Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

SAMURAI KE MASJID SOLAT JUMAAT

Jumaat lalu aku terjumpa seorang Samurai di Masjid BBA. Ala Shintaro Akikusa dia memasuki ruang solat dan bersolat sunat tahiyyatul masjid tanpa ditemani rakan karibnya Tombei. Rambutnya diikat tocang berdiri tegak menujah langit dengan beberapa helai rambut berjatuhan di atas bahu dibuai angin lalu berkibaran lembut, semacam samurai sedang meneliti medan tempur sambil mengukur kekuatan musuh. Tazkirah sedang berkumandang disampaikan oleh sang mualim menunggu saat waktu zohor masuk. Para jemaah sedang mendengar penuh sungguh. Terdapat di situ seorang pemuda berambut tocang kuda, panjang berjela melepasi bahu sedang berteleku menekuni dan mencermati patah perkataan sang mualim. Inilah senario umum dalam masjid sekarang kalau kita prihatin melihat gelagat dan perangai manusia di sekeliling dan memikirkan masalah ummah yang kian ghurbah@asing dalam menghayati kehidupan Islami. Citarasa dan gaya hidup yang terlahir daripada pembentukan fikrah dan minda yang serabut nescaya menzahirkan penampilan@perlakuan@citra yang juga serabai dan penuh semak samun. Pemuda-pemuda yang demikian dikisahkan, masih cenderung ke masjid dan masih mahu mendengar tazkirah dengan tekun. Alhamdulillah semoga Allah terus memberi mereka kekuatan dan hidayah untuk mereka istiqamah dengan kehidupan Islam yang sedang dagang@terasing. Semoga beransur baiklah mereka apabila sering terkena tempiasan dan siraman hidayah daripada Allah swt. Bagaimanakah pula dengan sebilangan ramai lagi pemuda yang memiliki stail dan penampilan yang serupa yang tak kenal jalan ke masjid dan surau? Justeru apakah pelajaran yang kita perolehi daripada  cerminan aksi kepribadian dua jejaka tadi? Persoalan ummah dalam perihal ini tidak lain daripada keperluan kita untuk melihat kembali isu pokok yang belum selesai. Isu pokok atau back to basics adalah perkara yang jarang-jarang manusia mahu menoleh ke belakang dan melihat apabila menganalisis kekusutan nilai dan fabrika masyarakat. Ramai dalam kalangan masyarakat melihat gejala sosial seolah-olah macam terjadinya buah-buah busuk daripada pohon yang berputik daripada ranting-ranting buruk yang berulat; bukan berpunca daripada sistem akar serta batang yang reput lantaran terkena serangan anai-anai dan makanan baja yang berbisa yang merosak dan merobohkan seluruh sistem pepohonan itu. Hatta ramailah dalam kalangan yang cerdik tapi tak pandai akan menyarankan agar ranting-ranting yang buruk itu dipangkas dan ditutuh untuk mendapat hasilan buah yang elok.

Apakah benar berlaku  kecelaruan nilai dan kekusutan fabrika masyarakat? Apakah puncanya?  Gerangan apakah penawar dan penyelesaiannya? Persoalan-persoalan ini adalah sesuatu yang sentral @ asasi yang mesti difikir dan dipecahkan supaya nilai dan fabrika masyarakat tidak terus-terusan rosak binasa, sehingga anggota sosial sudah tidak lagi dapat mengenali dan membezakan antara makruf dan mungkar, antara iman dan kufur. Kalau masyarakat Arab jahiliyah totok yang rabak akhlak serta segala sendi-sendi sosialnya lantaran diperintah hawa nafsu dapat  diperbaiki dan menjadi tertib jiwanya dengan  al-Quran, sudah pasti  masyarakat manusia lainpun sama sahaja ubat dan penawarnya untuk menyembuhkan penyakit akhlak dan sosialnya. Unsur-unsur yang menjadikan manusia adalah serupa dan sama = ruh, jasad dan aqal. Ketiga-tiga anasir ini harus menerima santapan makanan yang betul dan asli secara berterusan bagi membina ruhi yang sihat segar lagi bersih daripada tuhan-tuhan palsu; jasadi yang berotot lagi perkasa untuk menggalas tugas dan tanggungjawab Rabbani; dan aqal yang salimah dan murni daripada kekacauan dan kepeningan mabuk alkohol supaya terurus minda dalam memikirkan maslahat diri, keluarga dan ummah. Ini semua memerlukan tarbiyah ruhiyah, tarbiyah jasadiyah dan tarbiyah aqliyah daripada gagasan besar yang diturunkan oleh Allah kepada manusia. Gagasan ini diperincikan oleh detik kehidupan Nabi saw yang dipancarkan di atas skrin hadith yang mengajar manusia untuk menjadi manusia dan hidup sebagai manusia Islam beriman yang akhlaknya  jauh berbeza dengan akhlak iblis dan syaitan serta agen-agennya.

Oleh itu marilah kita mengajak diri-diri kita untuk duduk sebentar dan membuka hati dan minda. Kemudian kita fikirkan apakah kesudahan jasad, ruh dan aqal yang dipinjamkan oleh Allah kepada kita dalam menangani dan mendepani kehidupan duniawi ini? Apakah kita seperti buih yang menggelembung dan kemudian pecah begitu saja tanpa ada apa-apa pertanggungjawaban. Masih terpercayakah kita bahawa manusia dan makhluk-makluk lain terjadi dan terbentuk secara spontaneous generation tanpa campur tangan Sang Pencipta Maha Perkasa? Sehinggakan kita yakin bahawa jasad kita dan segala apa yang ada pada kita boleh kita pakai dan gunakan semahunya tanpa terikat kepada mana-mana undang-undang dan peraturan Ilahi. Jika kita daripada keluarga Muslim, jangan terjadi Muslim atas sebab keturunan keluarga. Jadilah Muslim karena kita mengenali siapa diri kita dan Pencipta kita. Kalaulah kita menjadi Muslim atas alasan logika dan panduan ilmu wahyu, maka janganlah disingkirkan nilai Islami dengan mengambil serta meniru gayahidup, penampilan dan peradaban masyarakat sesat yang bertuhankan nafsu dan syaitan.

Anak-anak muda dan para remaja yang sudah kehilangan warna kehidupan Rabbani, insafilah diri dan tolehlah ke belakang, karena terowong hidup yang lurus dan diredhai masih terbuka untuk kita berpatah kembali untuk diisi dengan ketaatan dan kerendahan jiwa mengadap Allah swt yang maha mengampuni dan mengasihi. Eloklah tocang dan jambul dicukur sekali lagi bagi membersihkan karektor tanda kita kembali kepada sifat diri yang sejati = Islam pada ruh, jasad dan aqal.

Samurai san, Sayonara!

Wallahua'lam.
04 Oktober 2011



0 comments: