Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

AL-IJTIMA'IYAH AL- BOLA-I AL- 'ALAMIYAH

Sekonyong-konyong maka tersebutlah perkataan sebuah kapal UFo terbang santai melewati bumi pada suatu malam. Terdengarlah akan makhluk UfO ini akan sorakan yang gegak gempita laksana petir membelah langit sehingga ke petala 7. Sorakan demi sorakan tali menali bagai arus deras air banjir membuak-buak tak tertahan membantai tanah dan pasir, merobek dan merabakkan apa saja yang menghalang. 

Makhluk uFo semakin hairan lalu berputar-putar mencari punca keluarnya suara itu. Mana tahu mungkin ada serangan musuh alien dari planet lain yang telah melancarkan gempurnya ke atas anak bumi@pribumi@anak jati dunia@anak Adam yang selalunya memang nisyaan [leka] dengan nikmat duniawi. Syahdan, alangkah terkejutnya mereka apabila didekati tampak macam satu kawah besar yang bujur dipenuhi manusia sedang berlari-lari mengejar sesuatu yang melantun-lanting ke segenap penjuru dituruti dengan sorakan dan jeritan serta makian diiringi paluan gendang, nafiri dan serunai - gamat menendang gendang telinga. Kalau nak tahu pitching nya cukup tinggi sampai boleh menggelegakkan tahi telinga. 

Makhluk asing ini terkedu dan terpinga-pinga bagai orang peghak masuk gelanggang. Mereka mengamat-amati penuh minat dan hairan melihat pakaian para penonton berwarna warni termasuk muka-mukanya sekali nampak berjalur & celoreng macam orang Masai, pelakon wayang Cina dan peran makyong. Bendera berbagai bentuk dan rupa berkibaran dengan lagu ala Afrique goyangan gerudi ala Inul Daratista guna untuk memuja dan menaikkan semangat bola. Bola satu-satunya itu dikerumuni dan dikejar. Bagai menikmati hidangan lazizah di atas talam besar . Inilah sekilas pemandangan  manusia sedang menganjurkan Ijtimaiyah Al Bola-i Al 'Alamiyah = Perhimpunan Sejagat Sayembara Bola.

Satu dunia terpaku lantaran bola. Satu Malaysia terpukau oleh bola. Satu masyarakat terjerit-jerit akibat bola. Satu keluarga histeria terkena penangan bola. Satu individu tersungkur di depan tV tanpa menyedari fajar sudah berlalu gara-gara tertidur dengan bola. Satu dunia mengaum bola sepanjang siang dan malam memberitakan kemenangan dan kekalahan pasukan-pasukan yang bertanding. Gema bola dan perbincangan serta ulasan hangat tentang bola berlaku di mana-mana saja. Pegawai dan staf pejabat ceritera bola, dalam kereta dan bas pun sama. Anak dara dan teruna yang baru kahwinpun terganggu tak dapat beradu awal karena gangguan bola. Tauke judi dan kaki judi bergelumang dengan laba dan rugi kerana sakan  bertaruh bola.  Impak bola dahsyat sekali. Bagai tsunami melanda, gemanya bagai mengalahkan talbiyah para hujjaj memuji Allah. Inilah bentuk ilah baru yang kalau tak diteliti dan dihalusi boleh menjauhkan manusia Muslim daripada mengingati Allah lantaran terlalu mengingati bola. Sosiologis menggelarkan football sebagai new religion justeru kekuatannya  menggembleng manusia untuk membentuk kesatuan arah bagi melakukan perkara-perkara di luar dugaan dan kesanggupan. Penyokong bola bisa merusuh, merempuh dan membakar stadium dan bermatian mempertahankan pasukan atau lantaran rasa kecewa yang amat  bila  berlaku kekalahan yang tak dapat diterima . Kelab bolasepak dan bintang-bintangnya dipuja dan disanjung laksana ilah zaman jahiliyah.  Bola nampaknya telah berupaya mengajak manusia qiam dan menghidupkan malam tanpa rasa malas dan payah. Alangkah soleh dan baiknya, jika manusia mahu berebut-rebut masuk masjid/surau/musolla kerana tamak pahala duduk di saf depan. Berjuang dan berduyun menyambar peluang untuk buat amalan baik dan kebajikan yang jauh daripada lagho sebab hendak dapat jannah kelas pertama. Kawan saya kata: macamana manusia hendak teruja berebut benda-benda yang sifatnya malakut /ghaib ? Depa tak nampak akhirat - syurga dan neraka seperti nampak bola bergolek atas padang atau duit bertimbun bila menang judi bola.


Tak mengapa kalau demam, tapi demam bola virusnya sukar ditangani kerana antidotnya tidak ada di farmasi atau hospital. Ia ada pada diri sendiri. Justeru kena pandai jaga diri supaya menguruskan kesibukan dengan cermat dan tidak lemas dalam sorak sorai kosong manusia yang telah mudah melupai mati. Akhir kata pesanan daripada penaja - jangan tercabut nyawa di depan tV karena kecewa dengan prestasi pasukan yang sangat diminati. Alahai bola .. bola ! Fikir-fikirkanlah!


Wallahu 'alam

.

2 comments:

abe we, nasib baik suami dan anak2 saya tak minat tgk bola.dptlah saya tdo lena.

 

Cekna,

org Isle bukan anti bola @ apa2 permainan lain. Pokoknya apa saja yg kita buat samada melibatkan fizikal/hati mesti untuk mencapai maksud pahala = mardhatillah. Banyak benda yg kita buat tiap hari tapi tak peduli perkara itu. Sedangkan kita sedang menuju ke pangkuan Allah secara pasti tiap detik. Justru, kenapa wasting time doin things that will never gives us any benefits...Maaf panjang pula respon. Anyway thanx for visitin my place. Salam.