Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

KECIL-KECIL JADI ANAK , BESAR-BESAR JADI ONAK

Ramai pasangan yang telah berkahwin sangat mengingini anak untuk menambatkan kasih sayang antara suami-isteri. Ia juga bertujuan bagi menghunjamkan ground anchor sedalam mungkin agar merawat cinta kasih terus bersemi, menyemarakkan taman wangi dengan kehadiran  anak-anak kecil, menyegarkan baitul Muslim.Sewaktu masih kecil, anak adalah laksana permata hati, dibelai manja, dijagai sepenuh hati karena khuatir kesihatan dan keselamatannya terganggu. Siibu dan ayah memberi apa saja yang diminta dan dikehendaki anak karena kasih sayang yang tidak terperi. Sambil menanti ia membesar di depan mata setiap hari. Hati siibu dan ayah tetap riang dan girang walaupun terpaksa mengharungi duka nestapa mencari rezki.

Siibu dan ayah sering memikirkan tadika dan sekolah manakah yang mesti dihantar untuk mendapat bimbingan dan didikan apabila sianak telah cukup umur nanti. Kalau boleh mahu dikirimkan ke tadika  dan sekolah yang ada tarbiyah Islam supaya anak-anak terdidik  dengan nilai-nilai kebaikan dan kebenaran sejak dari umur muda. Perkara ini sangat penting karena menyedari uruf di luar begitu rosak dan keliru dengan makna dan halatuju hidup. Acuan kehidupan Islami di luar lingkungan rumah telah menjadi kelabu asap - susah bagi sianak hendak mengenali Islam secara nyata dan jelas. Arus budaya busuk kampung dan kota sama saja menyongsong  dan mengheret semua anggota masyarakat kepada nilai materi dan hedonisme. Keruntuhan demi keruntuhan berlaku dalam nilai tradisi kehidupan Islami dicemari oleh gejala dan gelagat fasad yang berlaku atas nama kemodenan dan kebebasan berexpresi.


Kepungan tarbiyah Islami yang disediakan sewaktu sianak masih kecil mentah sehingga ke peringkat menengah tidak tertahan membendung asakan ganas banjir busuk yang deras melanda kampung dan kota. Ramai anak-anak terkapai-kapai dalam gelombang besar yang deras dengan keseronokan jasad - menghidu gam, merempit motorsikal, merendek di sana sini, memukul kawan sekolah dan guru, melepak macam anjing liar tak bertuan, melarikan diri dari rumah atas sebab yang tak menentu, berpesta seks rambang di taman bunga/dataran umum/bumbung bangunan, membuang bayi macam berak di jalanan, gangsterisme  dan membunuh. Kemuncak kepada gelagat gila dan kebengkokan peribadi, diakhiri dengan bunuh diri ala muda mudi Barat dan Jepang yang kini kian meningkat - petanda dan mercu kemodenan  zaman kegemilangan materi melampau. 


Anak-anak kecil /remaja/dewasa sering dilaporkan hilang dari rumah oleh media. Ada yang hilang karena diculik penjahat @ disambar pedagang daging mentah @ lari kahwin ikut Mat Bangla/Indon/Myanmar @ ponteng sekolah dengan berpoyaan di pusat peranginan dan macam-macam lagi jenis 'pelarian'. Tambatan hati pada rumah sendiri dan keterikatan hubungan dengan keluarga menjadi semakin hambar. Anak-anak semasa kecil suka ikut ke mana  saja siibu dan ayah pergi, hatta hendak masuk jambanpun mereka hendak ikut juga kalau dibiarkan.  Jika diajak bertandang melawat rumah  emak saudara  dan sepupu sepapat  untuk menghadiri kenduri kahwin @  sakit demam dan kematian,  sangatlah liat  hendak  setuju pergi.  Lama kelamaan kalau dibiarkan mereka tak  akan kenal adik  beradik dan keluarga  besar lantaran tidak  gemar bersosialisasi@bermayarakat dengan keluarga sendiri.  Kekadang naik rimas juga dibuatnya terutamanya semasa kepala tengah bengang lantaran stressss tugas yang berat. Namun mereka dalam apa jua keadaan,  sangat menghiburkan siibu @ bapa buat menghilangkan  linu-linu di kepala. Kasih sayang tetap terpahat dan mekar sepanjang zaman karena sentiasa bertanggungjawab membesarkan, mendidik dan mengharapkan suatu hari nanti mereka akan menjadi individu yang kenal Tuhan dan taat kepada tuntutan agama, mengasihi ibu bapa, berilmu dan menjadi pendokong risalah kebenaran dan sanggup menggalang jasad dan nyawa mempertahankan Islam daripada serangan musuh baik nyata atau tersembunyi. 


