Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

Keperluan Mendesak Tarbiyah Ruhiyah

Penciptaan manusia adalah unik, memiliki potensi lengkap iaitu potensi untuk menjadi baik dan berguna atau potensi untuk mencipta bencana dan kebinasaan. Karena apa ia jadi demikian? Lantaran Allah swt telah membekalkan kepadanya potensi fujur  dan taqwa = kejahatan dan kebaikan [As Shams:8]. Maknanya dalam jasad manusia sudah di built-in fitrah yang mereng kepada kejahatan dan  sekaligus cenderung kepada kebenaran dan iman. Kalau diperhatikan maksud surah di atas, ia membayangkan bahawa fujur itu adalah tarikan dan runtunan utama yang membaluti dan mengikat manusia. Kemudian barulah datangnya kecenderungan mahu membuat kebaikan/amal soleh seandainya manusia dapat melepaskan diri dari cengkaman nafsu yang mirip kejahatan. Fujur vs taqwa akan berlarutan  di  mana  manusia akan  bergelut  sehingga menemui maut dengan membawa bekalan amal baik @ pun jahat.

Selain itu, manusia  juga dibekali beberapa potensi negatif iaitu kikir, sangat zalim dan  sangat jahil serta gopoh@tergesa.  Kenapa manusia dikatakan tersangat zalim dan jahil?  Para ulama menyebut bahawa manusia zalim terhadap diri sendiri, sekaligus bodoh terhadap tuhannya. Inilah watak-watak negatif yang dimiliki manusia. Kalau tak diarahkan secara tepat ia akan melahirkan bencana demi bencana.

Manusia dalam keghairahannya untuk maju telah membangunkan teknologi melalui perkembangan & kemajuan ilmu. Peradaban terus berkembang untuk mencipta kesejahteraan hidup. Tetapi realitinya terlalu banyak menimpakan malapetaka. Kenapa terjadi begitu? Lantaran otak cemerlang manusia itu tidak dibingkai oleh kearifan jiwa agama. Ambil contoh kaum Hawa, sering dikatakan pada zaman dulu mereka berada di pinggiran sejarah. Mereka sekadar makhluk pelengkap @ objek tunggangan lelaki.  Namun kemajuan ilmu dan materi serta teknologi tidak menganjak posisi martabat rendah itu ke tahap yang selayaknya sebagai manusia. Martabat dan darajat kaum wanita masih terus terperosok dalam lubang hitam budaya [black hole of culture].

Apa itu lubang hitam budaya? Lubang tersebut merujuk kepada kerelaan  dan   kebanggaan  wanita sendiri  untuk terjun dan menempatkan diri mereka dalam posisi rendah sebagai  barangan dagangan; objek sorotan mata galak kaum lelaki; menjadi penghibur @ artis  dengan dandanan yang mengghairahkan atau ikon/duta promosi produk yang tidak ada kena mengena langsung dengan dunia kaum wanita seperti mobil dan barangan elektronik.

Itu sangat mungkin terjadi sekiranya pendidikan atau tarbiyah yang telah membina akal manusia tidak menganggap jiwa@ruhani sebagai hal yang perlu mendapat sentuhan dan usapan tarbiyah yang serupa. Justeru watak@karekter negatif yang telah disebutkan terdahulu itu tidak mendapat perhatian dan pembinaan memadai untuk mengiringi kemajuan pesat  akal dan pemikiran manusia. Lantas terjadilah umpama seekor burung yang terbang hanya menggunakan sebelah sayapnya sedangkan sayap yang satu lagi tidak berfungsi. Tidak hairanlah walaupun peradaban materi dan teknologi semakin melonjak tinggi, namun akhlak dan adab menyembah bumi. Inilah digelar moral decadence and debasement yang dahsyat = hidup berfoyaan ; pendadahan + pendedahan > penzinaan > pembuangan anak di jalanan/tong sampah/sungai dan tempat kumbahan. Apa lagi yang tak dilakukan oleh manusia yang tak terbina ruh ini ? Ya... rasuah > penipuan > niaga manusia > pembunuhan = melahirkan dan menciptakan suatu jenis masyarakat dinamakan masyarakat gersang. Yakni masyarakat tiada jiwa , tiada ruh, tiada budi pekerti = haiwan. Bagaimana mahu membawa manusia kembali ke darajat asalnya ? Tak lain daripada tarbiyah ruhiyah.

