Makanan dan minuman adalah sumber kekuatan dan penerusan hayat. Sebab itu kehalalan dan ketoyibannya perlu dititikberatkan sebelum dimasukkan ke dalam tembolok untuk dihadam dan diserapkan ke dalam seluruh pembuluh serta urat seni darah. Justeru terjadi dan terbentuklah daging, otot dan lemak dalam jasad dengan menjana kebersihan jiwa atau sebaliknya mengotori dan menghitamkan serta menumpulkan rasa hati terhadap kebaikan dan hidayah Allah.
Berikut adalah kisah seekor ibu ayam dengan sekawan anaknya yang tinggal di sebuah reban dalam dusun tuannya. Terdapat ratusan pepohon buah-buahan dan rimbunan dedaunan meneduhi sekitaran kedusunan. Pada celahan rimbunan itu bergayutan sarang-sarang penyengat menyerikan suasana hutan. Si ibu ayam dengan anak-anaknya sering keluar mencari dan mencakar tanah di sekitaran teduhan pohon-pohon untuk mencari rezki tambahan karena anak-anaknya sentiasa lapar sebab sedang membesar.
Suatu hari si ibu ayam terjumpa sarang penyengat yang bergantungan, lalu melompat sambil mematuk bagi meleraikan balutan kemas sarang tersebut. Setiap lompatan berhasil menggugurkan ratusan telur dan anak penyengat. Anak-anak ayam bergembira mematuk rezeki kurniaan Allah untuk mereka. Saban hari ibu dan anak ayam masuk ke hutan mencari dan memakan telur dan anak penyengat yang lazat berbanding biji-biji padi, beras temekut dan nasi sejuk campur dedak yang diberikan oleh tuannya.
Berminggu dan berbulan si ibu dan anak ayam melazati hidangan telur dan anak penyengat. Anak-anak ayam kian membesar dan menjadi teruna dan dara. Tuannya ternampak kelainan pada perangai dan tabiat ibu ayam dan anak-anaknya berbanding ayam-ayam lain. Ketara sekali ayamnya agak sombong dan garang. Sifat gedebe ayam-ayam tersebut telah diketahui juga melalui kawan-kawannya yang melewati dusunnya dan terkena serangan ganas ibu ayam dan anak-anaknya. Sembungan ayam-ayam tersebut kadangkala melukakan akibat patukan dan terjangan keras.
Si tuan ayam rasa hairan kenapa begitu drastik perubahan berlaku pada ayam-ayamnya. Laluan denai dalam dusunnya tidak lagi digemari orang karena takut sembungan ayam gedebe. Tuan ayam rasa gusar karena ramai rakan taulan tidak suka lagi bertandang ke rumahnya atau melewati kebunnya. Suatu hari beliau masuk ke dusun untuk menjalankan CSI bagi mengetahui perkara sebenar kenapa ayamnya bertukar jadi gila tak menentu. Alangkah terkedunya dia apabila terjumpa kesan-kesan baru dan lama cakaran dan patukan ayam pada sarang-sarang penyengat yang banyak berseghayut di dahan dan ranting pokok. Persoalannya, apakah ini punca kepada perubahan tabiat dan perilaku ayam-ayamnya? Ayam-ayamnya memakan telur dan anak penyengat dalam kebunnya - sudah tentu halal karena bukan termasuk dalam kebun orang lain. Dari sudut CSI dan berdasarkan sunnah Nabi saw, adalah jelas yang halal itu halal dan yang haram itu haram; tidak adapun keraguan dan syubhat padanya.Akan tetapi kenapa ayamnya jadi begitu. Mungkinkah karena sifat dan zat telur dan anak penyengat itu daripada jenis serangga@binatang yang garang @cenge, maka peribadi ayam-ayamnya bertukar mengikut perangai penyengat yang memang suka menitik dan menyerang manusia jika diganggu atau terganggu.
Nampaknya ayampun kena lihat logo halal dulu sebelum mematuk makanan. Bukan itu saja malah kena baca ramuan yang ditulis pada pakej dan balutan produk-produk yang kebanyakannya mengaku "ditanggung halal", tapi kalau dimakan belum tentu. Setakat jadi ayam dan makan rezki yang Allah berikan dalam kebun tidak mengapa, tak ada pertanggungjawaban sebab ia binatang. Selepas mati dan menjadi lauk ia bertukar kepada tanah dan habislah perkhidmatannya kepada manusia. Manusia bagaimana? Kata para alim, ramai manusia zaman sekarang tidak takut pada akhirat, walaupun pernah melihat kejadian kiamat kecil dengan segala gegak gempita dalam peristiwa tsunami akibat gempa bumi berskala besar. Manusia pening mabuk terhuyung hayang dan tersirnalah segala kekuatan manusiawi - apakah belum cukup bukti bahawa kedatangan kiamat seperti yang Allah janjikan dalam al Quran adalah lebih besar daripada gempa yang sedikit itu? Jika gegaran 7.9 skala Richter pun tak keruan mabuk dan kecut perut; bagaimana pula dengan goncangan yang maksimum yang menjadikan gunung ganang dan bukit bukau hancur berterbangan macam kapas dan debu? Tegakah manusia menghadapinya tanpa pertolongan dan perlindungan Allah swt? Allah dengan sifatnya al-Qahhar [pemenang] tidak terkalahkan oleh unsur manusiawi yang ia cipta daripada tanah. Daripada seusia yang panjang seperti Nabi Nuh a.s. yang hidup >1000 tahun, segagah Nabi Musa a.s. yang membunuh musuh dengan sekali tumbukan, setampan Nabi Yusuf yang digilai perempuan, sekuat Firaun yang mengaku tuhan, sekaya Qorun yang memiliki ratusan kunci gedung yang terpaksa dimuat atas keldai, sekasih-kasih dan serindu Allah kepada Muhammad saw - semuanya sirna dan mati ditelan zaman apabila bertembung dengan tentera Allah yang digelar al-maut. Siapakah kita yang tidak ada apa-apa pengaruh, kekuatan, kuasa dan kekayaan mahu melawan Tuhan Sarwa Alam, tuhan yang tidak terkalahkan.
Semoga Allah swt sentiasa merahmati dan meredhai orang-orang yang beriman dan beramal saleh serta teguh pendirian mengharungi ranjau-ranjau kehidupan karena memelihara iman.
Wallahu'alam.
29 Jun 2011