Ternyata apabila mereka sudah besar, impian tidak selalunya menjadi kenyataan. Realiti memaparkan kisah-kisah sedih dan pilu. Sianak lebih gemar dan suka pergi ke rumah  kawan, bermain sampai lewat senja hingga tak sempat solat jemaah di masjid/surau bersama. Pulang saja ke rumah terus mandi-mandi dan solat ekspress terus beruzlah dalam bilik  ala Hokikomori. Kalau sudah dapat tangkap tetikus, dia terus  masuk ke alam fantasi  berbicara dengan komputer tanpa menyedari  keluarga kehilangan ahli. Mereka lebih gemar berbicara slanga kutu dan bahasa sms yang kematu sehingga kehilangan kepandaian berbahasa apatah lagi berbudi. Nasihat kawan rakan didengari dan diambil berat diikuti, sedangkan pandangan dan tunjuk ajar ibubapa tak dipeduli. Inilah jenis anak muda keluaran dunia moden penuh kegilaan materi dan budaya sensate. 


Tarbiyah dan program yang menganjur kepada pembinaan ruh dan minda segar dan celik agama tak mendapat sambutan. Kedinginan hati anak muda terhadap tarbiyah merupakan gejala yang menjahanamkan mereka sendiri karena lambat atau tidak berlakunya perubahan paradigme yang sangat diperlukan untuk melayari kehidupan dengan betul dan selamat sampai ke pantai akhirat. Justeru, macam mana payah dan sulit sekali menggalas masuliyah membesarkan anak-anak, walaupun patah kandar menerjang simpang siur masalah kehidupan, janganlah dibiarkan terlepas pegangan dan ikatan iman dan kasih sayang sehingga membiarkan mereka terlepas ke daerah musuh - menjadi musuh Allah swt.  Cabaran membesarkan dan mentarbiyah anak-anak kini, bagaikan terjebak dalam onak dan duri, berpusing luka, menggelupur apatah lagi. Semoga Allah mengasihani dan merahmati para ibubapa yang kental dan gagah menghadapi ujian setiap tika dan terus  memainkan peranan  murabbi untuk mengajak anak-anak mentaati Allah, tidak terkalahkan oleh  serangan  musuh  yang sentiasa akan menyambar peluang. Percaya dan yakinlah, hari-hari yang mendatang adalah hari-hari untuk Islam - agama Allah ini akan berdiri tegak kukuh semula untuk memberi kerahmatan kepada seluruh alam. Justeru semua orang Islam perlu laksanakan tanggungjawab mengurus setiap Baitul Muslim dengan baik dan bersikap cemburu terhadap sebarang rupa maksiat dan keburukan yang berlaku dalam masyarakat yang mungkin menyerkap anak-anak kesayangannya. Tidak ada jalan lain melainkan tarbiyah yang berterusan sehingga ke akhir hayat bagi mempertahankan  kekuatan jiwa dan akhlak dalam kalangan anak-anak, orang dewasa dan tua abad ini. Inilah satu-satunya jalan yang Rasulullah saw  tunjuk kepada ummatnya untuk diikuti dan membudayakannya dalam kehidupan baitul Muslim.


Wallahu'alam
1 November 2010

KEUPAYAAN ILMU & MEMIMPIN

Rakan saya minta saya menulis mengenai aspek sumber manusia, khususnya tentang isu ilmu dan kepimpinan. Isu ini pada saya adalah afdhal karena ia perlu difahami semua orang sebab setiap insan akan terlibat dalam aras kepimpinan tertentu, sesuai posisi dan tanggungjawab yang digalas.

Kalau setiap orang sudah tiba diri masing-masing pada makna diri, makna kewujudan & makna hidup, sudah tentu tersuluh pandangan hidupnya ke arah akhirat dan berebut untuk mendapat mardhotillah. Selain itu  mereka berpada-pada dengan hiasan duniawi serta mengambil manfaat yang sekadar cukup untuk keselesaan kehidupan.