Bersambung.....

Matlamat Tarbiyah Islam III

2]   Qudwah Hasanah

Seorang murabbi/guru yang boleh menjelmakan apa yang diseru dan diajarkan kepada muridnya sangatlah diperlukan untuk menjadi contoh hidup yang boleh ditiru dari segi semangat, pengorbanan dan kehidupan dakwahnya. 

Sebagai contoh, kesuburan dan kemekaran rasa ukhuwah yang diajar dapat dirasai kehangatannya melalui pergaulan guru - murid - rakan seguru. Perpaduan yang disemai menerusi persaudaraan Islam itu wujud dan berlaku secara realiti. Bukan satu dongengan dan impian yang  tergapai. Perbezaan pendapat di kalangan saudara seiman tidak mencetuskan perbalahan lidah demi mendapat kemenangan. Rasa baik sangka adalah diutamakan selagi masing-masing berpegang kepada tawhid yang satu. Justeru qudwah dapat dilihat dan dirasai benar-benar menerusi best practices.


3]   Bi'ah Solehah


Bi'ah @ lingkungan yang baik dan kondusif adalah aspek penting dalam mendidik manusia menjadi Muslim yang berilmu, faham dan taat kepada Allah. Macam mana manusia hendak jadi baik dan menjauhi maksiat seandainya sekitaran yang kita bina melingkunginya menyajikan selera nafsu untuk cenderung buat maksiat dan menderhakai Allah. Bi'ah adalah laksana acuan untuk membentuk individu. Justeru, sekitaran rumahtangga, lingkungan masyarakat, suasana sekolah, kawan sebaya dsbnya adalah acuan-acuan yang saling mendidik serta memperkukuhkan nilai sama ada baik @ buruk. Setiap insan tidak akan terlepas daripada proses pendidikan, cuma sama ada pendidikan Islamiyah atau Jahiliyah. Maknanya, kalau kita memilih untuk tidak ditarbiyah oleh Islam sudah pasti yang mendidik kita adalah secara automatisnya adalah musuh Islam iaitu Jahiliyah yang mempunyai wajah yang berbagai rupa.

Matlamat Tarbiyah Islam II

b]  Tarbiyah Aqal

Aqal manusia perlu dibekalkan dengan tasawur Islam yang sahih, pengertian dan takrifannya yang betul serta makrifat yang benar. Langkah pertama membentuk aqal adalah melalui :-

i] mempelajari Al Quran - membaca berterusan dan berusaha memahaminya bersungguh-sungguh.
ii]   mempelajari al Hadith sahih daripada pusaka Rasulullah saw. 

Inilah sanya sumber bagi segala ilmu, makrifat dan hakikat yang bisa membantu manusia mengenali diri dan Tuhannya serta menjawab persoalan hakikat kejadian insan dan ke manakah tempat kembali  selepas pupus dari mayapada ini.

Aqal hendaklah seterusnya diberi santapan ilmu usul aqidah orientasi ulama salaf, sirah nabawi, perundangan Islam dan fiqh dakwah. Kemudiannya mendalami dasar-dasar Islam dalam sistem kemasyarakatan; dan sejarah Islam yang sarat dengan episod/kisah peperangan dan politik Islam.


