Jejak-jejak Di Pantai Zaman

~The Footprints of Time~

KEMBARA II DI BUMI AMBIA - sambungan

Tarikh muktamad keberangkatan aku dan zaujah ke Makkah telah ditetapkan pada 171109 ;jam 10:35am perlu lapor diri di Kelana Jaya. Tamat sudah penantian jadual penerbangan yang telah dipohon pertimbangan TH agar urusan domestik dapat diuraikan secara tuntas agar tidak mengganggu ibadat haji di haramain.

Sepuluh sebelas dua ribu sembilan adalah aniversari kelahiranku dan sekaligus tarikh keramat bermulanya bahtera persaraan belayar keluar kuala menuju samudera luas. Lancangnya harus kukuh dan tega meredah badai kerja-kerja da'awi yang ufuknya sayup mata memandang. Terasa semacam jasadku tertelan dalam hempasan gelombang, tindan menindan, gulung menggulung, lambung melambung diiringi gemersik angin yang memuput serta menguraikan rambut yang kusut.

Retyrement bermakna membikin bunga baru pada kehidupan yang semakin singkat. Agar ia memberi cengkaman keras kepada jalanan yang sememangnya licin untuk dilalui apatah lagi tayar tanpa bunga! Pemergian yang sekujur 45 hari ke bumi ambia adalah ketentuan Ilahi, semacam dirancang rapi tapi sebenarnya tidak. Ia satu anugerah Allah yang nampak macam kebetulan tapi aku lebih suka mengatakan ianya taqdir yang tersusun oleh Allah swt. Justeru persaraan aku dimulai dengan kerja mulia. Nampaknya tak boringlah pencen 56. Sekarangpun banyak kerja rutin kena buat tiap-tiap hari...senggaraan kediaman ala DIY, bersih kolam ikan, lanskap depan halaman premis... la macam-macam no!

Aku tekad mahu buat kerja haji kali ini sebaik mungkin kerana yang pertama dulu agak kurang memuaskan lantaran itu pengalaman pertama. Labbaikallahumma Labbaik...