Seorang pemimpin mesti berada di hadapan pengikutnya.  Untuk berada di hadapan pengikutnya ia mesti  memiliki perkara berikut secara bertahap melalui pembangunan diri:-
  • maklumat
  • pengetahuan
  • ilmu
  • hikmah
  • suluh kehidupan.
 Perihal di atas merangkumi ilmu dan kemahiran rumahtangga, masyarakat, organisasi dan negara. Karena untuk mentadbir dan mengurus keempat elemen tersebut memerlukan pendekatan dan gaya yang berbeza, walaupun ada beberapa persamaan. Pemimpin adalah sekaligus seorang mu'alim, murabbi dan muaddib = mampu mentarbiyah ahli keluarga @ staf organisasi @ rakyat jelata mengikut posisi di mana sahaja seseorang itu berada.
Muaz ibn Jabal berkata, "Belajarlah ilmu, karena mempelajarinya karena Allah itu punca kamu takut; menuntutnya satu ibadat; membincangkannya merupakan tasbih; mengkajinya adalah satu jihad; mengajarnya kepada yang jahil adalah sedaqah; menyumbangkannya kepada keluarga dan mereka yang memerlukannya adalah dampingan kepada Allah."
Wallahu'alam
15 Oktober 2010 

KRISIS MAKNA DIRI

ALANGKAH letihnya perjalanan hidup ini jika musafiran kita terpaksa melalui jalanan yang bengkang bengkok, penuh kepayahan dan tidak kelihatan hujungnya. Jika terjadi perjalanan sebegini dalam hidup, berarti seseorang itu sedang bingung atau sedang berkrisis dengan diri sendiri. 

DALAM syarah Ibnu Mas'ud mengenai hadith keempat dalam Hadith Arbain karangan Imam Nawawi, beliau menjelaskan tatkala benih lelaki dan perempuan hendak disenyawakan, si malaikat yang bertugas telah mengambil kedua-dua benih tersebut dan diletak di atas tapak tangannya lalu bertanya 4 soalan kepada Allah:- 
  • apakah mahu dijadikan manusia daripada benih  ini atau sebaliknya? Jika jawabanNya ya... maka diajukan soalan kedua,
  • berapakah umur sipolan ini [span of life]?
  • berapa banyakkah rezeki sipolan ini [bajet RM@USD] sepanjang hidupnya?
  • apakah sipolan ini bahagia atau celaka pada kesudahan hidupnya [kehidupan akhiratnya]? 
Hadith tersebut menjelaskan asal usul manusia - bagaimana ia terjadi dan dari unsur apa. Jawaban tentang hakikat kejadian insan telah terjawab oleh hadith Nabawi sejak 1430 tahun yang lalu, sedang manusia berada dalam kegelapan ilmu, apatah lagi dalam bidang perubatan/sains/teknologi. Tidak perlu lagi bertiori tentang bagaimana manusia terwujud  -  apakah bermula daripada primat monyet@kera dan seterusnya  berubah [evolusi] menjadi manusia seperti sangkaan Darwin. Justeru manusia Muslim sudah mengenali dirinya, penciptanya, mengetahui jangka hayat hidupnya yang dibatasi waktu, bajet rezkinya telah dijamin takarannya dan Allah sudah mengetahui pelayaran hidupnya bermanfaat untuk dirinya/bahagia atau derita apabila kembali ke pangkuan Ilahi. 
Az ZAARIAT:59 seterusnya menjelaskan core business manusiawi dalam kehidupan di dunia ini, supaya manusia tidak keliru dan tercari-cari makna kehidupan. Lalu ia bisa meletakkan hidupnya di atas landasan yang betul sejak dari awal mula iaitu berubudiyyah kepada Allah swt. Walau bagaimanapun, selain daripada manusia yang bukan Islam, manusia yang Islam  pun mengalami masalah yang serupa yakni tidak kenal asal usul diri dan tujuan kehidupan pada zaman serba membangun ini. Sebabnya jahil karena tak belajar, tak mahu ambil peduli mendalami ilmu karena rasa cukup dengan ilmu Islam tahap asas - tiada pembinaan fikrah Islam yang tuntas. Justeru, jasad bertumbuh dengan sendo dan sasa, cantik dan segar bagai kelopak bunga dirembes embun pagi. Namun kefahaman dan pemikiran Islam umpama pokok yang tinggi melayut, tapi berakar pendek sejengkal dan mudah tergoyang oleh angin malam yang memuput manja. 
Manusia rata-rata di Timur atau Barat mengalami 3 jenis krisis :-
  • krisis makna diri - identity crisis
  • krisis makna kewujudan - crisis of existence
  • krisis makna kehidupan - crisis of the meaning of life.
Manusia Muslim sudah ada jawaban daripada Sang Pencipta yang memberitahu sendiri menerusi Al Quran tentang persoalan krisis-krisis di atas. Walaupun kita melayari bahtera kehidupan yang kadang kala berdepan dengan cabaran, tribulasi, kesusahan dan segala rencam titik bengek masalah yang melelahkan, tetapi layar dan kemudi tetap unggul dan bertahan menempuh gelora ombak kehidupan. Kita nampak pantai akhirat dengan jelas untuk ditujui karena Nabi saw telah memberitahu dengan terang bahawa di sanalah kampung abadi tempat kita akan bersemayam, terlepas daripada kekalutan dan kejahatan dunia serta isinya - tempat rehat yang terbaik setelah gagah mempertahankan iman dengan melaksanakan amal soleh serta bermujahadah di jalan Allah sampai ke penghujung hayat mengibarkan panji-panji Islam. 