Tidak cukup dengan itu, aqal mesti disumbat dengan ilmu pengetahuan semasa dalam pelbagai disiplin seperti ekonomi, perniagaan, sosial, kesihatan, pengurusan, pergolakan serta isu kemanusiaan dan politik semasa supaya terbiasa bagi membolehkan diri memahami dengan perspektif yang betul hatta mampu meletakkan hukum di atas setiap perkara/isu  itu dengan kayukur Islam. 


Justeru adalah baik setiap Muslim memiliki sebuah perpustakaan mini di rumah dengan koleksi kitab, makalah dan jernal Islam yang boleh meningkatkan daya intelektual dan mental. Makanan dan santapan aqal adalah sama pentingnya seperti makanan dan minuman serta pakaian kepada jasad.



c]   Tarbiyah Jasad


Jasad juga perlu ditarbiyah bagi membangkitkan kekuatan jasmani dan memelihara kesejahteraannya. . Oleh itu, adalah dianjurkan manusia membuat latihan dan aktiviti jasmani seperti beriadah, senaman, permainan, kembara dan berkhemah  di bukit , hutan, pantai dan suasana@sekitaran yang pelbagai, guna membina ketegapan badan dan stamina. Sambil itu, makanan dan minuman yang haram dan  merosakkan aqal dan tubuh dijauhi - seperti dadah,arak, rokok dan lain-lain yang seumpama dengannya.


 bersambung ...

Matlamat Tarbiyah Islam I

          Matlamat tarbiyah adalah untuk melahirkan individu Muslim dengan sifat/ciri berikut :- 
  • betul aqidah
  • sahih ibadah
  • baik akhlak
  • terdidik aqal fikiran
  • kuat tubuh badan
  • mampu bekerja untuk Islam
  • memberi faedah kepada orang lain
  • sentiasa bermujahadah/bersungguh-sungguh
  • menjaga masa
  • urusan teratur
  • dan sifat-sifat mulia lain yang menggambarkan kesempurnaan peribadi.
          Kualliti Muslim sebeginilah yang mahu di cetak dan dilahirkan yang memiliki kemampuan untuk membangunkan rumahtangga Islam. Pada masa yang sama turut serta  membina  masyarakat Islam dalam lingkungannya sepertimana yang dituntut ke atas setiap peribadi Muslim. Jenis Muslim sebeginilah yang sangat-sangat diperlukan oleh masyarakat dan negara untuk menjamin kerahmatan datang daripada Allah swt . Dengan demikian masyarakat manusia hidup dalam aman dan kedamaian, terhindar daripada malapetaka sosial dan kebinasaan alam.

          Tiga Keperluan Asas Untuk Menjayakan Tarbiyah

  1. Manhaj Yang Sahih
Bimbingan berdasarkan  kepada ajaran kitab Allah swt, Sunnah Nabawi bagi memahami Islam yang murni dan sejati, bersih daripada unsur tokok  tambah.   Menekuni dan mengamalkannya dalam semua realiti tanpa merasai ia membebankan.

           a]   Tarbiyah Ruhiyah
                   
       Aspek tarbiyah ruh merangkumi : -
  • membaca Quran, mengamal wirid harian,                 
  • melakukan ibadah sunat, 
  • berpuasa sunat, 
  • berzikir dengan lidah dan hati,
  • mendirikan solat pada awal waktu berjamaah, 
  • sentiasa bertaubat dan,
  • niat untuk bermujahadah dijalan Allah.
          Aspek penting tarbiyah ruh :-
      
Menghidupkan Rasa Beriman Kepada Allah : beriman kepada Allah adalah keyakinan yang bertunjang di hati dan menyebabkan seluruh aqal serta jasad beramal mentaatiNya. Perasaan keimanan ini sentiasa hidup segar tidak pupus. Ia berupaya melahirkan ketenangan dan kekukuhan jiwa yang menggerakkan seseorang itu menunaikan amanah Allah dalam apa jua suasana. Ia merasai kaya meskipun tiada harta, tiada kaum kerabat dan tiada pengaruh duniawi.

