Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

BIARKU SENTUH HATIMU


HATI yang seketul Allah berikan kepada kita mesti dijaga rapi. Rasulullah saw telah berpesan supaya kita pelihara hati karena walaupun ia bersaiz kecil, berkapasiti besar untuk memandu dan mewarnai keseluruhan watak dan keperibadian seorang insan. Ia juga digelar masdar al- wahid, yakni sebuah satelit yang mampu mencorak, memimpin dan mewarnai   pemikiran dan geraklaku serta tindakan manusia.

Ramai manusia tidak kisah dengan keadaan hati. Mahu jadi apa pada hati lantaklah, asalkan badan sihat sudah cukup baik.  Menjaga jasad dengan rajin beriadah dan memakan makanan yang berkhasiat tidak mencukupi syarat untuk menjadi manusia yang  berguna kepada agama. Agama atau deen Islam tumbuh dan hidup dalam hati yang bersih nyaman daripada kotoran zahir dan batin.  

Justeru sekitaran yang nyaman dan damai daripada segala macam  kebusukan yang boleh mencacatkan hati dijagai dan dipagari dengan pengisian fikrah Islam yang salimah. Fikrah yang murni ini bagai benih yang tumbuh segar menghunjamkan akarnya ke dalam bumi mencekam tanah dengan akar yang besar lagi kukuh. Hatta melonjakkan batangnya yang tegak menujah angkasa dipenuhi rimbunan dedaunan yang lebat memenuhi dahan dan ranting.## Dan buahnya bergugus dan berangkai menghiasi pohon yang merimbun meneduhi makhluk Allah, bersedia dengan keranumannya untuk santapan mereka yang lapar berkelana. Inilah analogi seketul hati yang baik dan segar, ia mampu membina kekuatan manusiawi yang tegak menjunjung kebenaran dan berasa mulia untuk hidup dan mati dalam kebenaran. Siap siaga berkhidmat untuk semua makhluk yang cintakan kedamaian dan kesejahteraan abadi.

Biarlah ku sentuh hatimu. Membuka lipatan hati yang sudah lama berlipat dan bergulung. Merongkai kusut jiwa dengan kalimah Allah yang dulunya pernah berjaya mengetuk dan membuka luas hati Si Omar al Khattab r.a. Carilah di manakah gerbang hatimu. Jangan biarkan ia kematu lantaran ketandusan usapan ilmu. Justeru, sentuhilah hati selalu dengan zikir dan ilmu yang memperjelaskan kebenaran dan membezakan kebatilan. Letakkanlah ia dalam raga tarbiyah yang berterusan istiqamah mengasah pemikiran agar tiada peluang bisikan syaitan untuk memenuhi rongga-rongga iman yang pasang surut  saban ketika.
Wallahua’lam.

Qalamunir
22 Mei 2012