Bahtera yang dapat menyelamatkan manusia untuk menuju ke pantai akhirat hanyalah ISLAM. Kebenaran Islam bukan berdasarkan undian majoriti. Walaupun minoriti yang berpegang kepadanya ia tetap benar dan relevan sepanjang zaman. Kebenarannya adalah karena ia adalah kurniaan Allah kepada manusia untuk salvation duniawi dan ukhrawi. Jangan tunggu orang berbondong-bondong berpaut dan merangkul Islam sebagai deenul hayah baru kita hendak ambil Islam secara totok dan tuntas. Lakukan sekarang atau terlepas langsung peluang menjadi hamba Allah yang bersyukur dan mendapat mardhotillah. Seandainya peluang ini diambil sepenuh hati, inilah tanda berlakunya ketibaan diri pada makna = iaitu makna diri; makna kewujudan dan makna kehidupan.

Wassalam
13 Oktober 2010

JENIS-JENIS MANUSIA YANG TERHASIL DARIPADA MAJLIS ILMU@DAKWAH

Para pengunjung dan peminat majlis ilmu masing-masing sering mengalami suasana yang berbeza setamat sesuatu sesi majlis. Perkara ini tergantung kepada niat seseorang dan hidayah Allah swt. 

Terdapat 3 kelompok manusia selesai sesuatu sesi:-
  • mereka yang kembali menurut hawa nafsu  dan tidak terpengaruh sedikitpun dengan apa yang didengari dalam majlis ilmu@dakwah. Tidak ada peningkatan kebaikan dan tidak pula segan silu melakukan berbagai kemaksiatan. Mereka adalah seburuk-buruk manusia. Segala ilmu dan penjelasan yang didengari akan menjadi hujah @ bahan bukti untuk dibicarakan di hadapan Allah untuk menghukum mereka tanpa mereka dapat mempertahankan diri lagi. Mereka adalah orang-orang yang menganiaya diri sendiri, karena tidak menggunakan hati,pendengaran dan penglihatan yang diberikan oleh Allah swt.
  • mereka yang mampu mengambil pelajaran dari apa yang didengar sehingga terdorong untuk menjauhkan diri dari perkara yang diharamkan dan melaksanakan apa-apa yang diwajibkan. Mereka adalah  kelompok al muqtashiduun dari golongan kanan.
  • mereka  yang mampu mengambil pengajaran dari apa yang  disampaikan sehingga mendorong untuk menjauhkan diri dari hal-hal yang makruh selain perkara yang diharamkan serta melaksanakan perkara yang sunnah di samping yang wajib. Mereka  adalah kelompok as-saabiquunal muqarrabuun.   
Orang-orang yang pulang ke rumah dengan membawa bekalan ruh dan terus berusaha menjaga suasana majlis ilmu di tengah-tengah kehidupan rumah tangga dan aktiviti keduniaan pun terbahagi kepada beberapa kelompok :-