Menghidupkan Rasa Beriman Kepada Akhirat : meyakini hari akhirat pasti datang tanpa syak dan waham. Sentiasa berwaspada dan membuat persiapan sebaik mungkin untuk menghadapinya. Dengan keimanan ini seseorang akan menjadikan perjalanan hidup di dunia bersesuaian dengan matlamat akhirat. Ia bijaksana dalam menentukan keutamaan amal/kerjanya demi kejayaan akhirat.

Memelihara Bersungguh-sungguh Perintah Allah : segala perintah Allah dilaksanakan dengan sempurna dan semua laranganNya dijauhi tanpa banyak songeh. Ini semua dilakukan dengan rasa rela dan redha tanpa meringan-ringankan dan melampaui batas-batas ketentuan Allah.

bersambung ....


       

KENAPA MANUSIA PERLU DIDIDIK@TARBIYAH ?

          Manusia dilahirkan kerdil dan dalam serba kelemahan.  Ketika bayi  ia  tidak memiliki apa-apa, sama ada aqal, fikiran, tenaga, ilmu, kemahiran dsbnya.  Pokoknya ia lemah  tak bermaya. Beransur-ansur selepas itu jasadnya membesar,  otak  dan fikirannya berkembang sedikit demi sedikit. Namun kefahaman terhadap dirinya, alam  sekitarannya,  maksud kehidupannya dan bagaimanakah akhirnya kehidupan manusia, ia tidak tahu dan tidak pasti.  Justeru anak manusia ini perlu dan wajib diberitahu arahtuju dan makna kehidupannya supaya ia tidak sesat dalam mencari kebenaran dan makna kewujudan.

          Tarbiyah@pendidikan adalah alat atau jalan  yang satu-satunya  berupaya memperjelaskan  malah menyelesaikan persoalan asasi  di atas agar  langkah perjalanan manusia tidak  tersasar.  Ia juga merupakan pendekatan berkesan untuk membina apa jua bangsa di dunia ini  untuk  menjadi ummah yang cemerlang  dan berakhlak tinggi. Manusia tidak dikira maju atau bertamaddun sekadar pandai membina bangunan mencakar awan  tapi akhlak menyembah bumi. KIta perlu insaf bahawa akhlak terpuji dan mulia  tidak lahir secara kebetulan. Pembentukannya mesti melalui proses pendidikan/pengasuhan/pentarbiyahan yang betul dan terancang.


             Dalam alam binatang, harimau, gajah, babi, beruk  dan lain-lain akan melahirkan anak masing-masing tanpa perlu melalui proses pendidikan untuk menjadi atau memiliki sifat kebinatangan mengikut jenis induknya. Anak harimau, gajah, babi dan beruk tetap dengan perangai dan tabiat masing-masing tanpa menyimpang sedikitpun daripada ketetapan Allah swt . Semuanya tunduk kepada iradah Allah dan menjadi muslim sepanjang hayat. Mereka berkeadaan demikian kerana Allah membekalkan mereka dengan naluri kebinatangan sesuai dengan tugas dan peranan yang diberikan. 


             Berbeza dengan haiwan, kita dikehendaki menjalani kehidupan yang lebih kompleks. Ada tanggungjawab khusus semasa hidup di dunia sebelum dijemput ke pusara. Kita didatangkan ke sini bukan untuk  mengumpul harta, main-main dan berpoya. Kita dipertanggungjawabkan untuk menegakkan risalah Allah dan menjadi khalifah di muka bumi serta memakmurkannya. Menguruskannya dengan peraturan yang ditetapkan Allah swt bagi kepentingan dan maslahat manusiawi serta seluruh makhluk lain yang berkepentingan tanpa melakukan kebinasaan  atau   kerosakan. Untuk memikul tugas yang berat ini, manusia kena memiliki ilmu dalam semua hal dan bidang. Kalau setakat belajar di sekolah  > kolej > universiti dalam disiplin @ kemahiran tertentu, masih belum pantas @ layak melaksanakan tanggungjawab ini kalau tidak diisi dengan tarbiyah asas iaitu iman [mengenal diri, Allah, tujuan kejadian insan]. Tauhid  rububiyah dan uluhiyah yang jelas dan mendalam adalah sangat penting dihunjamkan ke dalam jiwa manusia sejak kecil supaya apabila besar ia tidak menghadapi krisis makna diri dan krisis makna hidup.

