Tahun Hijrah 1432 dan Masehi
2011 melabuhkan tirainya diiringi senandung malam yang bening. Tiada pamitan
dan gamitan melepaskan tahun yang berlalu. Pergilah mereka sebagai hamba Allah,
entah ke mana. Tersimpan kukuh mencatat zaman yang menghilang. Tidak bisa
dikembalikan lagi, walaupun dengan harga segunung emas. Demikianlah umur muda
berlari pantas berterbangan menuju ufuk sepi. Dalam terbangannya ia mengumpul episode
suka dan luka persis wirawan yang gagah menerjah medan tempur dengan gegak
gempita perisai mendepani cabaran getir zaman.
Si anak muda kini dewasa. Si
ayah dan ibu berkedut dahi dan tangan. Si perawan, kulitnya tiada halus dan tubuhnya
tiada mulus lagi karena mendaki umur super dewasa. Semuanya meniti usia dengan
masing-masing mengelek dosa dan pahala. Sewaktu remaja dan perawan dulu, bercita-cita
mahu menggapai awan, berlari-lari dalam kabus pagi mengejar pelangi. Selepas
tercapai cita barulah mahu tumpukan masa mengadap tuhan dan tekun beribadat. Namun masa yang luang dan
santai yang ditunggu-tunggu selepas terpenuhnya cita, tiada singgah di sisi.
Cabaran, hambatan, kekangan dan segala runtunan duniawi tetap berlaku sampai
saat ini. Tugas diri memikul tanggungjawab Rabbani bukan sekadar menjadi baik
untuk diri sendiri. Bukan terpenuh sekadar baik untuk keluarga kecil peribadi.
Malah baru terpenuh apabila tanggungjawab itu dilebarkan merata dalam segenap
lapisan masyarakat yang kita bersemuka. Antar hubungan yang rapat lagi intim
dengan setiap oknum masyarakat adalah masih tanggungjawab Rabbani yang mesti
terlaksana. As Syahid Syed Qutb pernah berkata; seorang
Muslim yang hidup untuk dirinya sendiri akan menjadi manusia yang kerdil,
berbanding seseorang yang hidup untuk dirinya dan orang lain.
Ramai orang mengeluh, kalau
dulunya kesempitan wang dan terpaksa berlemus mencari rezeki menyebabkan tiada
masa untuk diberikan kepada Tuhan. Bacaan al Quran pun semput nafas lantaran
mengejar masa. Dapat satu dua ayat pun rasa bertuah. Apatah lagi kalau mencapai
satu halaman. Kini pencapaian yang begitu rendah menjadi lebih rendah apabila
tertingkat usia dalam jalur dewasa. Macam tidak tertangkap perkara yang dulu
bisa terlaksana, walaupun kini masa luang terbuka. Pengajaran yang bisa diambil
adalah jangan sangka sesuatu itu bisa diubah bila meniti usia tua, kalau ia
tiada pernah diamalkan dan dijenuhkan sebagai cara hidup yang dibiasakan
sehingga menjadi malakah atau tabiat dan rasa hati nurani yang mengakari dalam
kehidupan seorang Muslim yang gencar melakukan kerja-kerja dai’e yang sentiasa
mengajak dan mengajar manusia berbuat baik dan menegah maksiat terhadap Allah
swt.
Tiba-tiba kita dikejutkan
oleh umur tua. Ya Allah! Sudah tuakah aku? Kapan pula aku jadi begini
tidak diketahui lantaran seronok mengisi dunia sesendat perut yang tidak akan
lebih besar untuk menelan gunung dan bongkah ais di kutub utara. Wahai diri
yang satu dan sepi sejak awal kedatangan ke dunia. Engkau tetap akan kesepian
walaupun kini didampingi isteri-isteri yang ramai dan anak pinak serta sanak
saudara yang memeriahkan suasana melalui sembang-sembang facebook sampai jauh
malam, sehingga meninggalkan suami@isteri yang fana di pembaringan. Mungkinkah
itu baringan yang terakhir dalam lafaz duka menanti teman yang sudah kehilangan
dalam maya.
Kita semua sudahpun tuha. Justeru apakah telah kita semak kerja-kerja kita sama ada Rabbanikah ia dalam seluruh juzuk kehidupan ini. Atau terlalu duniawikah ia semacam kehidupan orang lain yang tiada kisah tempat kembali di akhirat.
Jangan sampai sepi mengiringi sepi. Jangan sampai pilu mengiringi pilu. Sendu hati yang tenggelam dalam pukulan pekat malam, akhirnya terjaga dalam alam yang asing menuju Tuhan Sarwa Alam. Sepi itu sendu. Sendu itu pilu. Pilu itu duka. Duka itu sengsara. Sengsara itu derita, lantaran kehidupan duniawi terlupa menjadi manusia yang hidup untuk kebaikan manusiawi.
Salam kasih sayang untuk semua di ruang maya.
Wallahua’lam.
Qalamunir
24 Januari 2012
0 comments:
Post a Comment