  • mereka yang kembali kepada kesibukan dunia yang halal sehingga hati mereka terlena dan kehilangan suasana yang dipenuhi dengan rasa keagungan Allah, janji dan ancamanNya, serta pahala dan siksaNya. Lantaran makrifah mereka yang sempurna dan rasa takut yang hebat, mereka khuatir kealpaan itu sebagai tanda kemunafikan. Lalu mereka merujuk dan mencari penjelasan dan panduan daripada para ulama.
  • mereka yang mampu mewujudkan suasana majlis ilmu dalam kehidupan seharian dan hati mereka tetap merasai semacam masih duduk dalam majlis zikrullah. Hati mereka sibuk dengan zikir sehingga lupa kepentingan duniawi, memutus hubungan dengan masyarakat dan merasa  tidak tahan untuk berbaur dan memenuhi hak-hak mereka.
  • mereka yang berupaya menghadirkan keagungan dan kebesaran Allah,janji, ancaman,pahala dan siksaNya dengan hati dan jiwa. Mereka melibatkan diri dalam semua bidang keduniaan dengan jasad mereka iaitu mencari rezki halal, melayani keluarga, berkomunikasi dengan masyarakat yg menjana manfaat duniawi dan akhirat ie. mengajar ilmu, j-i-h-a-d, amar makruf dan mencegah mungkar. Mereka inilah kelompok terbaik, pewaris Nabi. Sayidina Ali ra. berkata: "mereka menemani dunia dengan badan, sedangkan ruh mereka tergantung di langit yang tertinggi."
Justeru kita kena nilai diri kita betul-betul. Walaupun sentiasa sibuk keluar masuk majlis ilmu@pengajian, jangan sampai  masuk angin keluar asap - habuk pun tak dapat. Ilmu semacam tertumpah atas daun keladi, tak berbekas dan tak membawa apa-apa perubahan positif kepada pembangunan minda, fikrah, akhlak dan watak diri sebagai seorang Muslim mengikut acuan Qurani.


Wallahualam.

29 September 2010

KENAPA HARUS BERADA DALAM MAJLIS ILMU@DAKWAH?

Abu Hurairah ra. berkata, "Ya Rasulullah, mengapa ketika kami di sisimu, hati kami menjadi lembut, kami bersikap zuhud terhadap dunia dan kami menjadi ahli akhirat. Namun setelah keluar dari sisimu, bergaul dengan keluarga kami dan mencium anak-anak kami, kami [berubah sehingga kami] mengingkari diri kami sendiri?" Rasulullah saw menjawab, "Seandainya setelah kamu keluar dari sisiku lalu keadaan kamu tetap seperti di sisiku, nescaya malaikat akan mengunjungimu di rumah-rumah kamu. Seandainya kamu tidak berbuat dosa, nescaya Allah akan mendatangkan generasi baru sehingga mereka berbuat dosa, lalu Ia akan memberikan ampunan kepada mereka" HR. Ahmad dan Tirmidzi.

Hadith ini menjelaskan bahawa suasana dan sekitaran majlis dakwah @ ilmu Nabi saw yang dihadiri para sahabatnya dipenuhi dengan kekhusyukan jiwa, ketundukan hati kepada keagungan Allah swt. Takut kepada siksaan dan murkaNya berserta pengharapan yang tinggi untuk mendapat redha dan syurgaNya  telah memenuhi relung hati mereka. Inilah suasana ruhiyah yang sepatutnya didambakan oleh setiap insan yang cenderung untuk meraih syurga Allah. Hanyasanya inilah atmosfera yang boleh mendidik dan menyejukkan dan melunakkan hati yang tidak dapat dinikmati apabila kita menjadi liar dan tidak mahu duduk dalam atmosfera tarbiyah. Tarbiyah itu mendidik, menyemai dan menganyam rasa hati yang tulus mengenali makna kewujudan, makna diri, akhir perjalanan hidup dan tempat kembali yang muktamad. Dengan bekalan daripada tarbiyah kita kembali kepada keluarga dan masyarakat untuk membina keluarga Islami dan berkongsi fikrah dengan masyarakat dan mengajak kepada makruf dan membenci @ mencegah mungkar. Laksana bateri kereta, apabila kita pakai, ia akan discharge tenaga yang kemudiannya perlu di recharge untuk digunakan seterusnya sehingga ia konk-out. 

Semua jiwa manusia perlu kepada iman. Dan iman perlu dijaga, dibelai, ditambah menerusi konsultasi dengan pendidik @ murabbi sepertimana para sahabat memerlukan keberadaan Nabi saw bagi membimbing dan mengisi  ketandusan jiwa hatta mengkoreksi kekurangan  dan kemunduran iman masing-masing.