             Tarbiyah Islamiyah

            
             Tarbiyah = pengasuhan = penjagaan = bimbingan = tunjuk ajar. Berdasarkan takrifan ini dapatlah difahami bahawa proses mendidik itu mesti berlaku secara teori dan praktikal, hatta berterusan sepanjang hayat, bagi membentuk peribadi/individu/kumpulan yang menerima Allah sebagai Pencipta (rububiyah) dan Penggubal Peraturan Hidup Manusia (uluhiyah) tanpa syak dan ragu. 


             Ciri-ciri Tarbiyah Islam
  • bersifat Rabbani yakni bersumberkan al Quran, Sunnah Nabawi, Sirah Rasulullah saw  dengan para Sahabat yang lahir daripada tarbiyah baginda.
  • memfokus kepda seluruh aspek diri manusia secara seimbang : fizikal, ruhani dan mental.
  • bersifat maidani waqi'i yakni terlahir dalam kehidupan realiti secara amali.
  • berasaskan model @ uswah Rasulullah saw
  • dilaksanakan dalam biah @ milieu hasanah yang merangsang nilai-nilai Islam yang hidup dan dinamis.
  • pendidikan dilakukan oleh murabbi/guru yang memiliki sifat-sifat murabbi sebenar.
             bersambung ......

           

Pasca Ramadhan - Mempersiapkan Manusia Menjadi Insan Bertaqwa

       Berkata Ibnu Qayyim, "Puasa memiliki pengaruh yang menakjubkan dalam memelihara jasad, memelihara kekukuhan batin dan mencegah bercampuraduknya berbagai bahan makanan yang merosakkan kesihatan. Puasa memelihara kesihatan hati dan anggota badan, serta mengembalikan lagi hal-hal yang telah dirampas oleh tangan-tangan nafsu syahwat." 
Ia adalah sebesar-besar pertolongan untuk membangun taqwa, sebagaimana firman Allah swt. yang bermaksud; "Hai orang-orang beriman, telah diwajibkan atas kalian puasa sebagaimana yang telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian, agar kalian bertaqwa. [Al Baqarah: 185].

       Mengambil maksud Ibnu Qayyim dan firman Allah swt. di atas,  bolehlah kita fahami bahawa perbuatan puasa itu sepatutnya melahirkan@mencetak keperibadian Muslim yang dikehendaki,  bertepatan tujuan asal perancangan Allah swt. ke atas manusia. Tapi perkara ini tidak terjadi walaupun telah bertahun-tahun berpuasa daripada awal baligh hingga hampir mencecah umur pesara @ pusara. Soalnya kenapa dan mengapa jadi demikian?  Kalaulah kita tamsilkan kepada pegawai/staf sesebuah organisasi yang dikirim untuk berkursus, namun apabila kembali ke kantor masing-masing, tidak ada apa-apa kesan baik atau peningkatan ke atas kemajuan kerja. Asyik-asyik  boss masih kena pantau rapi, gesa,  pujuk dan macam-macam sesi kaunseling ke atas stafnya lantaran sikap masih di takok lama - yakni tiada perubahan.  Soalnya kenapa sikap tidak berubah sedangkan  sudah berapa siri dan jenis kursus serta latihan telah diikuti. Pakar psikologi bernama Mc Clelland telah merumuskan bahawa yang penting dalam diri manusia adalah sikap, motif, trait budaya yang betul dan dinamis. Kelulusan akademik dan ketrampilan teknologi/teknikal saja tidak cukup dan tidak menjadi dasar kepada kebagusan pekerjaan dan tindakan seseorang, kalau tidak dipacu oleh sikap yang betul, motif yang benar dan trait budaya [budaya berkualiti]. Pokoknya bagaimana mahu kita wujudkan sikap, motif dan budaya berkualiti ini dalam diri manusia? Waduh! Persoalan ini membuat kita linu-linu di kepala. Ya... sikap yang betul, motif yang benar dan trait budaya berkualiti itu datang dari mana?  Mungkin ada orang mengatakan ia terjana secara spontan [spontaneous generation]. Mengikut logik, sesuatu yang terhasil itu mesti dihasilkan melalui proses tertentu. Manakan bisa terwujud secara tiba-tiba tanpa sebab musabab. Maknanya mesti ada asbab @ hubungan sebab akibat.


