAM DIRI KITA MASIH ADA BERHALA




MaNuSiA  dengan segala potensi, kebolehan  dan kemampuan yang dianugerahi Allah berupaya melakukan tindakan sama ada bersifat positif @ negatif, maaruf @ mungkar semuanya adalah bertitik tolak di atas tahap kesedaran beragama masing-masing. Peringkat kesedaran beragama adalah tergantung kuat kepada sejauhmana  seseorang itu meletakkan dirinya dalam milieu tarbiyah untuk mencungkil kecenderungan semulajadi beragama seperti terungkap dalam Surah Al ‘Araf: 172 “Bukankah Aku ini Tuhanmu? Mereka menjawab betul dan kami mempersaksikan”.  Akan tetapi malang bagi manusia yang malas berfikir, malas berdiskusi subjek yang berat terutamanya mengenai hakikat kehidupan dan perancangan hidup selepas mati, melihat dunia ini adalah segala-galanya. Maka setiap detik kesempatan dilibas dan ditelan macam buaya yang tak berlidah. Semua benda dirasai enak walaupun maksiat yang busuk bak bangkai, lantaran tekak dan perut serta di bawah perut tak mengenal halal haram.

Inilah yang digelar  kejahilan totok terhadap Allah SWT – manusia jenis ini merasai ia tercipta tanpa pencipta, keupayaan dan kekuatannya adalah kepunyaannya mutlak, tiada campurtangan mana-mana kuasa, sama ada dalam alam atau di luar alam. Lalu keberhasilan kerja yang dilakukan tiada lain daripada dirinya sendiri  yang menentukan kejayaannya.  Ia melupakan dan menidakkan bahawa Allah lah yang telah membantunya melakukan hal itu. 

Maknanya bahawa kejahilan terhadap Allah merupakan salah satu faktor penting yang menjerluskan seseorang kepada mempercayai diri sendiri adalah berkuasa/berwibawa/berpengaruh dalam menetapkan terjadi@berlakunya sesuatu. Dalam hal ini Allah tidak mempunyai tempat dan peranan dalam menentukan @ mengizinkan terjadinya keberuntungan, keberhasilan dan memberi taufiq. Manusia seperti ini selalunya akan merasa kagum terhadap sesuatu yang ia tidak memiliki peran terhadap keberadaannya.

Sesungguhnya solat yang kita tunaikan, puasa yang kita jalani, zikir yang kita amalkan, doa yang kita lantunkan, infaq dan sedaqah yang kita keluarkan serta amalan soleh lain yang kita lakukan, terjadi karena anugerah dan izin serta pertolongan Allah SWT. Allah adalah sumber segala kebaikan yang kita lakukan. Dialah yang memberikan kita seluruh faktor bagi menjadi@ merealisasikan sesuatu perkara dari detik ke detik. Jika Allah  mahu,  Ia berkuasa menghalang sesuatu itu daripada berlaku. Begitulah jua dengan kejahatan, ia terjadi di atas proses @ sunnatullah yang sama, namun bezanya kejahatan itu adalah pilihan manusia atas aqal yang Allah bekalkan, bukan anjuran Allah, dan manusia mesti bertanggungjawab atas perlakuannya.

Penafian manusia atas maksud dan kenyataan di atas adalah satu bukti kukuh dan jitu bahawa berhala masih tersimpan kukuh dalam dalam diri manusia dan menjadi sembahan dan punca syirik yang merendahkan martabatnya sebagai hamba yang sepatutnya patuh dan taat.

Wallahu’alam
21 November 2010

MATINYA PAUL SISOTONG KURITA

Sotong kurita adalah sejenis haiwan laut. Statusnya sama saja dengan makhluk Allah yang lain = tak berkuasa, tak berilmu, tak mengetahui perkara-perkara ghaib, melainkan Allah swt. Sotong ini diberitakan mati dua malam sudah selepas hidup selama 2 tahun. Ia pergi meninggalkan peminat bolasepak liga dunia yang taksub bodoh, kononnya Si Paul ini hebat menujumi dengan tepat pasukan yang akan menang dalam perlawanan bolasepak. Bayangkan otak siapa lebih besar dan bergeliga - manusiakah atau sotong? 

Sesuatu perkara yang bathil, apabila dipercayai, diyakini & dipujai, ia akan menjadi seolah-olah benar melalui medium syaitan, dengan izin Allah swt. Justeru mereka yang akalnya lebih kecil daripada akal sotong, imannya lebih lembik daripada badan sotong memang mudah mempercayai nujuman si Paul ini walaupun ketepatan itu berlaku atas dasar kebetulan, peranan syaitan mengambil kesempatan untuk menyesatkan anak Adam dan di luar rasional manusiawi yang waras dan berilmu. Dalam Surah Jinn:8-9 Allah telah menyatakan dengan jelas bahawa  rahasia langit yang suatu masa dulu pernah didengari oleh golongan jinn, kini ditutup dan dikawal oleh para malaikat daripada diketahui oleh mereka dengan panahan api. Dengan yang demikian, soal tepat atau silap nujuman @ ramalan si Paul tidak ada kena mengena dengan keupayaan dan kemampuannya untuk mengorek rahasia langit  atau perihal ghaibiyah. Manusia yang bertanggungjawab meletakkan si Paul untuk menjadi nujum adalah syirik alias fasiq.


Terdapat usaha untuk menggantikan tempat Paul dengan haiwan lain pula untuk menjadi nujum Pak Belalang. Maka semakin ramailah pula manusia akan terikut untuk mempercayai sang haiwan lebih mengetahui perkara ghaib daripada manusia. Zaman dulu kala ramai manusia fanatik kepada nujum - hendak buat apa jua perkerjaan mesti rujuk nujum untuk keselamatan dan kesejahteraan. Manusia modenpun tak ubah seperti tunggul kayu, nama saja hebat dari segi pelajaran atau akademik, tetapi iman lebih lembik daripada sotong kurita.  Inilah bahana manusia tak kenal diri dan tak kenal Tuhan. Tak boleh nampak pelik sikit sesuatu benda@perkara, langsung  percaya habis. Inilah yang dikatakan percaya gila [bahasa slanga]. Iman manusia zaman mutakhir ini rapuh rangup macam muruku dan rempeyek. Kalau hilang rapuh @ rangup dia jadi lemau kerana masuk angin. Kejadian rapuh dan lemau ini, tak lain tak bukan lantaran berpelajaran tapi tak berilmu. Pandai tapi tak cerdik, bijak tapi tidak bijaksana, bergeliga tapi tidak tajam,  berpengalaman tetapi tidak berhikmah. Semua ini berlaku gara-gara tiada tarbiyah dalam kehidupan.


Generasi manusia jenis tersebut di atas ini, bila-bila dan sampai bilapun asyik kena tipu oleh syaitan. Ibubapa kena didik sungguh-sungguh anak-anak masing-masing agar jangan sampai mudah terkehel iman dengan perkara atau  kejadian yang bersifat alamiyah. La ilaha illallah adalah Tuhan Dunia dan Akhirat. Sotong dan sekalian makhluk lain adalah bersifat baharu dan penuh kecacatan dan kelemahan. Bagaimana bisa seekor Paul menjadi all knowing and all embracing merentasi alam malakut, sedangkan ia duduk dalam aquarium bukan seperti jinn yang bisa terbang cari info ke sana sini. Janganlah karena menonton bolasepak iman tercabut lantaran buat maksiat judi dan percaya pada ahli nujum sisotong kurita atau sesiapa saja.


Fikir-fikirkanlah...

Wassalam,

6 November 2010