Hati dan jiwa insan yang hadir dalam majlis ilmu @ dakwah dipenuhi dengan kelembutan dan kelunakan serta kekhusyukan lantaran intensiti @ kekuatan zikir yang berlaku semasa majlis berlangsung. Dalam majlis ilmu @ dakwahlah kita akan merasai :-


  • riqqatul qulub =  kesegaran/kenyamanan/kelembutan hati dan jiwa.

  • az-zuhdu fid dunya = rasa hati terongkai dari belitan dunia karena tahu bahayanya.  

  • ar-raghbah fil akhirah = hati dan jiwa dipenuhi dengan rasa kecintaan    kepada akhirat dan kerinduan syurga.
Ayuh! Marilah melawat taman-taman syurga di dunia yang bisa dijumpai di mana-mana saja di sekitar residensi kota, pinggiran bandar dan desa pingitan. Taman-taman syurga tidak terjumpa dalam majlis-majlis tari menari, dung-dude, karaoeke, kelab berdengung dan nama-nama lain yg setaraf dengannya. Tempat-tempat seperti itu tidak diiktiraf sebagai taman syurga dan Allah tidak menjanjikan ketenteraman karena Dia hanya menurunkan  dan melimpahkan rahmatNya kepada taman-taman ilmu dan dakwah dengan malaikat ditugaskan menaungi mereka yang hadir dan memasukkan mereka ke dalam kelab orang-orang yang dekat dengan Nya.

Wallahu'alam

24 September 2010

MARILAH HIDUP DENGAN NILAI-NILAI ISLAMI


Islam yang tuntas perlu dilaksanakan dalam kehidupan Muslim. Ia adalah satu tuntutan dan kewajiban terhadap Allah swt. Kalau diperhatikan sekeliling kehidupan kita dewasa ini, tampak sekali betapa banyak lompang-lompang  hidup yang tidak diisi oleh nilai Islami - petak-petak hidup diwarnai sesuka hati. Justeru menjadikan kita manusia Muslim kartu @ nominal sekadar tercatat dalam kartu pengenalan diri, tidak lebih daripada itu. 

Kenapa perlu amal Islami dalam kehidupan kita? Ia diperlukan  karena mahu menghidupkan dan mengharmoniskan nilai-nilai Islam dalam hayat kita sebagai bukti kita sebenarnya redha dengan Allah sebagai Rabb, Nabi Muhammad sebagai rasul@utusanNya dan Islam sebagai deen yang menguasai ke atas kehidupan kita. Kita menyedari bahawa uruf masa kini tidak mendidik manusia ke arah menjiwai Islam lantaran penghayatan Islam hanya berlaku secara sekular. Justeru Islam telah tidak diletakkan pada tempatnya yang tinggi sebagai pengatur kehidupan, ia hanya bersifat carikan dan cebisan kain buruk yang digunakan membalut luka masyarakat sekiranya sudah kehabisan ikhtiar yang lain. Umpama gambaran yang Allah sebutkan dalam Quran tentang sekumpulan manusia yang sedang berada dalam kapal yang dilambung badai taufan di laut. Mereka mohon keselamatan daripada Allah dan berjanji akan mentaatiNya seandai Allah menyelamatkan mereka. Akan tetapi apabila  mereka terselamat dengan izin Allah, mereka melupai janji mereka seolah-olah sebentar tadi tidak ada apa-apa yang berlaku ke atas diri mereka. Inilah sifat degil dan engkar  manusia, bila susah baru hendak berpaut kepada Allah, setelah terasa tidak terancam dan senang lenang - lupa terus kepada Zat yang mengeluarkan mereka daripada bahaya dan kesukaran, yang memberi mereka rezki yang banyak dan rahmat yang tidak terhitung.

ISLAM kini terasing@alien daripada penganutnya sendiri. Orang yg belum Islam apatah lagi pelik melihat gambaran Islam yg dipertontonkan dengan penampilan keliru oleh penganutnya yg mencampuradukkan  nilai indah Islam dengan nilai-nilai biadab dari Timur dan Barat. Inilah tanda-tanda aqidah ummah telah tidak berfungsi. Aqidah yg tidak berfungsi adalah aqidah yg sakit. Bila aqidah sakit, manusia tidak menerima Islam secara menyeluruh  kecuali  mengamalkannya secara tempelan mengikut apa yg disukai sahaja. Pendekata, orang-orang Islam benar-benar jahil terhadap agamanya sendiri.  Pada  mereka  Islam tampak jelek, sukar dan tidak menarik karena menghalang hawa nafsu berbuat onar. Islam yang disukai adalah Islam yang meliberalkan segala kehendak manusiawi.