       Seandainya kita menerima hujjah mantiq sedemikian, secara mudah kita boleh menyatakan bahawa sikap, motif,  trait budaya itu sebenarnya datang dari satu proses yang digelar tarbiyah @ didikan @ asuhan yang bernilai tinggi. Nilai yang bermutu tinggi sudah tentu datang dari tempat @ maqam yang tinggi pula. Tak lain dan tak bukan ia adalah nilai Rabbani. Bukan nilai yang datang dari manusiawi yang serba dangkal dan bersifat serba kekurangan lagi dhaif. Kerana manusia yang naif tidak berupaya menyajikan kepada manusia lainnya panduan hidup yang lengkap sempurna bagi meleraikan problema kehidupan duniawi  sekaligus mencapai kehidupan akhirat yang sejahtera abadi. 


       Nah! Betapa benar Ramadhan merupakan  madrasah mutamayizah [sekolah istimewa] yang diprogramkan oleh Sang Pencipta sendiri, yang dibukanya saban tahun untuk mentarbiyah dan memproses secara praktis bagi menanam seagung-agung nilai dan setinggi-tinggi sikap, sebenar-benar motif bagi menzahirkan satu budaya Rabbani yang tiada tandingannya di mayapada. Benchmark @ kayu ukur ini tidak boleh disetarakan dengan mana-mana best  practices dalam apa-apa aspek kehidupan sama ada mundane atau supra mundane kerana ia terlalu tinggi untuk dibandingkan.  Justeru, barangsiapa memasuki madrasah ini, ia harus menyertainya dengan ilmu dan kefahaman Islam yang syamil. Fikrah Islamnya sudah sepatutnya jelas dan murni. Lantas apabila ia masuk ke madrasah Ramadhan, ia telah masuk dengan aqal dan hati yang menerima Allah sebagai Pencipta Alam Semesta  dan  Penggubal Peraturan Hidup Manusia,  bukan sekadar tahu syarat sah dan batal puasa. Solatnya sudah dijalin dengan  Tuhannya sekian lama penuh intim dengan rasa penuh ketundukan dan penyerahan total seorang hamba yang tahu asal usulnya. 

      Bila tercipta sentimen demikian terhadap penciptanya, terjalinlah perhubungan dengan Allah dengan penuh kerelaan dan keseronokan. Puasanya berkualiti tinggi, tarawihnya berjalan dengan penuh tertib, khusyuk dan tidak dihambat perasaan tergesa-gesa. Jasadnya berupaya berdiri malam untuk solat sunat tahajud/tasbih/hajat/taubat dll. Sedaqah, derma dan segala infaq untuk menyuburkan kehidupan Islami dilakukan menurut syariat Rasulullah saw dengan penuh kesungguhan tanpa rasa syak dan was-was akan kebenaran dan kebaikannya. Orang yang seperti inilah yang dianggap sebagai telah berjaya mengikuti madrasah Ramadhan dengan jayanya dan InsyAllah mendapat ganjaran yang besar iaitu syurga, lantaran ia masuk dengan fikrah, kefahaman dan ilmu, bukan hanya satu rutin dan tradisi tahunan kerana mengikut perbuatan/tingkahlaku nenek moyang tanpa mempunyai pengertian.

