Rasa bertanggungjawab/pertanggungjawaban
adalah sebuah perasaan yg terbetik dalam jiwa/minda hasil drp didikan
ibu bapa/sekolah/masyarakat ke atas anak-anak. Proses menerap, menanam,
memupuk, menyemai rasa pertanggungjawaban ini sewajarnya bersemi, tumbuh
dan hidup segar dalam jiwa si anak sampai akhir hayat. Sementelah pula
adanya faktor iman yg menyegar dan mengikat jiwa ke arah kebaktian dan
rasa kemanusiaan yg mendalam.
Proses tarbiyah seorang anak
terus berlaku dari semenjak cilik sehingga ke mercu IPT. Halaqat dan
usrah terus menyemai jiwa-jiwa si anak bagi membetuli fikrah dan
memurnikan amaliyah Islaminya. Namun sangat kentara sekali, akhlak si
anak dalam berperilaku dan berperihidup dalam keluarga, tidak seindah
rasa persaudaraan/ukhuwah sesama sebaya sewaktu bersama rakan taulan.
Mereka lebih bersifat membantu dan ringan tulang dan tubuh bagi menolong
kawan rakan [apatah lagi kalau pacarnya].
Jiwa mahu menolong
dan meringankan beban hidup, beban tugas, beban menguruskan rumahtangga
ibu ayah sudah tidak dilihat sebagai kewajiban si anak. Pinggan dan
cawan yg digunakan untuk makan dan minum, masih tak terbasuh oleh tangan
yg sangat berkudrat berbanding ibu dan ayah. Hampir semua perkara perlu
dirayu dan disuruh baru dapat merasai nikmat punya anak. Jika tidak
ibu dan ayahlah terpaksa menyongsong arus melakukan kerja sendirian
tanpa ada harapan akan mendapat pertolongan si anak meringankan bebanan
fizikal, hati dan fikiran membilang waktu dan hari-hari tersampainya
kemusnahan. Apa ertinya Hari Ibu @ Hari Bapa yg menyapa setahun sekali?
Bahagiakah ibu dan ayah dilayan begini? Cukupkah sekeping kad dan bunga
yg dikirimkan untuk mengharumkan hidup mereka semusim hanya sekali?
Seorang bapa bertanya saya semalam: " Dimanakah silapnya pendidikan kita
ini?"
Wahai anak-anak, bangkitlah dari tidurmu yg asyik,
lepaskanlah laptop di ribamu. Jenguklah dapur dan anjung rumahmu; apakah
terurus dan masih mahu dikemaskan oleh orang tuamu? Janganlah berkira
dalam hidup, nanti anda akan dikira secukup-cukupnya dalam menyeberangi
lautan kehidupan semasa bergelar ibu dan ayah. Kasih berbalas kasih.
Rindu berbalas rindu. Tanpa bibit-bibit kebaikan yg disemai, tiada pohon
jasa yg akan tumbuh merimbun meneduhi perjalananmu.
fIKIR-fIKIRKANLaH.
qALAMUNIR
12 mEI 2013