Islam menjadi asing karena manusia lupa kepada peringatan Allah. Kesannya, Allah menjadikan permusuhan dan persengketaan antara sesama manusia - merebut harta dunia yang sedikit tetapi membiarkan kesenangan dan kenikmatan akhirat yg tak kunjung habis terlepas dengan percuma. Dunia telah menguasai hati dan kehidupan ummat Islam. Mereka makan dan minum persis binatang.


Al Quran didatangkan kepada manusia untuk mendidik - memberitahu manusia bahawa semua problema insan ditanggung beres dengan solusi dinyatakan dalam al Quran. Begitulah sikap generasi awal al Quran, mereka mengambil wahyu Allah sebagai sumber utama mendidik jiwa dan mengawasi kehidupan. Al Quran yang mereka pegang dan amalkan benar-benar berjaya membuang karat jahiliyah. Ia berjaya membentuk fikrah, akhlaq dan segala gerak kerja zahir dan batin berlandaskan nilai Islami. Al Quran bukan sekadar bacaan matannya untuk disayembarakan dengan alunan suara yang merdu dan lunak didengar, tetapi sebagai sebuah gagasan besar yang melahirkan aqidah yang sahih dan salimah yang mampu merobah paksi kehidupan manusiawi - merendah diri kepada Tuhan sarwa alam, tidak syirik dan tidak engkar. 


Jika kita mahu menjadi  manusia yang berjaya seperti generasi didikan Rasulullah saw, kita kena ikut proses pendidikan yang sama yang diltunjuki dan dilalui oleh Rasulullah saw dan para sahabat. Dengan proses ini barulah akan lahir pemuda-pemuda aqidah [rijaluddin] untuk membina semula Islam yang telah tersirna oleh penganut-penganutnya yang tersilau oleh kepalsuan duniawi.


Wahai pemuda dan semua angkatan umur, marilah kita muhasabah dan menilai diri masing-masing dalam 10 hari terakhir Ramadhan ini, sama ada kita telah menghayati Islam sepenuh hati dan tuntas dalam kehidupan:-

     a]  apakah kita hidup bersendirian atau hidup berjamaah@berkomuniti 
          untuk menjaga nilai Islami?
     b]  apakah kita menyempurnakan hubungan sesama manusia?
     c]  apakah kita mengimbangi kedua-dua hubungan kita dengan Allah & 
          manusia?
     d]  apakah hati kita benar-benar terikat dan menurut ajaran Islam dan 
          iman yang ada dalam diri kita dijelmakan dan bukan angan-angan?
     e]  apakah kita mengutamakan kepentingan Islam dalam kehidupan?
     f]   apakah kita berasa izzah@mulia dengan kebenaran Islam dan yakin 
         kepada Allah?


 Allahu Akbar walillahil hamd.. 

03 September 2010
   



 

RAMADHANKAN HIDUPMU

Apakah akan terjadi selepas habis Ramadhan? Jawabnya habislah puasa! Tepatpun jawaban itu tetapi jawaban itu tetap salah. Memanglah Ramadhan datang setahun sekali dan kita diwajibkan berpuasa seperti orang-orang terdahulu dalam era Nabi dan Rasul berlainan. Yang orang tak faham-faham adalah Ramadhan itu datang setahun sekali sebagai bulan tarbiyah @ latihan untuk memberi kesegaran kepada jiwa tentang bagaimana harus manusia beraksi di sepanjang hayat yang Allah pinjamkan. Ia menjana kesegaran dan kemantapan aqidah, ketundukan, ketaatan, kerendahan diri dan pengharapan manusia kepada keredhaan Allah swt. Kefahaman, semangat dan rasa hati seperti ini perlu berkesinambungan sampai akhir masa hayat masing-masing. Bukan sekadar menjadi Muslim yang baik, rajin beribadah, murah hati, cinta Quran, seronok menghadiri tazkirah, ralit berzikir dan sentiasa memohon ampun dan bertaubat atas setiap dosa yang terlanjur dilakukan hanya dalam musim Ramadhan!