        Ayuh! Hanya 207 hari lagi untuk kita bertemu semula dengan Ramadhan Karim. Persiapkanlah diri dengan fikrah, sikap dan motif yang betul serta ilmu yang mendalam, agar kali ini kita berjaya berniaga dengan perniagaan yang menguntungkan [attijaratan lan tabur]. 
InsyAllah kita bertemu di waktu lain dengan urutan tajuk yang berhubungkait. Topik Pasca Ramadhan telah berakhir. Wassalam.

      






Pasca Ramadhan - Menajamkan Perasaan Atas Anugerah Kenikmatan Allah


Bercakap tentang nikmat, biasanya kita tak perasan malah tak peka @ pedulipun sekiranya nikmat itu sentiasa berada di sisi kita. Ambil contoh orang kaya dengan kekayaan materi, ia anggap segala kesenangan dan kebagusan hidup itu macam tak ada apa-apa. Orang sihat merasai kesihatan yang ia miliki tak ada apa-apa nilai kerana sihat itu pakaian biasa baginya. Sang suami @ isteri menyenangi kehadiran pasangan masing-masing akan tetapi tidak benar-benar merasai kehadiran itu tinggi nilai dan sangat bermakna dalam hidupnya. Pokoknya, apa yang hendak disebut di sini ialah sebuah nikmat itu tidak begitu terasa semasa ianya dimiliki @ dipunyai. Namun ia sangat terasa sewaktu nikmat itu sudah tiada lagi ditangan kita.

Mari kita lihat bagaimana Allah mengajar manusia untuk merasai @ menghargai nilai sesuatu nikmat itu. Ramadhan mengajak kita memahami nikmat kenyang dan nikmat pemenuhan dahaga dengan cara kita berlapar dan haus. Lihatlah seketika kita sudah selesai makan dan minum dan sejurus merasa kenyang dan hilang dahaga lantas terungkap ucapan syukur Alhamdulillah secara spontan. Justeru untuk manusia mengerti dengan mendalam makna kehidupan yang penuh dengan berbagai rasa kebahagiaan/kedukaan, kebagusan/keburukan, kesenangan/keperitan ia mesti menyusuri dan mengalami proses hidup ini bagi melengkapi perasaan insani. Perasaan insani yang dibaluti nilai inilah yang menjadikan manusia peka dan peduli perasaan dan penderitaan orang lain. Perasaan seperti ini hanyalah dimiliki oleh manusia yang beradab yang terhasil daripada proses ta'dib. Proses memberi adab inilah yang berlaku dalam Ramadhan selama sebulan. Cuma soalnya sejauhmanakah perasaan demikian tercerna dalam jiwa hasil daripada santapan nilai yang diprogramkan oleh Allah.

Bila dicermati, alangkah tersasarnya nilai baik yang hendak dipupuk itu pada diri manusia. Berapa kerat sangat individu yang dapat merasai pentingnya tarbiyah Allah itu dan menyanggupi menjalani sungguh-sungguh puasa dengan hati yang redha dan bercita-cita mencantikkan peribadi dengan pakaian nilai baru yang hasanah pada hari Aidul Fitri dan seterusnya menjadi tabiatnya seumur hidup mengamalkan nilai-nilai Islam dalam urusannya dengan manusia dan lingkungannya.

Belek-beleklah sendiri peribadi dan nilai-nilai yang sedang kita bawa - apakah ia syariah compliance atau sebaliknya. Jika masih berlaku non compliance, alangkah ruginya hidup ini. Wassalam dan jumpa lagi.