Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

Pasca Ramadhan: MASJID & SURAU KEMBALI kepada Fitrahnya

Sebulan kita berpuasa. Sebulan pula kita sibuk beraya. Jalanraya, lebuhraya, expressway dipenuhi kenderaan pada setiap hari terutamanya hari Sabtu dan Ahad karena mengunjungi undangan rumah terbuka dan menziarahi sanak saudara. Sabtu dan Ahad juga dipenuhi dengan majlis walimatul urus. Anak dara dan teruna sibuk bernikah kahwin. Justeru jalan-jalan negeri dan mukim pun jadi sendat dan padat dengan kenderaan berderetan berparkir di tepi jalan.

Kalau kita jenguk ke dalam masjid dan surau tidak kira mana-mana waktu, terutamanya asar, isya dan subuh, ruang-ruang masjid dan surau kelihatan lapang dan nyaman lantaran kekurangan jamaah bersolat. Sawm @ puasa sewajarnya membawa manusia ke darjat taqwa seusai Ramadhan. Sambutan hariraya membawa erti bahawa kembalinya insan kepada fitrah asalnya yang cantik murni tanpa titik hitam noda dan dosa. Namun cepat sekali manusia mengotorinya dengan pelbagai aktiviti dan perlakuan haram dan makruh karena  terlalu seronok giler menyambut hariraya. Siaran Tv semua rangkaian  mengajak manusia leka-lekaan dengan ceritera dan drama serta hiburan yang mempercepatkan pengotoran jiwa yang telah bersih setelah bertarung sebulan berpuasa. Kita diajak menyambut hariraya ala artis dengan sentuhan, salaman, pelukan, ciuman dan bicara lidah serta balut tubuh yang mengabaikan syarak. Sunnah Nabi menyambut hari kemenangan Syawal ditenggelami dengan gelagat mereka

Sepatutnya manusia-manusia yang selesai berpuasa akan kembali kepada sifat asli dan murninya karena telah mendapat maghfirah. Peliknya yang kembali kepada fitrah yang asal dan tetap lestari dengan keadaan aslinya adalah masjid dan surau. Ia tetap lengang dan senggang serta lapang tanpa dipenuhi jemaah.     Hanya ahli jamaah yang regular saja yang tetap hadir menunaikan solat fardhu berjamaah. Yang menambahkan dan meramaikan bilangan jemaah adalah cicak-cicak untuk mengaminkan doa dan bacaan imam. Ahli-ahli baru dan anak-anak muda yang nampak gah dan berpusu-pusu membanjiri ruang masjid dan surau pada awal Ramadhan telah hilang entah ke mana. Mereka pupus dan jerlus ke dalam lubang-lubang kehidupan masing-masing, laksana haiwan yang hibernate menunggu datangnya musim bunga baru. Stail dan gaya hidup macam ini memang lazim dalam konteks hidup manusia yang tiada kesedaran fikrah Islam yang salimah. Ramadhan tiada berupaya mengangkat jiwa mereka ke mercu tanda yang lebih tinggi daripada sebelumnya. Yang semakin tertingkat tinggi hanyalah umur mereka, yang lainnya tetap malar mendatar menuruni cerun-cerun, menggelongsor ke lembah kefakiran iman dan amalan.

Kaum Nasara dan Yahud menawarkan pakej hebat kepada nafsu haiwaniyah  manusia untuk bersantai dan berhibur 24 jam. Sedangkan program Ramadhan hanya beroperasi selama sebulan untuk mentarbiyah dan membetulkan akhlak yang bengkok. Tanpa kesedaran Islam yang tinggi dan hanya duduk bersantai setiap hari dalam zuruf yang rencam macam rojak mamak; apatah lagi tanpa membina biah hasanah yang boleh membangun jiwa Islami, orang-orang Islam akan terjebak dan terkurung dalam pakej seronok 5S yang mereka rencanakan:-

  • SONG = Industri lagu dan muzik yang mengasyikkan. Lirik yang batil dan melalaikan dan tidak mengajak manusia mentaati Tuhan.  
  • SPIRIT = Industri arak dan samsu@todi dll yang menggalakkan manusia hilang aqal dan keupayaan berfikiran waras dan lupa kepribadian diri sendiri dan lupa Tuhan.
  • SEX = Kedua-dua industri di atas menjanakan kehidupan seks bebas dalam kalangan belia, remaja dan dewasa. Berlaku inovasi perlakuan seks sumbang@luar tabiie yang kemudiannya menghasilkan anak-anak gampang@haram@luar nikah yang dilunakkan dengan gelaran anak tidak sah taraf. Industri anak-anak H**** tersebut telah merosakkan nasab dan keturunan manusia. Dan secara tidak sedar dan perlahan pula ia akan mencemarkan dan mencarikkan keturunan dan titih manusia yang bersih yang tidak terlibat dengan cara hidup hedonisme. 
  • SPORT = Atas nama sukan dan semangat kesukanan, manusia diajak bermain dan bertanding bermacam jenis permainan yang tidak mengendahkan peraturan syarak. Aurat perempuan dan lelaki dilondeh dan dibuka semahunya. Berteriak dan berpelukan tanpa batasan antara berlainan seks apabila meraih kemenangan. Bermain dan bertarung dalam aturcara yang padat dan melupai zikir dan ketundukan kepada Tuhan. 
  • SMOKE = Menghisap dan menyedut asap tembakau rokok/cerut/paip/syisya dipamerkan sebagai gaya hidup berprestij dan maju. Rokok khususnya digandingkan dengan stail hidup bergaya dan berstatus serta cool. Kononnya sumber inspirasi, walaupun membakar paru-paru, merosakkan jasad dan membazirkan harta.
Program 5S ini berlangsung terus-terusan hebat ditaja oleh agen-agen pemusnah sunnah nabi, akhlak dan minda manusia. Semua ini ditaja untuk melupakan manusia daripada tujuan sebenar mereka didatangkan ke dunia. Program Solat, Puasa, Haji@Umrah dan Zakat serta amalan-amalan sunnah lainnya, perlulah dilaksanakan dengan fikrah yang jelas  dan ikhlas agar  dapat  membentengi terjerlusnya manusia ke dalam perangkap agen-agen iblis, syaitan dan kuffar.


Wahai Ramadhan! Janganlah engkau tidak datang lagi karena berpatah hati dan bersedih karena belum berjaya mengusap dan membalut jiwa manusia yang tercalar dan terluka. Atau karena melihat akhlak manusiawi tidak tertingkat dan terbina dalam musim yang lalu.  Berilah masa kepada kami untuk mengubati jiwa yang kaku lantaran percikan kuat karat jahiliyah yang memenuhi relong hati karena kurang tarbiyah. 


Pasca Ramadhan = masjid dan suraulah yang kembali kepada fitrah asalnya.  Berbahagialah wahai tetamu-tetamu regular pensiunan. Wahai anak-anak muda harapan ummah dan bangsa,  berpusu-pusulah memakmurkan masjid dan surau , karena di situlah tarbiyahmu bermula dan berkembang untuk membentuk meluruskan perjalanan hidup yang bersimpang siur ini, supaya pasti langkahmu berderap tidak tercicir menagih dan melanggan di lorong-lorong gelap - menggelapkan masa akhiratmu yang sedang menunggu. 

Ramadhan kareem, sempatkah kita bertemu lagi?

Wallahua'lam.

20 September 2011