MAKA Ramadhankanlah hidup kita di luar Ramadhan. Jangan beri sedikitpun ruang kepada syaitan dan agen-agennya menerobos masuk merosak binasakan binaan Islam yang telah kukuh kita bangunkan dalam diri kita sepanjang Ramadhan. Bulan Ramadhan bukan semacam penganut-penganut Hindu membasuh dosa di Sungai Ganges, lepas itu  bersukaria buat dosa  semula dan kemudian datang lagi ke Sungai Ganges untuk mandi cuci dosa. Kita mesti faham secara mendalam deen Islam sesuai dengan tingkatan umur. Semakin meningkat tua semakin jelas fikrah Islam dan semakin mantap ubudiyyah kepada Allah. Ketundukan dan ketaatan serta rasa penyerahan diri kepada Allah semakin menjiwai seluruh ruang qalbu. Citarasa keislaman kita sudah Ori dan kesanggupan untuk berjuang untuk menegak kelangsungan Islam menjadi agenda utama dalam setiap detik nafas. Kehidupan kita sudah berubah daripada tak keruan hidup kepada rasa aman @ damai bernaung di bawah payungan Islam. Sikap memberontak dan tidak hirau agama bertukar menjadi pembela deen Allah - peka terhadap permasalahan ummah. Kita mulai bercakap dan menyampaikan saranan-saranan Islam. Sudah belajar menjadi dai'e kecilan sebab kita faham itulah core business manusiawi yg dijelaskan dalam surah azZaariat:56 "tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada  Ku." Bukan duduk di takok lama dengan kefahaman dangkal cetek seperti anak-anak tadika, sedangkan usia pensiunan 60an. Masih bergelut dengan dunia yang sedikit masa lagi kita hendak tinggalkan.

Seandainya Ramadhan telah mengajar kita berimsak dengan perkara yang HALAL & HARAM dan kita bisa melakukannya, sudah tentu di luar Ramadhan perangai kita tetap seperti orang yang sedang berpuasa - peka dan berhati-hati terhadap perkara-perkara haram/syubhat/makruh dalam rangka untuk bertaqwa kepada Allah dalam semua aspek - bukan sekadar makan @ minum! Bukan sekadar geli geman tak lalu hendak tengok babi atau meloya lalu tepi restoran yang ada menu masakan sang sondol, MALAH sepatutnya semua yang haram kita tak gamak dan tak lalu hendak lakukan sebab semasa puasa, yang halalpun kita jauhi karena Allah tegah. Larangan ini semata-mata untuk melatih kita kuat jiwa agama dan berlaku ikhlas dengan diri sendiri apatah lagi berdepan dengan perkara-perkara haram.

Sewajarnya latihan @ tamrin 29/30 hari sudah cukup untuk memberi kesan kepada tabiat jiwa dan minda manusia agar tetap berperangai teguh dengan pegangan agama dan mampu menjaga diri daripada serangan bertubi nilai-nilai kuffar yang sentiasa berada di sekeliling hidup kita. Kalau kita alpa sekejap sahaja arus budaya busuk dari Barat dan Timur akan menyongsong dan mengheret dan menenggelamkan kita ke dasar kekuffaran yang pekat hitam dan sukar untuk timbul kembali menyedut udara segar Islam yang menawarkan kebebasan diri daripada kebinasaan nafsu haiwani dan mencapai kemenangan hakiki - "barangsiapa dihindarkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga Allah, maka dia adalah manusia yang paling berjaya"- Ali Imran:185. Inilah konsep dan makna kejayaan sebenar dalam hidup. Sekalipun kita berpangkat tinggi, jutawan, usahawan  atau orang ternama  - namun di kampung akhirat yang abadi, jika kita tak dapat meraih redha Allah dan masuk ke dalam syurgaNya, bermakna kita adalah manusia yg gagal & celaka.  Lebih baik jadi hamba marhaen dan tak dikenali semasa di dunia tetapi mendapat habuan paling berharga tidak ternilai iaitu keredhaan dan syurga Allah swt karena keimanan dan keyakinan kita kepada Hari Perhitungan dan Hari Pembalasan yg telah diwar-warkan dalam kitab yang sahih lagi benar iaitu Al- Quranul Kareem.

Wallahu'alam.